22 November 2022, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu hari bulan rejangnya kuda,

Kuda aman lalu ke pasar,

Pacu anak Inderagiri,

Syair Zaman muda bistari

Tuntutlah ilmu kenalkan diri.

 

Dua hari bulan rejangnya kijang,

Kijang mengantuk di rumpun buluh,

Makan kaduk di dalam padi,

Tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh,

Kita yang hidup akhirnya mati.

 

Tiga hari bulan rejangnya harimau,

Harimau sekoci turun sekawan,

Mati ditikam si orang Bali,

Baik dituntut ilmu yang suci,

Suci itu membersihkan diri.

(Sumber: JKKN Melaka)

Petikan “Puisi Rejang 30 Hari” tersebut terdapat dalam buku Puisi Melayu Tradisi (2016) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Rejang disebut sebagai puisi Melayu Tradisional dalam pentakrifan genre atau penggolongan puisi kesusasteraan Melayu, oleh guru kepada pelajarnya. Walau bagaimanapun setelah sekian lama pelajar ditinggalkan dengan persoalan, bagaimanakah rupa bentuk rejang dan bagaimana pula dendang lagunya?

Rejang hanya disebut sebagai salah satu jenis puisi tanpa dijelaskan fungsinya. Artikel ini ditulis bertujuan untuk memperkenalkan rejang, khazanah Melayu tradisional yang semakin sirna akibat kesenjangan zaman kepada pembaca.

Di Sebalik Nama Rejang

Beberapa persoalan timbul tentang asal usul dan makna asal perkataan rejang. Dalam konteks sastera tradisional, rejang merupakan puisi berbentuk lisan dan tulisan. Dalam konteks linguistik dan sejarah pula, Rejang adalah satu bentuk aksara, yang turut dikenali sebagai tradisi Surat Ulu, iaitu aksara yang digunakan rumpun Austronesia, sebelum hadirnya aksara Kawi, Rencong dan Jawi. Aksara ini merupakan muasal kepada tulisan bahasa Melayu. Meladeni aspek ini, Rejang bermaksud aksara kuno serta pemula asal usul kebahasaan negara.

Rejang dalam konteks umum yang diketahui kebanyakan masyarakat Malaysia pula adalah sebatang sungai, iaitu Sungai Rejang yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia, terletak di Sarawak. Pun begitu, berkenaan Sungai Rejang juga, timbul persoalan kerana di Sarawak, Rejang bukanlah semata-mata sungai, tetapi terdapat tradisi tarian Rejang yang merupakan tradisi tarian suku kaum Bidayuh, turut dikenali sebagai Tari Rejang Bauh atau Rejang Beuh. Persoalan kian rancu untuk mencari takrifan Rejang yang sebenar.

Dalam tradisi Tari Rejang Bauh atau Beuh itu pula, tiada pembuktian teks yang mendasari falsafah tarian, meskipun terdapat kisah di sebalik tarian tersebut. Tarian Rejang itu dipersembahkan dengan gerakan seperti seekor burung helang yang sedang terbang. Deskripsi rakaman gendang Tarian Rejang adalah seperti yang berikut.

Rejang Be’uh dalam bahasa Bidayuh Biatah, biasanya ditarikan oleh dua penari lelaki. Berdasarkan kisah turun-temurun, tarian ini bermula apabila seorang wira Bidayuh legenda, Madu Ujong telah diperintahkan oleh Raja Bintang yang bernama Pemuda untuk berjuang dengan Burung Legenda Langit yang dikenali sebagai Tingkilang Ramang atau Roh Eagle. Ini bertujuan untuk menentukan siapa yang mempunyai hak untuk memperisterikan Dara Buda sebagai isteri. Madu Ujong dan Tingkilang Ramang merupakan penari ulung. Mereka mula menari dari setiap hujung serambi, bergerak anggun ke arah satu sama lain dalam pelbagai gaya dan usul demi bertaruh kehebatan. Setiap kali berselisih, mereka akan menukik dalam gerakan yang cepat seolah-olah sedang menyerang antara satu sama lain.

(Sumber: YouTube Penglipurlara)

Menurut Kamaludin Rasdi @ Rosdi dalam Laporan Tarian Bidayuh Seni Tradisi Rakyat,

Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan penting dalam setiap upacara keagamaan yang mereka jalankan. Muzik ini berperanan menaikkan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai pententeram kepada semangat roh.

Berdasarkan deskripsi falsafah Tarian Rejang ini, dapat disimpulkan bahawa cerita berkaitan dengan binatang dan roh jahat ini tidak disampaikan melalui teks, tetapi diterjemahkan dalam bentuk gerakan (visual) dengan penuh emosi. Di samping gerak tari, ketukan gong dan gendang bertindak sebagai suara yang menambah rasa amarah di sebalik kisah yang ingin disampaikan.

Menurut Borneo Oracle yang dipetik daripada Laman Sosial Rasmi Borneo Oracle menyatakan bahawa

Messages are derived through the symbolic gestures performed with the various movements of the different parts of the body. Ritual dance is common to the civilization of all people at all times, and they are viewed as primarily functional and generally devoid of artistry. In the past, the Bidayuh believed in spirit and the world being populated by both good and evil spirits According to the traditional Bidayuh beliefs, these spirits are real and if they are disturbed, they can do a lot of harm to the villagers and the environment.

Mesej disampaikan melalui gerak isyarat simbolik daripada gerakan tubuh. Tarian serta kepercayaan ritual adalah suatu hal yang biasa dalam pembinaan tamadun semua negara. Menyentuh makna “kepercayaan”, seolah-olah manusia pada zaman itu hidup tanpa pegangan tertentu. Pun begitu, fungsi “kepercayaan” ini berat; merangkumi pedoman untuk mendorong hidup, petua dan ingatan, falsafah juga teguran sesama mereka.

Sekali pandang merupakan kesenian, tetapi unsur didaktik dalam kepercayaan masyarakat kuno ini tidak kurang hebat berbanding dengan masyarakat kini yang berpemikiran, kerana mereka mencerap sikap manusia menerusi alam. Dalam konteks tarian masyarakat Bidayuh ini pula, orang Bidayuh percaya roh dihuni oleh roh baik dan jahat. Mereka percaya roh itu hal yang nyata dan sekiranya diganggu, mudarat besar akan menimpa penduduk kampung dan alam sekitar.

Oleh itu, apakah kaitannya dengan rejang dalam puisi tradisional? Jika diamati semula petikan “Puisi Rejang 30 Hari”, setiap rangkap rejang menyebut nama binatang pada pembayangnya, manakala pada tiga baris bahagian maksud, akan diberi ingat-ingatan pada pembaca. Dalam buku Puisi Melayu Tradisi (2016) rejang ditakrifkan ramalan bintang (astronomi).

Menurut Mohd Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh (2016),

Biasanya, masyarakat di Nusantara ini mempunyai cara tertentu untuk meramal hari-hari yang baik dalam waktu sebulan. Oleh itu, kita dapati ketika Rejang dikatakan ada hubungannya dengan ramalan waktu, dan Rejang ketika dikaitkan pula dengan raksi (nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu). Di daerah Sumatera Selatan, rejang menunjukkan nama sebuah tempat. Mengikut sejarahnya, masyarakat di daerah tersebut memiliki bahasa dan huruf mereka sendiri yang dinamakan bahasa dan huruf Rejang.

Daripada petikan ini, dapat difahami bahawa rejang merupakan suatu perkiraan untung nasib orang Melayu yang dihitung setiap hari dalam sebulan. Mudah difahami, rejang merupakan kalendar orang Melayu dan untung nasib setiap hari ditaakul menerusi sifat binatang. Setiap hari dalam sebulan, akan ada binatang disebut dengan pantang-larang tertentu. Demikianlah juga kepercayaan yang terkandung dalam tarian rejang, berkisar kisah binatang atau lebih spesifik, helang.

Dalam MSS 291 Petua di kutubkhanah Perpustakaan Negara Malaysia, telah ditemukan dalam kalendar rejang tersebut yang turut mencatat pada tanggal (tarikh) tiga (kemungkinan hari ketiga dalam sebulan), akan berlaku perkara tidak baik sekiranya pergi berlayar, berjalan atau bercucuk-tanam. Dalam konteks astronomi atau geografi, dapat diandaikan petua ini merujuk kepada cuaca tidak baik yang akan mendatangkan musibah, kerana itu disarankan tidak berlayar ataupun bercucuk-tanam. Pun begitu, helang dalam teks rejang juga tarian tradisi Bidayuh ini merujuk kepada binatang yang membawa petaka.

[Helang 1]

Pada tiga likar (tanggal) hari helang lawan, jika berjalan atau berlayar pada ketika … baik dan jahat sama juga, jika hilang boleh tiada, boleh sama juga, jika menyerang atau diserang itupun sama juga, jika bertanam-tanaman tiada baik. (pada empat).

Rejang turut ditemukan dalam  MSS 290 Doa dan Azimat Lengkap serta MSS 2017 Doa Mantera. Daripada subseksyen peletakan rejang itu sendiri, dapat dilihat rejang tergolong dalam azimat, doa dan mantera yang berhubung-kait dengan penaakulan petua yang berlaku dalam kalangan manusia, sebelum adat dilaksana. Sepertinya, terdapat suatu tinggalan misteri yang perlu dijejaki tentang rejang ini. Jadi, adakah rejang tergolong dalam puisi tradisional kerana teks asalnya tidak terbentuk secara puisi?

Tujuh belas hari bulan rejangnya helang,

Helang terbang membelah awan,

Membuat sarang di dalam belukar,

Sudah datang jemputan Tuhan,

Ilmu dicari sebagai bekal.

Menurut Tuan Haji Abdul Rani Embi melalui temu bual pada 20 Mac 2021, puisi rejang mula diperkenalkan oleh keluarga Imam Haji Achim Pegoh yang berasal dari kampung Rim, Melaka. Puisi rejang ini diperoleh daripada ibunya, Almarhumah Puan Hajah Habsah. Puisi rejang ini diucapkan kaum ibu ketika mendodoikan anak, manakala kaum lelaki melafazkannya ketika upacara berzanji. Jika diamati, puisi rejang mirip teks rejang yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia. Sungguhpun demikian, puisi rejang lebih menjurus kepada ingatan yang lebih mudah difahami, sebaliknya rejang yang asal lebih kepada petua mengikut ilmu astrologi.

Pun begitu, sebagaimana takrif dalam Kamus Dewan Perdana (2021), rejang bermaksud cara perkiraan baik buruk untuk tiap-tiap hari bulan, biasanya dilambangkan oleh binatang dan benda. itulah kehebatan teks asal rejang dan puisi rejang – penaakulan kalendar orang Melayu!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.