3 Januari 2023, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedah – Pelajar kursus Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) berasa teruja apabila berpeluang mempelajari teknik penulisan cerpen bersama dengan Hasan Baseri Budiman iaitu penyair, cerpenis, novelis, penulis skrip, pengkritik dan pengulas sastera.

Pertemuan ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada pelajar untuk menghasilkan sebuah cerpen yang baik. Setiap pelajar yang mengikuti kursus SBLS2023 Proses Penghasilan Karya Kreatif wajib menyediakan sebuah cerpen sebagai memenuhi syarat untuk lulus kursus tersebut yang ditawarkan oleh universiti.

Para pelajar yang mengikuti kursus Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia tekun mendengar ceramah tentang penulisan cerpen yang disampaikan oleh Hasan Baseri Budiman.

Pada awal pertemuan, Hasan Baseri mengenalkan kepada pelajar perihal diri beliau, dan bagaimana beliau mula melibatkan diri dalam penulisan sastera. Kata Hasan Baseri,

Untuk menjadi penulis, minat itu harus datang daripada diri sendiri, dan tidak semestinya disebabkan keturunan.

Memulakan  ceramahnya, Hasan Baseri menerangkan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan cerpen. Selain itu, pelajar turut diberikan pendedahan berkaitan dengan struktur, ilham dan idea dalam penulisan cerpen.

Menariknya tentang penjelasan Hasan Baseri, beliau mengatakan,

Saya bukan dilahirkan dengan serba-serbi bijak dalam penulisan. Sewaktu pertama kali saya menulis cerpen, karya saya juga dikritik, malah ada yang mengatakan bahawa karya saya tidak layak untuk diterbitkan di mana-mana penerbitan. Walau bagaimanapun, saya tidak berputus asa, malah saya terus mempelajari dan menerokai hal yang berkaitan dengan penulisan.

Tambahnya lagi,

Menulis cerpen ini bukan sahaja perlu ada minat, tetapi usaha yang dilakukan oleh penulis harus bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Yang beliau perkatakan ini merupakan aspek utama sebelum seseorang itu melibatkan diri sebagai penulis.

Di samping itu, Hasaan Baseri juga memaklumkan kepada pelajar bahawa tema, plot dan watak mestilah dipilih bersesuaian dengan ciri-ciri penulisan cerpen agar karya yang ditulis tidak menyimpang jauh. Yang penting, cerpen tersebut mudah difahami dan dihayati oleh khalayak pembaca.

Dalam sesi soal jawab, ada pelajar bertanyakan kepada Hasan Baseri berkenaan dengan cara untuk menulis cerpen yang baik. Kongsi beliau,

Banyak panduan untuk menulis cerpen agar karya yang penulis tulis dapat diterbitkan di pelbagai platform. Lantaran itu, carilah ilmu penulisan yang banyak supaya dapat membantu kita menjadi penulis yang baik.

Dalam usaha UUM untuk melahirkan lebih banyak penulis muda dalam kalangan pelajarnya, melalui Persatuan KERSANI yang merupakan sebuah persatuan di bawah kursus Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif UUM bakal mengadakan pelbagai program berbentuk ceramah atau bengkel penulisan seperti ini pada masa akan datang. Tujuannya adalah untuk menanam minat pelajar dalam bidang penulisan, dan mengetengahkan bakat sedia ada pelajar dalam bidang ini kepada mana-mana penerbit yang ada di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.