4 Oktober 2022, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah kehadiran filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada Jun 2022 yang lalu, maka telah tercetusnya polemik tentang “Fiksyen Bukan Sejarah” dalamkalangan penggiat seni sastera dan filem Malaysia.

Isu ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam kalangan penggiat seni, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia sejak ia ditayangkan semula  dalam platform Netflix. Penerimaan mereka terhadap karya sejarah yang difiksyenkan seperti Mat Kilau telah mendapat pelbagai reaksi, terutama dalam media sosial.

Turut hadir dalam forum tersebut ialah pelajar ASWARA dan orang awam.

Fakulti Penulisan Kreatif, Filem dan Televisyen (ASWARA) mengambil peluang ini untuk menganjurkan sebuah Forum: Fiksyen Bukan Sejarah, yang bertempat di Pawagam Jalan Ampas, pada petang semalam.

Forum: Fiksyen Bukan Sejarah ini menampilkan panel pembicara yang tidak asing dalam dunia kritikan filem tempatan. Antara panel pembicara yang terlibat ialah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh, A. Wahab Hamzah dan Daniyal Kadir.

Perbincangan kali ini tidak hanya memfokuskan tentang filem Mat Kilau semata-mata, tetapi menjadikan filem tersebut sebagai rujukan utama perbincangan. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh sebagai panel pertama memberikan definisi awal bahawa sejarah bersifat strict discipline, manakala fiksyen adalah sesuatu yang bersifat menyeronokkan. Hal ini adalah definisi asal yang memisahkan antara fiksyen dan sejarah.

Beliau juga menambah,

Filem Mat Kilau adalah sebuah fiksyen yang bersandarkan pada sejarah. Manakala, penceritaan pengarah pada susuk Mat Kilau adalah sudut pandang pengarah sebagai seorang pembikin filem.

Begitu juga dengan pendapat Daniyal Kadir dalam membahaskan isu fiksyen bukan sejarah, beliau turut berpendapat bahawa filem bertindak untuk menerbitkan semula kebenaran berdasarkan sudut pandangan sendiri. Beliau turut menambah, filem bertujuan untuk merakam zaman. Walaupun sesebuah karya itu berbentuk fiksyen, ia tetap merakam zaman yang kemudiannya akan menjadi rujukan bagi generasi akan datang.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya kepada A. Wahab Hamzah, seorang pengkritik filem dan juga merupakan bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tentang pandangan beliau terhadap isu fiksyen bukan sejarah, beliau turut bersetuju dengan dua pandangan panel pembicara yang hadir. Beliau berkata, “Sejarah perlukan penceritaan. Penceritaan ini merupakan elemen fiksyen yang ditambah bagi tujuan menghiburkan. Tetapi, ia haruslah tidak lari dari fakta sejarah itu sendiri.”

Elemen fiksyen atau hiburan ini, akhirnya berbalik pada sudut pandangan pengkarya itu sendiri. Kerana sentuhan fiksyen ini merupakan penggalak kepada penonton untuk memahami dan tidak bosan mengikuti perjalanan sejarah.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.