Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBerdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), pendidikan di Malaysia bertujuan untuk membentuk manusia yang seimbang dari aspek kemanusiaan. Dalam mengejar matlamat pembangunan individu yang seimbang serta menyeluruh, pendidikan kesusasteraan turut memainkan peranan penting. Karya sastera tidak mengandungi hiburan semata-mata, sebaliknya mempunyai nilai intelek tersendiri.
Aspek kognitif, psikomotor dan afektif seseorang juga akan dapat dibentuk melalui kepelbagaian kaedah yang digunakan semasa proses pembelajaran kesusasteraan. Hal ini menjadikan kesusasteraan sebagai alat pendidikan berkesan dalam melahirkan insan yang seimbang.
Kesusasteraan berasal daripada bahasa Sanskrit yang merujuk kepada buku-buku yang indah bahasa dan baik isinya. Kamus Dewan Perdana (2021) memberikan definisi sastera sebagai kesusasteraan hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Keistimewaan ini dapat dikaitkan dengan ciri-ciri kesusasteraan iaitu mempunyai nilai seni, analisis terhadap aspek keinsanan dan sarat dengan emosi.
Dapat disimpulkan bahawa karya sastera merupakan hasil penulisan kreatif yang berlandaskan penggunaan bahasa yang indah serta sarat dengan pelbagai makna. Dari segi peranannya, bahan sastera dapat menyampaikan sesuatu mesej dan unsur secara halus dan tidak langsung.
Penentuan sama ada sesebuah karya bersifat sastera atau tidak bergantung pada definisi tertentu. Sebagai karya seni, aspek keindahan merupakan sesuatu yang subjektif dan turut bergantung pada penilaian setiap individu.
Dalam aspek pemilihan jurusan untuk menyambung pengajian, minat ke arah pengajian sastera atau sains sosial dalam kalangan pelajar suatu ketika dahulu didapati kurang jika dibandingkan dengan sains tulen. Sebahagian masyarakat mungkin merasakan bahawa mempelajari sastera sesuatu yang tidak membawa manfaat dan membebankan. Pembentukan mentaliti negatif sebegini sedikit sebanyak memperlihatkan karya sastera tidak mustahak pada mata masyarakat. Hakikatnya, jurusan sains sosial dan sastera mempunyai kepentingan yang sama dengan bidang sains dan teknologi dalam memacu pembangunan negara.
Pembelajaran Komponen Kesustaseraan Melayu (KOMSAS) yang dimasukkan dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah menengah merupakan usaha baik untuk membolehkan pelajar menelaah bahan kesusasteraan Melayu. Namun demikian, kurangnya minat pelajar terhadap karya sastera mungkin berpunca daripada pengajaran yang bersifat terlalu struktural. Pelajar melihat pembelajaran berkaitan dengan karya sastera sebagai alat untuk lulus peperiksaan semata-mata.
Sementelahan, wujud buku panduan yang dijual di kedai buku. Dengan berbantukan buku panduan, pelajar tidak memahami isi kandungan karya tersebut. Buku panduan digunakan untuk menghafal, kemudian memberikan jawapan sewaktu peperiksaan. Amalan sebegini telah menjadikan penghayatan karya sastera sesuatu yang membosankan atau menyusahkan, lantas membuatkan minat pelajar terhakis. Sifat struktural ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas menjadi terlalu kaku. Selain itu, pelajar tidak digalakkan untuk berfikir sesuatu di luar kotak berkaitan dengan karya sastera. Hal ini bercanggah dengan sifat karya sastera yang bersifat terbuka dan boleh ditafsir melalui sudut pandang yang berbeza.
Oleh sebab pudarnya minat terhadap sastera dalam diri pelajar, maka kepentingan menghayati karya sastera harus perlu diberi penekanan. Fungsi karya sastera dalam memupuk nilai insaniah serta mewujudkan individu unggul perlu diketengahkan dengan lebih meluas.
Cara sastera menyumbang kepada pembangunan diri pelajar dapat dijelaskan melalui peranan karya sastera dalam beberapa aspek.
Pada tahun 1959, ucapan C.P Snow dalam Rede Lecture menjelaskan bahawa pertentangan antara dunia kemanusiaan dengan sains. Konflik ini telah membawa kepada permasalahan lain. Masalah ini, yang digelar sebagai two cultures merupakan suatu konflik yang membawa kepada masalah lain. Menurut C.P. Snow, ahli dalam kedua-dua bidang harus bekerjasama untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan demi kebaikan masyarakat.
Ketidakseimbangan antara elemen sains dengan kemanusiaan membantutkan usaha melahirkan pelajar yang unggul. Pengkhususan dalam sesuatu bidang pula menyebabkan masalah ini lebih ketara. Di institut pengajian tinggi di Malaysia, perkara ini lazimnya tidak ketara kerana subjek wajib universiti untuk pelajar bidang sains selalunya disertakan bersama dengan subjek kemanusiaan seperti kaedah berfikir, tamadun Islam dan bahasa Melayu. Sistem pendidikan di Malaysia bersifat menyeluruh dan dilihat cuba merapatkan jurang antara dua budaya intelektual seperti yang disebutkan C.P. Snow.
Namun begitu, pembangunan diri pelajar seharusnya tidak bergantung semata-mata kepada sistem pendidikan. Hal ini disebabkan, selepas sahaja tamat pengajian, pelajar akan bebas daripada kawalan sistem pendidikan. Pembentukan nilai diri di luar bidang pengajian tertakluk kepada kemahuan sendiri. Pada masa ini, jurang budaya ilmu dalam diri pelajar akan menjadi ketara lalu membantutkan matlamat negara dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti. Antara kaedah untuk merapatkan jurang budaya ilmu perlu dilaksanakan demi memastikan pembangunan diri berterusan selepas tamat pendidikan secara formal. Salah satunya adalah menerusi pembacaan karya sastera.
Karya sastera berupaya untuk memperkaya diri pelajar dengan budaya ilmu yang berbeza, terutama dari aspek kemanusiaan. Bagi pelajar dalam bidang sains, pembacaan karya sastera sangat penting dalam usaha mempelajari ilmu kemanusiaan untuk mengimbangi teori serta ilmu berkaitan dengan teknikal yang dipelajari dalam disiplin masing-masing. Hal ini dapat membentuk pemikiran dan intelektual pelajar secara lebih menyeluruh.
Karya sastera harus menerapkan nilai intelektual yang tinggi dan tidak berpaksikan hiburan semata-mata. Suatu karya sastera yang hanya bertunjangkan plot atau penceritaan semata-mata bukanlah karya yang berkualiti. Penghayatan karya sastera membolehkan pelajar secara tidak langsung mempelajari sesuatu saat menikmati sisi kreatif karya berkenaan.
Novel Penyeberang Sempadan hasil nukilan Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan mengetengahkan kepelbagaian ideologi serta cabaran hidup di luar negara. Novel Salina, tulisan Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said pula mengisahkan masyarakat di Singapura ketika Perang Dunia Kedua. Perkara yang diterapkan dalam naskhah ini boleh dicari melalui pembacaan bahan ilmiah seperti buku sejarah dan buku teks.
Namun demikian, pembacaan karya sastera menawarkan sudut pandang berbeza kerana melibatkan pengalaman watak, aspek emosi, pergerakan plot dan sebagainya. Kewujudan unsur ini merupakan kekuatan karya sastera yang sukar untuk diwujudkan dalam bahan berbentuk ilmiah.
Azizi Haji Abdullah yang juga merupakan penerima anugerah SEA Write pada tahun 1988 sangat sinonim dengan penceritaan berkaitan dengan alam semula jadi seperti laut dan hutan. Dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung penulis menceritakan kearifan Tukya tentang hutan. Novel yang dihasilkan sekitar tahun 70-an dan 80-an ini mengisahkan latar masyarakat kampung berhampiran Gunung Bongsu di Kedah. Pengarang menjelaskan hal alam semula jadi dengan begitu terperinci. Contohnya perihal pengalaman mendapatkan madu lebah dan jenis kayu-kayan. Konflik masyarakat pedalaman dan bandar diterapkan menerusi perbezaan cara hidup antara Tukya dengan anak cucunya.
Pembacaan naskhah sebegini memberikan pengalaman baharu kepada pelajar. Di samping dapat memahami cara hidup masyarakat suatu masa dahulu, kesan emosi mampu menerapkan nilai seperti empati dalam diri pelajar.
Golongan terpelajar merupakan pelapis kepada barisan kepimpinan negara. Pencapaian seseorang pelajar tidak diukur semata-mata atas daya fikir atau intelektualnya. Apabila melihat kepada aspek kepimpinan, cara pelajar memahami orang di sekeliling merupakan kayu ukur. Apabila menamatkan pengajian di universiti, pelajar akan hidup bersama-sama masyarakat.
Golongan terpelajar atau profesional diharapkan akan menabur bakti serta menawarkan khidmat kepakaran untuk manfaat masyarakat. Maka itu, mengenali pemikiran serta memahami isu sosio-politik dalam masyarakat membolehkan pelajar menjalankan peranan yang diharapkan dengan sempurna.
Karya sastera merupakan cerminan kepada keadaan masyarakat. Menurut Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad, sastera merupakan seismograf kehidupan yang mengandungi analisis perihal manusia dan masyarakat. Karya sastera lazimnya memuatkan realiti masyarakat yang berkaitan dengan latar masa dan tempat. Isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat pada zaman tertentu diangkat oleh pengarang sebagai elemen kritikan sosial dalam karya.
Novel Ranjau Sepanjang Jalan yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad mengisahkan latar masyarakat petani berbangsa Melayu sekitar tahun 50-an. Kisah keperitan keluarga Lahuma berperang dengan pelbagai musibah yang melanda sawah padi mereka menjelaskan betapa isu kemiskinan dan kebergantungan kepada hasil pertanian menjadi suatu keutamaan dalam masyarakat.
Novel Selendang Merah Balukhali hasil karya Sri Rahayu Mohd Yusop yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017 pula menceritakan cabaran sukarelawan tanah air di Cox’s Bazaar, Bangladesh dalam menangani isu pelarian rakyat Myanmar.
Karya sastera menerapkan persoalan dalam masyarakat dengan begitu terperinci. Kebanyakan karya menawarkan solusi kepada permasalahan yang cuba diselesaikan oleh watak. Berdampingan dengan karya sastera membolehkan pelajar mengenali masyarakat dengan lebih dekat di samping memahami isu-isu semasa yang memerlukan penyelesaian. Hal ini membuatkan mereka mampu memimpin serta menyumbang kudrat dengan lebih berkesan.
Pengarang menggunakan kaedah didaktik dengan menyematkan nilai moral dalam penulisan masing-masing. Nilai ini bertujuan untuk mengajar pembaca di samping menyampaikan nasihat. Lazimnya, kaedah ini didatangkan bersama dengan kritikal sosial yang ditujukan kepada masyarakat. Pengarang menzahirkan ketidakpuasan hati mereka melalui kritikan terhadap sesuatu isu atau golongan tertentu. Sesetengah pengarang menggunakan pendekatan satira dalam menyampaikan sindiran. Watak suri teladan turut diterapkan untuk menjadi ikutan pembaca.
Puisi tulisan Sasterawan Negara, Dato Dr. Usman Awang sarat dengan kritikan terhadap situasi semasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Beliau banyak menyentuh watak terpinggir yang terkesan dengan isu-isu nasional dan global. Unsur sinis turut diterapkan demi menambah rencah dalam kritikannya. Contohnya melalui puisi berjudul “Ibuku”.
O ibuku sayang
Di negerimu kaumenumpang
Sesekali kudengar ibu menyanyi
Pantun tradisi caranya sendiri:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Tak boleh jadi menteri
Penggunaan watak ibu dalam pantun tradisi terkenal telah diolah untuk disesuaikan dengan kritikan pengarang mengenai bercakap bohong. Berkemungkinan, pengarang berasa banyak ahli politik pada ketika puisi ini ditulis bercakap tidak serupa bikin. Bagi golongan pelajar, pesanan yang disampaikan dalam nada kreatif bersulamkan sedikit jenaka sebegini lebih mudah diingati berbanding dengan nasihat menggunakan cara biasa.
Sastera berupaya menjadi instrumen untuk membantu perkembangan pelajar secara menyeluruh seperti yang digariskan dalam FPK. Sebagai peneraju barisan kepimpinan di pelbagai peringkat, karya sastera berperanan penting dalam membentuk keperibadian mahasiswa, terutama apabila melibatkan hubungan dengan masyarakat, pemikiran kritis, nilai moral dan tahap intelektual.
Malangnya, peranan ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika mengambil kira kelunturan minat golongan mahasiswa dalam menghayati bahan berkonsepkan sastera. Sehubungan dengan itu, usaha memperkenalkan karya sastera kepada golongan mahasiswa harus dipergiatkan oleh semua pihak. Usaha sebegini perlu berterusan tanpa mengambil kira perubahan landskap politik tempatan.