Oleh Nurull Ain’am
19 Disember 2022, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karya sastera merupakan hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu dan memiliki bahasa dan isi yang indah serta bermanfaat. Walau bagaimanapun, terdapat pihak tertentu, terutama pencinta karya sastera meluahkan rasa kekesalan mereka kerana bahan bacaan kini semakin kurang dari segi kualiti sehinggakan ada kelompok yang mengatakan bahawa karya sastera umpama karya picisan yang berlambak di pasaran.

Dalam artikel bertajuk “Remaja dan Karya Picisan”, Zuridah Hanim Md. Akhir menyatakan,

Picisan sebagai sesuatu yang tidak berharga dan rendah mutunya. Karya picisan yang dimaksudkan dalam tulisan ini merujuk karya yang rendah mutunya, tidak mengandungi pemikiran, tidak bersifat keilmuan dan lebih bertujuan untuk memberikan hiburan semata-mata.

Perkembangan karya picisan di negara ini jelas memperlihatkan suntikan terhadap fantasi sosial yang lebih mementingkan unsur materialisme berbanding dengan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang biasanya diangkat oleh karya yang dihasilkan oleh penulis mapan.

Penulis seperti Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said, SN Usman Awang, SN Othman Puteh, SN Shahnon Ahmad dan SN Keris Mas berjuang menerusi pena dengan mengangkat tema yang hebat, misalnya tema kemasyarakatan supaya khalayak pembaca dapat berfikir dan berbicara sehingga ada karya ini yang berjaya mencetuskan anjakan pemikiran yang cukup hebat dalam kalangan remaja.

Namun begitu, karya sedemikian sukar ditemukan pada masa ini disebabkan karya sastera yang dihasilkan oleh penulis muda kebanyakannya tergolong dalam karya picisan yang sukar dikesan pemikiran penulisannya. Hal ini berpunca daripada pelbagai sebab yang mendorong penulis muda pada hari ini menghasilkan karya sastera yang tidak menjentik minda pembaca.

Mengejar Nama dan Wang Ringgit

Sumbangan penulis muda dalam memperkasakan karya sastera kelihatan kabur kerana wujud penulis yang berkarya hanya untuk memenuhi kehendak pasaran sehingga terlupa karya intelektual yang semakin dipinggirkan. Khairiah Mohd Yassin dalam artikelnya yang berjudul “Faham Intelektual Menurut Perspektif Malik Bennabi” mengatakan,

Karya intelektual ialah karya yang berilmu dan memberikan manfaat kepada pembaca. Karya intelektual menjadi terpinggir kerana penulis berhadapan dengan kehendak pasaran disebabkan pekerjaan menulis kini sama seperti pekerjaan lain.

Seseorang penulis juga memerlukan wang untuk perbelanjaan. Maka itu, dalam keadaan sedemikian bukan sedikit penulis yang menulis atas kehendak pasaran sehingga kehendak intelektual dipinggirkan. Ekoran daripada situasi tersebut telah menyumbang kepada rendahnya kualiti dan tiada pemikiran dalam karya sastera tersebut.

Penulis muda yang terlibat dalam dunia pengkaryaan seharusnya berkarya dengan hati yang benar-benar ikhlas. Dalam erti kata lain, mereka perlu menulis menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah karya yang pemikirannya sarat dengan ilmu, dan secara tidak langsung karya akan menjadi lebih bererti.

Penulis muda yang mengarang hanya untuk mencipta nama, kemudian namanya akan diingat untuk sementara waktu dan sekiranya mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis dimamah dunia semata-mata. Bukanlah bermaksud nama dan wang tidak penting, tetapi kedua-duanya merupakan aspek sekunder dalam profesion sebagai penulis yang nantinya akan bergelar sasterawan.

Menggunakan “buah fikiran” demi nama dan wang ringgit perlu diambil serius dalam kalangan pengkarya muda. Segelintir daripada mereka menyanggah pendapat ini dengan mendakwa karya mereka juga mengandungi “buah fikiran” tetapi perkara sebaliknya yang berlaku. Hanya buah yang baik, dan masak ranum, memberikan manfaat kepada manusia.

Bukan sesuatu daripada bunga dan putik yang mentah, mengkal atau rosak, walaupun disebut “buah” juga. “Buah fikiran” amat erat hubungannya dengan akal, dan dalam konteks ini memang menjadi cabaran bagi penulis muda untuk menambah elemen “buah fikiran” yang besar, bermakna dan bernas dalam karya mereka.

Ketandusan Pengkritik Muda

Pada masa ini, tenaga pengkritik sastera amat berkurangan berbanding dengan karya sastera yang begitu banyak dihasilkan oleh para penulis muda. Budaya kritikan sastera pada masa ini tidak serancak dahulu kerana sebelum ini dunia kritikan sastera yang dianggap tinggi sudah dianggap tidak mendatangkan rasa teruja dalam kalangan penulis muda.

Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Hashim Awang (1985), kritikan sastera merupakan suatu usaha mempertimbangkan dan menilai karya sastera secara jujur dan sistematik.

Kritikan sastera merupakan apresiasi terhadap hasil genre kreatif yang lain seperti puisi, novel, cerpen dan drama. Kritikan terhadap karya sastera dapat menentukan sama ada sesebuah karya sastera itu bermutu atau sebaliknya. Pembacaan secara berulang kali terhadap karya sastera akan dilakukan oleh pengkritik untuk membolehkan pengkritik itu memahami makna tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya sastera.

Kelemahan dunia sastera tempatan pada hari ini dilihat kurangnya pengkritik sastera yang faham tentang nilai kesenian dan keindahan dalam sastera. Dalam arus perdana sastera, dilihat banyak sarjana sastera yang melakukan kajian menggunakan pelbagai teori sastera. Akan tetapi, mengapakah dalam medan pengkaryaan ini masih kekurangan pengkritik sastera? Seharusnya sarjana sastera ini tampil dengan tulisan yang mengkritik karya penulis muda, dan bukan sekadar berpuas hati dengan kejayaan meraih ijazah dalam bidang sastera semata-mata.

Tidak banyak pengkritik sastera hari ini dapat meneroka karya sastera seperti yang dilakukan oleh pengkritik tempatan yang disegani, antaranya termasuklah Datuk Hassan Ahmad, Dr. Kassim Ahmad dan SN Shahnon Ahmad. Nama tersebut sebagai pengkritik sastera tempatan yang paling dihormati kerana ketokohan dan kewibawaan mereka dalam mengkritik karya sastera.

Hal ini disebabkan mereka menjiwai sastera sebagai kesenian yang mengangkat nilai ketamadunan dan peradaban manusia, sekali gus menonjolkan kritikan itu sebagai genre dalam dunia sastera yang perlu dikuasai dan dijadikan bidang yang serius dalam dunia sastera. Hal ini jelas menunjukkan pentingnya kritikan terhadap sesebuah karya untuk membuktikan sama ada karya sastera itu bermutu tinggi dalam pelbagai aspek atau sebaliknya.

Tidak Membuat Penyelidikan dalam Penghasilan Karya Sastera

Menghasilkan karya sastera ibarat membina rumah yang memerlukan tapak rata sebagai landasan yang kukuh, jika tidak, rumah itu tentunya akan bermasalah jika tanah itu sendiri tidak padat dan mampat malah, dibina secara tergopoh-gapah dengan terus menaikkan dinding sedangkan keteguhan tiangnya masih dipersoalkan.

Begitu jugalah dalam menghasilkan karya sastera yang memerlukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum mengarang. Karya sastera yang dihasilkan mestilah melalui proses kepengarangan yang perlu dilakukan secara berperingkat melalui pembacaan untuk membina kematangan fikiran dan melihat makna kesusasteraan dalam konteks yang lebih luas.

Sejak kebelakangan ini, penulis muda terlalu teruja berkarya sehingga terlupa kesantunan berbahasa, nilai sastera dan teknik berkarya yang betul. Kesannya, lahirlah karya yang kurang matang dan tidak menarik. Berbeza daripada karya sastera terdahulu yang terikat dengan kaedah dan disiplin dalam proses penghasilan karya. Penulis muda kini hanya berkarya dengan prinsip asalkan mempunyai sifat imaginasi yang tinggi dan kreativiti tanpa memikirkan nilai sastera yang sepatutnya ada dalam karya tersebut.

Dalam tulisan bertajuk “Jangan Samakan Novel Pop, Karya Sastera Berunsurkan Cinta”, Mohd Hasnul Mohd Sani menyatakan,

Kebanyakan pengarang kini menghantar karya yang rendah keintelektualannya, selain hanya bermain dengan kata-kata dan emosi. Dalam karya penulis muda pada masa agak sukar untuk peroleh manfaat daripada karyanya kerana mereka terlupa makna asal “kesusasteraan” yang memberikan manfaat kepada pembaca. Tindakan yang boleh dilakukan oleh setiap penulis untuk meningkatkan mutu karya adalah dengan menghadiri program sastera, misalnya program Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Tujuannya supaya penulis dapat memantapkan diri dalam dunia penulisan.

Kurang Berkarya Mengenai Isu Kemasyarakatan, Kemanusiaan dan Moral

Karya sastera kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat atas alasan tidak berkualiti dan masalah ini berpunca daripada sikap penulis yang tidak memuatkan unsur kemasyarakatan, kemanusiaan dan moral dalam karya mereka.

Penulis muda pada hari ini, gemar menulis soal “cinta” sehingga terlupa bahawa bidang sastera itu tidak hanya tertumpu kepada aliran romantik, malah skop dan alirannya sangat luas. Mempelajari karya sastera bererti mempelajari bahasa, pemikiran, gagasan, budaya, dan tradisi dalam masyarakat yang membolehkan sastera memberikan impak yang besar dan baik untuk masyarakat, bukannya hanya menulis untuk hiburan semata-mata tanpa mendatangkan faedah.

Pada sisi lain, sastera di sini membawa erti mempelajari karya sastera yang tentunya akan membawa dan menunjukkan diri kita pada sebuah pengalaman baharu dan berbeza sehingga pemahaman kita tentang karya sastera menjadi lebih luas. Hal ini disebabkan, karya sastera yang dihasilkan oleh penulis lebih cenderung kepada masyarakat bukannya novel bertemakan cinta semata-mata. Jika hendak dibandingkan karya agung sasterawan negara dan penulis mapan memang sangat berbeza taraf kedudukannya. Karya yang ditulis oleh penulis mapan lebih banyak mengangkat isu kemanusiaan, kemasyarakatan sehingga membuahkan moral tersendiri untuk dijadikan teladan oleh pembaca.

Karya sastera boleh diertikan sebagai wadah atau sarana untuk menyatakan dunia masyarakat dan sezamannya. Karya sastera merupakan karya yang mempunyai daya kreatif yang asli dan tersendiri. Maka itu, Langkah yang sewajarnya harus diambil untuk mengekalkan kedudukan karya sastera yang berkualiti di mata dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.