Oleh Masriyah Misni
13 September 2022, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada masa ini, penulisan artikel popular dianggap sebagai platform bagi penulis pemula untuk menempatkan mereka di persada penulisan artikel dalam media massa, sama ada digital ataupun bercetak. Baru-baru ini, penulis ini berpeluang mengikuti program Siri Bengkel Timba Ilmu (SBTI) Penulisan Rencana Untuk Media, anjuran AID Academy secara dalam talian.

AID Academy (dahulunya dikenali AID Conference) mengorak langkah dengan menganjurkan program seperti seminar, bengkel dan kursus berkaitan dengan penulisan akademik, bukan kreatif dan juga kreatif. AID Academy ditubuhkan sebagai syarikat penganjur persidangan profesional dengan tujuan untuk mengumpul para sarjana daripada pelbagai bidang untuk mempamerkan penyelidikan, perbincangan dan jaringan dengan ahli akademik lain di seluruh dunia.

AID Academy ditubuhkan oleh sekumpulan akademik yang prihatin tentang  persidangan akademik dalam kalangan ahli akademik itu sendiri, untuk memastikan kualiti karya yang dipersembahkan. Selain buku ilmiah, AID Academy juga aktif menerbitkan penulisan karya kreatif berbentuk antologi puisi dan anekdot. Antaranya seperti Antologi Puisi Tarian Tinta (sajak), Kalaulah Aku Termotivasi … (anekdot) dan Antologi Puisi Magisnya 02022020 (sajak).

Siri bengkel ini menampilkan ahli panel seperti Dr. Khairul Asyraf Mohd Nathir, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan moderatornya ialah Dr. Fetty Shamy Lin Yahaya, Pensyarah Kanan Jabatan Kepimpinan Kualiti dan Inovasi, Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberikan galakan kepada penulis pemula agar aktif menghasilkan penulisan artikel popular dan secara tidak langsung dapat membudayakan amalan ini. Selain dapat mengasah bakat, penulisan artikel popular juga dapat mempertajam minda seseorang, serta dapat menambahkan  pengetahuan, panduan dan pengajaran kepada masyarakat pembaca.

Contoh artikel yang dikongsikan oleh penceramah kepada peserta program.

Dalam rangka ceramah yang disampaikan secara santai, Dr. Khairul Asyraf menekankan bahawa aktiviti penulisan artikel adalah budaya yang harus dilazimi. Selain dapat menjana pendapatan sampingan menerusi pelibatan aktif dalam penulisan artikel di media massa, penulisan artikel juga mampu menempatkan individu tersebut dalam dunia penulisan untuk dikenali ramai seterusnya menjadi penulis artikel popular.

 Ciri-Ciri Artikel Popular

  1. Isu semasa dan berfokus.
  2. Kepanjangan antara 400 hingga 800 patah perkataan.
  3. Mempunyai kolum tetap atau sebaliknya.
  4. Mempunyai pautan secara maya atau tiada.

Ciri-ciri ini perlu diambil kira oleh penulis pemula khususnya agar dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat pembaca.

Selain itu, Dr. Khairul Asyraf turut menitipkan tip bagaimana menulis artikel popular yang baik. Antara tip yang dicadangkan adalah pemilihan tajuk artikel haruslah berdasarkan bidang dan kepakaran penulis itu sendiri. Hal ini menjamin fakta penulisan yang diutarakan oleh penulis tepat dan sahih. Selain itu, Dr. Khairul Asyraf menyatakan bahawa pemilihan tajuk artikel disarankan bersifat isu semasa dan relevan dengan persoalan pada hari ini. Sebagai contohnya, persoalan perihal Revolusi Perindustrian 4.0.

Tambah Dr. Khairul Asyraf lagi, penulis pemula disarankan mengenal pasti terlebih dahulu trend penulisan dalam akhbar dan majalah. Hal ini disebabkan setiap media cetak mempunyai etika dan peraturan penulisan yang berbeza-beza. Tujuannya bagi membolehkan penulis dapat mengetahui dan memahami metod penulisan artikel yang dikehendaki oleh penerbit.

Penggunaan laras bahasa yang mudah difahami dan ringkas amat digalakkan dalam draf penulisan artikel, di samping kawalan dari segi jumlah perkataan. Contohnya, kepanjangan artikel ringkas lebih kurang 800 patah perkataan sahaja. Dalam program tersebut, Dr. Khairul Asyraf turut memberikan pesanan kepada penulis pemula agar tidak menunggu idea siap baru mula menulis, akan tetapi, tulis apa-apa dahulu sehingga idea berkembang menjadi jitu.

Walau bagaimanapun, Dr. Khairul Asyraf berpesan kepada penulis pemula agar sabar dalam menunggu artikel kita untuk diterbitkan. Menurut beliau, artikel tidak diterima untuk diterbitkan bukan bererti artikel kita tidak bagus, cuma kurang menyerlah berbanding dengan artikel yang diterbitkan.

Program ini diadakan secara dalam talian.

Maka itu, dalam konteks ini, penulis pemula harus bersikap terbuka dan tidak menyalahkan pihak editor sekiranya berlaku perkara sedemikian. Hal ini disebabkan medan penulisan artikel popular adalah medan profesional dan bukan tempat luahan kemarahan dan penghinaan. Secara tidak langsung, penulis memahami etika penulisan artikel popular iaitu penulis bertanggungjawab sepenuhnya atas apa-apa yang ditulis dan berhati-hati dengan sensitiviti agama, kaum serta dasar kerajaan.

Dr. Khairul Asyraf turut berkongsi fakta berkaitan dengan istilah artikel basi dan artikel tidak basi. Menurutnya, artikel basi merangkumi isu semasa dan masa bukan melibatkan tempat atau situasinya, manakala artikel tidak basi melibatkan isu semasa dan masa tidak kira tempat atau situasi. Contohnya artikel berkisar isu umum seperti kesihatan, kebersihan dan ekonomi.

Isu dan Panduan untuk Rujukan Penulis Pemula

  1. Belasungkawa (condolences).
  2. Ulang tahun atau peristiwa besar. Contoh, Hari Kebangsaan.
  3. Sempena sambutan sesuatu acara dan institusi. Contoh, Hari Raya, Hari Inovasi.
  4. Isu semasa seperti isu politik, ekonomi, sosial, agama, akademik, pendidikan, sukan dan hiburan.
  5. Jenis ruangan untuk siaran seperti rencana, agama, laporan khas, keluaran khas dan wawancara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.