Oleh Ruzaini Awang
6 Oktober 2022, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Basa-basi karya seorang panitera itu tidak akan pernah padam, bahkan terus menyala pada masa ini. Menyingkap kembali tragedi pandemik COVID-19, musibah yang datang juga merupakan suatu nilai estetik bagi mereka yang mindanya berfikiran positif.

Persoalannya, apakah nilai estetik bahasa dan sastera pada masa ini sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia?

Kita sering mencari nikmat yang manis bak gula, terutama ketika membaca atau menghasilkan karya kreatif. Bahkan, kita selalu menyatakan bahawa segala maksud secara harfiah atau bersifat terang-terangan. Namun demikian, musibah yang datang pada masa ini juga merupakan antara medan estetik yang boleh dilihat sebagai pemangkin untuk menimbulkan keindahannya dalam sesebuah karya ataupun kehidupan yang tidak pernah kita hargai selama ini.

Merujuk Kamus Dewan Perdana (2020),

Estetik bermaksud keindahan atau penghargaan, terutama dalam bidang seni. Estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan banyak lagi. Maka itu, dengan lebih jelas, estetik merupakan suatu bentuk keindahan atau penghargaan dalam kehidupan. Begitu juga apabila kita menghubungkan estetik pada masa ini yang disulami duka musibah adalah satu cara bagi masyarakat untuk lebih berdisiplin, menghargai segala nikmat hidup dan cara untuk masyarakat menerbitkan seni dengan lebih baik.

Merujuk Kamus Istilah MABBIM, Kamus Puisi (2005), Estetik bermaksud keindahan dalam puisi yang berhubung dengan penyataan perasaan, pemikiran dan gambaran melalui bahasa. Secara umumnya, estetik yang harus diselami oleh masyarakat dan penulis khususnya, perlu melihat nilai estetik berbanding dengan kata yang ingin diluahkan kerana keindahan sesebuah karya itu seharusnya dilihat dari pelbagai aspek dan seni untuk masyarakat.

Hal ini dijelaskan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (1989) yang menyatakan bahawa sebuah karya yang indah (estetik) itu menceritakan kehidupan sebenar, dan secara tidak langsung mengajar dan membimbing pendengar atau pembacanya hakikat bahawa karya yang indah atau baik adalah bersifat didaktif.

Menyelami estetik sama seperti proses atau kemahiran mendalami sesuatu bidang agar lebih baik, mapan dan satu cara mengenali makna kehidupan yang sebenar. Era yang kian mencabar ini adalah proses masyarakat menyelami estetik sebenar dan bukannya rintangan atau kedukaan semata-mata untuk terus menghasilkan karya atau penulisan yang baik, begitu juga sebaliknya kepada masyarakat pembaca.

Tokoh sastera dengan gagasan Teori Puitika Sastera Melayu yang diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh ada mengemukakan konsep estetik karya melalui konsep keindahan yang menjelaskan bahawa konsep ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan etos budaya, pandangan hidup, sejarah, persekitaran sesuatu bangsa dan unsur lain yang dijalinkan sebagai penentu.

Menurut Profesor Dr. Sahlan Mohd Saman dalam bukunya Sejarah Teori & Kritikan Sastera Nusantara menyatakan bahawa kajian teori yang digagaskan dalam teori tersebut juga memperlihatkan beberapa nilai asal dalam konsep keindahan budaya Melayu, iaitu sesebuah karya yang indah menceritakan kehidupan sebenar dan dengan itu mengajar dan membimbing pendengar atau pembacanya. Hal ini jelas membuktikan bahawa proses menyelami estetik pada masa ini merupakan proses yang harus diterapkan dan menjadi budaya dalam diri masyarakat pembaca, khususnya para penulis pada masa ini.

Estetika seperti yang dijelaskan dalam Kamus Dewan Perdana (2020) membawa maksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan banyak lagi perlu diselami oleh setiap penulis mahupun pengkritik sastera. Proses menyelami makna keindahan sebenar dalam sesebuah karya mahupun seni seharusnya dilakukan bukan sahaja kepada penulis atau pengkritik sastera, malah pembaca.

Seharusnya proses ini dilihat sebagai teras utama dalam pembacaan sesebuah karya dan seni agar makna sebenar yang cuba disampaikan oleh penulis berjaya merangsang idea, pemikiran, menyentuh jiwa dengan pengajaran bermakna dan erti keindahan sebuah kehidupan yang mungkin suasananya persis dialami oleh masyarakat.

Proses menyelami estetik dalam budaya estetika kini perlu menjadi keutamaan agar masyarakat menjadi individu yang lebih bersyukur tentang nikmat kehidupan, bahkan langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berkongsi dan memperkenalkan keindahan peribahasa dan pantun Melayu melalui paparan media sosial seharusnya dipuji. Hal ini dikatakan demikian kerana, para pengguna media sosial berkongsi paparan tersebut dalam media sosial mereka.

Isu tular dan hangat yang timbul di sebalik hal itu juga merupakan tanda dan bukti bahawa masyarakat mulai sedar atau mengambil perhatian dengan makna nilai estetik yang terkandung dalamnya. Perkara ini perlu dilihat sebagai medium positif. Betul atau salah adalah suatu selektif dalam jiwa masyarakat kerana itulah tujuan estetik dan akauntabilitinya kepada masyarakat kita.

Stigma segelintir masyarakat yang lebih cenderung pada sisi luaran sesebuah karya sememangnya tidak dapat dibendung, khususnya terhadap karya yang bersifat popular. Pembacaan terhadap rentak modenisasi, materialistik, budaya luar, perasaan dan jiwa muda yang disulami pelbagai rintangan sememangnya dianggap lebih mudah untuk difahami oleh segelintir masyarakat kita khususnya remaja yang merupakan antara masyarakat pembaca di negara kita.

Namun begitu, mereka bukannya medan yang perlu dipersalahkan dalam soal ini kerana nilai estetik tersebut sememangnya cara untuk jiwa mereka berkembang. Maka itu, pertimbangan penulis masa ini seharusnya memikirkan cara atau jalan untuk menyentuh mereka dengan nilai estetik yang seiring dengan pengembangan jiwa mereka tidak kiralah sama ada hasil karya tersebut dalam bentuk puisi mahupun prosa. Hal ini dikatakan demikian kerana nilai estetik merupakan jalinan perbuatan dan pemikiran yang membentuk kronologi kematangan seseorang.

Karya Faisal Tehrani.

Adakah sukar untuk mengemudi sesebuah karya dengan nilai estetik? Artikel ini akan melihat beberapa contoh karya sastera, antaranya seperti novel tulisan Faisal Tehrani bertajuk Manikam Kalbu yang pernah memenangi Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP pada tahun 2007. Novel ini menyulam makna estetik sebenar dengan memperlihatkan secara tersurat dan tersirat perihal makna sebenar seorang lelaki dan wanita yang mengenakan pakaian dengan satu tujuan, iaitu melindungi aurat dan aib itulah kewajipan utama bukannya gaya fesyen, jenis fabrik atau harga yang menjadi ukuran disebabkan kecamuk dunia yang berkehendakkan status atau tingkat kehidupan itu sendiri.

Adakah perbezaan antara jantina, warna kulit, status dengan kedudukan itu dalam memenuhi syariat dan tuntutan agama? Persoalannya jelas terjawab apabila kita mengamati beberapa babak dalam novel ini yang menjelaskan bahawa estetik dalam sesebuah karya terjelma tentang agama dan sejarah baju kurung bagi kaum wanita, manakala baju Melayu bagi kaum lelaki menepati syariat dan tuntutan agama malah mudah dikenakan oleh tubuh kita. Begitu juga dengan budaya dijelmakan dengan baik oleh Faisal Tehrani sendiri apabila memaparkan nilai estetik pantun Melayu itu sendiri yang disulami dengan sindiran, nasihat dan pengajaran dapat dilihat pada halaman 128 hingga 129.

Pasang kubu berlapis-lapis,

Kubu berlapis kuat diserang;

Pantang Melayu berbaju tipis,

          Berbaju tipis adatnya hilang.

 

Memasang rantai berjela-jela,

Tanda ikatnya tiada kukuh;

Orang memakai mengada-ada

          Tanda sifatnya tidak senonoh.

Seterusnya ialah cerpen bertajuk “Kerana Tokek” karya Ruhaini Matdarin dalam kumpulan cerpen Melawan yang Mustahil (2014) yang memperlihatkan jalinan estetik mengenai peluang hidup akan lebih baik dengan menangkap dan menjual seekor tokek seberat 400 gram dengan harga mencecah jutaan ringgit. Watak Sudin yang diculik selama 378 hari dalam cerpen ini akhirnya menyelami nikmat kehidupan sebenar apabila konsep rezeki tidak akan datang bergolek merupakan inti pati estetik yang menjelaskan bahawa nikmat rezeki yang diberikan oleh Tuhan berlandaskan kepada usaha keras yang berlipat kali ganda dan bukannya mengharapkan sesuatu yang lebih mudah, cepat dan mempunyai harga yang tinggi.

Penulis berjaya menghukum sikap manusia yang lebih suka terhadap kemewahan dan kekayaan yang lebih mudah diperoleh seperti skim cepat kaya dan sebagainya. Maka itu, setiap hasil rezeki yang datangnya daripada matlamat menghalalkan cara pasti akan ada pengajaran yang setimpal oleh Tuhan. Masyarakat harus sedar bahawa menyelami nilai estetik pada era ini jelas memberikan nikmat kehidupan yang lebih baik dan bukannya musibah semata-mata. Hal ini juga menjelaskan bahawa setiap musibah itu datangnya daripada perbuatan manusia pada masa lalu.

T. Alias Taib merupakan penulis yang terkenal dengan pemaparan nilai estetik dalam karya. Memetik karya beliau Kumpulan Puisi Pasar Pengalaman cukup bagi masyarakat pembaca membuat sesi introspektif atau penilaian diri terhadap kehidupan yang berlaku pada masa lalu dan pada masa ini. Karakter “Pisau cukur”, “Di Atas Pagar”, “Sumpah-sumpah” dan “Ayam” nyata berlarutan dan dapat dilihat oleh masyarakat pada hari ini.

Pisau Cukur

Rayunya tajam

Rayunya mata pisau berkilau

Ditancapnya pisau itu

Tepat ke jantung lelaki kota

Tipunya tajam

Menghiris berahi lelaki

Sumpah-sumpah

Lelaki dengan sumpah-sumpah di mulutnya

Pintar bicara, gemar membaca,

Dan punya telaga ilmu yang dalam

Lelaki dengan pengalaman di dadanya

Sebentar muncul, sebentar hilang,

Sukar dipegang bagai bayang-bayang.

Membaca puisi beliau seperti membaca masa hadapan dan suasana semasa hari ini. Bagaimanakah dengan nilai estetik yang harus diselami? Adakah perlu bersifat jelas dan terbuka? Terpulang kepada penulis dan tempoh masa pembaca serta kematangan seseorang. Golongan masyarakat yang pelbagai itu merupakan khalayak pembaca. Maka itu, selagi berpegang dengan keindahan karya yang berinti sindiran, nasihat dan pengajaran sudah mampu menyelami dan menyentuh hati mereka.

Dalam buku Bisik Warna (2011), karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang mengandungi mutiara  kata, puisi dan seni lukisan yang sarat dengan nilai estetik berwajah baharu dan berbuah fikir yang cukup berseni bagi menyampaikan makna estetik itu sendiri.

  • Berkhayal membenih, berfikir menjernih. (Halaman 1)
  • Pemimpin wajar menyubur, bukannya mengubur. (Halaman 3)
  • Sekali di pohon, kini ke tanah, pernah merimbun akhirnya musnah. (Halaman 15)
  • Usia tambah bernilai sebaik bakti disemai. (Halaman 53)
  • Ilmu kurang berakar segar tersebar. (Halaman 55)

Mutiara kata tersebut membincangkan kehidupan manusia. Keindahan di sebalik mutiara kata sarat pengajaran itu menjelaskan bahawa pertimbangan manusia melalui akal ialah kunci kepada makna kehidupan itu sendiri. Bukan itu sahaja, mendalami estetika bahasa yang tersirat itu jelas menjadi panduan hidup dan pengajaran kepada kita, bahkan nilai estetik daripada sesebuah karya sangat penting disebabkan manusia sentiasa mencari makna kehidupan untuk menjadi insan yang lebih baik. Mutiara kata dan seni yang ditampilkan oleh A. Samad Said itu berasal daripada pemaparan sebenar kehidupan, hakikat realiti dan bukannya fantasi.

Persoalan yang menujah pada masa ini, adakah masyarakat khususnya penyair muda kini mewarisi arena kematangan penulisan penyair sebelum ini yang lebih menyantuni nilai estetik sebagai seni untuk masyarakatnya? Jawapannya adalah terpulang kepada penulis itu sendiri. Adakah mereka mahu menggunakan cara, kaedah, teori dan pendekatan agar karya mereka masih terus menyelami nilai estetik dengan cara yang tersendiri iaitu bersifat moden, kreatif. Bahkan berjaya menggunakan kata-kata yang bersifat intelek atau tidak keluar daripada tujuan untuk memberikan pengajaran dan menterjemahkan makna kehidupan sebenar.

Fungsi nilai estetik bahasa itu sebenarnya adalah untuk menyedarkan jiwa masyarakat berkaitan dengan segala isi tersirat dan tersurat yang harus dilihat sebagai isu utama sesebuah kehidupan. Tidak kira puisi atau prosa, kedua-duanya harus dijana berlandaskan nilai estetik yang mampu mematangkan fikiran pembaca.

Sebagai pembaca, nikmat menyelami nilai estetik itu lebih baik jika dibandingkan dengan membaca ratusan novel, cerpen mahupun puisi setiap hari kerana nilai estetik bahasa yang seharusnya dilihat dan diselami akan lebih bermakna meskipun hanya sepatah kata kerana di situlah mungkin terkandungnya makna kehidupan sebenar.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa nilai estetik bahasa Melayu dapat dilihat dalam pengungkapan sastera. Persoalan yang menghukum kita, mengapakah segelintir sekolah menengah memansuhkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif pada hari ini jika sebenarnya dilihat mampu membentuk kemenjadian murid di sekolah? Bukankah bahasa dan sastera mempunyai nilai estetik berharga khususnya anak-anak kita yang sedang membina jati diri keluarga Malaysia? Buka minda dan tepuk dada tanya selera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.