Oleh Roslan Jomel
12 Januari 2023, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengalaman peribadi semasa mengunjungi pesta buku sejak kebelakangan ini sering menimbulkan pelbagai persoalan. Pergi atau tidak, sama sahaja. Hal peniaga yang berjual tilam angin, bantal kekabu dan jus kesihatan abaikan sahaja. Jika pesta buku itu bertemakan antarabangsa, sejauh manakah nilainya untuk mengangkat standard pesta buku tersebut?

Adakah memadai apabila ahli panel yang menerima undangan dari beberapa buah negara dan berdiskusi dalam bahasa Inggeris untuk menyerlahkan imej antarabangsanya kepada pengunjung?  Di manakah buku antarabangsa yang diangkut khas ke acara tersebut?  Jika sekadar lima dan tujuh buah sahaja dipamerkan, hal ini tidak lebih daripada komedi tragedi buat pengunjung.

Pesta buku sewajarnya menganjakkan piawainya lebih daripada sekadar mempromosikan buku, pengarang dan rumah penerbitan. Selain itu, pesta buku bukan sekadar magnet sosial untuk memborong buku. Agak menyedihkan jika acara sebegitu disamakan dengan senario di pasar. Sudah tentu ada perbezaan ketara antara pasar buku dengan pesta buku.  Bila-bila masa sahaja kita boleh mengunjungi jualan buku, contohnya, di Pasar Buku Bangi, Big Bad Wolf atau di mana-mana sahaja kedai buku yang semakin rancak ditubuhkan oleh usahawan generasi baharu.

Pada masa sekarang, sesiapa sahaja yang berhajat untuk mendapatkan buku, boleh sahaja memesan melalui Book Depository, Lazada atau Shoppe, misalnya. Lalu untuk apakah diadakan pesta buku sekiranya buku yang dipamerkan boleh didapati melalui Internet?

Jujur sahaja, para pempamer yang menyertai acara kesusasteraan atau pesta buku, berskala kecil atau mega, menginginkan produk mereka laris sebagaimana yang disasarkan. Pesta buku merupakan aktiviti perniagaan, selain untuk menyebarkan bahan bacaan bermutu demi memandaikan bangsa. Alangkah ruginya jika pelbagai tajuk buku yang sudah dan bakal dicetak, misalnya, karangan pemikir/sasterawan terkenal, masih berlonggok di dalam stor.

Tidak seperti makanan yang terhad pada tempoh tertentu, bimbang beracun dan mendatangkan penyakit, sebaliknya kandungan buku melepasi zaman dan tidak pernah basi kepada pemikiran. Namun demikian, mungkin, daya beli buku (selain buku teks) dalam kalangan masyarakat kita belum mencapai tahap yang boleh menguntungkan para penerbit buku.

Apakah solusi untuk menyelamatkan buku daripada diliputi debu dan dijadikan tempat untuk komuniti lipas bersembunyi? Adakah akan ada jualan secara lelong, RM1 untuk sebuah buku yang memenangi hadiah sastera bertaraf kebangsaan? Dilonggokkan di atas kayu palet dengan diskaun tidak masuk akal. Kejadian sebegitu sudah berlaku dan akibatnya tular dan mula berdebat dengan nada pedas dalam kalangan penulis di media sosial.

Hanya pemain industri perbukuan sahaja yang memiliki kunci jawapan terhadap isu tersebut. Para pengumpul koleksi buku langka memang menunggu peluang sebegitu. Kelak beberapa tahun akan dijual secara dalam talian dengan harga berlipat kali ganda daripada harga asal.

Dialog yang boleh dibayangkan mungkin berbunyi negatif. Tergamaknya mereka. Kapitalis sungguh. Jelas sekali mereka gagal dalam mempromosikan buku kepada masyarakat. Sudah tentu ada pendekatan lain yang lebih berbudaya. Maruah dan kredibiliti pengarang dan karyanya telah direndahkan separas buku lali. Adakah benar seperti yang didakwa? Ada pro dan kontranya. Namun inilah realiti kehidupan. Sama ada pesta buku atau pasar buku, objektifnya hampir sama. Letaklah tema yang muluk bersalut jargon intelektual.

Bagaimanakah jika stok buku yang dianggap bermartabat tinggi itu tidak dijual? Berapakah tempoh masa harus disimpan (mereput) dari tahun ke tahun di dalam stor? Adakah mereka yang bising tentang isu di media sosial pernah membeli buku pengarang terhormat sebelum itu?

Isu meruntuhkan prestij dan citra pengarang besar, itu perkara lain. Saya maklum, tiada siapa yang berkenan apabila melihat buku karangan Sasterawan Negara dijual semurah harga keropok makanan kanak-kanak di pesta buku. Para pengarang sudah tentu mengharapkan jualan buku mereka mendapat sambutan positif yang kemudiannya mengalirkan jumlah royalti lumayan.

Begitu jugalah harapan kepada pihak penerbit yang mengeluarkan kos merealisasikan manuskrip menjadi buku, berpindah kepada pemilik sebanyak mungkin, lalu menghidupkan jangka hayat rumah penerbitan. Mahu tidak mahu, buku-buku perlu dijual dengan apa-apa sahaja kaedah sekali pun. Itulah matlamatnya. Apa-apa pun, buku harus sampai kepada masyarakat.

Hanya orang yang benar-benar meminati buku sahaja yang sanggup berhabis duit untuk mendapatkan bahan bacaannya. Memiliki buku tidak sama nilainya dengan sepasang seluar jean langka yang harganya berpuluh-puluh ribu. Situasi tersebut bukan simbol ketinggian status dalam kalangan masyarakat. Hanya golongan pengarang sahaja yang mengerti betapa mustahaknya industri perbukuan menerbitkan bahan bacaan yang bermanfaat sepanjang zaman. Diberi secara percuma kepada setiap pengunjung ke pesta buku?

Perkara tersebut tidak sepatutnya terjadi. Hal demikian dilihat hanya memanjakan masyarakat sedangkan proses penulisan seumpama mendaki gunung. Kerja menulis itu, kerja paling sunyi di dunia. Adik-beradik, saudara-mara terdekat dan masyarakat luar, tidak berasa ingin mengambil tahu apa-apa perihal sastera dan keperluannya.

Jika seseorang sanggup membeli pakaian yang harganya relatif mahal, lalu mengapakah berkira untuk mendapatkan bahan bacaan bermanfaat untuk keluarga? Hal tersebut mengingatkan saya tentang esei yang ditulis oleh YBhg. Tan Sri Johan Jaafar dalam majalah Dewan Sastera berpuluh tahun lalu berkenaan dengan keghairahan seorang cucu untuk mendapatkan sepasang kasut sneaker berjenama antarabangsa berbanding dengan memiliki buku karangan Sasterawan Negara.

Saya juga teringat kembali dengan teguran seorang rakan penulis yang tidak gemar dengan budaya percuma dalam kalangan sesama penulis. Tidak bolehkah kita menyokong aktiviti penulisan dengan mengeluarkan wang dari dompet sendiri untuk menghargai kerja kepengarangan mereka yang diterbitkan secara mandiri? Hadiah dan anugerah bukan selalu ada pada setiap hujung minggu.

Demikian juga buat golongan penulis yang dahagakan bacaan baharu demi meluaskan lagi perbendaharaan ilmu, tesaurus dan kosa kata. Ilmu tidak datang bergolek kepada sesiapa. Inilah kesempatan untuk menyebarluaskan terbitan baharu dan sudah tentu ingin meraih keuntungan daripada acara yang ditunggu-tunggu oleh para peminat buku.

Budaya membaca dalam negara kita belum merosot. Memang ada yang mengatakan tahap pembacaan rakyat kita lebih rendah berbanding dengan negara seperti India, China dan Thailand, misalnya. Sama ada jurusan ilmiah atau fiksyen. Dan sebagaimana tuntutan fasiliti semasa, urusan kehidupan memerlukan transaksi – bayaran sewa reruai, upah kepada pekerja dan kewajiban asasi yang lain. Para pempamer buku bukan datang sekadar bersuka-suka walaupun bunyinya ialah pesta. Persaingan untuk memancing pembeli juga menuntut strategi perniagaan yang harus melepasi garisan margin keuntungan yang disasarkan.

Sewaktu melangkah masuk ke mana-mana tempat pesta buku, pengalaman peribadi tidak berbohong. Di dalam pusat membeli-belah atau di pinggiran jalan raya yang sibuk. Luas atau sempit ruangan, itu aspek lain. Sama ada pesta buku itu 100 peratus mempamerkan sejumlah buku atau diselitkan jualan sampingan untuk sama-sama meraih sumber pendapatan.

Jangan lagi bertanya, mengapakah perlu ada gangguan daripada ejen bermulut manis penasihat rumah tangga, penjual kad kredit atau tudung manik-manik di pesta buku? Adakah perlu mereka menempel? Adakah hal itu sedikit sebanyak menjengkelkan para pengunjung buku yang benar-benar serius dengan tujuannya? Sekarang tidak lagi. Namun demikian, itulah suasana atmosfera di pasar yang berorientasikan keuntungan. Pemuzik dan penyanyi dijemput untuk menghiburkan para pengunjung yang belum puas dengan pembeliannya.

Sememangnya ada program seperti diskusi buku dengan mengundang tokoh cendekiawan atau selebriti untuk memperkatakan kandungan dan gagasan para pengarang. Itulah detik yang ditunggu-tunggu oleh audiens. Tidak sepenuhnya sekadar menjual buku semata-mata atau sesi tanda tangan oleh penulis. Tidak salah bersikap popular dalam hidup yang semakin tidak keruan.

Maka itu, pelbagai kaedah dan promosi agar reruai mereka menjadi perhatian pengunjung. Di situlah akan dinilai, karakter pembeli dalam menentukan cita rasa dalam memilih bahan bacaan. Adakah suatu yang memalukan apabila membaca novel ringan buat golongan pembaca remaja? Adakah membaca buku yang agak “tinggi” melambangkan darjat kecerdikan seseorang itu melalui sikap dan pemikirannya?

Pesta buku mahupun pasar buku akan terus diadakan walaupun tampuk pemerintahan bertukar ganti. Jangan selalu bersandar kepada orang politik dalam urusan keilmuan. Kecil atau ekstravaganza, hanyalah saiz. Bernuansa antarabangsa atau domestik, tidak menjadi hal besar. Pencinta buku dan pedagang buku akan sentiasa dipertemukan lagi di dalam dewan, gudang atau di tepi jalan.

Di situlah masyarakat turut bersama-sama melaburkan sejumlah wang dan pastinya memanjangkan kelangsungan hayat sesebuah rumah penerbitan. Pesta atau pasar, buku tidak mempedulikan pertembungan isu itu selagi dibeli oleh buruh kasar, pencuci tandas, pensyarah, pegawai kerajaan, atlet sukan dan seniman jalanan serta ahli falsafah sengkek.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.