Oleh Norliza Md Yamin
23 Ogos 2022, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak akhir-akhir ini, seni dendangan syair mengalami satu fenomena yang sangat luar biasa. Perkembangan ini dilihat sebagai suatu yang positif kerana dapat memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat, terutama golongan muda. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik minat golongan muda untuk mencintai syair. Namun demikian, dalam keghairahan mendepani situasi ini, pendendang sering kali mengalami masalah untuk mencipta dan menulis bait-bait syair. Hal ini disebabkan syair terikat dengan syarat pembinaannya.

Penulis bersama dengan buku nukilan Roslan Madun.

Maka itu, untuk merungkai permasalahan ini adalah disarankan kepada pendendang untuk memiliki buku Kumpulan Syapen Syair Lirik oleh Roslan Madun. Buku ini mengandungi sejumlah syair yang dikarang oleh Roslan Madun. Buku ini mengangkat pelbagai tema antaranya seperti keagamaan, keraian majlis, nilai murni, penghargaan kepada tokoh, peristiwa, sejarah tempat dan puji-pujian.

Roslan Madun ialah pendendang yang bertaraf antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana, beliau mempunyai pengalaman membuat persembahan dalam dan luar negara. Kemudian, segala pengalaman yang diperoleh telah diterjemahkan dalam buku ini. Sebagai pendendang syair yang baru hendak bertapak, penulis menyarankan kepada pendendang untuk mendapatkan buku ini.

Tema Keagamaan

Keagamaan menjadi tema utama dalam menghasilkan syair. Sesuai dengan prakata pengarang, syair mendekatkan kita dengan Allah SWT. Menerusi dendangan “Syair Kecintaan kepada Rasulullah” dapat kita hayati seperti yang digambarkan dalam petikan yang berikut:

Telah sempurna dakwah Rasulullah,

Kita umatnya amalkanlah,

Hal agama usah berbalah,

Nanti kita sesat dan lelah.

Rasulullah SAW telah berdakwah dalam menyebarkan agama Islam. Sebagai umatnya, kita haruslah sentiasa beramal dan jangan berbalah sesama sendiri. Pesanan ringkas dalam lirik ini mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Tema Keraian

Trend pada masa ini telah meletakkan syair pada taraf yang tinggi. Dendangan syair menjadi pilihan sebagai gimik pelancaran perasmian dalam sesebuah majlis. Maka itu berdasarkan pengalamannya, Roslan Madun telah memilih tema keraian untuk diselitkan dalam antologi ini.

Pemilihan syair untuk majlis keraian boleh dilihat pada halaman 2, 18 dan 20 dalam buku ini. Sebanyak 28 buah syair bertemakan keraian terkandung dalam koleksi ini. Pemilihan bahasa yang indah dan tersusun menjadikan majlis tersebut lebih bermakna. Pendendang boleh sahaja memilih mana-mana syair pendek untuk membuat persembahan. Pengarang telah mencipta syair untuk majlis tertentu seperti hari guru, hari pekerja dan hari kanak-kanak. Penulis ini sangat tertarik pada bait-bait “Syair Majlis Jasa Dikenang” seperti dalam petikan yang berikut:

Majlis nan indah penuh bermakna,

Meraikan persaraan tuan yang cakna,

Meneruskan hidup di luar sana,

Setelah berkhidmat sekian lama.

Tema Ketokohan

Ketokohan pemimpin menjadi antara tema yang diberikan tumpuan dalam buku Kumpulan Syapen Syair Lirik ini. Roslan Madun telah memetik beberapa nama besar untuk dizahirkan dalam syair nukilannya. Antaranya “Syair Usman Awang”, “Syair Yong Dolah Bengkalis”, “Syair Tuan Guru Nik Azis” dan “Syair Rouzan Al -Najjar”. Syair yang ditulis sangat puitis. Hal ini secara tidak langsung membolehkan pendendang dan pembaca dapat menambah pengetahuan dan menyelami sejarah keperibadian tokoh tersebut melalui syair. Antaranya dapat dilihat dalam petikan “Syair Yong Dolah Bengkalis” seperti yang berikut:

Terkenal sebagai penglipur lara,

Di atas balai bakatnya ketara,

Dia penghibur jiwa nan lara,

Ceritanya banyak tidak terkira.

Begitu juga ketokohan Rouzan Al -Najjar yang diangkat dalam “Syair Mengenang Rouzan Al-Najjar”. Bagi pendendang yang tidak mengenali tokoh muda belia yang rebah di medan juang angkara Zionis, syair ini telah memberikan maklumat kepada pembaca.

Rebahlah Rouzan sebagai perwira,

Terhenti baktinya pada negara,

Dalam usia yang masih remaja,

Terkorban akhirnya si muda lela.

Begitulah indahnya seni. Mesej diangkat dalam susunan bahasa yang indah, ringkas dan jitu.

Tema Kasih Sayang

Tema yang berikutnya ialah kasih sayang. Roslan Madun telah menerapkan semangat cinta dan kasih sayang antara insan dalam syair. Gaya bahasanya yang mudah difahami memudahkan penerimaan mesej tanpa sebarang prejudis. Lirik syair merujuk kepada kasih sayang dan diselitkan dengan unsur nasihat. Hal ini dapat dilihat dalam “Syair Kasih Anak Yatim”.

Roslan Madun menyarankan agar pendendang dan pembaca sentiasa menjaga hubungan baik dengan anak yatim tanpa ada perasaan pilih kasih. Anak yatim tiada tempat perlindungan, justeru sebagai manusia kita mesti mempunyai rasa tanggungjawab untuk sama-sama menyayangi mereka. Sebagai balasannya, ganjaran pahala akan diberikan oleh Tuhan kepada kita.

Anak-anak yatim kita lindungkan,

Tuntutan agama kita amalkan,

Rezeki yang ada dibagi bahagikan,

Ganjaran pahala Tuhan gandakan.

Dalam buku Kumpulan Syapen Syair Lirik, Roslan Madun telah menyatakan bahawa beliau sedaya upaya memastikan setiap syair karangan beliau menepati syarat pembinaan syair. Walaupun syair yang dihasilkan tidak sebaik syair klasik yang tinggi mutunya, namun Roslan Madun berharap agar buku ini dapat membantu pendendang muda khususnya. Sebagai pengarang, beliau dengan rendah hati mengizinkan pembaca mahupun pendendang syair untuk menambah apa-apa yang kurang dalam mempersembahkan syairnya.

Mengulas lanjut berkaitan dengan ciri-ciri syair, pengarang telah berusaha keras memastikan agar lirik syair karangan beliau menepati kehendak syarat pembinaan syair. Permasalahan mungkin dapat dikesan dalam pemilihan perkataan pada rima akhir. Namun begitu, tidak menjadi masalah yang besar kerana bunyi vokal pada rima akhir masih sama. Kita selusur salah satu lirik syair yang mempunyai rima hujung yang tidak sama, tetapi sama dari segi bunyi vokalnya. Perhatikan “Syair Sarawak” seperti dalam petikan yang berikut:

Inilah Sarawak secara ringkas,

Di dalam syair memang tak puas,

Sejarahnya panjang tidak terbatas,

Ambil yang elok letakkan di atas.

Walaupun secara keseluruhan tidak mempunyai rima akhir yang sama bunyi, namun rima yang serupa diterima. Tidak ada sebarang pertikaian. Pujian perlu dititipkan kepada pengarang, iaitu Roslan Madun kerana bukan perkara mudah hendak memilih dan menyusun perkataan hujung rimanya sama. Pada akhirnya, Roslan Madun dapat menghasilkan bait syair yang klasik (istilah penulis). Kita dapat melihat usaha pengarang menghasilkan lirik pada rangkap kelima “Syair Majlis Jasa Dikenang” seperti dalam petikan yang berikut:

Usahlah tuan bersedih hati,

Di luar masih boleh berbakti,

Kepakaranmu itu dinanti-nanti,

Oleh masyarakat sudahlah pasti.

Selain itu, kita juga dapat membaca “Syair Hidup Ibarat Lebah” seperti dalam petikan yang berikut. Rima hujungnya sangat cantik dan membuai perasaan apabila mendengdangkan puisi tersebut.

Orang baik patuh agama,

Mudah diajak bekerjasama,

Seperti lebah hidup bersama,

Dijadikan contoh alim ulama.

 Selain pemilihan hujung irama a,a,a,a, perkara yang tidak diabaikan oleh Roslan Madun adalah memastikan bilangan perkataan pada setiap baris syair tidak lebih daripada lima perkataan. Seelok-eloknya bilangan suku kata antara 8 hingga 12 suku kata.

Namun demikian, terdapat juga beberapa rangkap yang mempunyai empat perkataan, tetapi bilangan suku katanya lebih daripada 12 suku kata. Hal ini dapat dilihat melalui “Syair Hari Ibu” seperti dalam petikan yang berikut:

Segala kudrat yang dia ada,

Tumpah kepada seisi keluarga,

Diri sendiri tidak terjaga,

Demi kebahagiaan keluarga tercinta.

“Demi Kebahagiaan keluarga tercinta”  ialah contoh bait syair yang menepati pemilihan perkataan sebanyak empat, namun bilangan suku katanya lebih 12 suku kata. Hal ini tidak menjadi kesalahan kerana kebiasaannya pendendang akan mendendangkan dan menentukan sendiri suku kata mengikut kesesuaian irama yang dipilih. Kebijaksanaan pengarang sememangnya tidak dapat disangkal. Contoh bait puisi yang menepati syarat dan sangat sesuai didendangkan ialah lirik “Syair Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” seperti dalam petikan yang berikut:

Ampun tuanku payaung negeri,

Naluri rakyat tuanku dengari,

Mencemar duli kesana kemari,

Jadi perbualan hari ke hari.

Bilangan perkataan sebaris hanya empat perkataan. Bilangan suku katanya juga baik, iaitu antara lapan hingga 12 suku kata. Hujung irama syairnya vokal dan konsonan yang sama. Kebijaksanaan pengarang dalam menyusun kata dan bahasa wajar dipuji kerana pengarang telah menepati ciri syair yang sepatutnya.

Jika dilihat pada bahagian penutup kulit belakang buku ini, Roslan Madun turut menyatakan bahawa disiplin membina syair lazimnya dimulakan dengan menyebut nama Allah SWT dan rasul serta ditutup dengan memohon maaf atas kesalahan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.