Oleh Nimoiz T.Y.
27 Disember 2022, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Emosi berasal daripada bahasa Latin iaitu emovere yang bermaksud pengacau, pengaduk,   atau   penggerak   untuk   keluar. Emosi merupakan perangsang  yang menyebabkan  seseorang  individu  melakukan  sesuatu  tindakan  demi  memenuhi kepuasan diri. Mereka yang mampu mengawal emosi ialah individu yang cerdas serta  berupaya  mengawal  segala  tindakan  dalam  kehidupan  seharian (Strongman, 2018).

Menyentuh perihal emosi, Sahlan Mohd Saman dalam bukunya yang berjudul Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Puisi (2005) menyatakan,

Puisi adalah peluahan emosi daripada seorang penyair yang berteraskan sesuatu, seperti kajian yang dilihat atau dialaminya, keakrabannya dengan pemerihalan yang disampaikannya serta emosinya pada masa itu. Selanjutnya, Sahlan menyebut bahawa sentimen dan perasaan turut memperkaya apa-apa yang ingin disampaikannya dalam bentuk puisi tersebut.

Interaksi  antara perasaan dengan fikiran adalah penting apabila membuat sesuatu keputusan atau membantu untuk berfikir dengan lebih jelas dan bijak (Manimozhi dan Srinivasan, 2019). Manusia merupakan insan yang dianugerahkan dengan pelbagai jenis perasaan. Antara perasaan yang menyenangkan ialah cinta, sayang, kasih, kagum dan bangga. Emosi atau perasaan yang tidak menyenangkan pula adalah seperti sedih, marah, benci, takut, meluat, hampa dan kecewa.

Seterusnya, perasaan ini akan membawa kepada perubahan kompleks tingkah laku manusia mancakupi elemen fisiologi, perasaan yang subjektif, proses kognitif dan reaksi tingkah laku. Antara ekspresi emosi ialah komponen emosi agresif, komponen emosi biasa dan komponen emosi pasif. Penulis terutama penyair merupakan antara insan yang paling banyak bermain-main dengan emosi dan perasaan. Emosi ini diterjemahkan dalam susunan aksara yang dipanggil sajak. Artikel ini akan melihat emosi dan perasaan dalam sajak yang termuat dalam ruangan “Puisi”, majalah Tunas Cipta Bil. 01 2023.

Senandika merupakan percakapan diri oleh watak. Kebiasaannya, hal ini berlaku dalam drama atau bentuk karya sastera lain. Tujuannya adalah untuk mengungkapkan perasaan, konflik batin, firasat dan sebagainya. Qurratu’aini Husna Mohamad Nazri mengungkapkan perasaan dalaman melalui sajak “Senandika”. Ungkapan seperti sepi, gelap, kaku, lena, duka, durja, sendiri, dan jiwa jelas menunjukkan bahawa beliau sedang dirundung perasaan dalaman yang memuncak.

Konflik dalaman ini berlaku tatkala melihat boneka atau badut yang beraksi di hadapan mata. Namun demikian, sajak ini terlalu peribadi sehingga menjadikan kesan emosi tidak berupaya menusuk dalam jiwa pembaca. Hanya perenggan kedua sahaja yang merujuk pada sebab beliau bersenandika. Yang lain, hanya sekadar bermain-main dengan jiwa.

Dalam sajak, penyair tidak seharusnya bermain-main dengan perasaan yang terlalu mendalam sehingga perasaan dalaman itu mengatasi penulisan dan menjadi aneh. Hal ini akan menjadikan sesebuah sajak kurang sampai kepada khalayak. Ungkapan seperti aku terjaga dari lena, berselimut tragedi bersalut duka, bersarang emosi dalam durja adalah terlalu tragis sehingga menjadikan sajak ini terlalu peribadi sifatnya. Walau bagaimanapun, saya tidak menyatakan sajak ini tidak bagus. Cuma ada ruang penambaikan yang Qurratu’aini boleh mencuba pada masa akan datang.

Lazimnya, orang yang suka bersenandika ini tidak bisu. Konflik dalaman di lubuk jiwa adalah hamburan emosi yang saling bertingkah. Sebagai manusia yang celik mata batin dan melihat orang lain diam sahaja, mungkin ada sesuatu yang dia pendam. Diam seseorang yang bersendirian bukan diam bisu. Namun begitu, diam yang penuh makna. Terdapat gelojak batin yang menggelegak. Persoalan diam yang penuh dengan persoalan ini diungkapkan oleh Edward Solibi dalam sajaknya, “Bukan Diam Biasa”. Beliau mengajak kita menjadi pendiam yang berisi. Sebagaimana diamnya ubi atau padi. Bukan diam dengan gelas yang kosong.

Jika engkau memilih untuk diam,

diamlah dalam diam bekerja keras

diamlah dalam diam ubi berisi

beramalkan adat resmi padi,

makin berisi makin tunduk.

Merantau merupakan sebuah perjalanan sunyi yang menggores jiwa tanpa persediaan rapi. Disebabkan itu, perantau disaran untuk mempersiapkan bekalan dalaman dan luaran. Paling penting, sudah tentu persediaan emosi dalaman untuk berhadapan dengan onak duri cabaran sepanjang kembara. Saranan ini penting supaya emosi sentiasa stabil sepanjang proses pencarian diri. Abdul Aziz Suaidi dalam sajaknya berjudul “Kehidupan di Dunia Ibarat Perantau” mengajak perantau untuk menyediakan diri secukupnya supaya lebih lancar.

Apatah lagi sekiranya perjalanan menuju ke negeri abadi. Siapakah perantau yang dia maksudkan? Mungkin kita yang bernama makhluk, kerana bagi beliau kehidupan di dunia ibarat perantau. Dunia merupakan tempat menyemai benih pahala dan akhirat pula tempat menuai hasilnya. Maka itu, kita perlu mempersiap diri dan melakukan perancangan rapi.

Wahai perantau di atas dunia,

Rancanglah masa dengan sebaik-baiknya,

Sebelum ajal menyingkap mata,

Bertangguh amal, merugikan kita.

Terdapat dua cara pengawalan emosi, iaitu dalaman dan luaran. Aspek dalaman misalnya bersendirian, berfikiran positif, banyak berdoa dan banyak lagi. Aspek luaran pula misalnya berkongsi dengan rakan-rakan, mengambil semangat daripada individu lain yang positif serta sentiasa menggembirakan diri dengan sesuatu yang bernilai. Namun demikian, kadang-kadang perpisahan boleh menjadikan emosi kita jatuh ke lembah. Benar, pertemuan dan perpisahan merupakan lumrah kehidupan. Syarat untuk perpisahan adalah pertemuan.

Walau bagaimanapun, bertemu belum tentu berpisah. Bertemu dan berpisah dengan jiran, sahabat, kekasih dan sebagainya pasti akan meninggalkan kesan perasaan dan emosi yang mendalam. Tambahan pula, sekiranya kita bertemu seseorang yang memiliki kecenderungan yang sama dan saling memahami antara satu sama lain. Sesekali, pertemuan akan menguak pintu sunyi yang muncul di petak kenangan.

Zahid Zaki melalui sajaknya yang berjudul “Pertemuan” bermain-main dengan perasaan dan emosi yang menerobos nurani. Sajak ini hanya sekadar peluahan emosi dan perasaan sahaja. Sajak ini akan lebih bernilai sekiranya perenggan akhir memberikan penutup yang menggugah.

Dalam kenangan

yang menguak pintu sunyi

akan ada ingatan,

rindu dan impian

melangkah masuk meraga kejelitaan.

Bermain-main dengan perasaan adalah bermain-main dengan emosi. Bermain-main dengan emosi adalah bermain-main dengan perasaan. Hal yang sama diungkapkan oleh Ahmad Eidlan dalam sajaknya “Di Lambaian Teman”.

Hidup bagai puisi di dinding kali tujuh

Sebuah dekorasi tentang segala perasaan

Naratif tidak semestinya sempurna

Dalam silap ada keindahan

Namun demikian, judul sajak ini agak tidak selari dengan isi. Mungkin Eidlan perlu belajar dan banyak membaca karya penulis mapan untuk mencari judul sajak yang lebih tepat dan sesuai dengan isi. Sajak ini juga agak longgar dan tidak berapa menusuk ke jantung emosi pembaca. Walau bagaimanapun, kesungguhan untuk terus belajar, saya percaya Eidlan akan lebih meningkat selepas ini. Anggaplah ini sebagai cabaran dan bukannya pematah semangat untuk terus berkarya.

Tingkah laku negatif selalunya dikaitkan dengan masalah emosi yang gagal dikendalikan dengan baik. Zaman remaja merupakan masa peralihan daripada kanak-kanak kepada dewasa yang penuh konflik. Pelbagai jenis masalah seperti perubahan diri, perubahan mental, percubaan dalam hidup dan pelbagai bentuk berlaku pada masa ini (Mahmood Nazar, 2005). Sekiranya tersilap dalam membuat pertimbangan, tingkah laku negatif yang terlalu mengikut perasaan yang menjebakkan remaja terhumban ke lembah kehinaan.

Dosa merupakan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Tuhan. Dalam agama Islam, mereka yang telah melakukan dosa wajib untuk bertaubat. Balasan bagi mereka yang melakukan dosa ialah dibalas dengan seksaan yang pedih. Dalam kehidupan, mereka yang melakukan dosa akan sering dihantui dengan dosa silam. Nor Fadhilah Fauzan mengungkapkan perasaan kesalnya dalam sajak “Dosa”. Sesiapa pun, pasti berasa sesak di dada tatkala mengenangkan dosa silam, sama ada sengaja atau tidak. Namun demikian, penggunaan diksi diriku, aku dan tidakku seolah-olah merujuk kepada dosa sendiri yang sepatutnya dia rahsiakan. Cukuplah sekadar memohon ampun kepada-Nya.

Diriku sudah hanyut dibawa gelora khilaf

Terkadang aku menyoal siapa di balik jasad

Sedar banyaknya tingkah dan dosa

Tidakku sanggup mengerling jarum berdetik.

Supaya tidak terjebak dalam kancah dosa impak terlalu mengikut emosi dan pembawaan perasaan, kita mestilah meletakkan ilmu dan iman di hadapan. Selepas itu, barulah kita mampu berfikir dengan waras dan tidak mudah akur dengan perasaan negatif yang sering berbisik. Secara bijak, Nurul Atira Tonya mengajak pembaca untuk sama-sama berfikir dengan matang supaya tidak menyesal kemudian hari. Fikiran yang matang akan menjadikan tindakan seiring dengan sikap. Dalam konteks ini, beliau bermain-main dengan perkataan berfikir dan bertindak dalam sajaknya yang berjudul “Waras”.

Bertindak tidak berfikir selalu membawa sesal di belakang.

Berfikir tanpa bertindak selalu hilang dalam fikiran.

Lalu untuk apa kedua-duanya aku lakukan?

Kalau bukan mendatangkan aman kepada diri.

Sebagai pelengkap, Rafizi Isha menulis sajak “Lensa Puisi” sebagai keterangkuman peluahan emosi yang membentuk imaginasi dan perasaan. Pemilihan diksi seperti simbolik, metafora, hiperbola, personafikasi dan kreativiti merupakan terjemahan perasaan penulis. Sajak ini akan lebih bermakna sekiranya perkataan tersebut tidak dilonggokkan kesemuanya.

Puisi di lensa puisi

Hasil kreativiti imaginasi

Mainan kata, minat dan diksi

Bersemi

Keterangkuman peluahan emosi yang membentuk imaginasi dan perasaan selari dengan perasaan Amalia Shafiqah yang dengan kehadiran surat yang ditunggu-tunggu. Dalam konteks media sosial yang semakin canggih, nampaknya surat masih relevan dan menjadi sesuatu yang bernilai. Dalam sajak “Misteri Warkah Biru”, beliau menulis:

Warkah biru di bawah meja,

Membawa seribu persoalan,

Yang mendatangkan duka,

Derita berpanjangan,

Namun demikian, puisi ini agak longgar kerana tidak dinyatakan dengan jelas perihal surat tersebut. Adakah itu merupakan surat putus cinta. Adakah surat kerana ditolak permohonan pekerjaan. Atau mungkin surat berhenti belajar. Sepatutnya, hal ini dijelaskan secara tuntas supaya pembaca tidak tertanya-tanya. Penggunaan diksi warkah biru juga klise kerana warkah biru lazimnya dikaitkan dengan emosi dan perasaan gembira. Walau bagaimanapun, teguran ini diharapkan tidak mematahkan semangat Amalia untuk terus berkarya. Yang penting Amalia terus belajar dan belajar untuk meningkatkan daya seni penulisan.

Shahnon Ahmad (Dewan Sastera, Oktober 1992), menulis bahawa karya seni yang bertanggungjawab berlandaskan aspek tertentu tentang keperihalan kemanusiaan, baik secara langsung mahupun secara tersirat dan berlapisan maknanya. Bahkan, beliau menambah, karya seni itu sendiri secara fiziknya berada di tengah-tengah manusia. Hal berkaitan dengan manusia diungkapkan oleh Razlan Ramsah dalam sajaknya yang berjudul “Tidak Bernoktah”. Sekadar pendapat penulis, sajak ini agak polos dan tidak berapa menjadi keris emosi yang menusuk ke jantung pembaca. Sajak ini akan lebih bermakna sekiranya disuntik dengan nilai-nilai yang boleh menikam.

Buatmu manusia terindah

Harapku, kau bukan sementara

Hadirmu, beri kenangan indah

Menjadikan aku manusia bahagia

Manusia yang mempunyai perasaan juga lazimnya akan memendam atau meluahkan perasaan. Namun demikian, inilah resam dan sifat manusia. Sifat terlalu memendam perasaan boleh menyebabkan jiwa dilanda banjir rasa. Sebaik-baiknya, carilah sesiapa sebagai tempat untuk meluahkan ekspresi dan refleksi perasaan. Perhatikan bait-bait kata Afrina Aziz dalam sajaknya yang berjudul “Resam Buana” yang cuma ada empat perenggan sahaja. Fabienne, Andrea dan Stephanie (2001) pernah menyebut bahawa ekspresi emosi merupakan suatu refleksi atau tindak balas minda yang turut bertindak sebagai medium komunikasi.

jangan simpan perih di hati

bukan lupa luka nan silam

hidup kita hanya sekali

perihal cela biarkan kelam

Menyebut perihal manusia, kita tidak dapat lari daripada menyentuh tentang perasaan. Hal ini disebabkan setiap manusia mempunyai perasaan dan sentuhan emosi. Seseorang akan lebih melayan perasaan tatkala keseorangan. Ketika itu, perasaan kesunyian akan membuak-buak di dada. Shaa Zainol menjadi penikmat dan pemerhati sepi sambil melayan perasaan dalam sajaknya yang berjudul “Kopi dan Puisi”. Pada pandangan penulis, istilah gula-gula sebaik-baiknya ditukar kepada kek yang lebih sinonim di kafe kopi.

mereka saling tersenyum

menikmati kejernihan suasana

dan menggemburkan memori

seperti manisnya gula-gula

yang mula mencair

di atas meja

Penyajak merupakan orang yang paling banyak bermain dengan perasaan. Perasaan ini terlahir dari persekitaran sama ada apa-apa yang dilihat, didengar, pengalaman atau timbal balas persekitaran. Perasaan inilah nyang akan mempengaruh emosi. Kasmini (1998) pernah menyebut bahawa emosi boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk. Antaranya ialah:

  1. emosi positif yang merujuk kepada emosi suka, sayang dan gembira.
  2. emosi negatif yang merujuk kepada emosi takut, marah dan duka.
  3. emosi primer yang merujuk kepada perasaan gembira, benci, terperanjat, sedih, marah, takut dan malu yang hanya berlaku secara bersendirian.
  4. emosi bercampur yang merujuk kepada keadaan lebih kompleks seperti berasa kecewa, gabungan perasaan sedih dan terperanjat atau cemburu yang merupakan gabungan perasaan marah dan sayang.

Emosi yang agak bercampur diungkapkan oleh Mohd Azuwan Reji dalam sajaknya, “Lahapkah Aku”. Hal ini jelas dalam sebuah sajak yang dirangkumkan dengan pelbagai elemen bauran emosi seperti makanan yang habis dimakan, memuji makanan, tentang masa, dan sebagainya. Barangkali, ingatan kepada emak tercinta menjadikan emosinya berbaur dan berkecamuk kerana mengenangkan keenakan masakan ibu tersayang. Namun demikian, ungkapan retorik “lahapkah aku?” terlalu keras seolah-olah mempersoalkan pembaca yang cuma menjadi penikmat sastera.

Lahapkah aku?

Memuji masakan itu,

Hingga aku menambah lagi.

 

Lahapkah aku?

Menghargai setiap jerih,

Si pemasak yang tak kenal lelah.

Perihal masakan yang menyentuh emosi juga turut digarap oleh Lim Wei Wen dalam sajaknya yang berjudul “Masakan Rindu”. Lim bermain-main dengan kenangan yang menyuntik emosi misalnya dalam ungkapan mengetuk pintu dapur, mendamping bara dan kayu api dan setiap jenis rempah akan kurasa. Jelas bahawa kenangan bersama dengan ibu terutama kenangan lampau akan mengembalikan nostalgia yang memugar emosi dan perasaan. Sebagai anak, kita mestilah sentiasa mendengar nasihat dan pesan ibu dan ayah. Emosi yang bercampur antara sedih dengan gembira juga turut dilontarkan oleh Adrianna Wahid dalam sajaknya, “Kata Orang Tua”.

Sedang aku terbang

Aku teringat pesan mereka

Pesan yang orang muda tak endah

Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri

Bahkan, hal emosi yang bercampur ini lebih jelas dilontarkan oleh Rohzaimah dalam sajaknya, “Berparti”. Pemilihan diksi seperti lolongan, nyanyian, bisikan dan tempikan jelas adalah bauran emosi dan perasaan yang bercampur-baur dan tidak keruan. Rohzaimah mungkin beranggapan bahawa pemilihan kata-kata yang minimum pada setiap baris adalah terbaik. Namun demikian, pemilihan kata itu belum cukup kuat untuk untuk mewakili setiap baris.

dalam rumahku

aku mati

sendirian

dirodok pujuk rayu

bait-bait

lolongan

laungan

Sajak terakhir, “Tugu Pahlawan” karya Shafida Rosllan mungkin agak terkeluar dalam elemen emosi dan perasaan yang dikaitkan dengan sajak lain yang tersiar. Akan tetapi, sajak tema patriotik sebegini sekurang-kurangnya akan memberikan bauran emosi dan perasaan cinta akan tanah air sepanjang masa. Kita tidak perlu menunggu bulan Ogos untuk mengungkapkan emosi patriotisme. Sebaliknya, perasaan ini perlu hadir dalam jiwa sepanjang tahun. Dalam hal ini, beliau mengajak kita untuk mengingati tugu yang menjadi simbol perjuangan wira terdahulu.

 Tugu pahlawan

Megah berdiri

Bukti penghargaan 

Atas tiap jasa, keringat dan darah mereka

Bermati-matian kerana cakna

Akan makna merdeka

Bebas dari belenggu jajah

Nafsu mereka yang tamak serakah.

Memetik Shafrin et. Al (2009), emosi berupaya mempengaruhi penyesuaian psikologi individu. Menurut beliau lagi, terdapat dua kategori individu, iaitu mereka yang ingin menunjukkan emosi tetapi tidak mampu dan individu yang mampu menunjukkan emosinya tetapi lebih cenderung untuk menyimpan dalam hatinya. Secara keseluruhannya, sajak hasil cipta penulis yang tersiar kali ini masih belum menjadi keris emosi yang menikam ke jantung perasaan pembaca.

Namun demikian, itu tidaklah bermakna semua karya ini lemah. Komentar lebih berguna daripada pujian yang tidak bermakna. Semoga, penulis yang terkait seharusnya mengambil tindakan untuk mencari keris kata-kata yang lebih tajam supaya dapat menghunus dengan lebih menusuk.

Tidak salah penulis bermain-main dengan perasaan. Namun begitu, semoga selepas ini akan lahir karya yang berimpak tinggi. Yang mampu mencetuskan fenomena, menjadi agen perubahan mekanisme. Bukan hanya sekadar bermain-main dengan emosi dan perasaan sendiri. Semoga penulis yang disebut kali ini akan terus gigih menanam benih kata.

Memetik tulisan Onn Abdullah (2021), puisi ialah benih kata-kata. Daripada benih kata-kata itu akan tumbuh pohon bahasa indah, subur rendang dengan dahan dan ranting serta cabangnya dengan daun-daun hijau lebat. Mengambil ungkapan ini, jelas bahawa benih kata-kata akan bertunas daripada ungkapan perasaan penyair. Perasaan ini adalah berpaksi daripada sentuhan emosi dalam jiwa.

Sidang editor akan mengekalkan bentuk/cara penulisan penulis. Pengekalan bentuk tersebut bertujuan untuk mengekalkan kreativiti penulis dalam penghasilan/penulisan puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.