23 November 2022, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Julung kalinya, teater dan syair disatukan dalam sebuah naskhah dan usaha ini dirintis oleh penggiat teater muda yang namanya juga tidak asing dalam kalangan penggemar syair, Syahidatul Munirah. Tidak semua orang memiliki kepandaian mencipta lirik syair dan menulis skrip teater pada satu masa yang serentak. Tidak mensia-siakan bakat anugerah Ilahi yag ada pada dirinya, Syahidatul Munirah menyerlahkan kebijakannya mengadunkan teater dan syair dalam satu naskhah, lalu terhasillah “Setanggi Ratna Inderapura”. Persoalannya, apakah yang menariknya pada naskhah “Setanggi Ratna Inderapura”?

Syahidatul Munirah pernah menghiasi kulit hadapan majalah Tunas Cipta Bil.9 2022.

Naskhah “Setanggi Ratna Inderapura” dijelmakan dalam dua bentuk, iaitu pementasan teater dan buku. Teater syair “Setanggi Ratna Inderapura” menempa sejarah tersendiri kerana muncul sebagai naskhah pementasan teater yang julung-julung kali dipersembahkan kepada khalayak. Berbicara soal pementasannya, “Setanggi Ratna Inderapura” pertama kalinya dipersembahkan di pentas teater pada tahun 2019 bersempena dengan Festival Setanggi Antarabangsa di Kuantan, Pahang. Pada ketika itulah juga buat pertama kalinya diperkenalkan istilah teater syair kepada khalayak peminat teater dan syair.

Menurut Rahmah Bujang dalam buku Glosari Kesenian Melayu: Seni Visual dan Seni Persembahan (2008), teater bermaksud sebarang perlakuan kisah atau cerita dalam satu kawasan yang ditentukan sebagai pentas untuk perlakuannya dan menuntut pergerakan fizikal; dengan mempunyai komponen aksi dan reaksi para pelaku, iaitu para pelakon, dan pemerhati, iaitu audiens atau penontonnya. Apabila menyebut tentang teater, senarai nama teater yang lazim didengar dan dipersembahkan kepada khalayak ialah teater tragedi, teater komedi, teater satira dan teater muzikal.

Teater tragedi mempersembahkan kisah pergelutan manusia melawan takdir atau cerita yang menyentuh perasaan kerana yang baik biasanya ditimpa kesusahan atau bencana yang membawa kesusahan dalam hidupnya. Pergelutan, bencana atau kesusahan yang dialami itu akan berakhir dengan duka, kesedihan atau kematian. Teater komedi mempersembahkan cerita yang lucu atau menggelikan hati lalu mencetuskan gelak tawa melalui lakonan wataknya.

Teater satira pula sarat dengan kritikan, sindiran, ejekan atau cemuhan terhadap suatu keadaan, yang biasanya disampaikan dalam bentuk ironi, sarkasme atau parodi. Dalam teater muzikal, seluruh persembahannya diiringi oleh muzik dan nyanyian. Kebiasaannya, dalam teater muzikal, dialognya disampaikan dalam bentuk nyanyian.

Teater syair hasil garapan Syahidatul Munirah pula menampilkan lakonan watak yang diselang-selikan dengan dendangan syair. Syairnya pula bertepatan dengan jalan cerita dan mesej dalam teater tersebut. Menurut sutradara Senibayan melalui tulisannya, “Teater Syair: Antara Rindu dan Harapan” dalam buku Teater-Syair: Setanggi Ratna Inderapura (2022), teater syair mempersembahkan babak-babak daripada garapan kombinasi teater dan syair, menyatukan gabungan yang mendasari dramaturgi, menandai lakonan berselang-seli dengan syair merdu oleh pendendang yang sekali gus bertindak sebagai sebahagian daripada pelakon yang memicu ke pentas.

Naskhah teater syair “Setanggi Ratna Inderapura” sekali lagi menemui khalayak di pentas teater pada 17 September 2022. Pada kali ini teater syair ini beraksi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka dan serentak dengan pementasan tersebut ialah pelancaran buku Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura yang merakamkan skrip dan syair serta gambar lakonan teater berkenaan.

Pelancaran buku Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura sempena pementasan teater syair tersebut di Balai Budaya Tun Syed Nasir.

Kandungan buku berkenaan memaparkan teater syair yang terbahagi kepada lima babak dengan 10 bahagian syair, terdiri daripada 50 rangkap syair. Terdapat enam rangkap “Syair Pembuka” dan enam rangkap “Syair Penutup”. Selebihnya ialah syair yang menyampaikan cerita dalam lapan bahagian. Diselitkan juga empat rangkap pantun sebagai penyeri.

Syair dalam naskhah “Setanggi Ratna Inderapura” dicipta sendiri oleh Syahidatul Munirah yang juga turut mengolah skrip teater. Bukan suatu kerja yang mudah untuk mencipta syair kerana penciptaannya perlu berkoordinasi dengan patah kata agar apabila didendangkan, bait syair itu menepati irama yang digunakan untuk mendendangkan syair. Hal ini bermakna, patah kata dan suku kata dalam baris syair itu harus “mengena” supaya apabila didendangkan, tiada kedengaran terlebih suku kata atau patah kata. Itulah cabaran utama dalam menulis lirik syair.

Penciptaan lirik syair juga perlu menggunakan kosa kata yang tepat dan sesuai dengan sifat syair sebagai karya tradisional Melayu. Dalam hal inilah terserlah kemahiran Syahidatul sebagai penulis lirik syair kerana pandai memilih diksi yang sesuai dengan isi penceritaan dan latar masa dalam syair. Misalnya dalam “Syair Pembuka”, Syahidatul menceritakan riwayat Inderapura dan kesultanannya yang diterajui oleh Sultan Gafur dan Sultanah Alam Shah. Diksi seperti “kalam”, “hamba”, “bahari”, “cetera” dan “madjelis” jelas bersesuaian dalam menceritakan suasana pemerintahan raja Melayu pada abad ke-15.

Adunan skrip dan syair yang menggunakan kosa kata Melayu klasik yang banyak digunakan dalam penghasilan Teater Syair: Setanggi Ratna Inderapura bole dilihat dalam bahagian Glosari buku berkenaan. Secara tidak langsung, hal ini menyegarkan kosa kata Melayu lama yang kebiasaannya hanya ditemukan dalam naskhah sastera tradisional seperti syair, gurindam, pantun dan hikayat.

Selain menulis lirik syair, Syahidatul juga mengarang nazam, salah satu jenis puisi lama yang berasal daripada puisi Arab. Kebiasaannya, lirik nazam berbentuk puisi lama yang mengandungi pelbagai nasihat dan tunjur ajar berpandukan unsur dan ajaran Islam. Dalam “Setanggi Ratna Inderapura”, terdapat tiga rangkap nazam yang diselitkan sebagai penutup  Babak 1. Dalam Babak 4 pula, terdapat dua rangkap pantun yang dilantunkan oleh watak Raja Biru dan Sultanah Alam Shah. Maka jelas, Syahidatul bukan sahaja bereksperimen dengan syair dalam skrip teater, malah turut membawa nazam dan pantun yang disatukan dalam “Setanggi Ratna Inderapura”.

Naratif teater syair “Setanggi Ratna Inderapura” ditulis berdasarkan sejarah awal negeri Inderapura atau Pahang ketika diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah. Sebelum itu, takhta Inderapura  diduduki oleh Sultan Abdul Ghafur, ayahanda Sultan Alauddin. Menurut Syahidatul, penciptaan teater syair “Setanggi Ratna Inderapura” mengambil inspirasi kisah sebenar daripada Hikayat Patani. Berdasarkan beberapa peristiwa sejarah dalam Hikayat Patani, Syahidatul mengangkat kisah kehebatan Kesultanan Pahang yang dikatakan wujud lebih awal daripada Kesultanan Melaka.

Bertitik tolak daripada kemashyuran Kesultanan Pahang itu, naskhah teater syair “Setanggi Ratna Inderapura” mengangkat ketokohan dan kepahlawanan bonda tiri Sultan Alauddin, iaitu Sultanah Alam Shah atau terkenal dengan nama Ratu Ungu. Ratu Ungu diperikan bukan sekadar berjuang mempertahankan Langkasuka dan Inderapura daripada serangan Ayuthia, malah berjaya menyelamatkan puterinya, Raja Kuning daripada terus menjadi tawanan Apya Deca (Ayuthia – Siam). Menyorot sejarahnya, Raja Ungu, iaitu Raja Perempuan Patani ketiga juga digelar oleh penjajah sebagai “God of War” atau “Lord of Thunder” kerana kehandalan baginda berperang.

Sebelum pulang ke Patani untuk memegang takhta kerajaan, srikandi perkasa itu merupakan Sultanah kerajaan Pahang, isteri kepada Sultan Abdul Ghafur yang dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultanah Alam Syah. Malangnya, setelah kemangkatan almarhum suami dan sekembalinya Raja Ungu ke Patani, anakanda baginda, iaitu Raja Kuning telah dicagarkan kepada Apya Deca oleh kakandanya Raja Biru, supaya Patani tidak diserang.

Konflik inilah yang ditonjolkan oleh pengarang “Setanggi Ratna Inderapura” dengan mempersembahkan kisah epik peperangan Raja Ungu yang berjaya menewaskan Apya Deca. Yang menariknya, kehandalan Raja Ungu bersilat itu terserlah dengan kepandaiannya berlawan menggunakan kain cindai yang menjadi senjata perang, malah kain cindai yang bersalut kaca itulah yang telah menamatkan riwayat Apya Deca.

Begitulah uniknya naskhah “Setanggi Ratna Inderapura” yang digubah daripada peristiwa perang Raja-raja Perempuan Patani, iaitu Ratu Hijau, Ratu Kuning dan Ratu Ungu seperti yang terakam dalam Hikayat Patani. Malah Hikayat Patani menjadi sumber kepada pengarang dalam mengilhamkan skrip teater yang diadun dengan syair, dan apabila digabungkan dalam sebuah naskhah, ternyata eksperimen tersebut berjaya memperkenalkan teater syair sebagai suatu bentuk persembahan baharu dalam senarai teater sedia ada, malah turut melestarikan syair sebagai sastera tradisional.

Hal ini terbukti apabila khalayak bukan sahaja mendengar lontaran dialog watak berdasarkan skrip, malah turut disajikan oleh dendangan syair dengan irama tertentu sehingga mencetuskan kelainan pada pementasan teater syair ini. Malah teater syair ini juga diakhiri dengan “Syair Penutup” yang berisi pesanan dan nasihat, khususnya kepada golongan remaja yang didendangkan oleh Penglipur Lara.

Memetik kata-kata pengarangnya, “naskhah Setanggi Ratna Inderapura merupakan sebuah eksperimen teater syair pertama di Nusantara.” Namun begitu, untuk terus menghidupkan istilah “teater syair”, usaha itu memerlukan penerimaan daripada khalayak teater itu sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.