12 Oktober 2022, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gunung Cha, sebuah novel karya Malim Ghozali PK (Allahyarham) yang sarat dengan makna, perlambangan dan simbolik. Hal ini dikatakan demikian kerana, naskhah ini mencakupi dua hal penting, iaitu cinta dan rahsia. Elemen cinta bukan sahaja kepada manusia (isteri, anak, sahabat) serta alam tetapi kepada Tuhan, manakala rahsia pula digambarkan menerusi perjuangan hidup untuk mencari reda Tuhan.

Rahsia juga dilihat pada hal yang berkaitan dengan sifat-sifat rohani dan kedalaman jiwa pengarang untuk menghasilkan karya ini, serta pada pembinaan ceritanya. Misalnya, adakah novel ini mengisahkan pengamalan peribadi pengarang sendiri atau transkripsi daripada kisah orang lain? Bagi penulis, walaupun cerita ini bukan semuanya mengenai kisah pengarang, namun sekurang-kurang 10 peratus penceritaan dalam novel ini mempunyai kaitan dengan pengalaman hidup beliau.

Karya yang dianggap “hidup”, “bernafas” dan wujud “roh” dalamnya biasanya memasukkan pengalaman hidup pengarang sama ada secara langsung atau tidak.

Kadangkala, melalui kisah pendakian watak utama, menimbulkan pelbagai tafsiran dan mempunyai ambuiguiti, adakah benar Gunung Cha ini wujud, atau hanya persoalan jiwa dan mimpi? Persoalan tersebut timbul apabila watak Profesor Zulfan mengungkapkan,

Kau ibaratkan ia wujud, walau tak berjumpa.

Uniknya, perkataan “cha” itu diambil daripada huruf jawi “cha atau ca” yang merujuk ejaan di hadapan perkataan “cinta”.  Selain itu, “cha” juga merujuk pada watak isteri Mad, iaitu Chauntelle. Judul “Gunung Cha” yang diberikan ini memberikan perlambangan ketinggian nilai cinta, dan meletakkan cinta itu pada tempat yang paling agung, iaitu kepada Yang Maha Esa.

Gambar hiasan.

Secara literal dan realitinya, gunung ialah sebuah dataran tinggi dan lokasi yang sukar untuk sesiapa sahaja menakluki dan menjelajahinya. Begitu juga untuk ke gunung, seseorang itu pastinya berhadapan dengan beberapa halangan untuk sampai ke puncaknya. Maka itu, dari situlah terdapat kisah watak utama (Mad) yang menjelajahi sebuah gunung yang diberi nama Gunung Cha.

Kedudukan gunung ini dikatakan berada di lokasi Gunung Korbu dan Gunung Gayung. Ada juga kebarangkalian Gunung Cha itu letaknya di dataran tinggi kawasan Cemeron Highland.

Profesor Madya Dr. Kamariah Kamaruddin sewaktu bicara karya program PULARA 2022 mengatakan,

Gunung yang diberikan judul pada naskhah ini merujuk kepada pasak bumi, yang jelas terkandung dalam al-Quran perihal kepentingan dan keunggulannya. Pasak bumi inilah yang menjadi perlambangan dan simbol yang dibawa oleh pengarang, bahawasanya hidup ini memerlukan cinta yang hakiki bertunjangkan kepada keesaan Tuhan yang tiada sempadannya.

Meneliti novel Gunung Cha, penulis mendapati bahawa pengarang tidak melakar plot secara konvensional dan kronologis (berturutan mengikut masa kejadian). Hal ini mempengaruhi sebahagian pembaca untuk mendalami persoalan dan keinginan untuk mendapatkan jawapan berdasarkan kefahaman dan tafsirannya sendiri. Pengarang juga mengetepikan denouement (peringkat akhir dalam pembinaan plot sesebuah drama atau cereka, sebagai akibat yang diperoleh daripada konflik, dilaksanakan pengarang dalam pelbagai resolusi tertentu) yang kebiasaannya mudah diduga oleh pembaca. Melalui perkembangan kini, atau minat masyarakat pada hari ini terutama dalam hal filem dan drama, Gunung Cha antara naskhah yang sesuai untuk diadaptasi ke bentuk filem atau drama.

Walaupun tema yang diangkat oleh pengarang nampak mudah, iaitu berkaitan dengan kemanusiaan, kemasyarakatan, percintaan, kekeluargaan dan perjuangan serta menyelitkan nilai murni seperti persahabatan; kisah persahabatan antara Mad dengan Ramdin; kesetiaan seorang isteri terhadap suaminya; pengorbanan seorang isteri terhadap suaminya; dan kecintaan manusia kepada alam, namun pengarang mempersembahkan dengan cukup mengesankan, iaitu perjalanan kerohanian seseorang yang akhirnya bertemu kendirinya.

Menariknya, latar tempat dalam novel ini dapat dibahagikan kepada dua, iaitu luar negara dan dalam negara. Luar negara seperti di Avignon, Perancis, manakala dalam negara khususnya di kawasan pergunungan seperti Banjaran Titiwangsa, Gunung Korbu (Gunung tertinggi di Banjaran Titiwangsa dan kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia), Sungai Kampar, Perak. Dalam novel ini, pengarang turut menulis tentang Gunung Tebu, iaitu sebuah dataran tertinggi di Terengganu.

Lakaran watak dan perwatakan menjadi penekanan dalam naskhah ini pula ialah Muhammad (Mad) yang merupakan seniman (pelukis), terdidik dalam jurusan Matematik dan Sains Sosial; Chauntelle ialah seniman (pelukis) dan hartawan, yang mempunyai perilaku yang lembut tetapi tegas; Halimah Udi pula merupakan guru yang melatih watak utama, Muhammad (Mad) sebagai pelukis; dan Syed Khairul Syed Khalid ialah seseorang yang terdidik dalam bidang Undang-Undang, dan merupakan individu yang setia kepada pasangan kekasihnya, iaitu Halimah Udi.

Pengarang dan Kekuatan Karya

Malim Ghozali PK, nama yang tidak asing dalam dunia sastera tanah air. Beliau merupakan penulis mapan yang banyak menghasilkan karya daripada pelbagai genre. Penerima S.E.A Write Award (pada tahun 2013), Sasterawan Negeri Perak (pada tahun 2014) dan Tokoh Seni Budaya Negeri Perak (pada tahun 2016).

Antara karya beliau termasuklah Redang (1989) yang diadaptasi dalam bentuk filem pada tahun 1990, Janji Paramaribo (1991), Daun (2010), Luka Nering (2014) yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dengan judul Tree of Sorrow (2014) dan Tao Wang Jingshenbing Yuan (2019). Novel Tree of Sorrow tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh IMPAC Dublin International Book Award 2016.

Kumpulan cerpennya pula ialah Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim (2014) yang memenangi Hadiah Mastera 2016, Kumpulan Cerpen: Tanah, Air, Api dan Angin (2017) dan Song of September (2016).

Kumpulan puisinya ialah Gemaruang (1987) diterjemahkan oleh penulis sebagai Voices of Space dan Hujan di Limun Pagi (2008). Sebuah sajak daripada kumpulan puisi ini bertajuk “Permainan Rodeo” telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan menulis puisi Kongres Penyair Sedunia Ke-36, di Prague, Republik Czeck.

Kumpulan puisi yang lain termasuklah Sajak-sajakku Tak Pernah Tahu (2013), Malim Nawar Telah Kupinjam Namamu (2016) Embun Gugur di Halaman & Sajak-sajak Petualangan (2020) dan Kembali Kepada Kata (2020). Selain itu, beliau turut menterjemah karya bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, antaranya Imam karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dan Mana Setangginya kepada Frankincense karya Sasterawan Negara Dato’ Dr. Noordin Hassan.

Selain karya kreatif, terdapat juga buku kajian yang dihasilkan oleh Malim Ghozali PK, iaitu Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan (The Profound Truth Understanding Perfection). Buku ini telah menerima Hadiah Yayasan Pelajaran FELDA pada tahun 2007.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.