Oleh FAUZAN ZAIN
22 November 2022, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak banyak yang berubah kecuali papan tanda di jalan raya, aliran macet lalu lintas dan bangunan lama yang tidak mahu mengalah dengan cuaca kian hangat. Seorang pengkaji telah menyatakan bahawa kehadiran lalat menunjukkan suhu iklim yang semakin meningkat. Bukan seekor atau dua lalat yang menghurung pinggan dan cawan di meja sebelah yang ditinggalkan pengunjung sementara dia, terus menunggu dalam geram. Akhirnya, dia buat keputusan untuk beredar awal kerana tidak ada pelayan mampir mengambil pesanan. Dia berbaik sangka sahaja walaupun lapar benar. Mungkin, gerai itu tidak cukup tenaga kerja. Tukang masak, tukang cuci dan pelayannya orang yang sama, sepasang suami isteri yang telah lanjut usia.

Terlihat kecanggungan pada peniaga yang bebas berseluar pendek dan bersinglet melayani seorang wanita berjaket tebal lagak rakyat dari negara empat musim bersedia menanti salji yang akan turun pada bila-bila masa, lengkap dengan skarf melilit leher dan bertopi. Dia sedang menunggu giliran untuk membeli popsickle daripada peniaga itu yang sedang bergembira melayani permintaan anak-anak kecil. Mereka sudah tidak sabar lagi mahu menjilat kemanisan rasa. Lebih awal dari itu, dia singgah di gerai jersi bola sepak untuk membeli sehelai jersi pasukan Selangor sebaik-baik waktu menjengah tengah hari. Kira-kira 20 tahun lalu, ketika dia mengikuti rombongan sekolah ayahnya, selapis jaket tebal cukup untuk menghangatkan badan. Sekarang, jauh berbeza. Dia terus menyarung jersi itu di bilik persalinan sebelum keluar dari premis. Dia berasa lebih selesa memakai pakaian yang lebih nipis fabriknya. Lebih nyaman.

Atas urusan kerja dia datang sendiri, malah menempah bilik keluarga di The Lakehouse yang dibina di lereng bukit menghadap jalan raya sibuk dan sebatang sungai beraliran arus tenang. Ia sebuah bangunan yang ditinggalkan seorang kolonel British yang dibuka kepada orang awam pada tahun 1970. Buat pertama kalinya dia melihat status Whatsapp oleh orang yang paling dibencinya beberapa bulan lalu. Anehnya, selepas beberapa tahun tidak bertegur sapa, mereka bermesej panjang semata-mata kerana dia ingin tahu lokasi panorama indah berlatar belakangkan seni bina klasik Inggeris ketika sinaran matahari mulai terbit dalam beberapa keping foto.

Jam menunjukkan tepat pukul 3.00 petang, dia mendaftar masuk di kaunter. Kemudian, dipersilakan duduk dan menunggu di Cameron Bar – membasahkan muka dengan tuala hangat yang berlipat rapi dan minum secawan air halia suam yang dibawa dalam dulang oleh penyambut tetamu ke meja kaca bulatnya. Dari kerusi, sambil meneguk sedikit demi sedikit, terdetik dalam hatinya, dia akan berjalan ke sebuah lagi bangunan yang tersudut di lereng bukit – lebih tinggi dilihatnya melalui sebuah pintu. Dia kembali dipandu menuju ke pintu bilik bernombor 6, meninggalkan air halia yang mahu dihabiskan tetapi tidak mampu. Dia mahu berehat sekejap dan berharap apabila keluar dari biliknya untuk minum petang dapat ditemuinya wajah Melayu untuk bersembang mesra dan bertukar cerita sementara menanti waktu makan malam bermula pukul 6.30 petang. Penyambut tetamu menawarkan khidmat untuk membantunya mengangkat beg di kereta tetapi dia hanya berkata malam nanti sahaja semuanya dibawa ke dalam. Sekarang, belum ada mood.

Setelah mengambil beberapa keping foto untuk dimuat naik di status Whatsapp, dia mengubah perancangan untuk keluar semula dari bilik, turun ke bahagian bawah untuk mencari ruang pendiang api yang bakal dipasang waktu malam nanti mengikut kata penyambut tetamu tadi. Di sana, menurutnya ada buku sastera antarabangsa untuk membunuh waktu senggang. Sesampainya, seorang perempuan Melayu sedang membelek-belek buku-buku yang terdapat di rak. Memandangkan pada ketika itu tidak ada orang lain melainkan mereka berdua, dia terus duduk saja di sofa tanpa meminta kebenaran sesiapa. Dia berpura-pura tidak menumpukan perhatian padanya tetapi pandangan mereka tiba-tiba bertaut. Sepi. Lama dan redup tetapi mengapa jantungnya berdegup lebih kencang?

“Wajah awak macam pernah dilihat. Pernahkah kita berjumpa?” perempuan itu memulakan bicara.

Soalan itu buatnya kaku dan kekok. Dia memandang sekeliling pekarangan untuk mencari petunjuk jawapan. Memang tidak akan ada. Dia mengecilkan sedikit skop dalam ingatannya terus meluncur laju ke corong masa lampau menuju ke zaman persekolahan; sekolah rendah, tidak ada wajah murid perempuan mirip campuran darah Cina. Sekolah menengah mustahil, semuanya pelajar lelaki. Zaman kuliah paling mungkin. “Adakah kita pernah belajar di kolej yang sama di Kota Bharu?”

  “Tidak. Saya graduan dari Amerika. Tapi, pernah bersekolah menengah di sana.”

            “Semenza 1?”

“Ya. Bagaimana awak dapat mengagak dengan tepat sekali?”

“Bapa saya pernah mengajar di sana. Acap kali temani urusan bapa. Mungkin saudari lihat saya di sana.”

“Mungkin. Nama bapanya siapa?”

“Mahjub Mahfuz.”

“Alamak, dia pernah mengajar saya di tingkatan tiga dan empat.” Perempuan itu mengalih penanda muka surat pada halaman terakhirnya terhenti. Kemudian, menutup dan mengembalikan novel Jack Kerouac, On The Road ke tempat asalnya di rak lapis ketiga. Dia melabuhkan letak duduk di sofa solo dengan kaki kiri disilang ke kanan.

Betapa kecil dunia, dia bertemu bekas pelajar gemulah bapanya. Perbicaraan dengan perempuan itu menyambung seperti dua orang sahabat yang kembali bertentang mata setelah sekian lama terpisah atau setulus hati dua orang teman yang mula menyimpan perasaan? Walau demikian, sebelum perbicaraan jadi lebih jauh, dia teringin tahu perwatakan bapanya ketika menjadi guru. Tidak pernah digambarkan oleh sesiapa. Lagipun, dia benar-benar tidak pernah tahu, bapanya dulu seperti apa. Di rumah, dia seorang bapa yang pendiam, tegas tetapi penuh pengertian dan kasih sayang terhadap isteri dan anak-anak. Mungkin di tempat kerja, wataknya jauh berbeza daripada apa yang pernah dibayangkannya.

“Bapamu guru tingkatanku dua tahun berturut-turut. Tidak pernah lewat ke kelas. Mengajar dengan serius tetapi sesekali berjenaka, ketawa kami jadi tak tertahan dan keras walaupun kami semua perempuan. Tidak pernah sesekali dia menengking kami. Mungkin, dia ingin menjerkah tetapi dia tidak lakukannya. Sebaliknya, dia keluar dari kelas untuk menenangkan diri. Kemudian, masuk seperti tidak ada apa yang berlaku dan menasihati kami supaya terus berusaha dan jangan putus asa untuk ujian akan datang.” Perempuan itu bercerita dengan tenang. Matanya dikesani berkaca.

“Kenapa. Apa yang buat awak terganggu?”

“Sebenarnya, ada satu hal yang salah. Mungkin gejolak jiwa awal remaja atau apalah yang boleh dikata, saya tak pasti, keliru.”

“Awak boleh ceritakan. Saya pasang telinga.” Dia menekurkan kepala.

“Sebenarnya bapamu dipindahkan ke sekolah lain disebabkan aku. Aku yang memfitnahnya cuba untuk mencabul sedangkan aku yang memerangkapnya lebih awal dengan alasan kami berempat mahukan kelas tambahan pada hujung minggu kerana kertas kami gagal. Dengan pengaruh politik bapaku, bapamu ditukarkan dalam tempoh 24 jam. Aku sebenarnya suka bapamu dalam masa yang sama aku juga takut mengakui hal yang sebenar pada ayahku.”

“Celaka!” Dia menyumpah. Rupa-rupanya, perempuan itu punca bapanya terpaksa bertolak ke sekolah baharu, jauh keluar dari daerah kediaman mereka tinggal. Dia mengangkat punggung, berang; meninggalkan perempuan itu seperti seorang lelaki yang meninggalkan kekasih sedang berantakan pada pandangan orang-orang asing di sekeliling yang menjengah ke ruangan itu, tiba-tiba.

Sebetulnya, dia berasa aneh terhadap pengakuan berani perempuan itu. Dari mana munculnya kekuatan untuk berbicara jujur sedangkan dia sendiri tidak pernah mengakui perasaan yang perlahan-lahan makin kuat pada wanita yang dia suka walaupun setiap hari bertemu, satu masa bujang dahulu. Pernah sekali dia berjenaka, jika kita berjumpa 10 tahun lalu, mungkin saya sudah melamar kamu tetapi dia tetap diam tanpa sebarang tanda pada muka. Mungkin salahnya, seharusnya niat yang ikhlas tidak harus disampaikan dalam nada canda. Beberapa bulan kemudian, mereka menerima kad jemputan majlis perkahwinan perempuan itu. Semenjak hari itu, dia dan perempuan itu tidak lagi pernah bersapa jika berselisih berdua. Barangkali, dia takut. Takut ditolak dan dimalukan satu pejabat. Sekurang-kurangnya, pengakuan dan keberanian perempuan itu, hanya mereka berdua terlibat. Sebenarnya untuk menatap mata perempuan itu pun dia tidak mampu. Tidak juga, status perempuan itu yang sudah bertunang dan akan berkahwin buat dia mengelak untuk pergi lebih serius apalagi menyimpan harapan sekalipun dalam mimpi.

Dia membayangkan kegilaan Zairol, seniornya di pejabat dengan umurnya yang sudah menjangkau 50 semakin galak bermain cinta. Yang paling menggilakan ialah hubungan mereka direstui ibu perempuan itu walaupun dia sudah bersuami. Lebih menggilakan, anak-anak dan isterinya tahu tetapi Zairol tetap enggan berasa malu. Apalagi yang mereka mahu, segala keperluan dan pelajaran aku penuhi, sekarang giliran aku pula untuk menikmati hidup, kata Zairol. Betul-betul tak masuk akal sehingga dia fikir itu semata-mata nafsu bukan lagi cinta. Mungkin, Zairol menunggu detik-detik perempuan itu diceraikan atau berdoa si suami meninggal lebih awal. Itu pun hampir berlaku, suaminya kembali sihat selepas koma hampir setengah tahun.

Zairol semacam sudah siap untuk berhadapan dengan segala tohmahan atau sebenarnya dia tidak pernah peduli, nekad melawan dunia? Sudah tentu, bekas pelajar gemulah bapanya sama, tidak mampu mengawal perasaan yang sebenarnya datang perlahan-lahan tetapi semakin dalam. Dalam usia awal remaja, apa sahaja dia tahu tentang cinta dan akibat. Padahnya pada waktu itu, bapanya terpaksa bertolak sebelum Subuh ke tempat kerja, sedangkan dia harus mendaftar masuk asrama kerana tidak sempat lagi dihantar setiap pagi. Itu tidak seberapa, kekuatan cinta dan kepercayaan siapa benar-benar teruji? Baharu sekarang dia sedar tentang ibunya. Ujian yang tidak dia tahu ada untuk ibunya tetapi tersimpan rapi begitu lama tanpa pengetahuan adik-beradik juga.

Sekejap lagi, makan malam. Dengan kesempatan waktu yang masih tersisa sehingga esok, dia berharap mereka akan bertemu semula untuk sama-sama melupakan kata terakhir yang terlepas dari lidahnya. Dia fikir, tidak sepatutnya dia terbawa-bawa emosi. Tidak menguntungkan sesiapa malah merugikan kedua-dua mereka. Lagi pula, sekarang semuanya sudah dewasa. Pertemuan ini pula sama sekali tidak pernah dijangka.

Kipas antik yang berdiri di meja kayu bertukar arah ke kiri dan ke kanan tanpa lelah sekalipun penghawa dingin juga dibuka. Almari pakaian berukiran motif bentuk simetri, skrin televisyen plasma dan mesin pembancuh espresso ialah sketsa pertama setibanya yang kian kabur setelah tatapan mata menawan perempuan itu, tidak mampu ditangkisnya. Dia bingkas bangun dan terus ke bilik air, mandi sekadar memastikan kepala dan badan basah. Entah mengapa, hatinya berubah. Jengkel berubah kasihan. Malas bertukar gegas. Dia ingin sampai lebih awal sebelum pukul 6.30 petang sambil berangan perempuan itu akan singgah duduk berhadapan dengannya dengan senyum terbentuk di lesung pipitnya yang dalam untuk makan malam.

Pintu demi pintu bilik dilepasi dari kamarnya yang bernombor 6 – tepat-tepat berada di hujung antara dua arah yang bertembung. Ah, kenapa tidak dia tanya dahulu, biliknya tadi nombor berapa dan di mana arasnya supaya berpeluang dia datang menjemput. Sekarang, selepas satu kata maki, dia ingin menemuinya sekali lagi seperti tidak ada apa-apa. Sungguh ironik sekali perasaan, dia mengeluh dalam hati, walhal permohonan maaf pun belum tentu akan diterima. Entah berapa puluh kali sempat dia mengutuk diri sendiri sepanjang menuruni anak-anak tangga ke ruang restoran – satu aras lebih rendah dari biliknya di tingkat tiga. Barangkali, sebanyak bilangan anak-anak tangga yang ada di kakinya. Namun, kutukannya santak terhenti, perempuan itu sudah ada di sana, malah melambaikan tangan kanannya dengan senyum mesra bagi memastikan keberadaannya disedari tanpa sedikit pun beriak perasaan marah atau kecewa.

“Saya akan mengalami rasa bersalah yang berpanjangan jika pertemuan kita hari ini berakhir begitu sahaja,” kata perempuan itu sebaik-baik dia berdiri di hadapan mejanya dengan lilin-lilin meliuk lentok.

“Saya juga.” Berbolak-balik nyalaan lilin yang direnung semacam keinginannya untuk bersama perempuan itu dan cinta serta kasihnya pada anak serta isteri yang sedang dalam pantang.

“Duduklah. Kamu masih berhutang dengan saya. Saya sudah ceritakan pengalaman belajar dengan gemulah bapamu. Walaupun penamatnya tak seperti yang kau harapkan tetapi itulah seadanya. Semuanya menjadi sejarah yang tak akan aku lupa sepanjang hidup. Kautahu aku cukup lega bila dapat meluahkannya pada kau, anaknya. Tak sangka di sini kita berjumpa. Macam menggelongsor turun segala beban yang selama ini aku pikul atas kedua-dua bahu seorang diri. Sekali ini, aku minta maaf.”

Dia memulakan sementara pelayan menuangkan teh ke dalam cawan mereka. “Ada tiga hal sering melintas dalam kepala sebelum aku tidur. Pertama, sewaktu berusia enam tahun, aku mula malu untuk merangkul pinggang bapa ketika membonceng motosikal. Aku tahu dia kecewa apabila dia meluahkannya pada ibu. Kedua, aku kecewa kerana gagal mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Sebenarnya, aku baik-baik sahaja sebelum panggilan daripada kawan-kawan dan saudara-mara berdering di rumah, bertalu-talu bertanya tentang keputusan aku yang seperti sampah. Ia buat aku tak keluar rumah selama sebulan dan hanya ke dapur untuk makan apabila adikku masuk ke bilik memberitahu bapaku sudah siap. Ketiga, aku begitu terharu sekali, bapaku sudah mula kembali bercakap lagi denganku. Sanggup dia menghantar aku melapor diri dengan kereta api walaupun baharu seminggu keluar dari bilik bedah. Itu buat aku yakin masih ada sayangnya padaku. Sebulan kemudian, sepupuku menelefon ketika aku sedang dalam waktu kuliah memberitahu ayahku sudah tiada lagi.”

“Mana ada ayah yang tak sayangkan anak. Aku yakin dia bangga melihat kau hari ini,” perempuan itu mencelah.

“Mungkin …  tapi aku tak dapat jadi lebih hebat dari yang diharapkannya,” Dia berkata-kata dalam nada tenang tetapi sepasang bola matanya terbuka hanya untuk menatap wajah ayu dalam jarak yang begitu dekat itu.

Entah mengapa dia terus bercerita, berkata-kata sebebasnya tentang perkara yang sudah terbenam lama dalam dada. Entah kerana perhatiannya yang tulus, wajahnya yang naif atau kata-katanya yang manis, dia hanya ingin terus berbicara dan perempuan itu mendengarnya. Mungkin kerana semuanya terlalu indah untuk dilanjutkan ke cerita-cerita lain – cinta, kerja, kerjaya dan jenaka, misalnya.

“Aku ingin tahu suasana keluargamu semasa makan malam. Makan malam yang baik bukan hanya bergantung pada hidangan yang lazat semata-mata malah, perbualan yang menangkap,”

“Oh, sederhana sahaja. Persediaan untuk menikmati makan malam, sesi keluarga kami yang paling penting. Untuk menyertai makan malam, adik beradik perlu mandi, bersih daripada segala bau busuk dan pakaian kotor selepas sepetang bermain bola. Semua duduk menghadap makanan yang dihidang ibu. Bukan hanya itu, rambut perlu disikat, kuku harus pendek. Ayah mengajar kami berdisiplin sebelum dibenarkan menjamah suapan pertama. Sayangnya, tabiat itu tak terbawa sampai dewasa.”

Dia memaniskan wajah. Perempuan itu membalas dengan senyuman. Dia berhenti bercakap. Tidak mahu syok sendiri.

Perempuan itu mencapai telinga cawan teh, diteguknya sekali, lirikan matanya tergantung pada cawan dia. “Minumlah, saudara. Masih hangat. Berhentilah memandang saya. Nanti, tumpah … ,” katanya sambil tertawa.

“Bukanlah, mahu tunggu tomyam kita dulu sampai,” Lucu sekali, perempuan itu dapat melihat mukanya merona merah sebelum beralih ke arah meja sebelah yang diduduki pasangan Eropah.

Hidangan malam itu terasa janggal pada seleranya. Perempuan itu pula betul-betul menikmatinya. Tomyam dan rendang meskipun padanya satu pilihan kombinasi hidangan yang salah tetapi tetap juga disuap, dikunyah sudu demi sudu demi menyenangkan dan menjaga hati perempuan itu yang bersungguh-sungguh mahu membelanjanya walaupun dia berkeras menolak.

Perempuan itu kembali bersuara selepas menghabiskan sepinggan nasi. “Apabila masuk ke pasar, semua barang mahal. Apabila makanan dihidangkan di atas meja makan, nilainya jadi murah. Cuba lihat langkau satu meja di sebelah kananmu.”

Dia menjeling. Sebuah keluarga bahagia dengan dua orang kecil sedang dilayani oleh ibunya. “Tapi, di restoran ini semuanya sekali ganda lebih mahal. Bukan?”

“Begini, anak-anak tidak lagi menganggap waktu bersama keluarga di rumah ialah masa yang berharga. Telefon dan gajet ialah barangan paling mewah, mereka ingin miliki setiap satu. Harga rumah dan makanan yang mahal tidak lagi menjadi pengikat semangat kekeluargaan. Sebaliknya, percutian ke Cameron Highlands macam kita misalnya, menjadi tanda pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa untuk anak-anak berasa bahagia, gembira dan dihargai. Langsung tidak sama dengan keluargamu untuk generasi sekarang jika dibuat perbandingan.” Perempuan itu terus memberi hujahannya tanpa diminta.

“Ya. Walaupun aku kurang setuju tapi ada benarnya. Teruskan…” Suasana romantik dengan lilin sedang menyala membawanya menghimbau lamaran kepada bakal isteri lima tahun lalu. Ketika itu, dia yakin itulah cinta mati. Tetapi kini, dia sedang mula jatuh hati pada orang lain.

Perempuan itu beralih, menceritakan bagaimana dia memendam rasa kecewa apabila ayahnya dahulu beberapa kali, malah banyak kali membatalkan makan malam yang bersusah payah diatur oleh ibunya semata-mata kerana mengutamakan pelanggan bank. Apalagi yang boleh lelaki budiman seperti dia mampu katakan kepada perempuan itu melainkan memohonnya memahami bahawa peluang yang diperoleh bapanya sama seperti yang diterimanya di sini. Jika ditolak mentah-mentah pasti ramai lagi bersiap-siap mahu menadah dengan kedua-dua belah tapak tangan.

Perempuan itu mengangguk untuk mengubah haluan cerita. Kali ini, persoalan cinta yang dia sendiri belum temui jalan lurusnya untuk dibuka sejak tadi. “Jadi, saudara percaya hati juga akan mudah terpaut jika lamaran berlaku seperti di mana kita berada sekarang, di suasana ini?”

Dia diam seolah-olah tidak menduga. Namun, peluang itu digunakan sepenuhnya untuk meluahkan berbuku-buku rasa yang bercampur-baur antara realiti dan angan-angan masa sekarang. “Mungkin juga, jika sepuluh tahun dahulu kita berjumpa di sini.”

“Hahaha … . Jika sepuluh tahun dahulu kita berjumpa pun, saya tidak akan termakan dengan kata-kata manis ini. Saudara sebenarnya yang lupa, kita sudah bertemu 10 tahun lebih lama dari itu, 20 tahun dulu. Lawatan sambil belajar ke Cameron. Ingat?” Berkerut-kerut garis di dahinya seolah-olah menanti jawapan, ya.

Pemain VCD dipasang lagu-lagu dikir sepanjang lawatan empat hari oleh pemandu bas tanpa ada sesiapa menghentikannya, belum dia lupa. Pada hari terakhir, perjalanan pulang ke Kota Bharu, seorang pelajar bangun dari kerusi di bahagian tengah perut bas menuju ke tempat pemandu membawa sekeping album di tangan. Kemudian, pemandu itu bangun dari tempat duduk pemandu dan mengeluarkan sekeping VCD daripadanya tanpa banyak basa-basi. Hilang segala loya dia apabila lagu pertama diputar dari album studio kedua Peterpan, Bintang di Surga itu. Trek kedua, Mungkin Nanti, lagu pada urutan kedua dalam senarai spontan dinyanyikan para pelajar bersama-sama sambil video klip terpasang pada skrin televisyen yang tergantung di bahagian paling hadapan. Dia tidak ikut sama menyanyikannya walaupun dia cukup hafal lirik dan lagu kerana berulang kali didengarnya dalam MP3 dan sering sahaja dimainkan di stesen-stesen radio. Ayahnya selaku guru pengiring melihat situasi di kerusi sebelahnya tanpa sebarang reaksi marah atau suka dalam kegelapan malam dalam bas yang sudah ditutup semua lampu.

“Ya… tetapi bagaimana kamu tahu saya juga ada bersama.”

“Itu tak susah. Kami tahu ustaz ada seorang anak lelaki. Tentunya kau, lelaki pemalu itu… .

Dia kembali bersandar, meletakkan sudu dan garpu di sisi pinggan dan memakukan kembali fikiran ke ruang realiti. Dalam situasi sebegini, dia menganggap dirinya dan perempuan itu tidak mungkin boleh menjadi sahabat apalagi bertemu lagi selepas pulang. Lagu Aku dan Kamu, nyanyian Floppoppy tiba-tiba datang bergentayangan dalam ruang restoran itu mengingatkannya akan ada hati yang terluka jika semuanya tidak berakhir di sini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.