20 Mac 2023, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Festival Falsafah Malaysia 2023  (FestFal) menyajikan pelbagai program ilmu, antaranya termasuklah “Baca dan Selami Puisi”, “Purana Talk” (Ted-Style), “Board and Card Games” di samping jualan buku dan kupasan buku.

FestFal yang diadakan di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur ini telah berlangsung pada 17 hingga 19 Mac 2023.

Untuk sesi “Baca dan Selami Puisi”, FestFal menampilkan penulis dan pemuisi muda seperti Cahaya Jais, Abdullah Hussaini dan Ruoh Peng Chiew untuk berkongsi pandangan dan idea mereka terhadap dunia puisi tanah air, dan A.R Shah sebagai kurator.

Sebagai pembuka untuk sesi “Baca dan Selami Puisi petang”, Jack Malik, iaitu pemuisi dan penulis muda mempersembahkan sajak beliau yang dipetik daripada buku puisinya yang berjudul Sajakjakja(c)k. Seperti biasa, Jack tampil dengan persembahan bertenaga dan unik.

Cahaya Jais, Abdullah Hussaini dan Ruoh Peng Chiew sebagai ahli panel untuk sesi “Baca dan Selami Puisi”, bertempat di Rumah Tangsi, yang diadakan pada 19 Mac 2023.

Dalam sesi yang sama, Jack yang juga moderator bertanyakan perihal elemen yang dilihat membantu dalam proses penghasilan puisi bagi penulis muda seperti Cahaya Jais, Abdullah Hussaini dan Ruoh Peng Chiew. Cahaya menjawab,

Saya tidak tahu bagaimana saya boleh menulis puisi. Namun, saya menyedari bahawa saya sangat suka pada ilmu sains, kerana sains merupakan sesuatu yang cantik dan saya mahu menulis tentangnya. Melalui puisi yang saya tulis, secara tidak langsung membantu saya ketika berlakon. Sastera bermain dengan kata-kata yang membawa pelbagai makna. Permainan kata dalam puisi membantu saya dalam bidang lakonan juga penulisan.

Tambah Abdullah Hussaini pula,

Proses menulis esei dan puisi adalah berbeza. Proses menulis puisi kadangkala boleh disiapkan hanya dengan sekali duduk dan kadangkala, memakan masa yang agak lama. Dalam menulis, tiada proses yang tepat.

Ruoh Peng Chiew berkongsi pengalaman dan pandangan beliau terhadap dunia puisi tanah air dalam sesi “Baca dan Selami Puisi” yang berlangsung pada petang semalam.

Ruoh Peng Chiew pula berpendapat, tiada proses dalam menulis puisi. Proses menulis itu berjalan secara semula jadi seiring dengan idea yang mengalir.

FestFal 2023 kembali lagi buat kali ketiga dengan mengetengahkan isu hangat seperti ekonomi, puisi, sastera, dan seni untuk dikongsi kepada pengunjung yang hadir bagi meraikan ilmu selama tiga hari berturut-turut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.