27 Oktober 2022, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan penulisan karya sastera di Malaysia menyaksikan hubungan erat antara pengarang dengan isi semasa serta persekitaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Melalui pembacaan, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak persoalan serta pemikiran yang dikemukakan oleh penulis dalam karya sastera khususnya sastera remaja yang berkaitan dengan makanan tradisional masyarakat atau kulinari.

Kulinari merupakan bidang yang berkaitan dengan masakan, penyediaan makanan dan minuman atau pastri dan kek. Maka itu, penulisan ini akan memfokuskan teknologi kulinari berdasarkan budaya pembuatan makanan, iaitu ikan puyu pekasam yang terdapat dalam cerpen “Puyu Pekasam Buat Mama” karya Salina Ibrahim.

Cerpen “Puyu Pekasam Buat Mama”, karya Salina Ibrahim termuat dalam Kumpulan Cerpen Telah Tercantum Melati untuk Qay (2015).

 

Perkataan kulinari tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Bidang ini memberikan tumpuan terhadap kemahiran dan kesenian dalam memasak makanan. Kamus Dewan Perdana (2020) mendefinisikan kulinari sebagai bidang yang berkaitan dengan masak-memasak.

Pengurus GIATMARA Setiawangsa, Syahizad Zuriatie Mohamad Zuki menyatakan bahawa seni kulinari membabitkan bidang masakan, penyediaan makanan, pastri atau kek dan banyak lagi yang berkaitan dengan aktiviti masakan.

Cerpen “Puyu Perkasam Buat Mama” mengisahkan persoalan kerukunan hubungan entiti dalam institusi keluarga. Watak utama ialah remaja lelaki, Hairi yang agak ketinggalan dalam pelajaran berbanding dengan adik-beradiknya yang lain. Lantaran itu, Hairi membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kulinari. Namun demikian, keputusannya itu tidak dipersetujui oleh ibunya. Hal ini menyebabkan berlaku konflik antara Hairi dengan ibunya.

Walau bagaimanapun, Hairi mendapat sokongan daripada ayahnya. Ayahnya telah mencadangkan Hairi untuk pulang ke kampung sepanjang cuti semester. Maka itu, Hairi telah menghabiskan cutinya bersama dengan datuknya di sebuah negeri yang terletak di utara tanah air.

Bermulalah episod pembelajaran cara-cara membuat ikan puyu pekasam bagi remaja tersebut. Cara penyediaan dan pembuatan ikan puyu pekasam ini telah diajarkan oleh datuknya yang sememangnya mahir membuat dan menyediakan masakan tradisional ini. Umum mengetahui bahawa makanan tradisional ikan puyu pekasam ini sememangnya amat terkenal di utara tanah air kita.

Dalam cerpen “Puyu Pekasam Buat Mama” ini, penulis memberikan penerangan lengkap tentang cara penyediaan ikan puyu pekasam agar mudah difahami oleh pembaca. Hal ini dapat dilihat dalam petikan cerpen “Puyu Pekasam Bagi Mama”, halaman 57.

Ikan puyu akan disiang terlebih dahulu, sisiknya akan disiang licin, kepala ikan puyu akan dipotong dan kesemua isi perutnya akan dikeluarkan.

Kemudiannya, ikan puyu yang telah siap disiang akan dicuci sehingga bersih dan “disental” menggunakan daun serai. Kegunaan daun serai adalah untuk membuang lendir dalam badan ikan puyu itu. Selepas itu,ikan puyu akan dilumurkan dengan asam jawa pula. Sekali lagi perut ikan puyu dicuci sehingga bersih dan dibilas berkali-kali sehingga rupa ikan puyu menjadi putih pucat.

Memetik halaman 58, cerpen “Puyu Pekasam Bagi Mama”,

Ikan puyu terpaksa dibasuh dan dibilas berkali-kali kerana ikan puyu merupakan ikan air tawar. Ikan air tawar ini selalunya hanyir. Jika ikan puyu tidak dibasuh dan dibersihkan sebaik-baiknya, ikan puyu akan mengeluarkan bau yang amat busuk apabila diperam.

Langkah seterusnya ialah ikan puyu tersebut akan dimasukkan di dalam bekas yang bersesuaian dan watak tuk telah memasukkan garam kasar ke dalam bekas berisi ikan puyu. Setelah itu, bekas ikan puyu yang telah diletakkan garam akan dimasukkan ke dalam peti ais selama semalaman agar garam tersebut meresap masuk ke dalam isi ikan puyu.

Selepas itu, ikan puyu yang disimpan selama semalaman di dalam peti ais dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bekas yang lain. Lebihan air garam itu kemudiannya dipanaskan di atas api.

Tuk keluarkan ikan yang tenggelam dalam air garam semalam dan masukkan ke dalam satu bekas. Air garam yang tertinggal, tuk panaskan atas api perlahan. Katanya, air itu akan digunakan semula nanti, maka eloklah dimasak dahulu.

Seterusnya, secawan beras akan dibersihkan dan diletakkan di dalam kuali. Beras tersebut kemudiannya digoreng sehingga warnanya bertukar menjadi keperang-perangan. Setelah itu, beras tersebut ditumbuk sehingga lumat. Ikan yang telah dikeluarkan di dalam peti ais itu akan digaul dengan beras yang ditumbuk tadi.

Ikan puyu tersebut kemudiannya akan disusun berlapis-lapis di dalam bekas kedap udara. Air garam  yang telah dipanaskan dan saki-baki beras goreng yang telah sejuk akan dimasukkan semula ke dalam bekas tersebut. Bekas ini perlulah ditutup dengan rapat agar proses penapaian berlaku dengan baik dan elok selama seminggu atau dua minggu. Setelah tempoh matang, barulah ikan puyu pekasam tersebut boleh digoreng dan dimakan.

Begitulah teknologi kulinari (cara-cara membuat ikan pekasam) yang telah diketengahkan oleh Salina Ibrahim dalam cerpen “Puyu Pekasam Buat Mama”. Dalam konteks ini, karya sebegini dapat memberikan ilmu pengetahuan dan pengalaman baru, terutama kepada golongan remaja.

Di samping itu, pertentangan pendapat, konflik dan perselisihan faham antara Hairi dengan ibunya telah berjaya diselesaikan dengan hanya penangan puyu pekasam yang berjaya dibuat dan dimasak oleh Hairi dan dihidangkan kepada ibunya. Hal ini dapat dilihat pada petikan dalam halaman 61.

Mama semacam tergamam memandang meja penuh makanan. Saya bersusah payah menyediakan makanan kesukaan semua orang. Asam pedas daging tetel buat papa, ikan pari bakar kegemaran kak Long dan kari ikan kesukaan abang Ngah. Tak ketinggalan makanan kegemaran mama.

“Puyu pekasam?” Mama bersuara girang. Pinggan pekasam ditangannya didekatkan ke hidung. Ikan pekasam goreng dengan taburan bawang goreng dan sebiji limau kasturi berbelah dua mengapung keharuman yang mencuit selera. “Oh, wanginya! Rindunya puyu pekasam.”

“Itu puyu pekasam yang dibuatnya sendiri …,” papa mencelah.

Mama tergamam, menoleh ke arah papa seperti tidak percaya.

“Tanyalah cef muda kita ni!” Papa melirikkan mata ke arah saya yang sedang tercegat berdiri meletakkan nasi tambah.

Resepi istimewa daripada tuk!” Saya membalas selamba.

Saya lihat bibir mama melirikkan senyuman manis. Ini hidangan pengikat hati keluarga, saya teringat kata-kata tuk. Saya berharap makanan kegemaran mama ini dapat mengikat kasihnya terhadap saya.

Jelas menunjukkan bahawa ada pengarang yang telah berjaya menggarapkan teknologi kulinari sebagai idea dalam penulisan karya mereka. Maklumat ini amat penting dalam kelangsungan tradisi masyarakat kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, budaya makanan tradisional mempunyai keunikan dan keenakan tersendiri.

Sehubungan dengan itu, melalui pemaparan teknologi kulinari dalam karya sastera dapat mencerminkan sosiobudaya masyarakat di samping dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat, khususnya kepada golongan remaja terhadap khazanah warisan ilmu yang bersandarkan pada falsafah “makanan adalah manifestasi kebahagiaan dan pengikat hati keluarga”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.