3 Mac 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak banyak penulis karya kreatif di Malaysia yang berani mengetengahkan isu pedofil dan gangguan seksual dalam karya mereka. Isu ini telah lama menular dalam kehidupan dan seolah-olah menjadi barah dalam kalangan masyarakat. Bahkan, tidak ramai pula yang tampil membuat laporan atau menceritakannya secara terbuka, demi maruah individu dan aib keluarga. Namun hal ini sangat terbuka dibincangkan di Barat sehingga terbitnya buku 10 Pedofil Paling Berbahaya di Dunia yang ditulis oleh Merry Magdalena. Buku ini telah diterjemahkan dalam bahasa lain termasuklah bahasa Melayu dan pasarannya meluas di seluruh dunia.

Di Malaysia novel yang bertemakan jenayah, undang-undang, kehakiman, psikologi dan masalah kesihatan mental jarang-jarang ditemukan. Ramlee Awang Mursyid antara penulis prolifik yang mampu menggarap cerita dalam tema tersebut dengan baik dan berkesan. Selain itu, Affifudin Omar juga penulis novel yang baik dalam menggarap novel bertemakan jenayah politik. Kini muncul seorang lagi penulis yang berjaya mencerap kisah jenayah dalam lingkungan jenayah seksual yang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur – tanpa bahasa kesat, lucah dan makian.

Maskiah Masrom nama yang mapan dalam dunia kesusasteraan kebangsaan dan antarabangsa. Karyanya telah terbang ke negara Komanwel apabila disiarkan dalam majalah kendalian Commonwealth Foundation – Adda. Terkini kumpulan cerpennya Yang Jauh benar-benar melangkah jauh apabila dilancarkan di Mesir bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kaherah. Beliau telah menulis lebih daripada 50 karya dan memenangi anugerah dalam bidang penulisan sastera termasuklah Hadiah Sastera Darul Ta’zim, Anugerah Sastera Johor, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Kemunculan Maskiah Masrom bersama-sama novel terbaharunya Buku (2021) terbitan YPJ telah membuka mata dan minda pembaca tentang betapa bahayanya membaca buku. Ramai orang menyifatkan membaca buku merupakan amalan mulia dan perlu diterapkan sejak kecil sehingga kerajaan melaksanakan kempen membaca di setiap ceruk negara dengan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan. Namun tidak ramai yang sedar, tabiat membaca buku juga boleh mengubah personaliti manusia, memberikan cetusan ilham di bawah sedar dan yang paling popular pengaruh buku boleh mendorong seseorang itu menulis buku.

Buku mengisahkan pesakit mental yang mengharungi kehidupan sebagai manusia normal. Gangguan psikologi terhadap watak telah menyebabkan Buku mencerap teori dan kritikan psikoanalitik. Dalam bidang kesusasteraan, kritikan psikoanalitik jarang-jarang ditemukan. Kaedah kritikan ini menganalisis perkaitan antara penulis dengan karyanya. Kritikan tertumpu pada watak yang dicipta, bahasa dan imej yang digunakan oleh pengarang. Menurut Sigmund Freud, pengalaman dan respons pembaca diambil kira dalam mengaplikasikan kritikan psikoanalitik dan fokus analisis terhadap psikik pembaca tersebut. Buku mendedahkan akan hal tersebut melalui watak “Aku” yang periang dan sangat ringan menghulurkan bantuan dan mudah bersimpati dengan orang susah. Namun disebabkan rasa benci akan jenayah pedofil, dia akhirnya memerangkap diri sendiri sebagai penjenayah.

Buku bukan sekadar buku (novel) malahan lebih daripada itu. Kandungannya sarat dengan pemikiran dan falsafah, kritikan sosial, kata-kata hikmah, sindiran, kisah benar, teknik penceritaan yang segar dan yang paling utama ialah tentang psikoanalitik. Jika seseorang itu bukan ahli dalam bidang kaunseling atau psikologi pastinya tidak akan menemukan istilah “psikoanalitik” dalam pembacaan harian atau dalam dunia buku kita. Pembaca tidak perlu mengenali Sigmund Freud, Carl Jung, Melanie Klein dan Anna Freud untuk mengetahui tentang psikoanalitik. Cukup hanya dengan membaca Buku ilham Maskiah Masrom yang memaparkan liku-liku kehidupan seorang mangsa pedofil yang akhirnya menjadi pembunuh dan penulis terkenal akibat membaca buku kisah jenayah. Bukunya dicetak berkali-kali dan sangat popular dalam kalangan pembaca dan karyanya berada di kebanyakan perpustakaan. Kemasyhurannya di luar batas sempadan sehingga kehidupan realitinya disembunyikan.

Dalam Buku, penulis menggunakan kata ganti diri pertama – “Aku”, pada awal bab novel ini. Aku seorang anak gelandangan yang dikutip oleh Orang Kaya lalu dimasukkan ke sekolah kebajikan miliknya, iaitu SEKEPOK. Aku tidak dapat mengenal pasti identitinya sendiri kerana kehilangan ibu bapa semenjak kecil. Wajahnya mirip pelarian Rohingya namun tidak dapat dipastikan sejauh mana ketulenannya. Dia dijaga oleh orang lain yang menjadikannya sebagai pengemis dan akhirnya dijual dan diperkosa. Latar kehidupannya telah membentuk dirinya menjadi seorang yang berani dalam segala tindakan. Aku minat membaca buku berkisar jenayah dan telah mencuri buku 10 Pedofil Paling Berbahaya di Dunia. Melalui minat membaca inilah menjadikan Aku seorang penulis novel. Buku-bukunya diterbitkan oleh syarikat penerbitan buku Indie yang tidak mengambil kira faktor nilai murni serta pengajaran dan falsafah tinggi dalam buku penerbitannya. Aku menulis melalui inspirasi daripada bahan bacaannya berkaitan dengan jenayah. Penulis mencipta watak Aku sebagai watak antagonis dan protagonis dengan perwatakan yang berbeza. Buku memaparkan watak Hidayat pada awal jalinan cerita sehingga pembaca beranggapan Hidayat ialah watak utama tetapi sebenarnya tidak.

Buku tidak memaparkan watak hero secara total. Tiada gambaran utama tentang watak utama pada awalan cerita kerana penulis bermain dengan teka-teki supaya pembaca berfikir di luar jangkaan. Dalam kebanyakan bengkel bimbingan penulisan novel, sering kali ditekankan bahawa watak utama mestilah dikenalkan pada awal cerita. Hal ini sudah menjadi klise dan teknik ini dianggap lapuk. Watak utama dalam Buku dimunculkan selepas satu pertiga plot cerita dengan menggunakan nama lain.

Penulis mengetengahkan teori psikoanalitik dalam Buku untuk menjelaskan betapa pendekatan tingkah laku dan kemanusiaan merupakan pendekatan paling penting dalam ilmu psikologi. Seseorang individu yang normal ialah manusia yang menikmati kehidupan dengan kasih sayang. Fine (1972) menyatakan bahawa konsep kegirangan mampu menghapuskan perasaan negatif, melahirkan perasaan positif, mendapat identiti diri dan masyarakat, mencari pengertian tentang perasaan dalam keluarga dan kepuasan bekerja. Begitulah gambaran watak utama – Min Khanna atau Rakin yang berselindung di sebalik dua identiti. Min Khanna sebenarnya merancang untuk melaksanakan agenda peribadi demi menyelamatkan insan lain yang tidak berdosa yang menjadi mangsa pedofil. Kecenderungan ini berbekas dalam dirinya kerana dia sendiri pernah menjadi mangsa serangan seksual sehingga menganggap dirinya tidak berguna dan kotor selama-lamanya.

Di sebalik watak utama yang hitam ini, penulis mencipta watak lain yang juga menjadi watak penting dan utama bagi menyelesaikan peleraian – Inspektor Sanusi. Inspektor Sanusi merupakan watak yang menyelesaikan segala kebuntuan pembaca. Pun begitu watak ini tidak muncul di awal cerita. Peranannya muncul apabila berlaku pembunuhan kejam di sekolah kebajikan SEKEPOK dan dia menjadi pegawai penyiasat yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes tersebut. Penulis mencipta pendekatan menyeret watak Inspketor Sanusi pada akhir cerita sehingga tamat dengan pelaporan lengkap hasil siasatan. Pelaporan tersebut menjadi lampiran dalam novel ini untuk pembaca lebih jelas dan faham akan perjalanan kes. Pembaharuan teknik penulisan sebegini tidak berlaku dalam novel biasa. Hal ini menunjukkan bahawa penulis tidak menulis sembarangan dan semberono. Fakta kes dan siasatan yang dijalankan oleh Inspektor Sanusi sebenarnya berlaku dalam realiti rutin seorang pegawai polis. Watak Sofia yang dicipta oleh penulis pula menjadi watak penting yang menjadi asbab suspek berjaya diberkas apabila bukti mencukupi. Pun begitu Sofia tidak muncul pada awal penceritaan. Watak penting ini hadir pada pertengahan bab apabila Sofia diterima mengajar di SEKEPOK untuk menggantikan guru yang telah dipecat kerana masalah disiplin. Dia juga memainkan peranan besar dalam membawa pembaharuan di SEKEPOK. Apabila penulis menggunakan kata ganti diri pertama, iaitu Aku pada permulaan bab, tiada siapa pun yang dapat menduga bahawa Aku itu ialah Min Khanna atau Rakin.

Kebijaksanaan penulis memutarbelitkan plot (plot twist) patut dipuji. Pembaca hanya mampu menyelesaikan konflik pada akhir cerita kerana suspek utama yang sudah terbukti salah masih tidak ditangkap, didakwa apatah lagi untuk dijatuhkan hukuman. Tiada sesiapa pun yang boleh menebak bahawa Min Khanna yang tersohor itu sebenarnya tukang masak di SEKEPOK yang periang dan baik pekertinya yang berselindung di sebalik nama Rakin. Walhal dari awal penceritaan pembaca sedia maklum, hasil royalti penulisan Min Khanna diserahkan kepada SEKEPOK sebagai dana kebajikan kerana SEKEPOK merupakan sekolah kebajikan yang memerlukan sumbangan masyarakat awam. Sehinggalah berlaku perselisihan faham antara Rakin dengan Sofia yang menyebabkan kebakaran kecil di SEKEPOK sehingga menyebabkan Rakin ditahan di Hospital Damai yang menempatkan pesakit mental.

Rakin berazam menghapuskan Ustaz Aduldej, iaitu guru di SEKEPOK yang mengajar agama tetapi sebenarnya manusia durjana yang melakukan pedofilia terhadap pelajar lelaki. Pembaca mempunyai pilihan untuk meneka siapakah pembunuh sebenar dalam kes pembunuhan Ustaz Aduldej kerana semua watak yang ditampilkan sama ada pada awal cerita mahupun di pertengahan cerita mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Perkaitan ini telah memungkinkan semua watak boleh dianggap sebagai suspek kecuali Inspektor Sanusi. Peleraian Buku ditamatkan dengan rakaman percakapan Rakin semasa siasatan polis. Sesuatu yang luar biasa kerana penulis tidak perlu melukiskan naratif peleraian terhadap watak yang meleret-leret, cukup sekadar pembaca meneliti rakaman percakapan Rakin yang menjadi lampiran di akhir Buku.

Penulis juga telah menggunakan ruang tajuk bab dengan menggunakan rentetan tarikh sebagai sub tajuk kecuali pada dua bab pertama dan dua bab terakhir namun masih mengekalkan unsur tempoh dalam bab tersebut. Penggunaan tarikh pada bab memberikan kejelasan kepada pembaca tentang kejadian yang berlaku pada setiap hari berdasarkan tarikh. Hal ini sangat penting supaya tidak menimbulkan kecelaruan semasa proses pembacaan novel ini dan tempoh perjalanan kes dapat diteliti oleh pembaca dengan sebaik-baiknya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.