Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Awan Wafdan dan Sri Rahayu selaku panel pembicara pada sesi ramah mesra “Hala Tuju Fiksyen Fantasi Malaysia”.

Shah Alam – Sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (PBAS), bertempat di MBSA Convention Centre yang berlangsung dari 1 hingga 11 Disember 2022, PBAS telah menampilkan barisan penulis fiksyen muda daripada pelbagai rumah penerbitan untuk membicarakan isu berkenaan “Hala Tuju Fiksyen Fantasi Malaysia” pada petang semalam di Pentas Utama PBAS.

Sesi ramah mesra bersama dengan penulis fiksyen fantasi Malaysia ini menampilkan Sri Rahayu, Awan Wafdan dan Arif Zulkifli selaku panel pembicara untuk berkongsi pandangan dan komen mereka terhadap “Hala Tuju Fiksyen Fantasi Malaysia.” Program ini merupakan gabungan kerjasama rumah penerbitan seperti PTS, Penerbit X, Mahakarya, Bookiut dan Komik M.

Sri Rahayu penulis novel Puteri Naga Tiberius terbitan Penerbit X.

Genre fiksyen fantasi pernah mendapat tempat yang cukup luas dalam kalangan penggemar buku. Walau bagaimanapun, hala tuju fiksyen fantasi di Malaysia masih lagi samar dan tenggelam timbul kerana permintaan terhadap genre lain yang lebih tinggi. Untuk menjawab apakah tujuan penulis memilih untuk menulis genre fiksyen fantasi, Sri Rahayu, penulis novel Puteri Naga Tiberius terbitan Penerbit X turut berkongsi pandangan beliau, katanya,

Tujuan saya menulis fiksyen fantasi untuk saya berkongsi pendapat saya tentang masyarakat, alam sekitar dan kehidupan dalam karya saya. Tetapi, saya tidak mahu menceritakannya dalam keadaan terlalu rapat dengan realiti. Jika terlalu rapat dengan realiti ia akan menjadi terlalu murung dan sedih. Fiksyen fantasi memberi saya ruang pada saya untuk lakukan kritikan sosial dalam karya sendiri.

Arif Zulkifli selaku panel pembicara turut berkongsi cabaran yang dihadapi beliau dalam bidang penulisan.

Melihatkan keadaan genre fiksyen fantasi yang ada penggemarnya tersendiri, Arif Zulkifli turut berkongsi cabaran yang beliau hadapi sepanjang menghasilkan karya genre ini. Kongsi beliau, kesukaran paling ketara dalam fiksyen fantasi adalah bagaimana seorang penulis mahu mencari originaliti dalam penulisan fantasi mereka. Tambah beliau lagi,

Bercakap tentang dunia fantasi kita akan bercakap tentang pembinaan dunia dan sistem magis. Walaupun penulis memilih untuk menulis genre fiksyen fantasi, logiknya harus ada bagi menyokong pembinaan cerita yang boleh meyakinkan pembaca.

Selain itu, antara isu utama yang sering dipersoalkan kepada penulis fiksyen fantasi adalah tentang isu yang sesuai diketengahkan dalam genre seperti ini. Menurut Awan Wafdan, “Sebagai penulis beragama Islam, sebaik-baiknya apabila menulis genre fiksyen fantasi ini, penulis haruslah berpegang pada pegangan agama dalam penulisan agar karya itu tidak terpesong dari landasan yang benar.”

Fiksyen fantasi merupakan genre penulisan yang luas dan boleh dinikmati oleh semua peringkat umur tidak kira kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Luasnya jaringan sasaran pembaca bagi genre ini sebenarnya mampu membuka peluang bagi genre seperti ini terus bertapak dan dinikmati oleh pembaca di Malaysia.

Antara pengunjung yang turut memeriahkan sesi ramah mesra bersama dengan penulis di Pentas Utama PBAS.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.