13 November 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Melayu (PMAPM) dengan kerjasama penerima Anugerah Bitara Syair Nusantara 2022, Dr. Shafa’atussara Silahudin telah menganjurkan Bengkel Dendangan Syair pada 12 November 2022 bertempat di Dewan Kuliah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Dr. Shafa’astussara berkongsi ilmu dan kemahirannya dalam aspek dendangan syair.

Selaku pendendang syair tersohor negara, Dr. Shafa’atussara Silahudin telah menjadi pembimbing bengkel dengan berkongsi ilmu, pengalaman, dan kemahirannya tentang aspek dendangan syair. Bengkel yang cukup signifikan dalam usaha meningkatkan pemahaman khalayak tentang dendangan syair ini berlangsung sehari dan peserta yang menyertai bengkel ini dikenakan yuran sebanyak RM20.00.

Bengkel yang menyasarkan peminat syair daripada golongan muda ini turut disertai oleh penggemar syair, khususnya golongan cikgu yang mengajar teknik bersyair mengikut irama syair kepada pelajar sekolah. Melalui bengkel ini, peserta bengkel diberikan pendedahan tentang jenis irama syair dan mempelajari teknik yang betul untuk mendendangkan syair.

Selaku penyandang johan dendangan syair peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Dr. Shafa’atussara berkongsi nasihat dan panduan kepada peserta bengkel, yang berhasrat menyertai pertandingan pada masa akan datang. Menurut beliau, antara aspek utama yang dinilai dalam pertandingan adalah keupayaan pendendang syair memberikan persembahan yang menarik.

  1. Lagukan syair dengan cara mempersembahkan, mendendangkan, dan mengalunkannya dengan suara yang dirasakan sesuai dengan diri sendiri. Jangan meniru atau terikut-ikut dengan suara orang lain.
  2. Jangan menganggap kerja mendendangkan syair itu suatu perkara yang sukar (pesanan khusus untuk amatur).
  3. Buat kerja rumah, iaitu kaji teks syair untuk memahami apa-apa yang disampaikan melalui teks tersebut, kemudian berlatih sebutan dan iramanya yang betul. Jangan malu bertanya kepada orang yang arif dalam dendangan syair.
  4. Lantunkan dendangan syair secara berulang-ulang untuk melahirkan suara yang dinamik dan lenggok yang kreatif supaya juri dan khalayak tertarik mendengarnya.
  5. Dendangkan rangkap pertama syair dengan penuh perasaan. Pada rangkap tengah, luahkan perasaan tetapi kawal suara dan perasaan kerana pada tahap ini sudah melibatkan perasaan seperti sedih dan menangis. Pada rangkap akhir, lontar atau lepaskan sahaja suara dan perasaan.

Sebelum itu, Dr. Shafa’atussara juga memberitahu peserta tentang jenis irama syair di Malaysia. Menurut beliau, terdapat 50 irama syair di Nusantara, namun hanya 10 sahaja irama syair yang popular, iaitu Selendang Delima, Batu Belah, Perindu, Mayang, Perantau, Dandan Setia, Dodoi, Hiasan, Rawi, dan Siti Zubaidah.

Menariknya, Dr. Shafa’atussara melantunkan 10 irama syair bagi membezakan lenggok dan cara lantunan kesemua irama syair tersebut. Melalui bengkel ini, setiap peserta diberikan bahan teks dendangan berserta dua minus one irama syair dan kemudiannya, mereka turut diberi peluang mendendangkan syair mengikut irama pilihan masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.