12 Januari 2023, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jalur perkembangan kesusasteraan di Malaysia seperti mana negara lain adalah amat panjang sekali. Bermula dengan tradisi lisan yang berpusat kepada rakyat dengan wujudnya pelbagai genre sastera rakyat atau foklor. Apabila masyarakat Melayu mula memperoleh kemahiran literasi, muncul pula sastera tulisan yang berpusat di istana, yang mana memperlihatkan kerancakan penghasilan genre sastera sejarah ataupun historiografi. Kemudian, kemasukan mesin percetakan di Tanah Melayu telah mengupayakan genre moden yang mendapat pengaruh daripada Barat mula berkembang. Misalnya, lahir genre novel, cerpen dan sajak dengan begitu prolifik hingga hari ini.

Meskipun begitu, harus diketahui bahawa perkembangan itu tidaklah terhenti di situ sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, kehadiran teknologi komputer dan Internet pada 2000-an telah melahirkan genre baharu yang penuh dinamik, iaitu kesusasteraan elektronik. Namun demikian, di Malaysia perkembangannya boleh dikatakan agak perlahan jika dibandingkan dengan negara Barat. Genre ini kurang diberikan perhatian sama ada dalam bentuk kajian atau pengajaran. Hal ini mungkin berlaku kerana kekurangan tenaga pakar melibatkan kesusasteraan elektronik dan kurangnya fahaman yang jelas tentang definisi kesusasteraan elektronik itu sendiri.

Maka itu, molek kiranya dalam ruangan ringkas ini kesusasteraan elektronik diberikan penjelasan mengenainya. Menurut Hayles (2008), kesusasteraan elektronik boleh didefinisikan sebagai,

Electronic literature, generally considered to exclude print literature that has been digitized, is by contrast ‘digital born’, a first-generation digital object created on a computer and (usually) meant to be read on computer.

Hal ini bermaksud, kesusasteraan elektronik merupakan bentuk kesusasteraan yang menolak atau mengecualikan karya sastera bercetak yang didigitalkan. Karya sastera harus dihasilkan secara digital menggunakan komputer dan dibaca melalui komputer sahaja. “Electronic literature is a form of literature that started to appear with the advent of computers and digital technology. It is a digital-oriented literature, but the reader should not confuse it with digitized print literature. Electronic literature is a new object of study that can be approached from diverse disciplines.” (Rosario, Meza dan Grimaldi, 2021).

Ternyata bahawa kesusasteraan elektronik itu adalah satu bentuk sastera yang mula muncul dengan adanya komputer dan teknologi digital. Kesusasteraan elektronik sememangnya berorientasikan digital, tetapi khalayak tidak boleh mengelirukannya dengan kesusasteraan cetakan digital seperti buku elektronik. Bahkan, kesusasteraan elektronik dikatakan sebagai satu objek kajian baharu dan merentas disiplin.

Kesusasteraan elektronik harus meneroka penulisan dalam media elektronik dan digital yang menyepadukan, komputasional, integrasi multimedia, interaktiviti antara khalayak dengan komputer merentas pelbagai peranti, rangkaian dan budaya digital itu sendiri. Berdasarkan pandangan sarjana tersebut, kesusasteraan elektronik boleh dirangkumkan seperti yang berikut.

  1. Karya moden berpusatkan teknologi komputer, Internet dan budaya digital.
  2. Lahir secara digital dan bersifat digital sepenuhnya.
  3. Pembacaannya melalui komputer atau pelbagai peranti lain yang bersesuaian.
  4. Mengintegrasikan pelbagai elemen multimedia (teks, audio, video, grafik.
  5. Bersifat interaktif.
  6. Melibatkan rangkaian digital dan Internet.

Selain itu, ditegaskan bahawa karya kesusasteraan bercetak yang didigitalkan tidak boleh dikategorikan sebagai kesusasteraan elektronik. Hal ini dikatakan demikian kerana, karya tersebut tidak dihasilkan untuk pembacaan secara digital sepenuhnya. Dalam erti kata lain, kesusasteraan elektronik tidak boleh wujud dalam dua versi, iaitu bercetak dan elektronik. Kesusasteraan elektronik harus berbentuk digital sepenuhnya dan memiliki ciri-ciri lain yang telah dinyatakan.

Bahkan, buku elektronik juga tidak dianggap sebagai kesusasteraan elektronik kerana buku masih memiliki ciri-ciri kesusasteraan konvensional dan juga tidak mengintegrasikan pelbagai elemen multimedia. Di samping itu, harus diingat bahawa walaupun kesusasteraan elektronik ini bersifat terbuka yang mana sesiapa sahaja boleh berkarya, mutu penghasilan karya haruslah dititikberatkan.

Setakat hari ini, boleh dikatakan terdapat lima subgenre kesusasteraan elektronik yang mendapat perhatian di Barat. Puisi Kinetik (Puisi pergerakan menggunakan grafik).

  1. Puisi Video
  2. Fiksyen hiperteks
  3. Lokatif Naratif (Cerita berasaskan lokasi dan aplikasi telefon pintar)
  4. Cereka interaktif/permainan video

Kelima-lima subgenre ini perlu diterokai oleh penulis muda tempatan agar perkembangan kesusasteraan elektronik di Malaysia memperlihatkan kemajuan seiring perkembangan teknologi semasa. Namun demikian, timbul persoalan bagaimanakah karya kesusasteraan elektronik ini dapat diterbitkan? Siapakah pula yang akan bertanggungjawab untuk mengkatalogkan karya ini supaya dapat menjadi rujukan pada masa hadapan seperti mana perpustakaan menyimpan khazanah karya kesusasteraan kita selama ini? Usaha membangunkan laman sesawang sendiri seperti yang dilakukan Electronic Literature Organizaion (ELO) bukannya mudah dan menuntut kewangan yang tinggi. Siapakah yang boleh membiayainya?

Persoalan tersebut terjawab sewaktu acara pertemuan penulis muda wilayah utara bersama dengan majalah Tunas Cipta. Antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan kesusasteraan elektronik yang kurang mendapat perhatian di Malaysia. Maka itu, antara cadangan diutarakan ialah menjadikan pelantar e-Tunas Cipta sebagai “pusat” perkembangan kesusasteraan elektronik. Perkara ini sebenarnya sudah pun dilakukan oleh pihak e-Tunas Cipta dengan menerbitkan puisi kinetik berjudul “Lautan Jiwa” karya Hasanah Asaini dan Nurhusna Mohd Ghazali pada 24 September 2022.

Maka itu, usaha ini harus diteruskan lagi oleh sidang editor  e-Tunas Cipta dengan menerbitkan pelbagai karya kesusasteraan elektronik yang memenuhi ciri-ciri seperti yang telah dinyatakan. Sidang editor e-Tunas Cipta juga harus menyediakan ruangan/pautan khas kesusasteraan elektronik. Namun demikian, harus diketahui bahawa pelantar e-Tunas Cipta hanya sesuai untuk penerbitan subgenre puisi kinetik dan puisi video. Subgenre lain masih memerlukan pembangunan aplikasi yang lebih kompleks.

Penulis muda harus mengambil kesempatan ini dalam giat menghasilkan karya kesusasteraan elektronik. Jika tidak, selama-lamanya golongan sastera dikatakan ketinggalan dan tidak lagi relevan dalam arus globalisasi semasa. Perihal ini juga sama sekali tidak menafikan genre terdahulu yang masih berpasak utuh fungsinya tetapi perlunya khalayak meraikan kehadiran kesusasteraan elektronik yang wujud kerana budaya digital yang dijalani oleh semua pada hari ini. Semoga e-Tunas Cipta menjadi pelantar terbaik untuk kesusasteraan elektronik dan rujukan pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.