Oleh Salina Ibrahim
30 Ogos 2022, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Demi Tanah Qalha merupakan percubaan pertama saya dalam genre penulisan novel sejarah. Novel sejarah bukanlah genre yang diminati oleh banyak penulis dan agak sukar untuk mencari penerbit yang sesuai selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya sendiri tentu tidak akan menulis naskhah ini kalau tidak kerana tertarik untuk menyertai Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja (musim kedua) anjuran DBP dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia.

Novel Demi Tanah Qalha, nukilan Salina Ibrahim.

Apabila menulis untuk sayembara, sudah pastilah kita harus memahami kehendak penganjur. Konsepnya jelas, iaitu novel sejarah, bukan fiksyen sejarah. Dalam novel sejarah – tokoh, peristiwa, dan latar masa dan tempat, mestilah bahan bersejarah iaitu peristiwa yang benar-benar berlaku yang diperakui oleh pakar daripada sumber yang berautoriti juga. Watak utama penggerak cerita mestilah tokoh yang wujud dalam sejarah. Novel sejarah memanfaatkan bahan sejarah sepenuhnya yang ditulis dengan teknik sastera, mengikut struktur novel konvensional. Elemen fiksyen boleh dimuatkan tetapi sekadar untuk menguatkan penceritaan dan menjadikan cerita lebih realistik.

Dalam novel fiksyen sejarah pula, sefaham saya, kita juga memasukkan elemen sejarah seperti tokoh, peristiwa dan latar tetapi boleh diubah mengikut kreativiti penulis. Kita bina watak utama (rekaan) yang berada dalam mana-mana peristiwa bersejarah, sama ada sebagai pemerhati atau terlibat secara langsung. Sebagai contoh, watak dari zaman hadapan bangun tidur dan menyedari dirinya berada di zaman Datuk Maharajalela dan sama-sama berjuang menentang J.W.W. Birch di Pasir Salak. Dalam erti kata lain, dalam fiksyen sejarah kita boleh tunggang terbalik atau ubah sejarah, dan elemen sejarah mungkin berfungsi sebagai penguat cerita untuk menghadirkan kesan makna berganda.

Untuk sayembara ini, DBP telah mengatur siri bengkel tentang konsep novel yang dimahukan oleh penganjur. Saya mengambil kesempatan menghadiri salah satu siri bengkel itu bagi menjana motivasi diri. Selepas itu saya mengambil inisiatif membaca beberapa buah novel sejarah yang memenangi sayembara musim pertama untuk mendapatkan gambaran umum perihal konsepnya.

Cabaran selepas itu; cerita apakah yang mahu ditulis atau sejarah apakah yang hendak diolah? Selepas mempertimbangkan beberapa perkara, saya mengambil keputusan  untuk menulis sejarah Kedah. Maka bermulalah proses mencari, menggali, membaca dan memahami bahan berkaitan sejarah Kedah. Saya tertarik pada kisah kedatangan Francis Light untuk menyewa Pulau Pinang daripada Sultan Kedah dan sejak itu bermulalah konflik tiga segi antara Sultan Kedah, Inggeris dengan Siam yang merupakan “sahabat lama” Kedah. Sebuah buku lama berjudul Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, oleh Haji Buyong Adil, terbitan DBP menjadi sumber rujukan utama.

Saya tidak membaca dan tidak mempunyai novel sejarah lain tentang Kedah dan Pulau Pinang. Oleh hal yang demikian, saya menulis cerita ini dengan cara sendiri. Saya beritahu diri sendiri – saya pengarang – saya pemegang lesen kreatif tetapi jangan melanggar fakta sejarah, terutama perkara yang membabitkan peristiwa penting.

Saya mengulang kaji bahan sejarah itu beberapa kali. Kali pertama; untuk memahami keseluruhan peristiwa secara umum. Kali kedua, saya membaca lebih teliti sambil mencatat urutan peristiwa dan tokoh pada setiap peristiwa. Lebih kurang tiga minggu, fikiran saya berbalah dan bertengkar sendiri; bagaimanakah cara hendak menyampaikan cerita itu dalam bentuk novel. Proses pengeraman idea ini agak meletihkan. Latar masa yang panjang, watak yang banyak, peristiwa perang juga banyak, sangat mengelirukan!

Walau bagaimanapun, apabila proses penulisan dimulakan, saya mula “nampak” bentuk yang hendak dipersembahkan. Keseluruhan cerita dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, peristiwa Tunku Kudin (watak utama) mengadakan pakatan  menentang Siam dan Inggeris yang berlaku antara tahun 1825 hingga tahun 1833. Perjuangan Tunku Kudin tentulah tidak akan lengkap sekiranya tidak diimbas semula hujung pangkal masalah dan kesan yang berlaku selepasnya.

Maka itu, saya membina bahagian kedua, iaitu peristiwa yang berlaku antara tahun 1786 hingga tahun 1843. Watak utama dalam bahagian kedua, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah berhadapan konflik selepas Francis Light menduduki Pulau Pinang, perbalahan adik-beradik, hubungan panas istana dengan Siam dan Inggeris, membawa kepada siri peperangan sehinggalah sultan tersingkir dari negeri selama beberapa tahun, kemudian beroleh pengampunan dan dibawa pulang untuk ditabalkan semula sebagai pemerintah.

Saya menyiapkan bahagian pertama sebanyak lapan bab. Selepas itu, saya menulis pula bahagian kedua sebanyak lapan bahagian juga. Kemudian, kedua-dua bahagian digabungkan secara berselang-seli; sengaja dibuat begitu untuk mencantikkan jalinan cerita. Deraf pertama setebal 96 halaman disiapkan dalam tempoh 12 hari. Selepas merehatkan deraf itu beberapa minggu, saya kembali menekuninya untuk kerja pemurnian dan penyuntingan. Proses kedua ini lebih sukar. Manuskrip perlu dipanjangkan sekurang-kurangnya menjadi 150 halaman. Pada tahap ini, bumbu imaginasi dan permainan fiksyen berfungsi; perincian watak, latar masa, tempat dan alat, pemikiran, dan lain-lain yang sesuai dengan zaman dimasukkan untuk memberikan kesan realiti dan seni pada cerita. Dalam sebuah buku lain, saya menemukan perkataan “kilah”, “kalah” dan “qalha”; yang mungkin mempunyai unsur Arab dan Parsi, merujuk pada nama lama bagi Kedah, yang kemudian dijadikan judul novel ini.

“Menovelkan” bahan sejarah tidak sukar jika kita arif dengan bahan yang kita pilih. Sebenarnya bahan sejarah itu sudah menyediakan faktanya yang lengkap iaitu peristiwa, watak dan latar. Namun begitu, fakta yang terbentang dalam buku sejarah sangat kaku dan hanya memberitahu (telling). Oleh hal yang demikian, penulis perlu menghidupkan cerita dengan menunjukkan (showing) fakta ini. Apabila membina watak berdasarkan tokoh sejarah, penulis perlu “masuk” ke dalam diri tokoh itu, perlu “berfikir” sepertinya, “melihat” peristiwa yang dilaluinya, dan “rasa” apa yang dia rasa. Penulis boleh menggunakan bahan rujukan dan imaginasi juga untuk menggambarkan kehidupan masyarakat zaman itu, cara berpakaian, kegiatan ekonomi, rumah, makanan dan budaya hidup mereka.

Saya menulis novel sejarah untuk mencabar diri dalam genre yang tidak pernah saya tulis. Menyertai sayembara, salah satu cara memotivasikan diri. Dalam sayembara, ada tarikh akhir yang memaksa kita menyiapkan manuskrip dalam  tempoh masa ditetapkan. Jika menang, kita beroleh ganjaran, tetapi jika tidak menang, mungkin manuskrip akan tersimpan sahaja dalam komputer kerana susah hendak mendapatkan penerbit. Oleh sebab itu, saya fikir, saya perlu menulis dengan bersungguh-sungguh juga supaya menang (sekurang-kurangnya hadiah sagu hati) supaya manuskrip dapat diterbitkan dalam bentuk buku. Syukurlah apabila manuskrip Demi Tanah Qalha diumumkan beroleh tempat pertama dalam sayembara ini, saya terasa betapa saya telah mendapat hadiah yang manis dan lumayan juga!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.