Oleh Roslan Jomel
22 November 2022, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagaimanakah hendak mengukur kecemerlangan sesebuah bandar raya? Adakah dinilai dari segi kemajuan sistem pengangkutan awam? Atau adakah setiap rumah harus memiliki empat hingga lima buah kenderaan di perkarangan? Mungkin juga penilaian dibuat berdasarkan warganya yang cenderung mencerdaskan diri dengan memiliki sifat ingin tahu terhadap sesuatu perkara, sama ada dalam bidang sains, falsafah, agama, sastera dan sahsiah. Bahkan generasi baharunya cekap berbahasa asing dan tidak kekok apabila memberikan pendapat tentang situasi dalam negara dan dunia.

Berkemungkinan juga kecemerlangan sesebuah bandar raya (klise) diukur berdasarkan menara pencakar langit dan pangsapuri mewah yang berhampiran dengan pusat membeli-belah? Atau anak muda yang gemar bersosial dengan menyarung pakaian berjenama tetapi tidak beradab di khalayak ramai.

Bangunan pencakar langit yang menghiasi Kuala Lumpur.

Jika penulis mengajak teman dari semenanjung bersiar-siar di bandar raya Kuching, adakah tujuannya semata-mata untuk merasa makanan eksotik dan mengunjungi tempat unik yang dicadangkan oleh travelog pempengaruh terkenal? Naik sampan dan menyusuri Tebingan Waterfront sepanjang sungai. Menonton pemuzik jalanan dan lumba perahu. Adakah itu sahaja yang mampu ditawarkan di bandar raya Kuching ketika ini? Adakah tiada aktiviti mencerdaskan pemikiran dan mencambahkan ilmu yang diadakan secara santai, terbuka dan merakyat sifatnya?

Sementara di negeri semenanjung sentiasa aktif dan meriah dengan acara diskusi intelektual, revolusi ilmu, pesta buku, wacana kemasyarakatan dan anak mudanya ghairah melibatkan diri dengan isu serius.

Jika penulis mengajak teman dari semenanjung duduk menyandar di dinding masjid selepas selesai menunaikan solat Zuhur, adakah teman penulis terkesima kerana tidak melihat jemaah dalam kalangan generasi baharu leka menyelak buku karangan. Misalnya seperti karya Ibnu Taimiyyah (Mengapa Ulama Berselisih?), Syaikh Ali Al-Tantawi (Inilah Islam yang Semestinya Difahami), Ibnu Jauzi (Talbis Iblis) atau Buya Hamka (Perkembangan dan Pemurnian Tasawuf)?

Agama Islam melarang kita membekukan fikiran (sebagaimana ditegaskan dalam buku Allah Melarang Membodohkan Akal oleh Dr. Muhamad Rozaimi Ramle). Apatah lagi pada masa ini, banyak buku ilmiah kontemporari yang menganalisis simpang-siur kekacauan akidah dan tauhid karangan agamawan berkelayakan dari aspek akademik dan akhlaknya. Bukan semata-mata taasub dengan agamawan selebriti sahaja. Sekarang audiens kontemporari digalakkan untuk meminta dalil. Itu hak mereka. Ustaz atau ulama, mereka bukan maksum.

Jika rakan penulis dari Sarawak berkunjung ke salah satu acara diskusi ilmiah sebuah buku, misalnya karangan Shaharuddin Maaruf, Elit Tradisi dan Reformasi Di Asia Tenggara di kedai kopi yang terletak di dalam pusat membeli-belah, apakah hal itu tidak mengusik emosi dan fikirannya? Buku yang menjadi fokus perbincangan itu, bukan buku biasa-biasa. Namun sangat berat dan kompleks serta pengkajian yang mendalam perihal sosiobudaya penghuni di rantau Asia Tenggara.

Tiada protokol dan ucapan aluan yang meleret-leret. Rakan penulis dari Sarawak itu pasti kehairanan. Takjub. Sangat menyedihkan, kebiasaannya, acara sebegitu diadakan di dewan tertutup, formal dan dihadiri oleh tetamu jemputan sahaja. Kalau ada pun acara sastera, majoriti yang hadir terdiri daripada kelompok yang sama sahaja. Mudah dijangka apa-apa yang menjadi isu dan perbincangan. Sudah tiba masanya, ilmuwan daripada bidang agama, budaya dan antropologi diheret masuk ke ranah kesusasteraan tempatan untuk menegur kesilapan dalam bidang penulisan.

Jika seminggu rakan penulis dari Sarawak mengunjungi kedai buku di beberapa buah lokasi berbeza daripada koleksi buku yang mengejutkan, alangkah cemburunya kerana suasana demikian sangat jarang-jarang ditemukan di bandar raya kelahirannya. Belum lagi dikira pesta buku yang diadakan di beberapa buah negeri. Dia menggaru-garu hidung dan berbisik, apa erti pertumbuhan pusat membeli-belah dan pesta makan tanpa kesedaran budaya ilmu?

Misalnya, koleksi buku karangan Buya Hamka, terbitan Patriots Publishing, Jejak Tarbiah atau Santai Ilmu Publication sungguh mudah didapati di Kuala Lumpur. Alangkah mengharukan jiwa apabila melihat perbezaan daripada kedai buku yang ada di bandar rayanya sendiri. Suram dan tidak bernyawa. Benar, kini era memesan barangan melalui atas talian. Namun demikian, pengalaman secara jasmaniah memasuki kedai buku alternatif yang diusahakan oleh anak-anak muda berwawasan dan mencintai budaya ilmu, sangatlah berbeza.

Yang penulis tulis ini bukan kisah benar. Cerita ini hanyalah imaginasi dan reston peribadi penulis apabila pulang ke negeri kelahiran. Sentiasa hal yang sama mengganggu fikiran tatkala berada di tengah bandar raya kelahiran. Di manakah komuniti pemikir generasi baharunya? Adakah buku-buku serius (karangan Edward Said atau Noam Chomsky, misalnya) dibaca oleh lepasan pelajar?

Dahulu penulis pernah mendengar tentang komuniti buku jalanan di Tebingan Waterfront Sungai Kuching. Penulis khuatir, aktiviti sedemikian sudah tiada lagi pada masa ini. Acara yang meningkatkan daya berfikir kepada masyarakat, bukan semestinya diletakkan pada institut akademik sahaja. Penerbitan buku dan seminar kesusasteraan, juga tidak seharusnya diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka semata-mata.

Marilah kita beranggapan bahawa anak-anak muda di Kuching tidak semuanya obsesif dengan konsert muzik, dunia hiburan, jean kaki kembang dan berita tentang artis. Masih ada yang dahagakan ilmu, wacana intelektual dan perspektif berbeza.

Seharian berjalan memasuki kedai makan dan duduk termenung di bangku Tebingan Waterfront Kuching, jelas, bandar raya itu sedang melangkah ke destinasi yang diinginkan di bandar raya membangun. Bangunan lama yang dahulu gah dan menjadi tarikan masyarakat, kini bagaikan nyawa-nyawa ikan dek tekanan zaman. Premis tinggi dibina untuk membuktikan lonjakan ekonomi dan kenderaan persendirian yang memenuhi di atas jalan raya sehingga menjadikan trafik sesak pada waktu kemuncak, ketara membuktikan bahawa penduduk di bandar raya itu sudah mampu beradaptasi dengan aliran hidup dengan gaya baharu. Fenomena yang tidak terduga ketika berada pada tahun 1980-an. Tanpa pendidikan sempurna, bukan penghalang untuk menjadi kaya dan berjaya. Moden dan seiring dengan perubahan zaman.

Menghirup kopi di Starbuck dan Coffe Bean & Tea Leaf sambil melayari media sosial melalui telefon pintar model terbaharu. Bagaimanakah dengan tingkat intelektualnya? Sofistikated dan meluas? Adakah mereka lebih mengenali Olivia Rodrigo berbanding dengan Michio Kaku? Adakah rak buku menjadi kemestian di dalam bilik mereka?

Dari segi kemudahan infrastruktur, ibu kota seperti Kuala Lumpur sudah tentu jauh lebih canggih dan ke hadapan jika dibandingkan dengan bandar raya Kuching. Di situlah pusat segala aktiviti bertaraf kebangsaan dilangsungkan, sama ada pertandingan grafiti, deklamasi sajak, festival filem, tarian mahu pun persembahan lawak. Seniman, sasterawan, artis dan bakal tokoh masyarakat memilih bandar raya Kuala Lumpur kerana menyedari akan potensi, kononnya, untuk memajukan diri sememangnya terpaksa menetap di situ.

Ingin menjadi terkenal, silalah datang ke Kuala Lumpur. Namun acara yang melibatkan daya intelektual, ketinggian cita rasa artistik dan kreativiti dalam bidang kesenian, tidak semestinya diukur melalui kehebatan sesebuah bandar raya itu dari sudut pembangunan materialnya. Di mana-mana sahaja boleh dilangsungkan dalam skala sederhana. Di tepi sungai atau belakang masjid. Bahkan tidak memerlukan kos yang besar, bantuan dana dan lokasi mewah untuk menampung idea progresif.

Walaupun begitu menyedihkan naratif ini, jika berhajat ke Sarawak, atau lebih tepat lagi ke Bandar Raya Kuching, dipersilakan. Pemandangan dan makanan di sini, mungkin asing bagi mereka yang pertama kali tiba. Sebaik sahaja berada di tengah bandar raya, jangan banyak berharap dan meminta lebih sebagaimana di Kuala Lumpur. Orangnya moden seperti mana yang ditemukan di bandar di Semenanjung.

Sebaik-baiknya bekalkan buku sepanjang kunjungan ke sini. Berkaitan dengan teologi dan biologi, tidak mengapa. Maklum, sukar untuk menemukan kedai buku terbitan terkini dalam bahasa kebangsaan yang menepati selera pembaca generasi baharu. Kehidupan di sini lebih aman dan warganya bersifat lebih santai. Jika kebosanan, penulis memohon maaf atas segala kekurangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.