Oleh Hasni Jamali
24 Jun 2022, 07:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bual Intelek “Buku DBP: Sudut Pandang Anak Muda diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Kuala Lumpur – Tiupan semangat berkobar-kobar melalui pandangan anak muda berkenaan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat perhatian meluas dalam program “Buku DBP: Sudut Pandang Anak Muda” yang  dianjurkan Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP. Ruang dan peluang perbincangan dibuka kepada lima orang ahli panel iaitu Nur Anis Syazwani, Fazleena Hishamuddin, Hafiz Latiff, Ismail Adnan dan Hairi Safwan yang melontarkan komentar, kritikan serta solusi.

Suara ketegasan dengan nada pelbagai irama daripada ahli panel ini telah dikemudikan oleh Dinie Asyraf selaku moderator. Melalui program tersebut, DBP diseru agar selalu mengamalkan sifat keterbukaan untuk menerima dan meraikan pandangan daripada pelbagai pihak, terutama penggiat buku dan pembaca aktif. Medan laman sosial juga harus digunakan secara bijak, berterusan dan sentiasa dikemas kini dengan memuat naik kandungan dan pengisian tentang buku terbitan DBP dalam usaha memperkenalkan dan mempromosi buku DBP kepada masyarakat.

Nur Anis Syazwani (Cikgu Wanny).

Menurut Cikgu Wanny, DBP perlu berkawan dengan pembaca aktif kerana golongan tersebut yang aktif berkongsi dalam media sosial ini tidak ramai, jadi DBP perlu mencari dan mendekati mereka untuk memberikan hebahan secara meluas kepada masyarakat.

Aspek kolaborasi atau kerjasama dengan banyak pihak seperti pembaca aktif, pengulas buku, pempengaruh buku dan golongan artis yang mempunyai banyak pengikut harus diambil peluang dalam usaha memperkenalkan dan meluaskan pengetahuan masyarakat terhadap buku terbitan DBP. Hal ini jika disambut baik dan diambil tindakan, jangka hayat buku DBP tidak lagi sepi di pojok gudang malah mampu terjual dan laris di pasaran hingga permintaan terhadap buku DBP semakin tinggi dan diulang cetak secara berterusan.

Umpama frasa “api dari suatu zaman” sempena sambutan Ulang Tahun DBP ke-66, begitulah yang diharapkan dapat menyuntik semangat warga organisasi ini dalam menyebar luaskan buku DBP kepada masyarakat.

“Buku boleh meningkatkan ilmu pengetahuan dan buku juga boleh menjadi hiburan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab asas buku itu tidak boleh kita lepaskan, tanggungjawab asas pada buku itu mesti terkandung perkara yang memanusiakan pembaca,” ulas Dinie Asyraf ketika siaran Bual Intelek berlangsung.

Program Bual Intelek yang berlangsung baru-baru ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan turut disiarkan secara siaran langsung melalui media sosial DBP. Para pelayar turut tidak ketinggalan menyahut suara ahli panel dan turut meninggalkan komentar dalam usaha menyuarakan pandangan yang rancak dibicarakan.

   “Masyarakat membeli sesuatu demi solusi yang akan diperolehi. Begitu juga buku. Penerbit dan penulis perlu ceritakan nilai, kemudian pembaca sasaran baru timbul minat membeli.” – Husna Adnan
“Saya bersetuju dengan Tuan Ismail Adnan bahawa minda masyarakat perlu berubah, DBP sudah banyak membantu. Pilihan di tangan kita.” – Hafizan Jamal
“DBP perlu dekat dengan masyarakat. Media sosial boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengkomersialkan karya sastera.” – Anis A. Azam
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.