30 Ogos 2022, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Encik Raju menonton telefilem bertemakan perpaduan kaum yang sedang disiarkan di layar kacanya sambil memintal rambut kerintingnya yang berwarna perang gelap. Puan Devi, isterinya sedang memasak kari ayam di dapur. Pada masa yang sama juga, kelihatan anak Encik Raju sedang fokus bermain gajet di ruang tamu rumah.

Tiba-tiba di layar kaca menyiarkan iklan tentang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung pada tanggal 31 Ogos di Dataran Merdeka. Sebaik sahaja Encik Raju menonton iklan tersebut, air mukanya berubah menjadi sangat sebak bercampur kegembiraan. Bahkan, matanya membulat besar kerana terlalu terkejut.

‘Akhirnya, setelah sekian lama Malaysia tidak menyambut Hari Kebangsaan. Aku kena bawa anak-anak pergi ke Dataran Merdeka ni. Mereka kena rasa suasana sambutan Hari kebangsaan.’ Encik Raju bermonolog sambil menghirup secawan teh tarik yang berada di meja sampingnya.

David, Mala ayah nak bawa kamu semua pergi ke Dataran Merdeka esok pagi. Kita pergi sambut Hari Kebangsaan sama-sama.

“Tak mahulah ayah, cuaca panas. Lagipun kena berdiri lama-lama nanti penat,” kata anak sulung Encik Raju, David yang sedang bermain permainan video dalam komputer riba.

“Marilah anak-anak ayah, dah lama Malaysia tidak mengadakan sambutan Hari Kebangsaan seperti ini. Sejak COVID-19 melanda negara kita,” pujuk Encik Raju dengan nada yang sedikit sayu.

“Banyak benda yang kita boleh tengok seperti persembahan dan perarakan,” tambah Puan Devi yang sedang menghidangkan makanan di meja makannya.

Kalau nak tengok persembahan atau perarakan itu boleh tengok di telefon sahaja. Sekarang mudah semua di hujung jari saja, untuk apa kita nak berpanas berpeluh-peluh nanti.

“Rasanya tidak sama kalau kita tengok di telefon dengan tengok secara langsung di depan mata. Bukan itu saja, masa inilah kita nak merapatkan silaturahim dan menunjukkan yang Malaysia mempunyai semangat perpaduan kaum,” kata Encik Raju dengan bersemangat.

“Tak apa, ayah pergi dengan ibu saja. Saya tolong jaga Mala esok,” cadang David kepada Encik Raju.

“Marilah David, andai kata hari terlalu panas kita pulang ke rumah walaupun sambutan belum tamat.” Encik Raju tidak berputus asa. Dia memujuk anaknya sambil merenung ke dalam mata David.

“Tak apa, ayah saja yang pergi. Kami berdua duduk di rumah,” ujar David yang fokus bermain gajetnya walaupun di meja makan.

Anak muda zaman sekarang, telefon nombor satu, itu saja yang penting. Sampai hari bersejarah negara sendiri pun tak ingin menyambut. Ada saja alasan yang diberikan oleh mereka. Panas, busuk dan berpeluh. Tidak ada semangat patriotik langsung.

“Betul apa ayah cakap, remaja zaman sekarang lebih mementingkan telefon berbanding dengan buku. Jika bertanya, siapakah tokoh kemerdekaan pasti tidak boleh menjawabnya. Bak kata David semua di hujung jari, cari pada masa itu temui pada masa itu juga,” perli Puan Devi sambil memandang sinis kepada dua orang anaknya yang kusyuk bermain gajet sejak tadi. Puan Devi menggeleng apabila melihat tingkah laku anaknya itu.

Kelihatan suasana di luar rumah Encik Raju yang kecoh dengan sambutan Hari Kebangsaan. Kedengaran seperti sorakkan kemerdekaan dari jauh di kawasan perumahannya. Encik Raju menyandarkan badannya yang gempal itu di kerusi malas yang terletak di luar rumahnya.

“Macam mana aku nak bawa budak-budak ni pergi ke dataran esok?” Encik Raju memandang ke arah bendera Malaysia yang tergantung di rumahnya. Lalu dia teringat detik kemanisannya bersama dengan rakan-rakan sewaktu membawa bendera gaya adiwira ketika di bangku sekolah dahulu.

“Mengapa aku tak telefon si Ah Tong dengan Kamal. Mereka mesti boleh bantu aku.” Encik Raju menepuk dahinya yang luas apabila teringat dua rakan baiknya itu.

Encik Raju menghubungi Encik Ah Tong dan Encik Kamal untuk menjemput mereka ke rumahnya. Kebetulan pada hari itu Encik Ah Tong dan Encik Kamal mempunyai masa lapang untuk mengunjungi Encik Raju.

“Raju, ada apa suruh kami datang ke rumah? jerit Encik Ah Tong yang bermata sepet dan botak itu sebaik sahaja  tiba di rumah Encik Raju.

“Dah lama kau tak berhubung dengan kami, kali terakhir kau berhubung dengan kami pun minggu lepas. Ini tiba-tiba sahaja,” ujar Encik Kamal.

Ketiga-tiga sahabat itu gelak. Isteri Encik Raju yang sudah lali dengan keakraban persahabatan mereka hanya tersenyum sambil menghidangkan kopi dan muruku.

“Esok ada sambutan Hari Kebangsaan di dataran, kamu semua pergi ke?” tanya Encik Kamal sambil mencapai muruku yang dihidangkan oleh Puan Devi sebentar tadi.

“Mestilah pergi. Isteri dan anak-anak aku teruja nak ikut,” kata Encik Ah Tong dengan senyuman gembira di wajahnya.

Encik Raju terdiam dan mengeluh. Air muka Encik Raju kelihatan sangat cemburu kerana melihat keterujaan dua rakan baiknya yang bersemangat ingin membawa isteri dan anak-anak mereka ke sambutan Hari Kebangsaan pada esok hari. Sedangkan anak-anak Encik Raju tidak mahu mengikutnya.

Pada masa itu, Encik Ah Tong mencuit Encik Kamal apabila melihat air muka Encik Raju yang masam itu.

“Mengapa Raju tu, masam saja muka?” tanya Encik Ah Tong kepada Encik Kamal.

“Entahlah, jarang-jarang dia sedih macam ni. Selalu dia paling bersemangat,” balas Encik Kamal.

“Kau kenapa Raju, masam mencuka saja muka” soal Encik Kamal sambil mencuit Encik Raju yang sedang mengelamun kesedihan.

Sebenarnya, aku mengajak anak-anak pergi menyambut Hari kebangsaan di dataran, tapi mereka menolak pelawaan aku tu. Mereka memberi pelbagai alasan boleh. Kata mereka, sambutan tu boleh ditontong melalui siaran langsung dalam telefon saja.

“Inilah anak muda zaman sekarang, semua nak kata hujung jari sedangkan hujung jari yang dikatakan mereka mempunyai rasa yang berbeza-beza,” kata Encik Kamal sambil bermain misainya yang panjang.

“Samalah dengan aku. Aku nak ajak anak bujang aku itu pergi esok pun diberi alasan yang sama seperti anak-anak Raju. Puas pujuk baru dia mengalah,” kata Encik Ah Tong.

“Jadi, tujuan aku jemput sebab nak minta cadangan daripada kamu berdua. Bagaimanakah caranya nak bagi anak-anak aku ikut cakap aku,” tanya Encik Raju yang sedang menghirup kopi suam.

Sementara ketiga-tiga rakan baik itu sedang memikirkan jalan penyelesaian bagi masalah Encik Raju, tiba-tiba ada seorang anak muda lingkungan umur 20 tahun sedang mengayuh basikal tua yang dihiasi dengan bendera Malaysia sambil menjerit “Merdeka”. Bukan itu sahaja, ada perarakan kereta Proton Saga lama dengan dengan mengibarkan bendera Malaysia sambil memasang lagu patriotik dengan sangat kuat.

“Meriah betul kali ini punya sambutan kan? tanya Encik Ah Tong dengan wajahnya yang dihiasi dengan senyuman lebar kegembiraan.

Sewaktu Encik Ah Tong dengan Encik Raju sedang leka melihat kemeriahan perarakan kecil di kawasan rumah Encik Raju, tiba-tiba terlintas dalam fikiran Encik Kamal berkaitan dengan cara untuk membantu Encik Raju mengatasi masalah yang dihadapi olehnya.

“Raju, apa kata kita hias rumah kau ni dengan bendera Malaysia. Selepas itu, pastu pasang lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Kita cuba tanamkan semangat patriotik bagi anak-anak kau dengan cara macam ini.” Encik Kamal memberikan cadangannya dengan penuh semangat.

“Bagus juga cadangan kau ni Kamal. Wah, pandai juga kamu ya!” puji Encik Ah Tong sambil sambil menganggukkan kepalanya tanda setuju.

“Betul, menarik cadangan kau ni,” kata Encik Kamal dengan wajah yang penuh bersemangat.

Pada masa itu, langit menunjukkan cuaca yang sangat baik seolah-olah langit juga bersetuju dengan cadangan Encik Kamal.

Encik Raju mula memunggah stor di rumahnya untuk mencari barang hiasan yang boleh digunakan untuk menghias halaman rumahnya. Sedang leka, Encik Raju memunggah tiba-tiba dia menemukan sebuah kotak lama yang dipenuhi dengan Jalur Gemilang dan barang hiasan.

Encik Raju membawa kotak itu ke halaman rumahnya dan menunjukkan isi di dalam kotak itu kepada Encik Ah Tong dan Encik Kamal.

“Eh, Raju! Ini barang-barang sewaktu kita sekolah dulu!” ujar Encik Kamal dengan mata membulat terkejut.

“Tak sangka pula kau masih simpan barang-barang ni. Dah lama dah aku rasa benda ni tapi warna dan kualiti seperti baru lagi!” kata Encik Ah Tong turut membulatkan matanya yang sepet.

Barang-barang ni semua kenangan yang berharga. Jadi aku suruhlah isteri aku jaga barang-barang ni semua. 10 atau 20 tahun akan datang pun barang ini akan masih dalam keadaan elok sekiranya Devi masih menjaganya.

“Teringat dulu masa sekolah, tiba saja bulan Ogos semua semangat nak sambut merdeka,” ujar Encik Kamal yang sedang membelek-belek bendera yang dikeluarkan oleh Encik Raju.

“Aku ingat lagi, macam mana aku paksa orang kampung kita untuk beli bendera Malaysia. Si Raju berlari-lari satu kampung jerit ‘merdeka’ padahal dulu dia ada asma,” kata Encik Ah Tong sambil ketawa.

“Si Kamal pula, bila masuk bulan Ogos, dia akan masuk pertadingan menulis sajak yang bertemakan kemerdekaan. Manis betul kenangan dulu,” tambah Encik Raju.

“Barang-barang ini pun tak ada lah buruk. Kita boleh guna untuk menghiasnya. Bak kata cikgu kita dulu-dulu, kitar semula.” Mereka bertiga ketawa sehingga menampakkan keriangan di wajah masing-masing.

Encik Raju bersama dengan dua rakan baiknya itu mula menghias halaman rumah dengan bendera-bendera Malaysia diiringi dengan lagu patriotik. Hati mereka bertiga dipenuhi dengan semangat dan keriangan seperti tabung ayam dipenuhi duit syiling yang memberikan kegembiraan kepada pemilik tabung.

Halaman rumah Encik Raju ketika ini dipenuhi dengan riang suara tiga kawan baik tersebut. Jiran turut menumpang gembira melihat semangat tiga bangsa berlainan tersebut. Ada yang turut menyanyi mengikut lagu patriotik yang dimainkan, ada juga yang memasang Jalur Gemilang besar di halaman rumah selepas melihat Encik Raju menghias rumahnya. Pada masa yang sama, Encik Raju sempat melihat anaknya yang sibuk bermain gajet dan tidak menghiraukan langsung kekecohan yang berlaku.

Kelihatan anak bongsu Encik Raju, iaitu Mala yang berbadan gempal dan rambut bertocang dua. Mala terlalu leka melihat ayahnya bersama dengan rakan sedang gembira menghias halaman rumah mereka.

“Ayah, merdeka tu apa?” soal Mala sambil tangannya memegang gajet.

Merdeka ini membawa maksud bebas daripada penjajah. Maksudnya tiada lagi tembak, berlawan dan berperang.

“Mengapakah semua orang bersemangat untuk menyambutnya? Wajib ke ayah?” soal Mala lagi.

“Merdeka ini mestilah perkara wajib untuk disambut kalau tak ada apa-apa halangan,” terang Encik Raju pula.

Kalau dulu, sambutan Hari Kebangsaan diberhentikan sebab negara kita mengalami gelombang yang mampu membunuh banyak orang tetapi pada masa ini, gelombang tersebut telah membebaskan kita daripada wabak tersebut.

“Sebab itu, zaman sekarang ini kalau ada sambutan Hari Kebangsaan orang semua berpusu-pusu nak pergi. Kalau boleh nak tidur di dataran,” celah Encik Ah Tong.

“Tidur di dataran?” tanya anak bongsu Encik Raju yang penuh dengan kehairanan perihal tidur di dataran.

Itulah yang dikatakan semangat 30 Ogos. Pada pukul 4.00 pagi hingga 6.00 pagi orang ramai mula berkumpul di Dataran Merdeka. Ada sesetengah daripada mereka sanggup datang awal pagi dan tidur di dataran kerana tidak mahu terlepas melihat perarakan 31 Ogos. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang memakai pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang. Baju itu mereka reka berdasarkan kreativiti masing-masing.

“Kenapa kita kena ada lawan-lawan?” Mala tidak berhenti bertanya.

“Dulu, Malaysia ni bagus banyak benda boleh jual yang boleh memberikan keuntungan. Sebab itu orang asing nak jajah Malaysia. Mereka sanggup berlawan dan menembak orang kita,” hujah Encik Raju sambil bermain-main rambut anaknya yang berusia enam tahun itu.

“Kalau Malaysia hak Malaysia kenapa ada bangsa lain macam Pak Cik Ah Tong Cina, kita India dan Encik Kamal Melayu?”

“Inilah keistimewaan Malaysia yang ada kepelbagaian kaum! Kepelbagaian kaum ini lah kita dapat ubah cita rasa dalam makanan, budaya dan perayaan. Memang dari zaman dulu lagi, Malaysia ni terkenal dengan kesatuan kepelbagaian kaum,” kongsi Encik Kamal.

Kisah kemerdekaan yang diceritakan oleh Encik Raju dan rakan didengari oleh anak sulungnya. Encik Raju menoleh ke arah pintu masuk rumahnya dan terkejut melihat David.

“David, mari sini,” panggil Encik Raju.

“Tak apalah ayah,” balas David dengan perasaan yang penuh malu dan segan.

“Abang marilah sini, marilah,” pujuk Mala.

Akhirnya David keluar dan menyertai Encik Raju dan yang lain-lain.

Encik Raju menyambung semula perbualan mereka perihal kemerdekaan sehingga berjaya membuka pintu hati anak bongsunya untuk mendegar dengan penuh perasaan ingin tahu. Semakin banyak perkataan yang dikeluarkan oleh Encik Raju, semakin banyak ditelani oleh anak sulungnya. Bukan itu sahaja, malah berjaya membuka hati David untuk pergi menyambut Hari Kebangsaan di Dataran  Merdeka pada esok hari.

“Ayah, saya rasa kita patut menyambut Hari Kebangsaan di dataran esok. Saya nak rasa pengalaman yang macam ayah cerita,” pinta David dengan perasaan yang gembira sambil memberikan senyuman yang bersemangat dan tidak sabar.

Air muka Encik Raju jelas terlihat senyuman yang gembira. Bahkan dia tidak dapat menahan sebak di dada sehingga menyebabkan air matanya jatuh di pipi. Encik Raju bersetuju dengan David untuk membawa mereka sekelurga untuk menyambut Hari Kebangsaan esok hari.

“Terima kasih Ah Tong dan Kamal. Kamu berdua memang penyelamat aku, kalau tak buntulah aku,” kata Encik Raju sambil menepuk manja belakang Encik Kamal dan Encik Ah Tong.

“Tak da hal lah. Kami pasti bantu untuk selesaikan masalah kau. Teringat zaman sekolah dulu, kau ada masalah kami sama-sama bantu,” tambah Encik Ah Tong.

“Kau pun sama, tolong kita ingat balik kenangan zaman sekolah dulu. Kalau tak mesti kita dah lupa,” ujar Encik Kamal sambil ketawa kecil mendengar Ah Tong bercakap.

Tersenyum gembira bercampur gaya berlagak Encik Raju, Encik Ah Tong dan Encik Kamal kerana berjaya membuatkan anak-anak Encik Raju menyertai sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Keesokan pagi di Dataran Merdeka, terlihat keluarga Encik Raju, Encik Ah Tong dan Encik Kamal bersorak melihat perarakan. Bahkan Encik Raju membayangkan David yang turut serta dalam perarakan tersebut.

“David, tahun depan nak masuk perarakan?”

“Nak!” jawab David dengan penuh semangat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.