Oleh Roslan Jomel
23 Februari 2023, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cerpen “The Kidney-Shaped Stone That Moves Every Day”, karangan Haruki Murakami yang mengisahkan watak protagonis bernama Junpei agak keberatan untuk mengaku bahawa dirinya seorang penulis. Dia berasa rendah diri dengan pekerjaannya itu. Di hadapan kenalan baharunya, Junpei meluahkan rasa kekecewaannya; pengarang tidak memiliki bakat untuk ditawarkan. Pemain piano mampu untuk memainkan muzik. Pelukis mampu melakarkan coretan. Ahli silap mata pula mampu mempersembahkan satu atau dua helah. Namun demikian, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh pengarang.

Pada awal tahun 1990-an, majalah Dewan Sastera menerusi ruangan “Cerpen Terjemahan” pernah menyiarkan karya bertajuk “Sehingga ke Infiniti”, nukilan Anthony N Fragola. Terima kasih kepada Nazel Hashim Mohamad yang menterjemahkan naskhah menarik itu. Pembaca boleh menghabiskan pembacaan teks tersebut hanya dalam tempoh seminit sahaja sementara menanti ketibaan monorel. Apakah istimewanya naskhah itu?

Protagonisnya merupakan seorang pengarang fiksyen bengkeng yang bercita-cita besar. Sungguh ghairah dan teruja untuk menatap karyanya dicetak dalam majalah. Sepanjang waktu, obsesif menunggu balasan daripada penyunting. Sementara seterunya pula seorang penyunting berpengalaman yang teliti. Tiada kompromi bagi pengarang lain untuk mematah ukuran standard yang ditetapkan dalam penerbitannya.

Itulah cerpen paling pendek pernah saya baca, iaitu dua halaman sahaja, tetapi kesannya melayang jauh dalam fikiran dan perasaan saya pada ketika itu. Beberapa tahun selepas itu, saya berkenalan dengan Lydia Davis dan Etgar Keret (sebagai contoh). Mereka berdua turut menghasilkan naskhah pendek dan sudah tentu unsur-unsur sofistikatednya lebih rumit dan rencam. Pendek atau panjang hanya saiz. Ada naskhah (cerpen dan novel) yang panjang tetapi tidak menggoncang fikiran, emosi dan keintelektualan pembaca. Tidak mudah menulis naskhah yang pendek namun berjaya dalam pelbagai aspek naratologi. Bahkan, bukan terjamin berhasil mengarang naskhah yang tebal tetapi melangkaui zaman.

Krisis dan pergelutan dunia dalaman protagonis dalam naskhah “Sehingga Ke Infiniti” masih bergema dalam jiwa saya hingga kini. Sebagai peminat kesusasteraan, saya terpaku apabila selesai menghayati naratif karangan penulis berketurunan Itali itu. Luar biasa. Magis. Mengganggu. Tiada dialog konvensional dalam naskhah itu. Sebaliknya protagonis berperang dengan keegoannya sendiri. Konflik dalaman seseorang karakter menjadi magnet artistik yang jarang-jarang ditemukan dalam kebanyakan naskhah mutakhir.

Siapakah yang bersalah dalam kes antara pengarang dengan penyunting? Adakah pengarang itu beranggapan bahawa dirinya sasterawan hebat? Konon naskhahnya terlanjur sempurna, bertaraf adikarya, dan tidak memerlukan penambahbaikan daripada pihak lain? Kredibiliti naskhahnya tidak boleh dirombak sesuka hati.

Sementara penilaian seorang penyunting (letih dan tertekan di kerusi terhormat) yang menerima lambakan karya daripada pengarang harus cermat dalam urusan penyiaran demi mempertahankan prestij majalah kendaliannya. Teguran, komen dan cadangan dikirimkan kepada pengarang. Pada fasa pertama, pengarang menyambut respons daripada penyunting dengan fikiran lapang. Sekurang-kurangnya naskhah daripada pengarang memancing perhatian daripada penyunting. Naskhah dirasakan agak lewah, perlu disunting untuk mengesampingkan bahagian yang kurang bermanfaat.

Namun demikian, setelah kerja suntingan dan cantasan dilakukan, pengarang berasakan bahawa naskhahnya hanya tinggal tulang dan sudah tiada lagi jiwanya. Pengarang dan penyunting memutuskan untuk terus bermusuhan. Cerpen itu kemudiannya dihimpunkan bersama-sama cerpen lain dalam buku bertajuk Impian Imigran dan Cerita-cerita Lain, terbitan Pekan Ilmu Publication.

Eka Kurniawan memperkenalkan pengarang dari Norway, iaitu Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1920, Knut Hamsun dalam eseinya yang tersiar di blog. Menurut Eka, kerja penulisan awal Knut Hamsun sebanding dengan Fyodor Doestoevsky dari Russia. Saya lebih dahulu mengenali Crime and Punishment yang tebal dan sangat kompleks dalam teknik penceritaan. Namun demikian, Eka Kurniawan mengkhabarkan bahawa pengarang bernama Knut Hamsun tidak wajar diabaikan. Sebagai pengarang, barangkali ada sebab khusus mengapakah Eka Kurniawan menyanjung kegigihan Knut Hamsun. Bakat dan cita-cita tidak akan bergerak ke mana-mana tanpa kerja keras.

Maka nyata benar, pengarang ulung dari Norway itu (sebelum kemunculan bintang sastera antarabangsa Karl Ove Knausgard) bercerita dari sudut kebatinannya. Hal itu mengingatkan saya dengan takrif kejujuran dalam berkarya yang pernah dinyatakan oleh Budi Darma. Karya Knut Hamsun pergi jauh dalam usus, saraf dan urat dalam kalbu individual. Watak manusia dimanusiakan dengan sesungguhnya. Ini karya perihal kajian watak yang menggiurkan saya. Melalui kaedah penulisan aliran kesedaran secara lebih radikal, Knut Hamsun tanpa segan menyelongkar kemelut kejiwaan karakter utama yang menanggung rasa lapar, malu namun pada masa yang sama cekal berkarya. Makan untuk terus hidup dan bukan sebaliknya.

Sebuah novela tentang kesengsaraan psikologi dan tekanan kelaparan terungkap dalam naskhah “Hunger”. Naskhah itu lebih menakutkan berbanding dengan cerpen “Sehingga ke Infiniti”. Pengarang melepaskan apa-apa yang tersorok di bawah lapisan kalbunya dalam bentuk fiksyen. Lalu yang terakam ialah gambaran runcing kerusuhan terpendam dalam naluri seorang pengarang. Dunia protagonis kelam, sempit dan sesak oleh pertembungan antara kehendak perut dengan mental untuk menulis demi mendapatkan duit agar terus bertahan di bilik sewanya. Jiwa dan jasmaniah narator mundar-mandir tanpa arah dan tiada siapa yang mengerti betapa dahsyatnya nanti naskhah yang bakal ditukangi ketika mengharungi segala ujian.

Setelah karyanya siap ditulis, protagonis yang mempunyai penampilan serba selekeh, segera ke pejabat penerbitan akhbar untuk menyerahkan manuskrip. Besarlah harapan agar karyanya dipilih dan dengan itu, dia meminta bayaran honorarium seberapa cepat yang boleh. Protagonis sedar bahawa kerja penulisannya berhak untuk disiarkan dan demikian juga tuan rumah sewajarnya meminta wang sewa. Pengarang yang hidup bergantung pada bakat penulisan itu berasa bahawa lebih rendah statusnya berbanding dengan pemilik rumah yang saban waktu menyindir keberadaannya di rumah. Setelah mendapat bayaran, pengarang kemudiannya kehabisan wang lagi. Maka itu, dia harus mengharungi hari dengan kelaparan dan kegalauan jiwa.

Apakah lagi barang untuk digadaikan? Pisau cukur, kemeja atau sikat rambut? Mustahil tuan rumah boleh bertolak-ansur lagi jika dia kerap menunggak bayaran sewa. Kepada siapakah dia hendak meminjam wang? Alangkah pedihnya jiwa watak utama menahan raut muka sewaktu meminta tulang yang kononnya akan diberi kepada anjingnya. Perutnya diisi angin dan fikiran mula gentayangan.

Narator cuba untuk memohon pekerjaan tetapi ditolak. Semasa dimasukkan di dalam penjara, bahkan watak utama berpura-pura mengaku sebagai wartawan. Namun protagonisnya tetap gigih untuk bertahan, mencari lokasi yang lebih tenteram dan duduk menggunakan mata pena menghasilkan naskhah. Sungguh berliku pancaroba yang menyeksa jiwa raga protagonis itu dari hari ke hari.

Apakah dia memperoleh makanan pada hari itu? Sekeping roti tanpa mentega, sudah memadai buatnya. Jika fizikal layu dan fikirannya berserabut tanpa gizi, bagaimanakah hendak mendrafkan penulisannya? Demikian sebaliknya, andai hidup bak anak bangsawan, duduk menggoyang kaki di atas katil, apakah dia mampu mengarang cerita tentang dunia dalaman manusia dengan dahsyat?

Watak utama dalam novela Knut Hamsun itu juga mengingatkan saya tentang babak awal filem The Life of Emile  Zola (1937) yang mengisahkan detik sukar kehidupan awal Emile Zola sebagai pengarang di Perancis. Namun demikian, sebaik sahaja mengecap nikmat sebagai sasterawan besar yang disanjung masyarakat, gaya hidup Emile Zola mula berubah. Kepekaannya terhadap penderitaan rakyat kecil mula ditenggelami dek limpahan makanan yang mewah dan pingat kebesaran daripada pihak atasan.

Sama ada Junpei, protagonis dalam “Sehingga ke Infiniti” dan “Hunger”, tiada sesiapa yang mencadangkan untuk menjadi pengarang. Itu pilihan berisiko. Suatu jenis pekerjaan yang bakal menjatuhkan seseorang ke jurang curam. Bahkan suatu bidang yang menganjakkan pemikiran seseorang berkat kerajinannya membaca. Kononnya kerja mengarang itu amat sukar kerana melibatkan campur tangan akal dan imaginasi.

Malangnya kenyataan itu juga sesungguhnya mitos. Kerja mengarang itu suatu kerjaya yang menyeronokkan, sebagaimana kata Etgar Keret. Editor yang menunggu di mejanya, tidak peduli dengan penderitaan yang kita tanggung. Bahkan itu bukan urusannya yang lebih tertekan setiap hari menghadapi kerenah dan keangkuhan pengarang baharu dan berpengalaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.