16 Januari 2023, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menerusi artikel berjudul “Rejang: Misteri di Sebalik Puisi Tradisional dan Sistem Kalendar Masyarakat Melayu” yang diterbitkan dalam eTunas Cipta, ruangan “Seri Pusaka” pada 22 November 2022, penulis telah memperkenalkan rejang sebagai penaakulan kalendar orang Melayu, merujuk pada penemuan lukisan dan teks asal rejang yang disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Teks asal rejang disimpan di PNM sebagai bahan nadir dan ditandakan dengan nama perkiraan baik buruk, petua dan azimat. Di samping itu, artikel tersebut juga menerangkan perbezaan antara rejang yang ditemukan di PNM dengan teks rejang yang menjadi puisi tradisional Melayu, tetapi masih seputar kisah atau nama haiwan merujuk kiraan haribulan.

Rejang seolah-olah sudah menjadi asing dalam korpus masyarakat walaupun telah hubung kait rejang meliputi sejarah sistem tulisan yang dikenali sebagai aksara rejang, Sungai Rejang dan tari rejang yang menjadi tradisi dalam suku kaum Bidayuh di Sarawak. Walau bagaimanapun, keakraban rejang dengan haiwan tetap terserlah, menyebabkan meskipun terdapat perbezaan, masih ada hubung kait yang berlegar dalam fikiran.

Menyentuh perihal aksara rejang yang digunakan dalam rumpun Austronesia, dari sudut geografi, rumpun itu berpusat di Bengkulu, Provinsi Sumatera. Bengkulu merupakan sempadan yang menghubungkan Sumatera Barat dan Sumatera Selatan. Beberapa penemuan telah membuktikan bahawa tradisi Rejang juga berasal dari tempat yang sama.

Berdasarkan temu bual bersama dengan Profesor Dr. Arono dari Universitas Bengkulu yang diadakan pada 22 Oktober 2021, beliau mengatakan,

Di Bengkulu, rejang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu sistem tulisan dan budaya. Sistem tulisan inilah yang membuktikan kita serumpun, manakala budaya rejang pula disampaikan melalui tembang daripada syair dan pantun.

Temu ramah bersama dengan Dr. Sarwit Sarwono pada 22 Oktober 2021, memperlihatkan bahawa yang juga dari Bengkulu turut mengabsahkan penyataan tersebut.

Rejang atau rejung ditembangkan menggunakan syair dan pantun untuk memberikan nasihat. Ketika masyarakat bertemasya atau bergotong-royong, rejang itu akan ditembangkan. Pantun dan syair berkisar tentang alam sekitar, binatang, pesan amanat, kisah legenda, kisah masyarakat dan sebagainya.

Selain itu, Profesor Dr. Arono turut menyebut,

Di Bengkulu, akhirnya untuk membezakan tulisan dan budaya, tulisan dikekalkan dengan panggilan rejang, manakala budaya rejang telah disebut sebagai rejung.

Hasil daripada temu bual tersebut menunjukkan terdapat persamaan antara masyarakat Bengkulu yang majoritinya Melayu, dengan rejang yang terdapat di Malaysia. Hasil pertemuan dengan Profesor Dr. Nurhayati dari Universitas Srwijaya yang diadakan pada 22 Oktober 2021, beliau menyatakan,

Di daerah Sumatera Selatan, iaitu Palembang juga ada sastera tutur bernama Tadut Rejung yang diiringi dengan petikan gitar. Tadut Rejung menyampaikan rukun Islam secara menembang (mendendangkan atau menyanyikan), dan disampaikan secara beramai-ramai oleh masyarakat dalam temasya atau keraian.

Memetik Jurnal Penelitian Pendidikan, Universitas Pendidikan Indonesia, Fadhilah Hidayatullah menulis,

Rejung merupakan kesenian yang berkembang pada seputaran wilayah rumpun Besemah. Kesenian ini dinyanyikan menggunakan syair pantun dalam bahasa dialek Semende. Rejung memiliki nilai kearifan lokal yang terdapat pada isi daripada masing-masing pantunnya. Dalam lagu terdapat syair dan irama, syair yang berbentuk pantun, sedangkan irama terdapat susunan nada yang pola. Masyarakat Semende umumnya mengenali rejung dengan kata ‘berejung’ yang dimaknakan dengan menunjukkan kegiatan yang sedang menembangkan pantun Semende.

Kedudukan etnik Semende ini di Desa Tanjung Bulan, Pulau Beringin, Sumatera Selatan, Indonesia. Rejung ditulis dalam bentuk pantun, tetapi disampaikan dalam dialek Semende. Secara kebiasaannya, bunyi rima belakang dengan sebutan e pepet, sebagaimana bahasa Melayu Riau. Struktur tersebut didapati bersamaan dengan sebutan masyarakat Melayu di Malaysia, khususnya di negeri Johor dan Melaka.

Begitu juga apabila rejung disampaikan melalui syair dan pantun, rejung memperlihatkan keakraban budaya serumpun Melayu Nusantara. Merujuk petikan tersebut, rejung turut dikatakan mempunyai susunan nada yang berpola. Hal ini menunjukkan bahawa lagu rejung mempunyai irama tersendiri yang menjadi kepunyaan bersama masyarakat.

Di Malaysia, teks rejang mempunyai lima baris dalam satu rangkap, selain memiliki pola irama tersendiri. Dari aspek kedekatan rejang yang berada di Malaysia dengan korpus rejang (rejung) dalam kebudayaan Nusantara, dapat dikatakan bahawa fungsi rejang atau rejung ini sememangnya bertujuan untuk menyampaikan falsafah, adat, tatacara dan pesan amanat.

Yang membezakannya adalah falsafah yang terikat dengan unsur binatang, sementelahan ada juga yang telah longgar daripada fabel ritual, yang dilihat sebagai suatu proses asimilasi sosiologi mengikut keperluan hidup masyarakat. Pokok pangkalnya, kesenian Melayu Nusantara ini terikat dengan teknik lisan, ditembangkan atau dinyanyikan.

Memetik tulisan Zainal Abidin Ghaffar dalam buku bertajuk Struktur Sastra Lisan Serawai (1991),

Rejung ialah jenis puisi Serawai yang kalau dilihat daripada pola sampiran dan isinya, hampir sama dengan pantun. Akan tetapi, jumlah baris rejung jauh lebih banyak daripada pantun. Rejung biasanya ditampilkan sebagai selingan tarian adat pada suatu pesta perkahwinan. Tarian itu diselingi dengan rejung ‘pantun’ yang diucapkan oleh muda mudi yang tidak ikut menari.

Takrifan Zainal Abidin Ghaffar ini bertepatan dengan rejang yang ada di Malaysia, iaitu struktur rejang itu berdekatan dengan pantun, tetapi barisnya melebihi satu baris daripada baris pantun. Rima rejang pula dilihat bersamaan atau mempunyai keakraban dengan rima pantun.

Ding Choo Ming, mantan profesor dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyebut bahawa rejang berasal dari Tanah Jawa. Hasil temu bual bersama dengan beliau pada 13 Oktober 2021, beliau mengatakan,

Rejang ini disampaikan pada asalnya menerusi puisi Jawa. Tradisi itu sampai dalam kalangan masyarakat Melayu Nusantara hasil daripada pergerakan maritim dan perdagangan.

Bambang Nursinggih, seorang pengamal tradisi geguritan dari Yogyakarta memperakui bahawa telah berlaku asimilasi antara Jawa dengan Bengkulu. Menurut Bambang Nursinggih dalam temu bual pada 15 Jun 2021, beliau mengatakan.

Telah berlaku perpindahan masyarakat Jawa ke Bengkulu sekitar tahun 1908-1941. Ketika itu migrasi berlaku secara besar-besaran kerana Belanda menjadikan mereka kuli kontrak. Pun begitu, sebelumnya lagi telah berlangsung percampuran tradisi kerana perdagangan. Disebabkan itu geguritan turut berada di Bengkulu dan Rejung turut berada di Jawa, malah ada geguritan yang menyebut-nyebut rejung dalamnya.

Dalam Bahasa, Sastra, Budaya: Ratna Manikam Untaian Persembahan kepada Prof Dr. P.J Zoetmulder (1985) mengatakan,

Pada umumnya, bahasa yang dipakai dalam geguritan ialah bahasa Bali Kepara. Jenis sastra kakawin termasuklah geguritan, lazimnya ditulis pada daun lontar, yang menurut orang Bali, disebut ental.

Kemudian, William Augustus Collins (1998) telah menghimpunkan sutu geguritan atau guritan yang menyebut perkataan Rejang, seperti yang dikatakan Bambang Nursinggih. Berikut merupakan petikan daripada  The Guritan of Radin Suane: A Study of the Basemah Oral Epic from South Sumatera:

 

Sibang kendakku dik dilarang

Sibang kucite tentu bubus

Turunkah rejung Binti Kelam

Tunggangan badan selame

 

Terdengar pada ceritenye

Ndamping ki rejung Binti Kelam

Tapi di dalam ceritean

Alangkah indah rejung namenye

 

Ngape nian Radin Suane?

Kusuk-kusuk jembale rejung

Mane tutur Radin Suane?

‘Ui, ndelah rejung Binti Kelam

Jangan takut jangan penakut’

Cukah pikirkan suli dengan

Mpai setarap sepenginang

Senampur sejerang tulah

Petikan teks tersebut memperlihatkan asimilasi etnik yang kuat. Radin atau Raden Suane merupakan watak dalam kebudayaan Jawa, sementelah perkataan rejung dinyatakan dalam teks tersebut. Rejung pula berasal daripada bahasa Rejang dari Bengkulu, tetapi teks sastera tutur atau sastera lisan ini merupakan bahasa Basemah, bukan bahasa Jawa, sedangkan geguritan merupakan milik kebudayaan Jawa. Basemah pula merupakan subcabang daripada bahasa Melayu, dikenali sebagai bahasa Melayu Basemah, daripada rangkaian Austronesia dan rumpun bahasa Melayu Melayik.

Bahasa Melayu Basemah ini dituturkan di provinsi Sumatera Selatan dan Bengkulu. Jika diteliti semula pengenalan awal, Rejang juga merupakan aksara daripada rumpun Austronesia, berpusat di Bengkulu, sama seperti bahasa Melayu Basemah, iaitu bahasa yang digunakan dalam petikan teks di atas. Di sinilah terletaknya cerminan asimilasi budaya yang kuat antara Melayu Bengkulu, Rejang, Geguritan dengan masyarakat Jawa.

Teks tersebut mengisahkan Radin Suane yang berkelana susulan kecewa dengan sikap ayahandanya, seorang raja beristeri tujuh yang kejam. Teks tersebut dipercayai sering menjadi wadah untuk menyindir golongan politik. Dari sudut struktur teks tersebut pula, dapat dilihat penggunaan sebutan e pepet, dengan pola penulisan pantun. Sungguhpun demikian, terdapat juga rangkap panjang yang tidak memperlihatkan unsur pantun, syair, mahupun rejang itu sendiri.

Jika dilihat, terdapat unsur dialog pada rangkap yang lebih panjang. Berikutan itu, dapat disimpulkan bahawa rangkap tersebut didasari pola penceritaan yang emotif, menyebabkan wujudnya rangkap tidak terikat.

Di Indonesia, rejang atau rejung seterusnya telah berkembang menjadi sebuah pertunjukan. Hal ini dinyatakan oleh Yanti Sariasih menerusi Teori dan Kajian Tembang Batanghari Sembilan (2021).

Pertunjukan pantun dipengaruhi oleh empat unsur iaitu tukang rejung, penonton atau pendengar rejung, konteks pertunjukan, dan pesan dalam pertunjukan rejung.

Dalam konteks pertunjukkan itulah yang menyebabkan pantun rejung berubah, iaitu pada zaman dahulu didasari kisah alam sekitar, ritual dan binatang, tetapi kini semakin moden mengikut konteks keperluan rejung yang menegur kelompok masyarakat dalam aktiviti seharian. Yanti Sariasih (2021) turut menyebut,

Kehidupan sastra lisan masyarakat mengalami perubahan sesuai dinamika kehidupan masyarakat pemiliknya.

Setakat hubung kait dalam korpus Nusantara ini, dapat dilihat rejang memiliki banyak asimilasi budaya, tetapi masih berkaitan dengan pesan amanat dan penceritaan haiwan dalam memerihalkan pedomannya. Hal ini berikutan perkongsian budaya yang berlaku dalam konteks kehidupan masyarakat Melayu Nusantara. Cuma bezaannya, di Indonesia, kebudayaan ini berkembang tetapi keasliannya semakin longgar, sementelahan di Malaysia, rejang pupus dan tidak dikembangkan.

Pun begitu, disebabkan rejang tidak mendapat tempat dalam kebudayaan hari ini, menyelidik keasliannya lebih mudah daripada mencari keaslian yang telah longgar. Usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka harus dipuji kerana giat mengkaji serta memperkenalkan semula rejang kepada masyarakat sejak tahun 2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.