Oleh Firdaus Mul
13 Februari 2023, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjadi penulis bukanlah suatu hal yang mudah. Dalam konteks penulisan karya kreatif misalnya, penulis tidak hanya sekadar dituntut menyusun bait kata-kata dan membina plot cerita agar menarik untuk dijadikan santapan pembacanya. Namun demikian, menjadi penulis juga harus bersedia memikul amanah terhadap hasil tulisannya, baik dari aspek kandungan ataupun teknikal. Oleh sebab itu, penulis dikatakan persis seperti panglima perang di medan tempur, bukan hanya gagah dan bijaksana memainkan pedangnya (pena), tetapi harus berprinsip.

Antara prinsip yang harus penulis pegang ialah lunas kejujuran. Tanpa prinsip itu, penulis akan kehilangan etika dan arah dalam penulisannya. Maka itu, di saat etika dan arah sudah hilang daripada paksinya, tiada apa-apa lagi yang tinggal dalam hasil penulisannya. Tepuk dada tanya selera. Lunas kejujuran bukan hanya diaplikasikan dalam penulisan, bahkan sebagai seorang Muslim yang mana kejujuran menjadi tuntutan kewajipan dalam setiap tindak-tanduk kehidupan.

Menyentuh perihal lunas kejujuran dalam penulisan, ada dalam kalangan yang tergoda dengan tindakan memplagiat. Dek ghairah ingin mengejar bayaran dan pengiktirafan, akhirnya mereka memilih untuk meniru penulisan orang lain. Kemahuan yang terdorong dengan nafsu duniawi, akhirnya menjerat mereka untuk bertindak melampaui batas.

Memplagiat gaya penulisan dan isi kandungan merupakan dua keadaan yang berbeza. Namun demikian, yang sering timbul apabila didapati bahawa ada penulis yang meniru isi kandungan karya penulis lain. Walau bagaimanapun, penulis yang dikesan meniru itu bertegas menafikan dengan mengaitkan bahawa peniruan tersebut adalah berpaksikan gaya penulisan yang mendorong penulis tersebut cenderung melakukan sedemikian. Hakikatnya, alasan sebegitu merupakan pendustaan yang menjadi rekaan. Isu memplagiat ini bukanlah baru kerana hal ini sudah lama tumbuh membarah dalam dunia penulisan.

Seiring dengan permasalahan tersebut, timbul juga isu penerbitan serentak. Situasi ini berlaku disebabkan penulis bertindak menghantar hasil penulisan mereka kepada dua rumah penerbitan dalam satu tempoh masa sekali gus. Walhal, dari segi perundangan tindakan ini sudah menjadi kesalahan, hatta perbuatan tersebut membawa konflik kepada penerbitan serentak. Tahap kesabaran yang lemah untuk melihat hasil penulisan diterbitkan, akhirnya tanpa rasa bersalah tindakan ini dilakukan oleh penulis.

Maka itu, asas menjadi seorang pengkarya atau penulis haruslah bermula dengan memahami tuntutan rumah penerbitan. Selain memahami keinginan dan keperluan kandungan tulisan yang dituntut oleh rumah penerbitan, penulis seharusnya memahami sesuatu yang disebut sebagai “fasa penilaian”. Hal ini bermaksud, pada fasa pertama seorang penulis tidak boleh menghantar karya mereka kepada dua atau lebih rumah penerbitan pada masa yang sama.

Kemudian, selepas menghantar karya tersebut ke rumah penerbitan, penulis seharusnya cakna bahawa karya yang dihantar akan melalui proses penilaian oleh sidang editor. Dalam tempoh tersebut, karya penulis secara mutlak menjadi milik rumah penerbitan tersebut. Namun demikian, jika penulis tersebut bercadang untuk “menarik” kembali karya mereka, penulis seharusnya menyatakan secara rasmi dan memaklumkan kepada editor yang berkenaan untuk tindakan “penarikan”. Perkara ini adalah asas, dan seharusnya penulis ambil peduli akan hal ini khususnya mereka yang mendambakan untuk melihat hasil tulisannya tersiar.

Hatta, perlu juga diketahui bahawa proses penilaian sememangnya mengambil masa yang telah ditetapkan oleh satu-satu rumah penerbitan. Maka itu, penulis perlu sedar dan cakna bahawa hampir setiap hari rumah penerbitan menerima pelbagai karya daripada pelbagai kelompok lapisan penulis. Kegagalan memahami perkara asas ini pada fasa pertama, menyebabkan penulis sekali lagi mengambil jalan mudah, sehingga tindakannya membawa kepada konflik penerbitan secara serentak.

Sebagai penulis, prinsip dan pematuhan etika dalam penulisan seharusnya menjadi pegangan, lebih-lebih lagi kelompok penulis muda. Hal ini dikatakan demikian kerana jika penulis bersikap acuh tak acuh terhadap prinsip dan pematuhan etika, maka penulis tersebut sedang membakar jambatan impiannya untuk menjadi seorang “pengkarya”.

Hatta, penulis perlu mengingati bahawa seorang penulis bukan sekadar dikenali melalui buah fikir dan bahasa indah yang digunakannya, penulis juga dikenali dengan kehormatan dan kepercayaan penilai terhadap hasil tulisannya. Jangan bagai orang berjudi menang mua, alah hendak berbela. Maka itu, tidak ada jalan singkat dan mudah untuk terus berada di puncak yang tinggi. Perlu belajar menyemai, kemudian berkembang mekar harum seperti hakikat sebuah kehidupan.

Begitu juga halnya dengan penghantaran karya secara serentak ke rumah penerbitan. Ini merupakan tindakan serampang dua mata yang harus dijauhkan oleh seseorang penulis. Tindakan ini tidak memberikan manfaat dan faedah kepada mereka, sebaliknya akan memberikan kesan buruk terhadap imej sesebuah rumah penerbitan atau akhbar jika hasil tulisan mereka disiarkan serentak.

Akhirnya, sidang editor yang menanggung tempias beban dan dipersalahkan. Walhal, hakikat sebenar sidang editor memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mana-mana penulis untuk menghantar hasil penulisannya. Soal menilai dan menyiarkannya, barulah menjadi tanggungjawab sidang editor.

Namun demikian, keadaan yang berlaku hari ini menjadi sebaliknya. Apabila wujud isu penerbitan serentak dan plagiat, maka kesalahan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada sidang editor selaku penilai. Keadaan ini adalah sesuatu yang tidak adil bagi sidang editor, yakni pada fasa pertama sidang editor telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada penulis, maka kepercayaan ini perlu dihargai sebaik-baiknya.

Yang seharusnya memikul segala bebanan ialah penulis yang bersikap lepas tangan. Maka itu, jika karya telah dihantar untuk dinilai ke rumah penerbitan, penulis seharusnya berusaha untuk menghasilkan karya baharu untuk dinilai. Menjadi penulis tidak hanya berharap pada satu hasil penulisan semata-mata. Seharusnya mereka berlapang dada dan mencuba menambah mutu kualiti hasil penulisan persis tajam pisau kerana diasah, tajam penulis kerana kesungguhannya berkarya dan terus berkarya.

Isu plagiat dan penerbitan serentak sudah tidak boleh lagi dipandang ringan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebejatan ini bukan sekadar menjejaskan imej rumah penerbitan, akhbar ataupun mana-mana ruangan penerbitan yang ada malah turut membantutkan perkembangan dunia penulisan yang dasarnya berdiri sebagai wadah dan wacana untuk menajamkan pemikiran masyarakat.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk memperkasakan undang-undang sedia ada. Yakni satu peruntukan khas peratus yang berbentuk sebagai mekanisme kawalan yang menyeluruh dan mengikat kegiatan plagiat dan konflik penerbitan serentak daripada terus berleluasa. Penulis lain juga perlu cakna dan mengambil iktibar akan kemelut ini. Jangan disebabkan tindakan seorang penulis yang alpa dan terleka akhirnya terconteng arang di rumah penerbitan yang ada. Pematuhan pada prinsip dan etika seharusnya menjadi pegangan, bukan satu pilihan tetapi kewajipan.

Dunia penulisan dan hasilnya adalah untuk menjadi santapan masyarakat secara keseluruhannya. Jika plagiat dan konflik penerbitan serentak masih berlaku dan berleluasa, tidak mustahil keadaan ini akan membawa kepada terhakisnya kepercayaan masyarakat selaku golongan utama yang menikmatinya.

Memplagiat hasil penulisan orang lain dan menghantar karya serentak pada satu-satu masa ke rumah penerbitan tidak membawa kepada kemajuan prestasi seseorang penulis, sebaliknya belajar dan menikmati hasil pembacaan tersebut agar tulisan mereka berupaya menjadi seperti tulisan berkualiti seperti yang dibacanya, sekali gus berupaya melepasi tapisan penilaian sedia ada di rumah penerbitan yang ada. Jadilah seperti senja yang terbenam pada waktunya, sesuatu yang indah, dinikmati dan dinantikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.