10 Januari 2023, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pengarah muda, Saiful Wazien menampilkan konsep rumah lut sinar dalam pementasan kali ini “Teater Pokok”.

Kuala Lumpur – Konsep rumah lut sinar yang ditampilkan oleh pengarah muda, Saiful Wazien dalam pementasan “Teater Pokok” ini bertujuan untuk memperlihatkan sisi gelap yang berlaku dalam rumah tangga. Melihat melalui kaca membolehkan penonton nampak dengan jelas kepincangan yang berlaku dalam sesebuah institusi rumah tangga.

Menurut Saiful Wazien,

Rumah lut sinar merupakan magis daripada saya untuk membolehkan penonton melihat apa-apa yang berlaku dalam institusi kekeluargaan. Jika saya membina set rumah kayu, maka akan kelihatan biasa saja. Melalui rumah lut sinar, penonton akan melihat hal baik dan buruk yang berlaku dalam rumah tangga. Bukan itu saja, penonton juga dapat melihat pelakon keluar masuk, menukar baju, berdialog tentang rumah yang daif dan dapat melihat fungsi pokok itu sendiri dalam kehidupan mereka. Selalunya kita melihat aib rumah tangga perlu ditutup, namun kali ini berbeza sekali.

Bertempat di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), “Teater Pokok” karya Tokoh Wartawan Negara, YBhg. Tan Sri Johan Jaafar telah dipentaskan bersempena dengan Festival Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Fakulti Teater ASWARA.

Naskhah ini menampilkan empat orang pelakon. “Teater Pokok” ini sudah beberapa kali dipentaskan antaranya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Disember 2018. Namun kali ini, karya YBhg. Tan Sri Johan Jaafar ini menerima sentuhan baharu dan diolah oleh Saiful Wazien supaya pementasan ini lebih segar. Kongsi beliau,

Saya perlu mengkaji konsep skrip agar saya dapat memberikan nafas dan visual baharu terhadap naskhah ini. Melalui pembinaan set lut sinar, saya sebenarnya mahu membuka aib rumah tangga yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Sebab itulah set rumah yang dibina dapat dilihat melalui kaca. Saya juga tidak mengubah skrip asal melainkan menggantikan latar asal kepada paya bakau.

Walaupun berhadapan dengan cabaran, sinografi ini akhirnya berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pelajar Penilaian Tahun Akhir (PeTA) yang dinilai dari sudut lakonan persembahan.

Sehubungan dengan itu, perkataan “pokok” yang menjadi tunjang kepada naskhah ini turut diambil kira oleh beliau. Bahkan, beliau tidak terikat dengan hanya satu maksud sahaja. Pokok boleh menjadi pelindung, namun pada masa yang sama boleh membinasakan.

Saiful Wazien turut menjelaskan,

Saya melihat naskhah ini mengangkat isu dari semua sudut. Jika menyentuh isu kekeluargaan, maka jalan ceritanya ke arah itu. Jika saya membawa kepada politik, maka jalan cerita berkaitan dengan politik. Pokok ini seperti kitaran hidup, mula dengan akar, tumbuh menjadi besar kemudian mati dan nanti berakar semula. Saya memahami pokok ini dari segala sudut untuk diterjemahkan kepada pelajar supaya dialog mereka lebih bermakna. Saya juga menyerahkan kepada penonton untuk memahami dan mentafsir makna pokok itu sendiri.

Barisan pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan pementasan “Teater Pokok”, karya YBhg. Tan Sri Johan Jaafar.

“Teater Pokok” yang diberikan nafas baharu oleh pengarah muda ini berjaya menyampaikan mesej dan nilai sebenar kehidupan kepada penonton. Saiful Wazien turut berharap agar pemahaman penonton terhadap naskhah ini walaupun hanya 1% yang difahami barangkali boleh mengubah pemikiran dan sudut pandang mereka terhadap kehidupan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.