Oleh Syahmi Ibrahim
31 Oktober 2022, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera klasik tidak seharusnya dianggap sebagai bidang picisan dan terpinggir, walaupun ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa sastera klasik hanyalah satu pemikiran yang bersifat sosial, keakuan, keperwiraan dan satria semata-mata. Tanggapan tersebut menyebabkan pemahaman terhadap sastera klasik hanya perihal watak hero pada masa lampau. Walhal, sastera klasik sebenarnya bertujuan menceritakan diri manusia secara keseluruhannya.

Kesusasteraan dikenali juga sebagai persuratan oleh sebahagian sarjana. Fungsi persuratan adalah untuk menyingkap perkara yang tersirat, terutama berkaitan dengan rahsia kejadian dan kewujudan alam.

Mengambil contoh tradisi ajaran Hindu atau Buddha, tujuan sastera adalah untuk memahami diri manusia dan alam sehingga diri manusia mampu untuk mencapai ke alam yang tertinggi, iaitu kebebasan jiwa. Hal ini disebabkan persoalan besar yang berlaku dalam kehidupan manusia adalah berkaitan dengan tujuan hidup. Perkara ini menjadi bukti bahawa sastera dan agama tidak boleh dipisahkan.

Dalam al-Quran ada disebutkan bahawa para nabi diutuskan kepada sesebuah bangsa menggunakan bahasa mereka sendiri. Di sini memperlihatkan bahawa tidak mungkin nabi atau rasul yang membawa peringatan daripada Tuhan, menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh bangsa tersebut. Walaupun bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa itu berbeza-beza, namun mesej yang hendak disampaikan adalah sama, iaitu kesatuan dan pengakuan tentang keesaan Tuhan.

Dalam sastera Melayu klasik banyak ulama Melayu membicarakan kesatuan dengan menggunakan istilah “ada”, “wujud”, atau “ma hiya”. Kesemua ini bertujuan untuk membawa pembaca mengenal Yang Satu.

Apabila munculnya zaman revolusi perindustrian atau zaman permodenan di Barat, didapati bahawa semua perkara di dunia ini mesti dibuktikan secara objektif menggunakan kaedah demonstrasi atau eksperimen. Walaupun tidak dapat dinafikan penggunaan kaedah tersebut adalah bertujuan untuk mengetahui kebenaran. Namun demikian, harus disedari bahawa di sisi lain, ada kaedah lain yang dipanggil sebagai pengalaman rohani atau ilham untuk mengenali diri.

Masyarakat klasik pada zaman dahulu mengenal diri mereka dengan menggunakan kaedah ini. Hal ini penting berdasarkan ungkapan, “Barang siapa yang tidak mengenali diri sendiri, dia tidak mengenali Tuhannya”. Ini terbukti dari zaman Hamzah Fansuri hingga Amir Hamzah, semuanya menceritakan pengalaman diri dengan Tuhan atau yang berkaitan dengan tasawuf.

Tambahan pula, sastera sepatutnya memainkan peranan sebagai pembicara perihal diri manusia, makna diri dan kehidupan diri manusia. Sastera bukan berbicara perkara seharian. Yang penting untuk disentuh adalah tragedi dan bukannya komedi kerana melalui tragedi kita boleh melihat apa-apa yang menentukan nasib manusia. Tragedi bukanlah sesuatu yang baik tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuh oleh setiap insan. Tragedi merupakan satu kepahitan yang mesti ditelan. Setiap kesakitan yang dirasakan dalam kehidupan adalah kerana kita tidak mengetahui secara jelas tentang apa-apa tujuan kita dihidupkan, walaupun kita berasa letih mencari makna sebenar dalam hidup ini.

Selain itu mitologi, legenda dan epik merupakan sesuatu yang tidak asing dalam dunia penulisan sastera. Keseriusan untuk memahami nilai kehidupan hanya boleh dicapai melalui epik, tidak melalui drama. Drama hanya mengungkapkan kehidupan seharian, manakala epik pula menceritakan makna kewujudan manusia. Apabila sastera atau epik dipinggirkan, maka dunia menghadapi keruntuhan nilai kemanusiaan.

Semuanya bermula pada kurun ke-18 apabila manusia mula menyibukkan diri dalam revolusi perindustrian. Manusia sudah mula lupa bahawa sastera merupakan sumber dan makanan kepada jiwa. Akhirnya manusia hanya sempat membaca cerpen yang ditulis secara ringkas dan diterbitkan secara mingguan dalam akhbar dan seterusnya meninggalkan membaca hikayat atau epik.

Kesannya, kesusasteraan hanya menceritakan kejadian yang berlaku dalam masyarakat yang bersifat luaran, berbanding dengan kejadian yang berlaku dalam diri manusia. Sebenarnya, mereka berkehendak untuk menafikan tasawuf.

Namun begitu, setiap kejatuhan diri manusia pasti ada perjuangan untuk bangkit semula. Perjuangan yang sebenar adalah perjuangan membangunkan diri dan bukannya membangunkan masyarakat. Masyarakat dengan sendirinya akan terbangun apabila diri sendiri sudah siap bangun.

Berdasarkan ajaran agama dan falsafah timur pada masa lampau, nilai individu adalah lebih penting berbanding dengan nilai masyarakat. Contohnya seperti penyaksian diri kita terhadap Ketuhanan Yang Maha Esa, semuanya itu berbalik pada diri sendiri atau individu bukannya masyarakat. Masyarakat tidak bersaksi kepada Allah, tetapi diri sendirilah yang bersaksi kepada Allah sebagai Tuhan. Perkara ini juga terdapat dalam tradisi Hindu yang dikenali sebagai Atman Brahman iaitu “that the individual soul is the same as the universal soul”.

Sastera merupakan sebuah tradisi keagamaan. Hampir kesemua penulis sastera di alam Melayu menceritakan tasawuf, makna diri, makna kejadian dan roh. Mereka mencari makna hakikat kehidupan di samping sebagai kerjaya. Realiti sastera sufi itu bertingkat-tingkat. Daripada sastra kepada sutra seterusnya yoga. Begitu juga ilmu pengetahuan yang lain wujud secara bertingkat-tingkat kerana setiap ilmu pengetahuan itu berkembang. Jika diteliti, tidak ada pemisahan antara alam Melayu dengan alam yang lain seperti alam Parsi dan Arab. Semuanya dikelompokkan dalam Islam. Maka itu, apabila membicarakan sastera Iran atau Parsi, ia juga menunjukkan sastera Melayu.

Menyingkap sejarah kesusasteraan di alam Melayu pada masa lampau, kitab seperti Nur Muhammad dibaca secara umum oleh masyarakat tempatan pada masa itu kerana mereka percaya kepada kewujudan para nabi yang membawa cahaya kepada manusia. Di samping itu, al-Quran juga menukilkan tentang cahaya dalam penciptaan langit dan bumi.

Sungguh menarik jika kita meninjau perkataan literature. Perkataan tersebut mempunyai hubungan dengan perkataan light, lighter, lit iaitu yang membawa maksud pencahayaan. Jadi literature itu sendiri membawa cahaya kepada kehidupan manusia seterusnya memberikan kebahagiaan dalam kehidupan. Membaca sastera itu adalah jalan untuk mencapai kebahagiaan. Maka dalam mencari kebahagiaan haruslah memakai jalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan kerana itulah yang dikatakan kebahagiaan yang sebenar.

Termasuklah sastera hikayat di alam Melayu, jika diteliti secara mendalam, kita akan mendapati semuanya menceritakan kehidupan manusia di muka bumi dan jalan untuk kembali kepada Tuhan. Namun demikian, banyak yang salah faham dan menganggap hikayat sebagai sesuatu yang tidak bermakna dan bersalahan dengan realiti kejadian dan hanya menganggapnya sebagai hiburan semata-mata.

Contohnya Hikayat Bayam Budiman yang menceritakan maksud cinta sejati dan kesetiaan yang mesti dijaga dan bukannya tunduk kepada desakan nafsu. Begitu juga dengan hikayat yang lain seperti Hikayat Pandawa Lima dan Hang Tuah lima bersaudara yang memberikan gambaran tentang lima pancaindera yang terdapat pada diri manusia. Ini menjadi bukti bahawa hikayat bukanlah semata-mata hiburan, bahkan dalamnya terkandung ajaran agama dan nilai falsafah

Penulisan sastera klasik seharusnya dipandang sebagai sesuatu yang memberikan nilai tambah dan harus diangkat pada taraf yang selayaknya berdasarkan peranan dan sumbangan yang telah diberikan dalam membentuk jiwa manusia yang manusiawi. Sastera klasik tidak seharusnya dipandang sepi, tetapi perlu diperluaskan kajiannya agar generasi pada masa akan datang tidak ketandusan dari segi nilai akhlak yang baik.

Penulisan ini berdasarkan wawancara penulis bersama dengan Profesor Baharuddin Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.