21 Disember 2022, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pantun merupakan puisi Melayu lama yang menggambarkan kehalusan budi serta keprihatinan masyarakat pada masa itu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya. Za’ba (1965) mengatakan bahawa pantun sebagai karangan berangkap yang jati, selalu digunakan oleh orang Melayu untuk mengambarkan fikiran hiba, sayu dan perasaan yang indah. Bagi Harun Mat Piah (1989) pula, beliau berpendapat pantun membawa erti sesuatu yang teratur, tersusun dan suatu karangan yang bahasanya terikat ataupun tidak.

Dahulu, pantun dikenali dalam bentuk lisan, kemudian tulisan dan dibukukan, namun kini pantun masih dikenali dalam bentuk tulisan, bahkan tersiar dalam bentuk media elektronik. Dalam erti kata lain, pantun lebih bersifat universal. Dalam konteks ini, penyebaran pantun telah berkembangan melalui penerbitan dalam media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Twitter.

Selalunya, inti pati pantun berkaitan dengan kehidupan masyarakat dalam menyampaikan mesej penting seperti nasihat, teladan, pengajaran dalam menjalani kehidupan seharian.

Sebagaimana yang diketahui umum, pantun yang diungkapkan dan dicipta oleh masyarakat mempunyai pelbagai tema tertentu yang mempunyai unsur nasihat seperti kasih sayang, kebijaksanaan, adat, adab, budi dan perpaduan. Budaya berpantun ini akan lenyap daripada generasi muda sekiranya pantun tidak diterapkan sepenuhnya dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Pantun Melayu merupakan warisan budaya yang telah sebati dalam diri masyarakat Melayu. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing demi menjaga warisan budaya masyarakat Melayu ini.

Untuk menjaga khazanah warisan budaya yang unik ini, usaha yang ditunjukkan oleh Radio Klasik FM haruslah dipuji oleh semua pihak. Radio Klasik FM telah menjadi satu perantaraan bagi pendengar untuk mengarang pantun secara spontan dalam ruangan tertentu di Facebook radio berkenaan. Hal ini secara tidak langsung dapat mengangkat warisan budaya yang hampir dilupakan oleh segelintir pihak. Melalui platfom ini pendengar, terutama peminat Radio Klasik FM dapat membalas cicipan pantun yang ditulis di Facebook Radio Klasik FM dan dibaca oleh pengacara lagu semasa bersiaran.

Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga turut memainkan peranan dalam menjaga warisan budaya ini. Misalnya, dalam laman JendelaDBP terdapat ruangan “Peka Bahasa”, yang turut memaparkan pantun Melayu. Dalam ruangan itu juga, turut disiarkan peribahasa Melayu, mutiara kata, Jawi jumaat dan lain-lain lagi yang bermanfaat untuk pembaca.

Pantun yang disiarkan dalam Facebook Radio Klasik FM dan “Peka Bahasa” ini mempunyai pelbagai tema atau aspek yang merangkumi nasihat, keagamaan, perayaan, sambutan kemerdekaan, perpaduan, pengajaran, kiasan dan putus kasih.

Kamus Dewan Perdana (2021) mentakrifkan tema sebagai subjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita, tajuk, pokok. Dengan takrifan ini, istilah tema dalam konteks dunia sastera dapat dijelaskan sebagai subjek yang mengawal sesebuah karya sastera dan penting untuk mempengaruhi perbincangan tentang perutusan yang ingin disampaikan oleh sasterawan. Dalam penyampaian pantun, tema juga merupakan idea paling penting dalam penciptaannya.

Artikel ini akan melihat tema pantun terpilih yang disiarkan dalam Facebook Radio Klasik FM dan “Peka Bahasa”. Dalam kedua-dua media sosial ini, didapati terdapat pelbagai pantun yang tersiar. Pantun ini mempunyai pelbagai tema. Antaranya seperti budi, keagamaan, nasihat, pengajaran, keharmonian, kasih sayang dan kemerdekaan. Namun demikian, artikel ini hanya mengulas beberapa tema pantun yang terpilih sahaja, iaitu pantun bertema budi, nasihat, keharmornian dan putus kasih.

Pantun Budi

Budi merupakan sikap pemurah dan berbuat baik kepada orang lain. Sifat ini adalah suatu nilai yang terpuji dalam kalangan masyarakat Melayu. Seseorang yang menerima kebaikan daripada orang lain diibaratkan sebagai termakan atau terhutang budi dan perlu membalas kembali. Melalui pantun yang berikut diperlihatkan tema pantun berbudi yang memperlihatkan kepentingan atau kebaikan berbudi tanpa batasan. Pantun yang tersiar di Facebook Radio Klasik FM pada 29 September 2022 ini mengambarkan bahawa sebagai anggota dalam kalangan masyarakat, kita perlulah sentiasa berbudi dengan orang lain sebanyak mungkin.

Pantun Nasihat

Seterusnya, terdapat beberapa buah pantun nasihat yang tersiar dalam Facebook Radio Klasik FM dan “Peka Bahasa”. Merujuk Kamus Dewan Perdana (2021), nasihat merupakan ajaran, petunjuk yang baik, peringatan. Pantun nasihat yang disiarkan dalam Facebook Radio Klasik FM pada 10 Oktober 2022 berikut mengajak pembaca supaya mengikut ajaran agama, iaitu sentiasalah berbuat baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, kaum dan sebagainya.

Sebaliknya, pantun nasihat yang disiarkan dalam “Peka Bahasa” pula mengajak masyarakat supaya belajar dan menuntut ilmu sejak dari kecil supaya di hari kemudian kita akan mendapat kesenangan daripada ilmu yang dipelajari. Berikut dipaparkan pantun bertemakan nasihat.

Pantun Putus Kasih

Dalam hubungan yang terjalin, kadang-kadang kita akan menghadapi dugaan dan cabaran untuk mengekalkan perhubungan tersebut. Ada kemungkinan akan berlakunya perpisahan sama ada dalam hubungan percintaan, persahabatan, persaudaraan atau perkahwinan.

Pantun yang bertemakan putus kasih atau perpisahan ini turut disiarkan dalam Facebook Radio Klasik FM pada 24 Januari. Dapat dilihat pada rangkap pertama pantun yang membawa maksud sebuah hubungan yang dilanda dugaan atau masalah akan menyebabkan hati terluka, fikiran menjadi celaru atau rimas sehingga menyebabkan berlakunya perpisahan. Untuk mengatasi kesedihan hati, maka perlulah mencari seseorang atau orang baharu sebagai pengganti yang telah pergi.

Selain itu, ruangan “Peka Bahasa” juga turut menyiarkan pantun putus kasih atau perpisahan. Seperti juga pantun yang disiarkan dalam Facebook Radio Klasik FM, pantun rangkap kedua itu mengatakan bahawa apabila putus sesebuah hubungan, hati akan sentiasa terkenang-kenang segala kenangan dan sebagainya, sehingga kadang kala orang lain tidak boleh hendak membaca hati orang yang mengalami putus kasih atau perpisahan dalam hubungan mereka. Berikut merupakan pantun bertemakan putus kasih atau perpisahan dalam media sosial.

Pantun Keharmonian

Menurut Kamus Dewan Perdana (2021), harmoni bermaksud (selaras, sesuai, sepadan), keselarasan, kesesuaian, keadaan harmoni (mesra), kemesraan: perhubungan antara kedua-dua buah negara. Tema keharmonian ini merujuk pada keadaan atau suasana harmoni antara masyarakat pelbagai kaum dengan bangsa. Contohnya melalui pantun berikut.

Maksud rangkap pertama pantun ialah negara Malaysia yang berbilang kaum hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu, aman dan damai. Lihat contoh pantun yang tersiar di Facebook Radio Klasik FM pada 12 September 2022.

Sebaliknya, pantun pada rangkap kedua yang tersiar dalam “Peka Bahasa” lebih memfokuskan makna pantun ini kepada golongan pemimpin. Seorang pemimpin yang pandai mentadbir sesebuah negeri akan menyebabkan negeri tersebut semakin maju dan penduduknya hidup dalam keadaan aman damai.

Secara keseluruhannya, didapati bahawa pantun yang disiarkan dalam media sosial Facebook Radio Klasik FM dan JendelaDBP melalui ruangan “Peka Bahasa” ini mengetengahkan pelbagai tema yang sangat luas dan universal sifatnya seperti budi, nasihat, putus kasih atau perpisahan dan keharmonian. Melalui platfom media sosial ini, secara tidak langsung dapat menyemarakkan dan memperkenalkan lagi pelbagai tema pantun Melayu dalam kalangan masyarakat di Malaysia, khususnya golongan muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.