Oleh Masriyah Misni
17 November 2022, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pantun merupakan puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman-berzaman lagi. Pantun terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a, b, a, b dengan beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua, iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud. Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea. Pantun ialah karya seni bahasa Melayu tulen.

Harun Mat Piah (1989) memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetika dan isi, iaitu tema dan persoalan. Unsur estetika pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek.

Yang pertama berkaitan dengan penggunaan lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Seterusnya yang kedua adalah berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud, sama ada secara konkrit atau abstrak. Secara ringkasnya, merujuk Kamus Dewan Perdana (2021), pantun ditakrifkan sebagai puisi Melayu tradisional yang berangkap, biasanya terdiri daripada empat baris, dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan dua baris kedua merupakan maksud.

Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari dalam bengkel seni pantun anjuran AID Academy menyatakan bahawa pantun ialah karya seni bahasa Melayu tulen. Tambah beliau lagi, agak sukar untuk memuktamadkan makna perkataan atau istilah pantun. Dalam hal ini pencinta seni pantun perlu bersandarkan kepada beberapa orang sarjana pada masa lampau. Ada yang menyebut perkataan pantun itu bererti teratur atau tersusun.

Tambah beliau lagi, sarjana Belanda, Brandstetter  turut menyatakan demikian kerana sememangnya pantun diucapkan secara teratur untuk melihat kesenian dan keindahannya terutama ketika dilafazkan. Aturan kata setiap baris tersusun rapi, misalnya dapat dilihat melalui contoh pantun seperti berikut:

Terbang gelam terbang kenanga,

Kenanga tumbang menimpa gedung;

Kumbang mengidam nak seri bunga,

      Bunga kembang di puncak gunung.

Rahman Shaari memetik kata-kata Za’ba yang menyatakan pantun itu perbandingan. Jika disebut “sepantun” ertinya “seperti” atau “laksana”. Dalam pantun tertentu ada perkataan sepantun yang bermaksud seperti.  Contohnya adalah seperti yang berikut:

Hujan turun rintik-rintik,

Tumbuh cendawan gelang kaki;

Kami sepantun telur itik,

Kasih ayam maka menjadi.

Makna yang pertama, iaitu tersusun. Tersusun ini menjadi asas untuk kesenian sesebuah pantun. Untuk pantun empat kerat, rima a, b, a, b ialah syarat yang menjadikan pantun teratur dan indah. Pantun akan lebih indah jika ada rima tengah.

Dalam pantun “Buah Cempedak di Luar Pagar” contohnya, cempedak berada di tengah (perkataan yang kedua dalam satu baris dianggap tengah). Cempedak itu dipadankan dengan perkataan budak, “Saya budak baharu belajar”. Perkataan galah pula dipadankan dengan perkataan salah. Datuk Rahman Shaari turut memberikan contoh pantunnya berkaitan dengan makna tersusun, iaitu penyengat berima dengan tak ingat, langsat berima dengan dekat, seperti contoh berikut:

Ada penyengat di dahan pauh,

Di dahan langsat semut melata;

Mana tak ingat orang yang jauh,

Orang yang dekat tak dengar kata.

Kesenian dan keindahan pantun juga dilihat berdasarkan suku kata. Umumnya, pembicara pantun menyebut jumlah suku kata ialah lapan hingga 12. Secara keseluruhan, jumlah suku kata tersebut dapat diterima namun seelok-eloknya dinyatakan permasalahannya.

Datuk Rahman Shaari menyatakan bahawa jika seseorang pemula pemantun, iaitu orang yang baru hendak belajar berpantun, sering kali menghitung suku kata, pantun itu tidak akan menjadi atau sukar dicipta.

Kata Rahman Shaari,

Jika  mahu menuturkan baris pertama pantun, sebutlah empat patah perkataan senafas. Contohnya, ‘Hujan turun waktu pagi’. Kemudian sebut apa-apa perkataan sahaja, asalkan empat patah perkataan. Contohnya, ‘Beruk jantan memanjat kelapa’. Dalam hal ini, jika ada pencinta pantun mempertikaikan penggunaan kata ‘beruk’ kerana dalam pantun mesti menyebut objek yang elok atau cantik sahaja, jangan dihiraukan pandangan itu kerana pantun mempunyai pelbagai jenis.

Berkaitan dengan jumlah suku kata pantun ini, berdasarkan penemuan Rahman Shaari, hitungan jumlah lapan hingga 12 suku kata baris menyebabkan timbul kebimbangan. Pemula pantun mungkin berasa risau sekiranya baris yang diucapkannya kurang atau lebih daripada lingkungan lapan hingga 12 suku kata itu. Contohnya adalah seperti yang berikut:

Kalau tidak kerana bulan,                  (9 suku kata)

tidak bintang terbit tinggi;                (8 suku kata)

Kalau tidak kerana tuan,                    (9 suku kata)

Tidak saya datang ke mari.           (9 suku kata)        

Terdapat juga pantun yang mempunyai 12 suku kata. Contohnya adalah seperti yang berikut:

Tentera garang menang berperang,

Pergi berkumpul di tepi pantai;

Nasib malang tidur seorang,

Berbantalkan bendul bertikarkan lantai.

Maka itu, dapat disimpulkan bahawa jumlah suku kata lapan hingga 12 itu adalah benar dan memang terdapat dalam pantun tertentu untuk tujuan memperindah sebutan dan menonjolkan nilai kesenian sesebuah pantun.

Setiap baris pantun lazimnya terdiri daripada empat patah perkataan. Tujuannya adalah untuk memperlihatkan keseragaman dan susunan suku katanya. Namun demikian, terdapat pengecualian sekiranya terdapat perkataan yang hanya satu suku kata, tidak termasuklah dalam hitungan jumlah suku kata. Contohnya seperti dalam pantun berikut yang biasa diketahui umum:

Dua tiga kucing berlari,

Mana nak sama si kucing belang;

Dua tiga boleh kucari,

Mana nak sama adik seorang.

Dalam pantun tersebut, baris pertama terdiri daripada empat perkataan. Baris kedua mempunyai enam perkataan, namun kata nak dan si tidak dihitung, maka jumlah dalam satu baris kekal empat perkataan. Mengapakah perkataan yang terdiri daripada satu suku kata tidak dihitung? Jawabnya, perkataan itu bercantum dengan perkataan selepasnya apabila disebut, iaitu nak – sama, si kucing, yang mana dan lain-lain.

Tidak dinafikan bahawa dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional sangat kaya dengan kesenian pantun terutama dalam majlis tertentu seperti adat peminangan. Kecekapan, kemahiran dan kepakaran mereka berpantun secara spontan sebagai pembuka bicara menyatakan bahawa tujuan dan hasrat kedatangan rombongan mencerminkan bahawa masyarakat Melayu tradisional sangat menjunjung tinggi kesenian pantun Melayu.

Kebiasaannya, ketua rombongan meminang bertindak sebagai ketua yang akan menjual pantun kepada wakil  tuan rumah. Kita perlu perkukuh tanggapan dalam akal tentang corak pantun yang akan dijual dan bersedia dengan jawapannya untuk membeli pantun yang dijual. Rombongan tiba dengan membawa pelbagai hadiah bagi pihak perempuan dan wakil pihak perempuan mungkin berpantun.

Di sinilah terlihat jelas betapa keindahan bahasa seni pantun perlu dipertahankan dan diwariskan kepada generasi baharu pada masa akan datang. Contohnya adalah seperti yang berikut:

Burung punai burung merpati,

Ada yang hinggap di atas dahan;

Tuan beramai datang ke mari,

Kami nak dengar apakah tujuan.

Pantun tersebut dapat atau boleh dijawab secara romantik, iaitu:

Pagi-pagi cuaca pun segar,

Angin bertiup sungguh nyaman;

Tujuan kami memanglah besar,

Hendak memetik bunga di taman.

Jika pemantun daripada pihak perempuan suka berjenaka, pantun seperti berikut sesuai untuk dilafazkan:

Orang lama bergaya lama,

Berjalan malam bawa raga;

Hendak bunga ambillah bunga,

Bunga tahi ayam di tepi tangga.

Seiring peredaran zaman moden yang memerlukan bicara realistik biarpun melalui pantun. Penggunaan kata “bunga” yang merujuk kepada anak gadis dalam pantun juga turut menerima perubahan. Pemantun kini lebih bersikap berterus-terang untuk memudahkan urusan peminangan.

Generasi muda hari ini gemar berpantun yang tidak perlu berselindung atau berteka-teki. Walaupun nilai kesenian pantun dari aspek bahasa kurang ditekankan, namun sikap menyanjung tinggi seni budaya pantun sebagai warisan Melayu amat dihargai. Jadi pantun yang menyebut “bunga” itu tidak diperlukan dan diubah pada pantun seperti contoh yang berikut:

Pagi-pagi mendungnya awan,

Turun ribut menderu-deru;

Datangnya kami ada tujuan,

Jika tak sebut pun orang tahu.

Pemilihan gaya realisme begini terutama dalam berpantun peminangan dilihat sangat baik. Hadirin di sebelah pihak anak dara mungkin akan bercakap sesama mereka, bahawa mereka memang tahu tujuan kedatangan rombongan tetamu berdasarkan barangan hadiah yang dibawa bersama. Setelah kedua-dua pihak berbicara secara rasmi, pihak perempuan akan menetapkan jumlah mas kahwin dan hantaran.

Dalam hal ini, pihak lelaki menyatakan persetujuan dan acara itu berakhir dengan penetapan tarikh pertunangan dan pernikahan. Contohnya, tarikh yang dipersetujui untuk tempoh pertunangan adalah selama lima bulan, barulah akan berlangsung pernikahan. Setelah tamat perundingan itu, pihak tuan rumah akan berpantun seperti berikut:

Ada belalai ada gading,

Hairan apa tentulah gajah;

Sudah selesai kita berunding,

Tunggulah pula majlis nikah.

 Untuk menjawabnya pula, pantun berikut adalah sesuai.

Tengok di daun ada penyengat,

Tengok di dahan semut meniti;

Lima tahun lama sangat,

Lima bulan boleh dinanti.

Contoh kisah pantun tersebut adalah bertujuan untuk melukiskan penggunaan pantun dalam peminangan masyarakat Melayu. Kesemua contoh pantun tersebut merupakan pantun ciptaan Rahman Shaari sendiri sebagai pengetahuan dan pemahaman pemantun pemula.

Dalam bengkel tersebut, Rahman Shaari turut mengutarakan konsep singkatan dan klitik yang kerap digunakan dalam pantun. Menurut beliau, kedua-dua unsur ini merupakan amalan penutur jati. Perkataan singkatan “tak” terdiri daripada satu suku kata tetapi boleh disebut dengan lenggok dan intonasi seolah-olah dua suku kata. Contohnya seperti pantun ciptaan Mohd Shaidan seperti yang berikut.

Tinggi rendah daun pisang,                (8 suku kata)

Tunggu layu tak layu;                     (7 suku kata)

Tinggi rendah mata memandang,        (9 suku kata)

Tunggu lalu tak lalu.                       (7 suku kata)

Berdasarkan contoh pantun tersebut, kata singkatan “tak” boleh dijadikan dua suku kata apabila tak diucapkan dengan gaya dua suku kata, iaitu tidak. Contoh pada baris kedua, “Tunggu layu tak layu” , tujuh suku kata, boleh dijadikan lapan suku kata apabila tak diucapkan dengan gaya dua suku kata tidak.

Seterusnya, konsep klitik adalah penggunaan kata “ku” dan “mu” dalam pantun. Walaupun ada makna yang boleh berdiri sendiri tetapi klitik terikat dengan kata yang berdekatan dengan masing-masing. Contohnya, kuambil, kutebang, milikmu, tugasmu. Jika keadaannya seperti contoh yang dinyatakan, maka jumlah perkataan itu dikira sebagai satu perkataan.

Namun demikian, jika ditulis kemudian dijarakkan daripada perkataan berdekatan, maka akan dikira sebagai dua perkataan. Contohnya, aku ambil, aku tebang, milik kamu, tugas kamu.

Menurut Rahman Shaari lagi, penciptaan pantun yang indah dipengaruhi oleh pemilihan kata atau diksi. Pemilihan kata yang sesuai dan tepat menjadikan bahasa pantun indah dan menarik untuk dibaca. Antaranya adalah unsur anaphora, iaitu penggunaan kata yang sama dalam baris pantun. Contohnya adalah seperti pantun yang berikut:

Kalau ada sumur di ladang,

     Boleh kita menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,

     Boleh kita berjumpa lagi.

Jika ada ulangan kata di tengah-tengah baris pantun pula dikenali responsi. Contoh pantun adalah seperti yang berikut:

Pisang emas bawa belayar,

Masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Selain itu, jika ulangan kata terdapat di tengah-tengah dan di hujung baris pula dikenali sebagai homoioteleuton. Contohnya adalah seperti yang berikut:

Dari mana hendak ke mana,

Tinggi rumput dari padi;

Tahun mana bulan mana,

Dapat kita berjumpa lagi.

Sekiranya ulangan kata itu hanya terdapat di hujung baris sahaja, maka ulangan tersebut dikenali sebagai epifora.

Pantun sebagai khazanah budaya masyarakat Melayu khususnya yang memainkan peranan tersendiri dalam situasi tertentu. Masyarakat Melayu lama menggunakan pantun sebagai medium menyampaikan nasihat, teguran, pedoman, pengetahuan malah suntikan semangat kepada pembaca. Penggunaan diksi berbentuk madah, kata-kata hikmat, pepatah dalam pantun berfungsi sebagai memberikan semangat. Unsur ini dikenali sebagai aforisme. Contohnya adalah seperti yang berikut:

Segar terasa bayu di bendang,

Tepian titi nyaman selesa;

Perkukuh bahasa segenap bidang,

Lambang jati dirimu perkasa.

Pesan Rahman Shaari, jika mencipta pantun, terlebih dahulu fikirkan makna yang hendak disampaikan kepada pembaca. Aspek kesenian pantun yang tersusun dan indah akan menambat hati pembaca untuk meminati seni pantun. Karya pantun yang mempunyai kekuatan mesej ialah karya yang kuat dari segi strukturnya.

Janganlah mengabaikan aspek yang menjadikan khazanah pantun itu sendiri tersusun strukturnya yang menggambarkan kebijaksanaan dan kepintaran penutur Melayu terdahulu. Pantun merupakan seni warisan bangsa zaman-berzaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.