Oleh Nimoiz T.Y.
17 Jun 2022, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Akhirnya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berlangsung di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur melabuhkan tirainya selepas 10 hari bertandang menemui pencinta buku.

Kenapa pesta, bukan pameran buku? Sebabnya pesta ini ibarat hari raya bagi penerbit, penulis dan pembaca. Inilah masa dan ruang penerbit, penulis dan pembaca bertemu. Sesi “temu mesra” (meet and greet) sudah pasti menjadi ruang terbaik untuk pembaca beramah mesra dengan penulis. Bertanya hal-hal seputar dunia buku dan penulisan. Seterusnya pulang bersama-sama buku pilihan dengan tandatangan penulis yang diminati olehnya.

Pesta yang berlangsung dari 3-12 Jun 2022 ternyata mencipta sejarah unik apabila berjaya menarik lebih 1.3 juta pengunjung berbanding dengan 670 000 pengunjung pada tahun 2019. Sebagai rekod, PBAKL terhenti seketika untuk dua siri tahun 2020 dan 2021 impak Malaysia dan dunia dilanda pandemik COVID-19. Terbukti, buku tidak mati. Di tengah inflasi dan ketidaktentuan pasaran dunia, buku masih relevan. PBAKL ini juga menjadi pengubat bagi pencinta buku setelah dua tahun tidak bersua.

Bagi penggemar dan pencinta buku, PBAKL ini menjadi medium terbaik untuk mencari buku pilihan. Tambahan pula, banyak penerbit memberikan potongan harga yang luar biasa menjadikan harga yang ditawarkan berbaloi untuk direbut.

Pilihan buku ini bergantung pada beberapa aspek. Antaranya ialah penerbit, penulis dan genre. Faktor lain seperti kulit buku, jenis kertas dan ilustrasi yang memberikan nilai tambah. Dalam konteks perkembangan dunia media sosial, penulis yang mempunyai pengikut yang ramai sudah pasti memberikan satu nilai lain yang tidak dimiliki oleh penulis biasa.

PBAKL membolehkan pembaca bertemu dengan penulis buku dan berpeluang untuk mendapatkan tandatangan daripada penulis buku tersebut.

Kemeriahan PBAKL ini semakin dirasai apabila pengunjung tidak putus-putus menjejak kaki di WTC hingga saat akhir. Paling menarik, ada pempamer yang menurunkan harga jauh lebih murah supaya dapat pulang dengan beban buku yang lebih ringan. Sudah pasti, ini peluang berbaloi-baloi yang tidak ditawarkan pada hari biasa.

Bagi insan yang bergelas penulis, selepas PBAKL apa?

Sikap cemburu bagi penulis itu bagus. Misalnya, cemburu rakan-rakan penulis yang menerbitkan buku baharu. Ini sudah pasti akan memberikan momentum semangat untuk kita pun turut menerbitkan buku baharu pada masa terdekat. Inilah sikap cemburu positif.

Mengunjungi PBAKL sememangnya seronok, terutama penulis. Masa inilah menjadi ruang untuk sesama karyawan berkumpul dan bermesra. Selama ini, masing-masing hanya menyendiri menulis di rumah. Barangkali hanya terkurung di dalam bilik menekuni naskhah. Memang, ada juga pertemuan penulis dalam ruang lain. Misalnya bengkel penulisan, program bicara karya atau majlis apresiasi karya. Namun demikian, berjumpa rakan penulis di pesta buku menjadikan aura dan suasananya lain daripada yang lain.

Benar, ada penulis yang mengungi PBAKL tanpa membeli sebuah pun buku. Sebab hadirnya semata-mata untuk merasai suasana.

Apakah yang lainnya dengan suasana di PBAKL? Jawapan lautan manusia yang sama-sama minat akan ilmu dan buku.

PBAKL kali ini, suasananya pasti berbeza. Pertama, setelah dua tahun tiada acara sebesar ini, kini kita kembali ke acara yang penuh meriah. Tambahan pula, PBAKL kali ini turut menampilkan suasana berbeza daripada sebelum ini kerana disediakan ruang Laman Santai Seni untuk acara baca puisi, lagu puisi, lancar buku, baca naskhah, bual buku dan sketsa selain ruang lain di pentas utama dan ruang Rehat & Baca. Bahkan, setiap reruai juga gamat dengan acara sendiri yang padat setiap hari.

Tentu sekali meriah.

Tambah menggembirakan, apabila seseorang penulis itu berjaya menerbitkan buku baharu dan dijual di pesta ini. Pasti ada senyuman yang terpapar di wajah selepas penat bergelumang dengan idea dan komputer. Lalu akhirnya berjaya diterjemahkan dalam bentuk buku. Bau buku, pasti aromanya menggiurkan.

Program yang melibatkan Sasterawan Negara pada PBAKL baru-baru ini.

Bagi seorang penulis, PBAKL bukan sekadar tempat untuk mencari buku, malah inilah peluangnya untuk bertemu penerbit dan editor. Ada ketika, editor juga muncul di pesta untuk sama-sama merasai kenikmatan dan kemeriahan acara. Di PBAKL, sudah pasti editor juga mengambil peluang untuk mencari nilai lain yang tersembunyi dalam aspek pemilihan bahan penerbitan pada masa akan datang.

Dunia penerbitan ada pasang surutnya. Ada penerbit yang dahulunya gah kini tenggelam secara perlahan-lahan. Ada juga penerbit yang baru menetas tetapi sudah menunjukkan keupayaan dan potensi yang besar. Kemunculan penerbit baharu ini sudah semestinya perlu diraikan untuk mencambah dan melebarluaskan penyebaran karya. Sekalung tahniah juga kepada penerbit yang sudah tidak muncul kerana pernah mewarnai PBAKL suatu ketika dahulu.

Kehadiran orang ramai semasa PBAKL 2022.

Inilah peluang penulis. Mencari ruang penerbitan untuk menghantar manuskrip pada masa hadapan. Dunia penulisan ini luas. Dunia ini penuh dengan pelbagai cabang. Setiap penerbit ada fokus dan genre yang tersendiri. Kerencaman inilah menjadikan dunia penerbitan kaya dan mencapah. Antara kesilapan penulis adalah menghantar manuskrip kepada penerbit yang salah. Kesalahan yang besar sudah pastinya melibatkan genre dan sasaran pembaca.

Menghantar manuskrip buku sastera seperti kumpulan puisi, cerpen dan novel kepada penerbit yang hanya menerbitkan buku agama dan ilmiah sahaja antara yang sering berlaku. Ada juga penulis yang menghantar manuskrip golongan sasar kanak-kanak kepada penerbit yang hanya menerbitkan novel popular.

Semua ini mesti menjadi pemerhatian penulis di PBAKL. Bukan sekadar perenungan biasa, tetapi pemerhatian tuntas dan lebih tajam.

Penulis perlu peka dan menjadi pemerhati yang ligat. Selepas PBAKL, penulis sepatutnya sudah tahu hendak menulis buku apa selepas ini. Penulis perlu teliti semasa mahu menghantar manuskrip kepada penerbit selepas ini. Penulis juga perlu menyediakan pelan A dan pelan B. Misalnya, sekiranya sudah menghantar manuskrip kepada penerbit A, ke mana sepatutnya manuskrip itu disalurkan jika ditolak kerana tidak menepati kehendak penerbit.

Majlis pelancaran buku pada PBAKL 2022.

Pelbagai faktor yang menyebabkan manuskrip itu ditolak. Antaranya ialah faktor teknikal seperti jenis dan saiz font, langkau dua baris dan lain-lain yang asas. Namun demikian, kesalahan yang lebih besar adalah menghantar manuskrip betul kepada penerbit yang salah.

Memahami gelagat dan sikap pengunjung juga penting. Semasa PBAKL, penulis sepatutnya menjadi pemerhati yang tuntas. Misalnya, penulis perlu meneliti pempamer mana yang menjadi tumpuan pengunjung. Pengunjung ini sudah pasti melibatkan aspek umur, jantina dan-lain. Seterusnya, buku yang menjadi pilihan pembeli tadi. Aspek inilah yang perlu diperhatikan oleh penulis sebagai persediaan untuk menulis pada masa akan datang. Sudah sampai masanya penulis menghasilkan buku yang diminati pembaca. Bukan sekadar menulis sesuatu yang diminati sendiri. Penulis juga perlu rajin bertanya dengan rakan penulis semasa di PBAKL. Ini penting supaya penulis dapat menjauhi penerbit yang tidak jujur.

PBAKL pun sudah tamat. Pembaca mungkin kini gembira menatap buku yang dibeli.

Penulis pula bagaimana?

Kita akan berjumpa PBAKL tahun hadapan. Ada masa setahun lagi sebelum PBAKL muncul. Kalau PBAKL 2023 lebih awal dua atau tiga bulan, penulis cuma mempunyai masa sekitar 10 bulan sahaja sebagai persediaan.

Penerbit pula perlu menerima manuskrip lebih awal supaya proses pra-penerbitan dapat berjalan dengan lancar. Misalnya proses penilaian dan lain-lain yang mengambil masa yang agak panjang. Sekiranya terpilih untuk diterbitkan, banyak lagi proses yang perlu ditempuh. Antaranya ialah suntingan, reka bentuk kulit buku dan susun atur sebelum dihantar kepada pencetak. Penerbit juga perlu melakukan kajian pasaran akan potensi sesebuah buku itu sama ada layak atau tidak diterbitkan.

Penulis, panjang umur mungkin dapat berjumpa dengan PBAKL 2023. Mahu melihat buku baharu di PBAKL tahun hadapan? Jika mahu, sekaranglah masanya untuk menulis.

Jumpa PBAKL 2023 tahun hadapan dengan buku baharu!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.