Oleh Saiful Ghazali
16 November 2022, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kamus Dewan Perdana (2021) mentakrifkan buli adalah perbuatan menyakiti, menganiayai atau menakuti seseorang biasanya dilakukan terhadap orang atau pihak yang lemah. Di Malaysia, perbuatan salah laku ini lazimnya dilaporkan oleh media. Sekiranya perbuatan buli terdedah dan dilaporkan oleh orang yang dibuli khususnya, maka pihak polis akan membuka kertas siasatan berhubung kes buli di bawah seksyen yang telah diperuntukkan dalam perundangan.

Kajian terhadap indeks perlakuan buli di sekolah di Malaysia pernah dilakukan oleh Azizi Hj Yahaya dan Zurhana Muhamad (2018) yang menunjukkan bahawa tahap perlakuan buli di sekolah, sama ada menengah atau rendah secara  keseluruhannya berada pada  tahap yang rendah. Walau bagaimanapun, sesekali jenayah ini, perbuatan tersebut sering memeras perasaan insani manusia.

Perwatakan jenayah buli mempunyai acuannya yang tersendiri sejak sekian lama. Melalui fiksyen kesusasteraan seperti Cinderella, pembaca boleh mengenali dan memahami sikap serta tingkah laku pembuli serta mangsa buli sambil berhibur. Selain berhibur, roman klasik ini juga mampu memberikan kesedaran kepada pembaca seawal kanak-kanak tentang kesan melakukan jenayah buli serta langkah yang perlu dilakukan sekiranya menjadi mangsa buli.

Kesedaran terhadap jenayah buli boleh dipupuk melalui karya sastera.

Pengetahuan ini amat penting untuk dipupuk memandangkan kes buli sering berulang-ulang. Apabila pengetahuan dan kesedaran berkenaan buli dipupuk sejak kecil secara santai dan seronok menerusi karya kesusasteraan, kadar jenayah buli boleh dikurangkan dari masa ke masa.

Cinderella Sebagai Cerita Dongeng Merentas Zaman dan Wilayah

Sebenarnya, roman Cinderella (sebuah cerita yang pada asalnya daripada kisah lisan masyarakat Greek Kuno) telah memaparkan karakter watak penjenayah buli dan mangsa buli kepada pembaca. Disebabkan lama menelusuri zaman, cerita rakyat ini telah wujud dalam pelbagai variasi kisah di seluruh dunia. Cinderella diketahui umum dan lazimnya menjadi  sebuah naskhah yang berada di rak buku sebagai bahan bacaan kanak-kanak.

Roman popular ini malar segar diuji zaman bukan disebabkan fantasi peri serta cinta putera impian semata-mata, namun kelangsungan kajian ilmiah terhadap karya ini menjadikan Cinderella diulang baca serta diwacanakan semula. Bahkan, pelbagai seminar dan artikel serta buku kajian telah terhasil kesan daripada kajian terhadap dongeng klasik ini.

Watak antagonis dalam Cinderella atau The Little Glass Slipper, iaitu ibu tiri (Lady Tremaine) dan adik-beradik tiri Cinderella (Anastasia dan Drizella) menggambarkan watak pembuli. Sebaliknya, watak Cinderella yang polos pula ialah mangsa buli. Hal ini boleh kita fahami melalui perilaku dan tindakan khianat ibu dan adik-beradik tiri Cinderella. Melalui watak yang dinyatakan itu, masyarakat boleh mengaitkan perwatakan yang dibawa secara fiksyen dengan realiti masyarakat pada masa ini, seterusnya mengambil pengajaran serta nilai yang terkandung dalam karya kesusasteraan sambil berhibur.

Hal ini bertepatan dengan sifatnya yang penuh dengan fantasi (bersifat menghibur) dan sarat dengan pengajaran moral yang boleh dijadikan pengajaran. Fiksyen Cinderella telah terbukti merentasi wilayah serta perbezaan bangsa kerana masyarakat bersepakat dengan gagasan yang dibawa dalam naskhah tersebut.

Dalam fiksyen klasik ini, pada awalnya digambarkan Cinderella dijadikan sebagai hamba abdi oleh keluarga tirinya setelah kematian ayah dan dalam riwayat yang lain pula memperlihatkan Cinderella juga sering diejek, didera serta diaibkan walhal Cinderella pasrah menerima takdirnya. Kepasrahan Cinderella hanya tertumpah melalui tangis dan pilu yang tidak berpenghujung.

Kemuncak rancangan khianat mereka terhadap Cinderella (anak kepada tuan rumah agam) dipaparkan apabila Cinderella disuruh tidur di loteng di dalam rumahnya sendiri untuk melengkapkan sifat keburukan keluarga tiri Cinderella. Sama seperti mangsa buli konvensional, mereka akan berdiam diri dalam kedukaan dan hiba secara sendirian. Tanpa bantuan dan pertolongan, watak mangsa buli seperti Cinderella sentiasa digambarkan mengharap dan terus berdoa dalam kesedihan agar diselamatkan daripada keganasan ini.

Kebejatan Budaya Buli dalam Cinderella

Roman klasik ini sebenarnya membawa pembaca kembali pada terma perbuatan buli itu sendiri, iaitu suka mendera dan mempermainkan orang yang lemah, menggertak, mencederakan dan menakutkan orang yang dibuli. Tambahan lagi, perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang ini juga bertujuan untuk mendapatkan keseronokan melalui cara yang salah.

Ciri-ciri pembuli yang dinyatakan ini sebenarnya sangat bertepatan dengan watak Lady Tremaine, Anatasia dan Drizella. Bahkan,pembuli pada hari ini hanyalah manusia yang tidak sedar diri bahawa modus operandi yang dibawa oleh mereka adalah templat perwatakan pembuli zaman Greek Kuno. Dorongan untuk menampilkan kedominanan individu atau kumpulan sang pembuli meninggalkan prima facie yang lapuk. Hal ini seharusnya disedari oleh pembuli dan mereka patut berasa malu kerana tidak insaf.

Dalam kisah ini, watak Cinderella yang lemah lebih kepada sifat tawaduknya yang tidak bertempat. Kezaliman terhadapnya memerah simpati para pembaca untuk sama-sama mengikuti kesudahan kisah tersebut. Bahkan watak Cinderella seperti tidak mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri daripada jenayah domestik yang telah dilakukan oleh ibu dan adik-beradik tirinya.

Idealogi Cinderella Melingkari Masyarakat

Penulis yakin bahawa babak buli tidak terhenti dengan satu episod sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana buli merupakan episod berangkai yang akhirnya sampai ke kemuncak. Cinderella sebagai contohnya membawa pembaca untuk memahami situasi ini. Cinderella telah memahamkan kita bahawa seseorang yang bersabar akan menerima kebaikan pada akhirnya.

Pada masa yang sama, Cinderella pula jelas tidak pernah melaporkan kekejaman keluarga tirinya kepada sesiapa sedangkan dia dicintai oleh orang di sekeliling, malah boleh berhubung dengan kuasa ghaib yang diwakili oleh ibu peri.

Bukan itu sahaja, sewaktu menari bersama dengan putera idaman juga tidak membuka mulut tentang kedurjanaan Lady Tremaine, Anatasia dan Drizella di rumah agam milik mendiang bapa kandungnya sendiri. Hal ini berlaku dalam masyarakat yang dibuli. Mangsa buli pada akhir-akhir ini lazimnya hanya diketahui statusnya apabila berlaku penularan video secara besar-besaran sama ada menerusi media cetak mahupun media digital. Sedangkan salah laku itu perlu dilaporkan seawal yang mungkin sebelum kes tersebut menjadi parah.

Menarik tentang Cinderella, perwatakannya mempunyai persamaan dengan mangsa buli yang wujud pada hari ini. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Portal MyHEALTH, mangsa buli lazimnya akan berasa tertekan, kesunyian dan cemas. Selain itu, mereka juga kurang keyakinan kesan daripada tindakan pembuli yang telah mengaibkan maruahnya melalui tindakan zalim.

Akibatnya, mangsa buli lebih cenderung untuk tidak menceritakan masalahnya kepada sesiapa. Lebih membahayakan lagi apabila mangsa buli tidak mahu hadir ke sekolah dan seterusnya berfikir untuk membunuh diri. Malangnya pada hari ini tiada peri yang dapat menyelamatkan mangsa buli melainkan mangsa itu sendiri yang perlu mengambil tindakan yang berani.

Kisah Cinderella seharusnya menjadi teladan kepada pembaca bahawa setiap kejahatan pasti terbongkar. Pada akhir kisahnya, Cinderella telah menikah dengan putera raja yang tampan setelah terbukti bahawa dia ialahputeri yang dicari oleh putera raja melalui padanan selipar kaca yang tercicir. Keluhuran hati Cinderella terserlah apabila dia memaafkan keluarga tirinya yang zalim dan melayan mereka dengan baik selepas itu.

Kisah ini amat mengasyikkan untuk diteladani sebagai fiksyen yang berakhir dengan kegembiraan. Pengajaran roman Cinderella telah menjadi sumpah yang abadi kepada pembuli. Sebalikya pengajaran dongeng ajaib ini selalu menjadi harapan dan cahaya pengakhiran kepada mangsa.

Namun begitu, keindahan pengakhiran kisah ini boleh dibuat kritikan kerana mangsa buli secara realiti pasti akan menanggung kesan lara yang berpanjangan. Walau bagaimanapun, bukan semua mangsa buli berakhir dengan kisah kemenangan dan bahagia seperti kisah dongeng ajaib Cinderella. Lebih menyiat nurani apabila mangsa buli berakhir dengan kehilangan nyawa.

Pada sisi lain pula, kisah Cinderella tanpa sengaja membuktikan kepada masyarakat bahawa fiksyen dongeng yang selama ini dianggap sudah lapuk harus kembali dilihat penting untuk dijadikan bahan bacaan kepada kanak-kanak. Pengajarannya yang malar segar boleh dipupuk dalam diri mereka supaya nilai murni ini melenturkan insani yang masih rebung sebelum tekal menjadi buluh. Kisah rakyat tempatan yang sarat dengan kesan dan akibat serta pengajaran yang berat harus dibawa ke rak buku di dalam rumah supaya karya sebegini menjadi bahan bacaan awal yang mencorak manusiawi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.