Oleh Nazrul Aziz
14 September 2022, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dalam usaha menyemarakkan rasa cinta dan sayang akan negara, elemen puisi dan sastera digunakan oleh beberapa pihak untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan warganya.

Ruang pameran Hari Kebangsaan di KPKT.

Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang ditunjukkan oleh Kementerian Peruhamahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Antara usaha yang dilakukan oleh KPKT adalah menghias ruang lobi KPKT dengan hiasan berunsurkan kemerdekaan dan kenegaraan serta turut memaparkan karya puisi bertemakan hari kebangsaan tahun 2022, iaitu #KeluargaMalaysia Teguh Bersama.

Sebuah karya yang dipaparkan di ruang tersebut ialah puisi tradisional berjudul “Pantun Teguh Bersama”.

Ada sebuah cerita lama,

Cerita tentang sebuah hikayat;

Keluarga Malaysia teguh bersama,

Maju negara sejahtera rakyat.

 

Hikayat lama si anak jati,

Sanggup korbankan jiwa dan raga;

Semangat patriotik menebal di hati,

Daulat negara kekal terjaga.

Pantun “Teguh Bersama” yang dipaparkan di ruang lobi KPKT.

Pendekatan yang sama turut diambil oleh Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan elemen pantun dalam menyampaikan maksud kemerdekaan kepada kakitangannya. 12 rangkap pantun telah dikarang oleh warga JBPM dan pantun tersebut diletakkan di ruang lobi ibu pejabat JBPM.

Pantun bertemakan Hari Kebangsaan yang diletakkan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Wira merah siap siaga,

Setiap masa menabur bakti;

Cintakan negara sepenuh raga,

Keluarga Malaysia bersatu hati.

 

Wira merah insan mulia,

Sepenuh hati menabur bakti;

Aman makmur Keluarga Malaysia,

Teguh bersama menjaga pertiwi.

Selain menyampaikan erti kemerdekaan dalam baris maksud pantun tersebut, terdapat juga beberapa rangkap pantun yang turut memaparkan elemen kebombaan dalam baris pembayang. Elemen kebombaan ini diselit bagi menonjolkan sifat yang ada dalam Jabatan Bomba.

Karya puisi traisional ini atau lebih tepat lagi pantun menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khususnya mereka yang bekerja di kementerian dan jabatan kerajaan masih lagi menghargai sastera dan mereka boleh menghasilkan puisi tradisional yang bermutu dan menepati ciri-ciri puisi tradisional tersebut.

Penempatan karya pantun di tempat terbuka dan ruangan yang dikunjungi orang ramai sebenarnya boleh dianggap sebagai usaha murni dan wajar dipuji. Usaha KPKT dan JBPM ini selain menyemai rasa cinta akan negara sebenarnya turut mendedahkan kepada umum mengenai unsur puisi tradisional kepada masyarakat umum.

Semoga usaha murni ini dicontohi oleh kementerian dan jabatan lain. Selain menyemai rasa patriotik, usaha murni untuk mengekalkan puisi tradisional ini wajar diikuti bukan hanya di jabatan kerajaan, malah perlu diikuti oleh semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.