Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSinaran sang suria terpancar di muka Ahmad. Siulan burung mengejutkan dirinya daripada tidur. Hon kereta pula memekikkan telinganya. Ahmad terus bangun dan melipat hamparan kotak yang menjadi alas tempat tidurnya. Sudah lima tahun Ahmad menjadi gelandangan di bandar raya metropolitan ini. Sambil berjalan dengan rupa fizikal yang lemah longlai, Ahmad memandang tepat ke arah bangunan pencakar langit di sekelilingnya. Kemewahan itu tidak memberikan kekaguman dalam dirinya.
Bagi Ahmad, keluarga dan kasih sayang dapat mengatasi segala kemewahan di atas bumi bertuah ini. Melihat tubuh badannya yang semakin uzur, Ahmad seakan-akan mengerti bahawa hidupnya tidak lama seperti yang diharapkannya. Kadang-kadang Ahmad berdoa supaya riwayatnya tidak dipanjangkan. Dalam kehidupan selama 65 tahun, dia berasa penat dengan kehidupan yang dilaluinya. Setelah penat bergerak, Ahmad duduk di lorong yang menjadi kancah penagih dadah yang senasib dengan dirinya.
Berlinang-linang air mata di pipinya. Hampir lima tahun Ahmad meningggalkan kampung halamannya, namun kenangan lama masih menghantui dirinya hingga saat ini. Daripada kedut mata Ahmad, terlalu banyak kisah, perasaan dan kenangan pahit terpendam dalam dirinya. Mata Ahmad mula mengenang kisah dirinya dibuang oleh anak kandungnya sehingga orang di sekeliling menganggap dirinya sebagai sampah. Mungkin dirinya yang kolot telah memalukan anaknya sendiri.
Eh, jauh termenung?
Zamani ialah teman senasibnya, seorang yang gagap pertuturan tetapi luhur hatinya sehingga sanggup berkongsi makanan, pakaian dan kisah hidupnya bersama-sama Ahmad walaupun masing-masing berbumbungkan langit.
Zamani menghulurkan sebuku roti kepada Ahmad. Beribu-ribu persoalan masih bermain dalam fikiran Ahmad. ‘Besar sangatkah dosaku sehingga aku dibiarkan berada dalam kesunyian di penghujung hidupku?’ kerut Ahmad dalam hatinya.
Wala bagaimanapun, Ahmad tetap bersyukur kerana masih ada insan yang sanggup menjadi penemannya. Ahmad berasa kehidupan menjanjikan segala pahit, manis, suka dan duka. Ahmad memikirkan tentang semua yang telah dilaluinya, sedang dan bakal dilalui olehnya. Hanya Maha Pencipta yang tahu betapa kejamnya kehidupan yang dilaluinya selama ini. Ada insan yang mencacinya kerana mengotorkan pemandangan indah bandar mewah itu. Sebaliknya, ada insan yang berjiwa besar menghulurkan bantuan yang cukup untuk mengisi perutnya.
Begitulah hari-hari yang dilaluinya. Siang yang penuh kepanasan dan malam yang kesejukan. Tiada tempat untuk berteduh melainkan kaki lima di sekitarnya. Alangkah baiknya jika ada insan yang sanggup membantunya.
Anak sendiri pun tak nak aku, inikan pula orang lain nak hulur simpati kepada aku.
“Pak cik dah lama ke tinggal di sini ?” tanya seorang anak muda.
Ahmad terpinga-pinga. ‘Siapakah gerangan anak muda ini? Mengapa tiba-tiba dia menegur aku?’ soal Ahmad dalam hati.
“Pak cik dibuang oleh anak… .” Aku mengeluh panjang.
Suasana sepi seketika. Anak muda yang berusia dalam lingkungan 20-an itu memandang tepat ke arah mata Ahmad. Pilu jiwanya mendengar kata-kata Ahmad. “Pak cik nak ikut saya ke Pusat Penjagaan Orang Tua Melati,” ujar anak muda itu.
Akan tetapi, tanpa mengendahkan kata-kata pemuda itu, Ahmad beredar dari tempat itu. Kalau diikutkan hati, memang dia mahu tempat untuk berteduh. Pada masa yang sama, dia ingin lari daripada kehidupan realiti. Dia takut untuk berhadapan dengan dunia yang penuh hipokrit ini. Biarlah dia menghabiskan sisa hidupnya di kaki lima ini.
Zamani berlari ke arahnya. “Tadi ada seorang pemuda datang kepada aku. Dia ajak aku dengan gelandangan lain pergi ke rumah orang tua,” ujar Zamani sambil mengucap kepenatan kerana berlari.
“Tahu,” jawab Ahmad
Rugi kalau kau lepaskan peluang ini. Bukan semua orang bersimpati dengan nasib kita.
Zamani memujuk Ahmad. Kegembiraan terpancar di wajah Zamani kerana dia dapat lari daripada kehidupan kaki lima yang penuh kekejaman ini.
Ahmad tidak mampu berkata-kata. Dia membisu seribu kata. Wajah anak tunggalnya tergambar dalam kotak fikirannya. Sekiranya anak tunggalnya menerima dia sebagai bapa, pasti nasibnya tidak seperti ini. Sekali lagi bayangan kisah silamnya menari-nari di ruang matanya. Ahmad mula terkenangkan arwah isterinya. Ahmad berkahwin pada usia 25 tahun dengan seorang wanita yang jelita dan penyayang. Isterinya sentiasa ceria dan lemah lembut serta bertanggungjawab. Isterinya sentiasa menyokong Ahmad dari segala aspek. Ahmad sangat menyayangi arwah isterinya.
Pada masa itu, Ahmad hanya bekerja sebagai pemandu lori. Walaupun gajinya kecil, tetapi masih cukup untuk menampung keperluan dia dan isteri. Selepas beberapa tahun usia perkahwinan mereka, isteri Ahmad disahkan mengandung. Ahmad berasa teruja untuk menjadi bapa. Mereka bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Ahmad memberikan layanan yang terbaik kepada isterinya. Namun langit tidak selalunya cerah. Ahmad diberitahu oleh doktor bahawa anak di dalam kandungan isterinya berada dalam keadaan songsang. Ahmad mula risau. Lalu pelbagai petua yang dikongsi daripada sesiapa sahaja dicubanya, namun kedudukan anak di dalam kandungan tetap tidak berubah.
Jadi doktor menasihatkan isteri Ahmad supaya melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bayi mereka. Perasaan sedih yang tidak boleh dibayangkan sampai air mata Ahmad menitik tanpa henti. Sedih Ahmad disebabkan perasaan takut yang menyelubungi dirinya kerana merisaukan keadaan isteri kesayangannya.
Abang jangan risau. Aina dan anak kita akan selamat. Percayalah kepada Allah SWT. Allah telah merancang sesuatu yang baik bagi kita nanti.
Tibalah detik yang dinanti-nantikan itu, isterinya telah dibawa ke bilik bedah. Hati Ahmad tidak tenang. Sejak isterinya dimasukkan di dalam bilik bedah, dia mundar-mandir di luar bilik itu.
“Ya Allah, selamatkan nyawa isteri dan anakku,” doa Ahmad.
Selepas beberapa lama menunggu, seorang doktor menghampiri Ahmad. “Tahniah Encik Ahmad, isteri encik selamat melahirkan seorang bayi lelaki,” kata doktor dengan wajah tersenyum.
“Erm … tapi isteri Encik Ahmad tidak dapat diselamatkan. Saya harap Encik Ahmad tabah menghadapi ujian daripada Allah SWT. Ahmad meraung selepas mendengar apa-apa yang diperkatakan oleh doktor itu.
“Apakah yang harus aku lakukan tanpamu di sisiku.” Ahmad menangis teresak-esak. Dia sesat akal membayangkan bagaimana cara untuk dia membesarkan anaknya tanpa isteri di sisinya.
Selepas tujuh tahun kematian isteri kesayangannya, kehidupan Ahmad sangat susah. Hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Walau bagaimanapun, dia menurut sahaja permintaan daripada anak kesayangannya itu. Ahmad membesarkan anaknya dengan baik. Ahmad selalu berpesan kepada anaknya supaya menjadi anak yang baik.
Semakin usia anaknya meningkat, semakin banyak perbelanjaannya yang diperlukan. Ahmad terpaksa bekerja sambilan pada usia yang semakin meningkat demi menampung keperluan dan kehendak anaknya. Anak Ahmad ialah pelajar cemerlang dari segi akademik dan sukan. Semua guru di sekolah sering memuji anaknya kerana berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Ahmad berasa sangat bangga terhadap anaknya dan mula menaruh harapan tinggi terhadap anaknya. Anak Ahmad menjadi pelajar cemerlang di daerahnya dan mendapat memperoleh keputusan 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Menengah, dan berjaya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya ke menara gading.
Ahmad menjadi risau kerana terpaksa berpisah dan menghantar anaknya jauh daripada pandangannya untuk melanjutkan pelajarannya. Selepas 17 tahun pemergian isterinya, Ahmad tidak pernah berpisah daripada anaknya. Walau bagaimanapun, Ahmad terpaksa berkorban perasaan rindunya demi masa hadapan anaknya. Inilah saat yang dinanti-nantikan oleh Ahmad. Selama ini hasil titik peluhnya tidak sia-sia dalam memberikan anaknya pendidikan kepada anaknya. Ahmad sentiasa berdoa supaya anaknya tidak memiliki nasib sepertinya.
“Ayah jangan risau pasal Ashraf. Ashraf akan jaga diri dan akan selalu ingat nasihat ayah,” pujuk anaknya kepada Ahmad.
“Ashraf berjanji akan jaga ayah sepertimana ayah menjaga Ashraf dulu.” Ashraf memeluk Ahmad dengan penuh sayang.
“Janji dengan ayah yang Ashraf akan telefon ayah setiap hari,” ujar Ahmad.
Jangan risau ayah, Ashraf akan selalu hubungi ayah.
Setelah beberapa bulan Ashraf meninggalkan Ahmad, keadaan makin berubah. Ashraf kadang-kadang sahaja menelefon Ahmad alasannya sibuk dengan tugas di universiti. Ahmad risau apabila memikirkan keadaan anaknya.
“Ashraf, ayah ni. Kenapa Ashraf dah lama tak telefon ayah? Risau ayah dibuatnya,” kata Ahmad.
Ashraf baik-baik saja ayah. Cuma sibuk dengan pelbagai program. Ayah jangan selalu hubungi Ashraf, nanti menganggu Ashraf.
Ahmad bertambah risau disebabkan perubahan yang ditunjukkan oleh Ashraf. Anak kesayangannya yang selalu ramah tiba-tiba bercakap kasar. Beberapa tahun berlalu, Ashraf telah menamatkan pelajaran dan berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik. Namun sikap Ashraf terhadap ayahnya tidak profesional. Ashraf tidak pulang ke rumah untuk menjengguk Ahmad, malah menjawab telefon pun kadang-kadang sahaja apabila Ahmad menelefonnya untuk bertanyakan khabar.
Keadaan Ahmad semakin uzur. Ahmad tidak dapat bekerja lagi. Namun pada suatu hari, Ashraf pulang ke rumah membawa bakal isterinya. Ashraf menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan perempuan itu kepada Ahmad. Ashraf juga berjanji akan menjaga Ahmad selepas dia berkahwin nanti
Ahmad yang uzur ini tidak mempunyai pilihan selain mengahwinkan anaknya. Ahmad menjual rumahnya untuk menanggung kos majlis perkahwinan Ashraf. Seperti yang dijanjikan, selepas berkahwin Ashraf membawa Ahmad untuk tinggal bersama-samanya.
Walau bagaimanapun, Ashraf dan isterinya tidak melayan Ahmad dengan baik sehingga mereka tergamak menghalau Ahmad dari rumah mereka. Ahmad berasa sedih kerana Ashraf membuangnya daripada hidup mereka. Ahmad berasa sangat kecewa kerana jasanya tidak dihargai oleh anaknya. Itulah kisah silamnya yang menari-nari di ruang matanya.
Malam pun tiba. Hening dan sejuk. Hamparan kotak menjadi selimut Ahmad. Entah mengapa Ahmad tidak dapat melelapkan mata pada malam itu. Mungkin terlalu banyak persoalan yang bermain dalam fikirannya.
Tiba-tiba Ahmad terdengar bunyi yang kuat. Dia mencari-cari dari mana arah bunyi itu. Renungan tajam ke semua sudut di sekelilingnya. Masih tercari-cari. Penghuni kaki lima yang lain juga turut terjaga.
Ahmad memulakan langkahnya. Cahaya bulan yang tidak ceria menjadi penemannya. Sebelum sempat menjejakkan kakinya ke lorong, kedengaran bunyi ambulans menghampiri satu kawasan yang dikerumuni ramai orang. Langkahnya semakin cepat. Dia semakin mendekati mereka. Beku hatinya melihat sekujur tubuh yang dipenuhi darah terbaring. Dia mendekatkan dirinya dan terkejut melihat mayat itu.
Tidak! Itu bukan Zamani.
“Aduhai, mengapakah Zamani meninggalkan aku?” soal Ahmad dengan suara yang perlahan dan terputus-putus. Mayat Zamani diangkat perlahan-lahan lalu dimasukkan ke dalam ambulans.
Mata Ahmad menyorot layu mengiringi lenggok ambulans yang sedang beredar. Dia masih teringat kegembiraan di wajah Zamani yang ingin pergi ke rumah orang tua. Namun hasratnya tidak kesampaian. Allah lebih menyayanginya.
Keesokannya harinya, pemuda dari Pusat Penjagaan Rumah Orang Tua Melati sekali lagi datang menghampiri Ahmad. Ahmad menatap wajah pemuda itu. Ahmad tahu lelaki itu menginginkan jawapan daripada Ahmad.
Ahmad berfikir sejenak. Dia keberatan, namun akhirnya dia menyatakan persetujuan. Bukan untuk dirinya, tetapi untuk sahabat baiknya, Zamani. Dia bergerak mengayun rentak kaki mengikut pemuda itu. Tamatlah gelarannya sebagai seorang penghuni terhormat kaki lima.