Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMenggeletar. Kemal mengoyakkan bekas plastik dengan terburu-buru lalu menyumbat sepotong roti sandwich berintikan telur mayones ke dalam mulutnya yang kering belum disogok dengan ritual bernama sarapan. Peluh merenik lebat di dahinya, menandakan keletihan yang ditanggung oleh badan. Setelah sandwich hancur dikunyah dan meluru masuk ke dalam tenggorok, Kemal mengesat peluh di dahi dengan hujung baju. Dia menghela nafas panjang.
Ada berapa lagi pesanan yang perlu dihantar?
Tepukan perlahan di bahu bersama sebaris soalan diterima oleh Kemal yang duduk mencangkung di tepi jalan. Rakan sekerjanya, Adi ikut serta duduk di tepi jalan untuk berehat apabila terpandang motosikal Kemal. Sejujurnya, mereka berdua kepenatan setelah seharian bekerja menjadi budak penghantar makanan. Mereka tidak punya jadual rehat yang tetap. Maka, mereka harus mencedok beberapa minit dari masa 24 jam yang terbentang luas.
Aku perlu hantar tiga lagi pesanan …,” ujar Kemal lantas bangun dan menyarung helmet ke kepala. “Kau pula macam mana?
“Ada dua lagi,” balas Adi, memegang roti bungkus. “Aku baru duduk, kau nak gerak sekarang?”
Kemal menghidupkan enjin motosikal. Deru enjin bergema, memuntahkan asap. Kemudian Kemal pun berkata, “Aku dah lambat. Gerak dulu!”
Adi memandang Kemal pergi, mengharungi kesesakan jalan pukul 12.00 tengah hari dan di bawah terik matahari. Melihat kelakuan Kemal, Adi hanya mampu menggeleng. Bersimpati pada makanan di dalam kantung perut Kemal yang belum sempat hadam.
Sesungguhnya, hidup sebagai seorang manusia bernama Kemal sebenarnya dihadapi oleh banyak manusia yang lain. Mengejar masa yang tidak menunggu sesiapa, bekerja untuk hidup. Kehidupan harus diselenggarakan dengan wang. Kemal mendepani hakikat tersebut dengan kesedaran bahawa dunia sudah berubah. Atau sebenarnya, kehendak manusia yang sering berubah-ubah.
Ruginya belajar tinggi-tinggi tapi kerja jadi budak penghantar makanan.
Pada hari pertama Kemal bekerja sebagai budak penghantar makanan, itulah pendapat yang Kemal terima daripada saudara mara yang datang menziarahi orang tua Kemal di perumahan luar bandar. Kemal hanya tersenyum, menganggap mereka prihatin dengan keadaan dirinya. Kemal graduan lulusan kejuruteraan sivil, tetapi belum mendapat pekerjaan tetap.
“Tak apalah, baru saja tamat belajar. Lebih baik kerja hantar makanan untuk sementara waktu daripada duduk di rumah tak buat apa,” balas abah Kemal, memahami situasi si anak. Kemal selamat pada peringkat awal penilaian saudara-mara.
Setahun kemudian, Kemal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Sarah. Pada masa itu, Kemal masih bekerja sebagai budak penghantar makanan, majlis perkahwinan dibuat secara kecil-kecilan dan menjadi isu dalam kalangan saudara-mara.
“Itulah, nak juga menikah. Tak ada kerja tetap. Tak ada rumah sendiri. Yang ada cuma motosikal,” kata beberapa orang ahli keluarga di hadapan orang tua Kemal dengan nada sedikit sinis.
Lantas, mak Kemal menyahut, “Tak apalah, lebih baik ada ikatan yang sah daripada berkawan bertahun-tahun. Dia nak bertanggungjawab dengan anak orang. Nanti adalah rezeki mereka.”
Walau bagaimanapun, perhatian daripada manusia lain berubah menjadi satu beban dalam fikiran Kemal. Bekerja sebagai seorang budak penghantar makanan menjadi nilai untuk dihakimi sama ada maruahnya punya harga yang tinggi atau tidak. Tahun demi tahun, Kemal kekal menunggang motosikal dan menghantar makanan ke sana ke mari. Namun, Kemal tidak berputus asa, dia berusaha untuk mengubah kehidupan mengikut acuan yang dikehendaki oleh masyarakat. Cuma acuan itu menuntut permintaan yang tinggi. Untuk memenuhinya, Kemal seperti kehilangan segala impian peribadi.
“Abang, mak Sarah nak buka gerai makan. Mak suruh ikut sekali berniaga.” Sarah menyampaikan hajat pada suatu malam sambil mengendong anak lelaki mereka yang berusia beberapa bulan.
“Awak nak modal berniaga?” soal Kemal, membantu melipat pakaian yang ada di dalam bakul.
“Mak nak minta modal untuk buat gerai,” balas Sarah dengan nada perlahan. “Awak ada duit tak?”
Berapa kos buat gerai?
“Mungkin seribu lebih. Nak beli kayu, atap, bata, simen … .”
Sebaik sahaja Sarah menyatakan kos, Kemal terdiam sebentar. Menyedari bahawa permintaan tersebut tidak ada makna perkongsian. Hanya satu kebergantungan yang jelas dan Kemal tidak dapat menyalahkan Sarah kerana dia anak sulung, sama seperti dirinya. Mereka berdua tahu, pengaruh sekeliling bertiup halus ke cuping telinga dan menitipkan soal tanggungjawab. Kemal tidak dapat menghalang pemikiran itu daripada mendekati orang tua mereka. Mulut manusia ialah media yang sentiasa menyampaikan segala macam berita dan tidak dapat dihentikan melainkan manusia pupus.
“Baiklah, nanti abang beri modal buat gerai dan modal awak berniaga.” Kemal akhirnya bersetuju setelah menimbang segala macam perkara. Sebenarnya, menjaga hati kedua-dua pihak ialah cabaran yang paling sukar berbanding kos membuat gerai.
Seterusnya, hajat untuk membuat gerai pun ditunaikan. Kemal memenuhi permintaan si isteri meskipun dia harus bekerja lebih keras. Meredah jalan raya setiap hari dari pagi ke malam tanpa cuti, rambutnya lencun dihimpit helmet malah punggungnya terasa kaku membatu akibat terlalu lama menunggang motosikal. Kemudian, Kemal menerima satu lagi permintaan ketika menghantar ubat-ubatan ke rumah orang tuanya. Kemal menjadi telaga penunai hajat.
Mal, mak dengar kautolong mak mentuakau buat gerai makan di kampung. Kalau kau tak keberatan, mak nak kautolong mak juga. Mak pun nak buka gerai. Nanti adikkau jadi pembantu mak lepas dia habis SPM.
“Mak nak berapa?” soal Kemal, cuba meneka-neka.”
“Lebih kurang macam jumlah yang kaubagi pada mak mentuakau.”
Kemal tersenyum, tetapi entah kenapa hujung bibirnya seperti tidak benar-benar naik ke pipi. Kemal tahu kenapa permintaan itu diajukan. Dia seorang anak. Dia punya keluarga kecil. Ada dua orang emak dan dua orang bapa. Semuanya mempunyai hajat. Kemal sedar bahawa kemampuannya terbatas tetapi rasa malu untuk mengaku terlalu tebal. Ego sebagai seorang lelaki menegah dirinya daripada menolak permintaan tersebut, meskipun fikirannya bertambah sempit.
Akhirnya pada suatu petang, tercetuslah perselisihan antara mak dengan anak di ruang dapur. Pertanyaan yang terpendam sekian lama di hati si emak akhirnya terlepas di mulut. Petang yang santai itu bertukar menjadi sedikit tegang.
“Dah empat tahun kaukerja jadi penghantar makanan. Kau tak cuba cari kerja lain ke?” soal mak Kemal ketika sedang membuat persediaan menjual nasi lemak untuk esok pagi.
“Mal dah cuba mak, tapi belum ada rezeki. Setakat ni kerja yang Mal buat cukup untuk tanggung keluarga kecil Mal. Mal syukur,” sahut Kemal perlahan, menyerahkan sedikit barang keperluan dapur yang diminta oleh emaknya.
“Tapi sampai bila? Isterikau pun tak kerja. Usahalah sikit, cari kerja tetap. Jangan selesa dengan kerja yang kau ada sekarang. Adikkau nak sambung belajar tak lama lagi. Sebagai anak sulung, kau ada tanggungjawab yang besar.”
“Saya masih mampu beri awak makan, dapat hantar Siti sambung belajar. Jangan mendesak Mal,” celah abah Kemal yang duduk berehat di kerusi makan. Si emak langsung menjeling, menyatakan protes. Seterusnya si emak berkata lagi.
“Mak bukan nak menghalang kauberbakti dengan keluarga mentuakau. Dia ada anak-anak juga. Mintalah dengan anak-anak dia. Kaumasih ada orang tua. Abahkau pun bukannya makin muda. Mak berniaga pun sebab nak tampung belanja keluarga. Kalaulah kaubekerja tetap, mak tak payah berniaga macam ni!”
“Mal faham. Mal tahu.” Kemal menjawab ringkas. Dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan. Ternyata perasaan tidak puas hati si emak belum selesai.
Kautahu tak? Anak mak cikkau dah dapat kerja tetap. Gaji dia besar. Dapat buat pinjaman bank, beli kereta baru. Sepupukau tu taklah pandai macam kau, tapi mudah pula dia dapat kerja. Tapi kau? Belajar tinggi-tinggi tapi tak dapat kerja tetap. Bagi sini ijazahkau! Jadi pembalut nasi lemak saja yang layak untuk ijazahkau tu!
Sekelip mata, Kemal berasa hatinya pedih. Namun dia tidak membidas. Ternyata ijazah yang Kemal banggakan selama ini rupanya setaraf dengan pembalut nasi lemak. Empat tahun lebih berjuang di universiti tidak memberikan makna kepada emaknya. Adakah ini satu kejutan bagi Kemal? Tidak. Ijazah itu sememangnya diperbuat daripada kertas. Adakah kata-kata si emak setajam pisau dapur? Ya! Tajam dan benar-benar menghiris perasaan.
Begitulah, masa berlalu dan meninggalkan hal-hal semalam. Petang beransur menjadi malam yang muda. Kemal tiba di hadapan rumahnya setelah menyelesaikan kerjanya. Sebuah rumah sewa yang dibayar RM800 sebulan, terletak di tengah bandar. Ketika Kemal menyelak daun pintu rumah, dia merasai kepenatan yang luar biasa. Pandangan matanya juga sedikit kabur, maka Kemal memilih untuk tidak bekerja lebih masa.
Apabila Kemal berada di ruang tamu, Kemal mendapati anak lelakinya sedang tidur di atas sofa bersama botol susu yang sudah kosong. Rumah sewanya tidak banyak perabot, segalanya sederhana dan memenuhi keperluan. Sarah seorang isteri yang tidak banyak kerenah. Bagi Kemal, sikap Sarah itu juga salah satu rezeki kerana menyenangkan hatinya.
“Selamat kembali, abang,” ucap Sarah, tersenyum di meja makan. “Abang dah singgah rumah mak hari ni?”
“Petang tadi. Hantar barang dapur. Tak lama, lepas tu abang balik,” balas Kemal lalu duduk di kerusi makan sambil memerhatikan Sarah melenyekkan telur rebus sehingga hancur dan digaul bersama mayones. Beberapa bungkus roti bantal disediakan, sedia untuk disapu inti dan dikapit dua. Menyedari Kemal leka melihat pekerjaannya, Sarah pun berkata.
Sarah nak hantar sandwich ke gerai mak Sarah. Esok adik datang ambil. Nanti Sarah siapkan sandwich untuk abang. Sarah tahu abang suka sandwich.
Kemudian, Sarah dan Kemal saling tersenyum. Mengimbau semula kenangan mereka berkenalan di kampus, ketika di kaferia mereka sama-sama membeli sandwich sebagai sarapan pagi sebelum ke kelas. Lama-kelamaan mereka saling berhubungan, bermula daripada menu sarapan. Di saat mereka berdua saling mengenang kisah lalu, Kemal menyebut semula perihal sandwich yang pernah dia ceritakan kepada Sarah.
Nama sandwich diambil daripada nama John Montagu, Earl of Sandwich IV, bangsawan Inggeris bergelar ‘Earl’ abad ke-18. Montagu dapat ilham daripada jamuan roti dari Timur Tengah. Disebabkan Montagu terlalu sibuk bekerja, dia kapit dua keping roti yang berisi inti untuk memudahkan dia makan. Ada juga yang kata sandwich bermaksud kubu pasir.
“Sebut pasal pasir, mak Sarah minta tolong belikan pasir. Mak nak simenkan depan rumah. Baki simen yang abang beli hari tu masih ada,” ujar Sarah, teringat dengan pesanan yang diterimanya beberapa jam yang lalu.
Kemudian, Sarah menyedari Kemal tidak menyahut. Kemal hanya memerhatikan Sarah menyediakan inti lalu inti itu dikapit dengan dua keping roti dan roti itu dikerat dua dengan cermat. Entah kenapa, Sarah berasakan dia bukan mengerat roti berbentuk segi empat menjadi bentuk segi tiga. Mereka berdua sedang melihat hakikat roti bantal segi empat dikerat dua menjadi sandwich berbentuk segi tiga, perubahan yang harus dihadapi oleh si roti untuk memenuhi bentuk acuan plastik.
Dengan nada perlahan, Sarah berkata sambil menyusun sandwich yang siap seperti menara di dalam talam besar, “Abang tak payah beli pasir untuk mak. Biar Sarah yang beli. Sarah ada buat tabungan. Duit bisnes dalam talian Sarah dah masuk dalam akaun.”
Kemal seperti tersedar daripada khayalan apabila Sarah berkata demikian. Lantas Kemal menatap wajah Sarah yang cerah tanpa calitan mekap.
“Maafkan Sarah sebab Sarah pilih tak bekerja. Sarah tak nak hantar anak ke tangan pengasuh. Sarah juga minta maaf sebab keluarga Sarah bergantung harap pada abang. Sarah akan cuba kurangkan beban abang,” Sarah menyambung semula bicaranya.
Kemal memandang wajah Sarah dan sandwich yang tersusun molek di permukaan talam. Pandangan mata lelaki yang berusia 29 tahun itu silih berganti. Jauh di dalam ruang fikiran, Kemal memikirkan orang tuanya, adik perempuan, orang tua Sarah dan tiga orang adik Sarah yang bekerja sendiri. Kedua-dua belah pihak meletakkan pengharapan kepada mereka berdua. Saling menuntut, saling meminta. Lama-kelamaan menghimpit dan mereka berdua tersepit di tengah-tengah. Akhirnya Kemal menyedari hakikat bahawasanya, hidupnya sama saja seperti makanan kegemarannya.
‘Keluarga saya dan keluarga awak ialah dua potong roti …,’ bisik Kemal, separuh berkhayal. Sarah kehairanan, menyangka barangkali suaminya terlalu penat. Namun Kemal meneruskan bisikannya, “Dan kita berdua intinya. Seperti inti …, dikapit dua keping roti.”