Oleh Roslan Jomel
13 September 2022, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Akibat konflik yang menyala daripada penulisan autobiografinya, Karl Ove Knausgaard melalui novel terakhir siri My Struggle iaitu The End, seperti melampiaskan kekecewaan melalui petikan dialog, “Literature is more than the life of the individual. And not only that, I’m saying my literature is more important than his life.” Kenyataan itu bagaikan sempadan untuk memisahkan arahan moral dan wawasan sasteranya dengan mengheret babak di dalam kelambu terdedah atas halaman naratif.

Richard Flanagan, penerima Man Booker Prize 2014 dari Australia, menyanjung penulisan Karl Ove Knausgaard sebagai visi permulaan kesusasteraan abad ke-21. Sastera telah berevolusi sebagaimana selayaknya corak kehidupan semasa.

Sementara di sini, karya penulis kontemporari dibaluti debu tebal dan diabaikan sarjana sastera. Menyedihkan, kita memiliki beberapa orang pengarang berkaliber tetapi tiada pengkritik sastera ikonik seumpama H.B Jassin versi generasi baharu. Tanpa budaya kritikan, sastera mati tanpa oksigen.

Usaha penterjemahan masih dilihat berkabus dan terbatas. Simposium, seminar dan dialog mengangkat sastera kita ke lingkaran antarabangsa seperti membina istana pasir. Tidak ubah seperti deretan retorik semata-mata. Eka Kurniawan mabuk kepayang di Indonesia. Novelnya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa utama dunia dan kita tersandar di kerusi mendengar pembentangan kertas kerja berkajang-kajang. Sesudah itu balik ke rumah dan tidur.

Dalam Dewan Sastera Bil.9/2022, penulis yang cukup disegani, Zaen Kasturi juga telah menegur kepincangan yang kerap berlaku dalam acara sastera bertaraf kebangsaan. Sampai bilakah kita sentiasa menjulang karya lama sehingga mengabaikan karyawan angkatan baharu dan ghairah membentangkan kertas kerja dari tahun ke tahun?

Beberapa orang pengarang muda telah menunjukkan keterampilan mereka untuk mempersembahkan kenyataan baharu yang lebih segar, realistik dan berkaitan dengan rutin harian semasa. Eksperimen demi eksperimen dikembangkan dalam naskhah untuk menegaskan sudut baharu dalam bentuk penulisan terkini. Usaha tersebut dilakukan kerana mereka sudah jelak dengan keindahan dan harapan palsu yang terakam dalam karya karangan arus utama.

Sudah tiba masanya, sarjana, pengkritik dan sasterawan besar negara membaca naskhah yang dihasilkan oleh generasi baharu dengan adil dan fikiran positif. Mereka (pengarang generasi baharu) perlukan teguran jujur, respons saksama dan kritikan membina yang menganjakkan kebolehan dalam kerja kreativiti. Jika tidak, sastera kebangsaan kekal berada dalam kelompok masing-masing.

Paling mendukacitakan, perkembangan sastera dilihat daripada perspektif persatuan penulis, yang semakin lama dilihat tidak relevan dengan senario kepengarangan kontemporari. Maka itu, tidak menghairankan, acara sastera berstatus nasional, kurang diminati oleh penulis muda. Dunia sudah berubah, namun mentaliti masih tetap berada pada zaman Pak Kaduk lagi. Itulah tragedi sastera yang kekal berlanjutan.

Sesekali permukaan sastera perlu dilemparkan dengan sebongkah batu secara sinikal. Tangan nakal itu sewajarnya daripada kalangan tokoh yang berautoriti dalam lapangan persuratan. Barangkali dengan kejutan itu, gelombang diskusi hangat akan mencetuskan perbincangan ilmiah. Kompas sastera berkarat sebelum ini perlu diperbetulkan agar tidak senget ke arah pulau berbatu. Naratif panjang berjela-jela perlu digeledah dengan kajian saintifik oleh pengkritik yang cerdas imaginasi dan kreatif pula menurunkan hujah dan teguran pencerahan.

Kita telah mengadakan sayembara demi sayembara, lalu apakah kesudahannya? Pengiktirafan yang dilobi oleh segelintir penulis dibimbangkan hanya bertujuan mengangkatnya ke langit. Doktor sastera perlu segera menganalisis patologi yang membelenggu dunia persuratan kita.

Malangnya tokoh yang berkecimpung lama dalam dunia penulisan terbenam jauh dalam abis nostalgia dan terlupa terhadap penentangan anak-anak muda. Paling malang, hukum hakam penulisan lama yang dipegang dijadikan pengukur keberkesanan sesebuah karya. Merekalah yang digelar dinosaur sastera. Ingin dilihat besar di dalam tempurung masing-masing. Amat sedih, kerana penulis itu tetap mendapat tempat dengan pengucapan yang sudah pun ketinggalan zaman.

Penulis generasi baharu enggan terus terjerumus di dalam penjara buatan sasterawan silam. Sekarang ini episod mereka. Masa ini untuk mereka memperagakan ukiran terkini dalam landskap kesusasteraan semasa. Bukan lagi mengulangi aturan bahasa, susunan cerita dan ajaran sivik yang lebih bertujuan sekadar lapisan krim atas kek.

Setiap zaman pasti wujud perselisihan cara bekerja. Tidak semua yang bertepuk tangan dengan pendekatan road movie filem Easy Rider dahulu. Kasar, lancang dan mencemuh budaya kelas elit dalam sinema. Namun demikian, lihatlah bagaimana genre sedemikian masih diaplikasi dan diberi standard baharu. Demikianlah apa-apa yang dituntut oleh seniman muda yang ingin membina landskap sastera masing-masing pada zaman dunia serba hipokrit kini.

Mereka generasi pascamerdeka dan tidak mahu menjadi mangsa fahaman seni yang menjadi tunjang slogan sastera kepada masyarakat. Latar belakang naratif sastera mereka bukan perihal persengketaan hak milik tanah, pencerobohan hutan oleh mafia balak atau tercemarnya air sungai disebabkan pembinaan kilang milik ahli keluarga pembesar negeri. Bukannya mereka menolak untuk bersentuhan dengan isu sosial atau negara. Lensa seni mereka tidak lagi dipaku oleh semangat nasionalisme usang. Mereka ingin mencipta tafsiran baharu dalam sastera dan bebas daripada agenda pihak berkepentingan.

Sebagaimana dinyatakan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Baharuddin Zainal atau dikenali sebagai Baha Zain melalui kolumnya dalam Dewan Sastera Julai 2012, “Bayangkan berapa ramai mereka yang dianggap penulis-cendekiawan atau yang menanggap diri mereka sebagai penulis-cendekiawan ditarik untuk memihak atau memasukkan dirinya ke dalam parti politik kerana wajah politik memerlukan imej bersih dan jujur untuk meraih kepercayaan rakyat.”

Percayalah, para penulis generasi baharu pasti meluat jika terpaksa mengorbankan kebebasan ekspresi seni hanya untuk menjadikan individu tertentu terus dijadikan berhala. Lebih memalukan daripada itu adalah turut bersekongkol menipu masyarakat dalam kempen penyucian dosa figura sahsiah. Jika hal itu berlaku, apakah maknanya Edward Said menulis Peran Intelektual? Bukankah peranan utama seseorang penulis adalah menyumbangkan buah fikiran mereka dengan telus, neutral dan demi ketamadunan manusia?

Itulah yang disaran oleh Fathi Aris Omar dalam artikel berjudul “Puisi dalam Trauma Bahasa” yang terbit menerusi media tempatan secara dalam talian bertarikh 7 Mac 2005. Sudah cukuplah rejim membodohkan masyarakat yang berlaku selama ini. Beban psikologi itu tidak sepatutnya disangkutkan ke atas bahu para penulis generasi baharu. Membenarkan penghinaan demikian berlaku, sasterawan akan menjadi pak turut dan karya yang ditulis demi menyanjung seseorang pembesar tertentu telah memusnahkan ketulenan jati diri mereka.

Sasterawan yang sepatutnya mengangkat pena untuk menyampaikan hati nurani mereka sendiri sebaliknya menjadi perkakas kepada propaganda pemerintah. “Jika fikiran merosakkan bahasa, bahasa juga boleh merosakkan fikiran,” pesan George Orwell sebagaimana dipetik oleh Fathi Aris Omar.

Sukar untuk membezakan antara penulis dengan seniman. Lebih-lebih lagi untuk membezakan yang manakah pemikir dan pengejar anugerah. Hal ini disebabkan mereka berada dalam lapangan yang sama, menulis. Lalu, apakah yang mereka lakukan? Hanya terus menulis dan mengarang demi meraih seberapa banyak ganjaran dan pengiktirafan peribadi. Kita sudah semakin kurang golongan seniman yang berfikir, memiliki daya intelektual dan bersikap telus ketika melahirkan kenyataan.

Lebih malang lagi sekiranya terdapat penulis yang secara rela diperhamba oleh upah untuk menyanjung seorang yang pada dasarnya bukan sasterawan berkredibiliti. Akhirnya, terus wujudlah kelompok sasterawan yang masih berfahaman lama, memerintah dan menjadi penjaga manual penulisan.

“Jatuhan domino itu perlu dihindari. Memang benar, tiada yang asli dalam dunia penceritaan,” kata U-Wei Haji Shaari. Aneka percubaan dan teknik penulisan lanjutan daripada usaha pengarang silam. Disuntik kolagen dan dimensi baharu. Namun demikian, apabila dinosaur sastera muncul daripada timbunan nostalgia dan melemparkan teguran berhubung kerja penulisan kontemporari, sila tinggalkan planet ini segera.

Sastera bukan hak milik sesiapa. Manusia pengarang bukanlah spesies suci. Sastera kita telah terlalu lama diurus oleh individu yang kurang berwawasan, tidak berjiwa besar dan kurang peka terhadap organisma dalam tubuh kesusasteraan itu sendiri. Sekali lagi, dana dan duit bukan persoalan utamanya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.