3 Oktober 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) , Tuan Haji Razali Che Mat menzahirkan rasa syukur atas kejayaan para penulis Sabah menyalurkan daya fikir kreatif mereka melalui 16 manuskrip kumpulan puisi.

Sesungguhnya DBP menyokong penerbitan hasil karya para penulis dalam pelbagai genre demi menambahkan khazanah ilmu untuk bacaan masyarakat. Walau bagaimanapun, setiap manuskrip yang lengkap perlu menjalani tatacara penerbitan. Jika ada manuskrip yang menerima cadangan untuk diperbaik, maka penulis perlu mengambil langkah untuk memperbaik manuskrip tersebut. Ini merupakan satu proses melahirkan karya yang bermutu.

Demikian ucap Tuan Haji Razali dalam Majlis Penutupan Bengkel Pemurnian Manuskrip Puisi yang berlangsung di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah (DBPCS) pada 2 Oktober 2022. Tambah beliau lagi, penulis juga perlu bijak untuk menjual dan mempromosikan buku masing-masing setelah terbit.

16 manuskrip kumpulan puisi yang dihasilkan oleh 16 orang penulis merupakan hasil daripada Bengkel Perolehan Manuskrip Puisi yang diadakan pada 25 hingga 26 Jun 2022 dan Bengkel Pemurnian Manuskrip Puisi yang berlangsung pada 1 hingga 2 Oktober 2022. Bengkel tersebut merupakan anjuran DBPCS dan Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS). Dorongan dan sokongan daripada pembimbing bengkel, iaitu Dr. Mohammad Sahidan dan Encik Zaen Kasturi menjadi pemangkin kepada para penulis untuk menyiapkan manuskrip lengkap dalam tempoh tiga bulan. Pengalaman luas pembimbing dalam bidang penulisan ditumpahkan sepenuhnya kepada para penulis.

Selain itu, kehadiran Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Puan Nurul Julia Henry, melancarkan lagi proses penyediaan manuskrip lengkap oleh para penulis. Beliau turut memberikan taklimat penerbitan buku puisi bagi menambahkan pengetahuan para penulis.

Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar menyerahkan 16 manuskrip lengkap kepada Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, Tuan Haji, Razali Che Mat.

Antara penulis Sabah yang terlibat termasuklah Hasyuda Abadi, Dr. Mohammad Puad Bebit, Ramli A.R, Witer Gunik, Jamail Masador, Norawi Haji Kata, Hajah Sahara Jais, Khatrina Tati Sitaim, Mabulmaddin Shaiddin, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Mohammad Hilmi Ismail, Dr. Raymond Majumah, Fauziah Haji Mokhsin, Mohd. Azrone Sarabatin, Rukimah Pandawa dan Anisul Jalis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.