Oleh Julia Henry
27 Januari 2023, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika dikira usianya pada hari ini berdasarkan teks yang dipercayai telah wujud sejak tahun 1356, Sulalatus Salatin sudah menjangkau usia melebihi 600 tahun. Dalam tempoh kewujudannya yang begitu lama, memang mustahil jika generasi muda, terutama dalam kalangan penulis pemula atau angkatan penulis baharu, termasuklah aktivis sastera dalam kategori usia muda tidak pernah membaca Sulalatus Salatin. Yang pastinya, Sulalatus Salatin merupakan sebuah teks sastera sejarah yang sememangnya menarik perhatian golongan pengkaji, budayawan, sejarawan, sasterawan di seantero dunia untuk mendalaminya.

Berkemungkinan generasi muda yang belum membaca naskhah ini, ataupun yang sudah membacanya tetapi berasa sukar mahu memahami teksnya disebabkan penggunaan bahasa klasik dengan bentuk ejaan lama dalam penceritaan naskhah tersebut. Dari awal kemunculannya, terdapat pelbagai bentuk naskhah Sulalatus Salatin, antaranya naskhah dalam tulisan Jawi dengan pelbagai versi, resensi dan salinan. Selain itu, Sulalatus Salatin juga terdapat dalam bentuk selenggara pengarang dalam tulisan Rumi seperti edisi Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi (1831), edisi Dulaurier (1849-1856), edisi W.G. Shellabear (1896), edisi R.O. Winstedt (1938), edisi T.D. Situmorang dan A. E. Teeuw berasaskan edisi Munsyi Abdullah (1952), edisi Dato’ Madjoindo (1959) dan edisi A. Samad Ahmad (1979).

Daripada pelbagai versi itu, generasi muda pastinya tidak mengalami kesukaran untuk membaca dan memahami versi tulisan Rumi yang diselenggarakan oleh  A. Samad Ahmad kerana versi tersebut diterbitkan khusus untuk golongan pelajar. Tambahan pula Sulalatus Salatin Edisi Pelajar yang cetakan terakhirnya pada tahun 2010 turut mengandungi bahagian “Catatan” (halaman 343 hingga 375) berupa glosari yang menerangkan maksud sesuatu perkataan atau frasa yang digunakan oleh pengarang Sulalatus Salatin. Maka itu, tiada alasan untuk tidak memahami bahasa dan jalan ceritanya kerana “catatan” tersebut sangat membantu pembaca generasi baharu untuk memahami maksud yang disampaikan oleh pengarang.

Di Barat, Sulalatus Salatin dikenali sebagai The Malay Annals. Sulalatus Salatin bukan hanya sebuah karya sastera semata-mata, tetapi merupakan dokumen penting yang memaparkan salasilah raja-raja Melayu, termasuklah gambaran tentang lunas tradisi politik dan nilai sosial orang Melayu. Selama beratus tahun, Sulalatus Salatin telah dikenali sebagai sebuah karya yang istimewa, malah dilihat sebagai sebuah ciptaan seni yang indah. Tulisan Teuku Iskandar dalam buku Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad (1995) menyatakan “Sejarah Melayu, karya sejarah teragung dalam kesusasteraan klasik Melayu”. Begitu juga dengan Sir Richard Winstedt dalam A History of Classical Malay Literature (1969) mengiktiraf Sulalatus Salatin sebagai “is the most famous, distinctive and best off all Malay literary works.” Hal inilah yang meletakkan Sulalatus Salatin sebagai karya agung Melayu. Persoalannya, apakah ciri-ciri karya agung yang terkandung dalam Sulalatus Salatin?

Ciri-ciri Karya Agung dalam Sulalatus Salatin

Sejak berkurun lamanya, dalam kalangan pengkaji dan peneliti sastera, Sulalatus Salatin dianggap begitu unggul sebagai hasil kesusasteraan yang penting dan terbaik sehingga diangkat sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan. Dalam buku Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2005) terbitan Yayasan Karyawan, yang dimaksudkan dengan karya agung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu falsafah serta nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau jiwa dan ingatan bersama-sama bangsa itu sepanjang sejarahnya.

Yayasan karyawan telah menetapkan lima ciri penting yang harus dilihat dalam sesebuah karya untuk diangkat sebagai sebuah karya agung. Ciri pertama, lambang dan pesanan yang hendak disampaikan oleh pengarang melalui karya itu, kedua, nilai budaya atau pandangan hidup, ketiga, nilai ilmu, keempat, teknik kepengarangan dan kelima, seni bahasa.

Lambang dan Pesanan yang Disampaikan oleh Pengarang

Lambang paling ketara ditonjolkan oleh pengarang dalam Sulalatus Salatin ialah soal kebesaran dan kekuasaan raja sebagai pemerintah. Kebesaran dan kekuasaan golongan raja bukan sahaja digunakan untuk memerintah negeri, malah untuk membezakan golongan raja dengan rakyat biasa. Berdasarkan konteks kekuasaan raja Melayu, kuasa dikonsepsikan secara bersama dengan konsep daulat. Daulat dalam bahasa Arab bermaksud “panjang umur”, manakala dalam bahasa Sanskrit bermaksud “dirgahayu”. Mengikut kepercayaan orang Melayu, daulat merupakan kuasa luar biasa yang dimiliki oleh golongan raja. Maka itu, daulat dikaitkan dengan konsep “kena tulah”, “tuah”, atau “berkat”.

Lambang dan pesanan atau peringatan tentang konsep daulat meletakkan raja pada kedudukan yang tinggi dan istimewa. Kedudukan raja adalah paling atas dalam masyarakat, tanpa boleh dipersoalkan, dihina dan dikritik. Rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja. Sekiranya rakyat mencela raja, maka rakyat tersebut dianggap derhaka. Dalam Sulalatus Salatin, diceritakan bagaimana Raja China yang menerima sembah daripada Sultan Mansur Syah dan sebagai akibatnya, Raja China dijangkiti penyakit gatal. Jadi, bagi menghilangkan penyakit kedal itu, Raja China perlu meminum, membasuh muka dan mandi dengan air basuhan kaki Sultan Mansur Syah. Setelah itu, barulah penyakit tersebut boleh hilang. Selepas penyakitnya hilang, maka Raja China berpesan kepada segala keturunannya agar tidak memandang rendah kedudukan raja Melaka.

Maka sembah tabib tua itu, “Tuanku ini tulah, kerana raja Melaka berkirim sembah itu. Jikalau tiada air basuh kaki raja Melaka, tuanku santap dan dibasuhkan muka tuanku yang kedal anjing itu, tiadalah akan sembuh penyakit tuanku ini.”

(Sulalatus Salatin, 2010:136)

Maka titah raja China, “Segala anak cucu kita jangan lagi berkehendak disembah raja Melaka datang kepada anak cucu raja Melaka, kadar muafakat berkasih-kasihan jua.”

                                                          (Sulalatus Salatin, 2010:137)

Sulalatus Salatin juga membentangkan asal usul keturunan raja-raja Melayu. Salasilah itu penting untuk diketahui oleh generasi baharu sebagai suatu lambang keunggulan raja-raja Melayu yang berasal daripada keturunan manusia yang agung dan berkuasa dalam sejarah zamannya. Yang jelas, Sulalatus Salatin memaparkan Raja Suran dan anak-anaknya dijuraikan daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain

Maka Nila Pahlawan pun berceritalah seperti ceritera ayahnya kepada Raja Aktabul’l-Ard. Segala hikayat Raja Iskandar beristerikan anak Raja Kida Hindi, dan peri Raja Suran masuk ke dalam laut, dan peri duduk dengan bondanya beranakkan baginda ketiga bersaudara itu, semuanya dihikayatkannya kepada Wan Empuk dan Wan Malini. Maka kata Wan Empuk, “Apa alamatnya seperti kata tuan hamba itu?” Maka sahut Nila Pahlawan, “Mahkota kami ketiga inilah alamatnya; serta padi habis berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa, dan tanah negara bukit ini menjadi seperti warna keemasan-emasan. Jikalau empuk tiada percaya, pandanglah alamat kami, anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain; pancar Sulaiman alaihi s-salam.”

(Sulalatus Salatin, 2010:21-22)

Bagi menggambarkan pemerintah yang kuat dan digeruni oleh pemerintah daripada kuasa besar yang lain, raja Melayu harus diberikan kuasa yang luar biasa. Maka itu, pengarang Sulalatus Salatin menyelitkan unsur mitos sebagai lambang kekuasaan dan kebesaran raja. Walau bagaimanapun, pengarang Sulalatus Salatin memperlihatkan kebesaran, kekuatan dan keagungan raja Melayu berdasarkan iman mereka kepada Allah SWT, bukan bersandarkan usul mitos semata-mata. Maka itu, dalam Sulalatus Salatin kerajaan Melayu itu terdapat golongan tertentu yang pandai ilmu agama dan ilmu dunia, seperti terdapat watak nabi, makhdum serta bijak pandai dalam ilmu batin. Malah, Raja Iskandar Zulkarnain digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang beragama Islam.

A’lam ketahui olehmu, pada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya; sekali persetua baginda berjalan hendak melihat matahari terbit, maka baginda sampai pada suatu bi’at, negeri Hindi. Maka ada seorang raja di tanah Hindi, terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu dalam tangannya; namanya Raja Kida Hindi. Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. Setelah sudah kampung semuanya, maka dikeluarinyalah oleh Raja Kida Hindi akan Raja Iskandar; maka setelah bertemulah segala rakyat antara kedua pihak itu, lalu berperanglah, teralahlah Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan hidupnya Raja Kida Hindi itu; maka disuruhlah oleh Raja Iskandar membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi Ibrahim Khalilu ‘llah ‘alaihi s-salam.

                                                                      (Sulalatus Salatin, 2010:4)

Menyebut nama Raja Iskandar Zulkarnain pula, dalam Sulalatus Salatin memang jelas dikisahkan asal usul raja-raja Melayu yang dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain, yakni raja besar bangsa Yunani dan beragama Islam.

“A’lam ketahui olehmu, kepada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Durab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya…”

                                                         (Sulalatus Salatin, 2010:4)

Jelas bahawa Islam merupakan agama yang kuat dan menjadi simbol kekuasaan dan kedudukan raja-raja Melayu-Islam. Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang menjadi sumber kekuatan dalam rangka berhadapan dengan musuh. Untuk berhadapan dengan senjata dan kekuatan musuh, maka orang Islam bukan sahaja perlu dilengkapi dengan senjata, tetapi turut dilengkapkan dengan ilmu selain memohon pertolongan daripada Allah SWT. Kemenangan Raja Iskandar Zulkarnain berlawan dengan kerajaan Raja Kida Hindi dan mengajaknya memeluk agama Islam menggambarkan kehebatan pemimpin yang beragama Islam.

Berdasarkan salah satu ciri sebagai sebuah karya agung bagi sesebuah teks seperti yang ditetapkan oleh Yayasan Karyawan, iaitu lambang dan pesanan yang hendak disampaikan oleh pengarangnya jelas menunjukkan Sulalatus Salatin sebagai teks untuk kelangsungan sesebuah kerajaan Melayu. Malahan kemasyhuran kerajaan dan kekuatan raja yang memerintah pada masa dahulu dilihat sebagai benteng kekebalan dan ketahanan kerajaan dan pemerintahan beraja pada masa ini.

Lantaran itulah, kedaulatan Seri Teri Buana yang berzuriat jurai keturunan raja-raja Melayu perlu diserapkan dalam peribadi raja-raja pada masa ini bagi mengekalkan kesetiaan rakyat kepada golongan pemerintah. Selain itu juga, lambang tersebut juga bertindak sebagai suatu penegasan tentang kedaulatan, ketuanan dan kekuasaan raja-raja Melayu. Misalnya, apabila raja-raja Melayu diperakui dan dipercayai mempunyai daulat dan ditambah dengan kepercayaan bahawa raja-raja Melayu ialah keturunan Raja Iskandar Zulkarnain, maka kedudukan raja-raja Melayu kekal teguh dan berdaulat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.