16 Jun 2022, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belakangan ini institusi pendidikan, badan kerajaan serta kementerian tertentu giat memperkenalkan perkataan didik hibur (edutainment). Hal ini disebabkan sebilangan daripada generasi kini seakan-akan berhalangan dalam memberikan fokus kepada pendidikan berbentuk konvensional, selain sukar membahagi masa antara pendidikan dengan melayari media sosial.

Oleh hal yang demikian, kaedah pendidikan mula berubah. Kandungan pendidikan mula digubah dalam pelbagai bentuk, antaranya seperti lagu kontemporari, lakonan, permainan dan lukisan supaya mudah memahaminya dan secara tidak langsung dapat menarik minat mereka. Gubahan kandungan pendidikan ini kemudiannya disebarkan dalam pelbagai aplikasi seperti Kahoot, video, serta media sosial secara meluas capaiannya seperti TikTok, Twitter, Instagram dan Facebook.

Teknik ini dilihat berkesan kerana peranti yang capaiannya lebih meluas ini berupaya tersebar dengan pantas, ditambah lagi unsur bunyi dan visual menarik yang mengumpan perhatian generasi muda. Meskipun jaringan teknologi melebar, hal-hal yang mengangkat khazanah pusaka bangsa seperti syair, nazam, gurindam, pantun dan seloka masih perlahan berikutan sebilangan warga maya lebih meminati hiburan dari negara luar.

Natijahnya, berlakulah kesenjangan waktu dan zaman terhadap khazanah pusaka bangsa milik negara kita. Tanpa generasi kini ketahui, khazanah pusaka bangsa yang tergolong dalam sastera Melayu klasik (lisan) telah lama menjadi suatu didik hibur. Istilah didik hibur yang baru dipergiat kini hanyalah dejavu. Antara didik hibur lokal yang menarik ialah nazam. Mari berkenalan dengannya!

Meneliti buku Kenali Puisi Tradisional Kita (2014), Siti Zaleha M. Hashim menyatakan, “Nazam berasal daripada perkataan Arab yang secara umumnya membawa maksud susunan atau puisi yang digunakan untuk tujuan dakwah dan pengajaran agama.”

Harun Jaafar menerusi Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik (2009) pula mengkategorikan nazam dalam kelompok puisi memuji Rasulullah SAW yang didasari saduran Arab-Parsi tetapi telah menjadi gubahan penyair Nusantara lalu menjadikan puisi yang tergolong dalam kelompok saduran ini turut mempunyai elemen lokal atau domestik. Menurut Harun Jaafar (2009), “Semua puisi jenis itu yang dihasilkan oleh para penyair di Alam Melayu dan menggunakan bahasa Melayu walaupun bentuknya terdapat dalam bahasa Arab, atau memang karya asli dari rantau ini.”

Daripada dua takrifan tersebut, sudah pun berlaku elemen kontemporari terhadap kebudayaan Melayu iaitu pertama, kandungan pendidikan agama yang dihasilkan dalam medium kreatif iaitu puisi dan kedua, mendapat pengaruh budaya daripada negara berbeza; Arab-Parsi dan alam Melayu.

Memetik bahagian pendahuluan oleh Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh dalam Puisi Melayu Tradisi (2016), “Setengah-setengah golongan menganggap bahawa puisi lama sebagai sesuatu yang statik, lapuk dan ketinggalan zaman sedangkan puisi yang beraneka ragam bentuknya itu dicipta atau digubah dengan menampilkan warna suasana masyarakat Melayu.”

Kenyataan tersebut dilihat tepat kerana sesetengah generasi kini masih tidak boleh membayangkan atmosfera kehidupan lampau yang tidak memiliki teknologi sebagai alat hiburan. Maka itu, kehidupan dahulu kala dianggap membosankan, sedangkan kehidupan sosial masyarakat dahulu lebih meriah berbanding dengan zaman kini yang rata-ratanya menjadi anti-sosial lantaran terperangkap dalam cakupan alam maya.

Jika direnung kembali, komunikasi dan sosialisasi zaman sekarang tidak serancak zaman lampau. Adakah benar manusia zaman lampau tidak berhibur? Tidak. Bahkan, hiburan mereka jauh lebih meriah, dilatari ilmu bermanfaat dan disampaikan dalam kelompok manusia yang ramai. Inilah konsep kehidupan alam Melayu yang turut terdapat dalam nazam.

Memetik tulisan bertajuk Puisi Melayu Tradisi (2016), “Dalam bahasa Melayu, kata nazam tidak merujuk kepada pengertian puisi secara khusus, sebaliknya ada pula yang mengaitkan dengan lagu atau zikir.” Bererti, nazam ini disampaikan dalam bentuk nyanyian, sudah pun menepati kehendak didik hibur, iaitu menyampaikan pendidikan melalui hiburan.

Nazam membicarakan ilmu seperti fikah, akidah, pesan amanat, rukun agama, tasawuf, kisah Nabi, sifat Allah SWT juga fardu ain dengan tujuan untuk mendidik, memberikan nasihat, pedoman serta dakwah Islamiah. Menurut Aripin Said dalam Puisi Warisan (2015), “Nazam dan syair juga boleh dijadikan sebagai nyanyian rakyat.”

Hal ini demikian kerana pada peringkat perkembangannya, nazam telah disampaikan dalam pelbagai temasya atau keraian dalam kalangan masyarakat. Sungguhpun demikian, menurut Aripin Said (2015) lagi, “Sekiranya diteliti bait-bait puisi lama masa ini, ada puisi yang dahulunya dinyanyikan tetapi kini sudah tidak dapat lagi dikesan akan nada dan iramanya.”

Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi kepayahan serta rintangan untuk melestarikan puisi tradisi Melayu. Bukan sebab puisi Melayu itu membosankan, lapuk, statik atau ketinggalan zaman, sebaliknya kesenjangan waktu menyebabkan iramanya sukar dikenal pasti. Sering kali kerana tema nazam lebih menyentuh perihal agama, lalu dendangannya disebut – dilantunkan secara “nasyid” atau “zikir” . Sedangkan, berzikir dan bernasyid itu sendiri boleh diiringi dengan rencam irama atau melodi.

Menurut pendendang syair, Nur Amelyana (perbincangan puisi tradisional, 9 November 2021), “Terdapat dua irama nazam yang masih diketahui oleh pengamal puisi tradisional iaitu irama Kedah dan irama Melaka. Irama Melaka pula terbahagi kepada dua irama, iaitu tanjung dan serkam.” Perkara yang sama digariskan oleh Almarhum Haji Mohd Yasin Ahmad (bengkel dendangan puisi tradisional Melayu di ASWARA pada tahun 2011) yang turut menekankan bahawa nazam ini lazimnya disampaikan seperti tadarus, beramai-ramai dan bersambut-sambut.

Dalam konteks bentuk fizikal, nazam tidaklah jauh bezanya daripada bentuk gurindam iaitu dua baris serangkap, manakala rimanya merupakan rima arketaip puisi Melayu yakni a-a, atau a-b. Sungguhpun demikian, rima nazam tidaklah tegar seperti pantun dan syair yang benar-benar menepati a-a-a-a dan a-b-a-b. Rima nazam lebih bebas. Begitu pun, masyarakat Melayu sememangnya tidak akan lari daripada kebiasaan pengucapan atau perulangan bunyi yang sama, sehinggakan meski rima tidak tegar, tetapi rima tetap tersusun, cantik, kemas dan terjaga.

Dari segi jumlah perkataan, nazam lazimnya ditulis dengan empat hingga enam baris serangkap, suku katanya pula terdiri antara 12 hingga 15 suku kata. Dari aspek kandungan mesejnya pula, sebagaimana syair, menurut Siti Zaleha M. Hashim (2014), nazam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan satu keseluruhan idea.

Nazam tidak seperti pantun yang maksudnya dapat disampaikan dengan jelas hanya dengan satu rangkap, menepati kehendaknya yang bersifat dakwah atau menyampaikan cerita Islam, yang semestinya perlu digambarkan dengan panjang. Oleh sebab itu, konsep penyampaiannya (berbalik kepada didikan Haji Mohd Yasin Ahmad) bersambut dan seperti bertadarus. Berikut merupakan petikan nazam sebagai rujukan untuk memahami konsep fizikalnya.

Nazam Sifat Dua Puluh

 Aku mula nazam ini dengan nama

Allah yang memberikan faham agama

 

Puji itu bagi Allah yang mulia

Lagi kekal Ia lagi yang sedia

 

Nazam Nasihat Agama

 Alhamdulillah qadim kita puji,

Sebab dia boleh beri taufik untuk kami

 

Hai saudara ii satu nasihat akhir

Faham kamu baik-baik ambil fikir

                                                     Dipetik dalam Puisi Melayu Tradisi (2016)

Merujuk kepada Nazam Sifat Dua Puluh dan Nazam Nasihat Agama, setiap satu rangkap mempunyai baris permulaan yang mengandungi pesan dan baris kedua menyarankan tindakan yang boleh diambil umat manusia, atau menjelaskan sebab juga akibat daripada perkara yang diungkap oleh baris pertama.

Begitulah nazam ini akan ditulis secara dua baris serangkap sehingga selesai pesan amanat, cerita atau dakwah yang mahu disampaikan. Berbalik pada dendangan sama ada disampaikan secara serkam atau tanjung, irama serkam mempunyai jeda sesudah baris pertama disampaikan, manakala irama tanjung disampaikan tanpa jeda sehingga selesai satu rangkap nazam. Serkam berjeda seperti contoh tersebut, manakala contoh irama Tanjung seperti dalam video contoh pada penghujung tulisan ini.

Serkam

Aku mula nazam ini dengan nama (jeda)

Allah yang memberikan faham agama

Secara fizikal juga, ada beberapa nazam dijumpai secara empat baris serangkap seperti yang termuat dalam Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik (2009) dan petikan tersebut.

Seorang manakala hati dia

dengan angan-angannya tertipu daya,

Dan bergaduh gundah dengan loba akan kaya

dunia yang bukannya tempat kaya.

 Melihat kepada bentuk fizikal nazam tersebut, benar nazam ditulis secara empat baris serangkap, tetapi masih berlaku pemerengganan (,) pada baris kedua. Maka itu, nazam tidak boleh diklasifikasikan sebagai pantun kerana tidak menepati ciri fizikal, juga tidak tergolong dalam syair kerana syair berbentuk cerita, sementelahan rangkap tersebut jelas pada baris pertama dan ketiga merupakan pesan yang sekiranya dipisahkan menjadi dua rangkap tidak meleraikan maksud kerana maksudnya telah pun bersambut pada baris kedua dan keempat.

Bergerak kepada pelestarian nazam, menurut Almarhum Haji Mohd Yasin Ahmad (2011), nazam Melaka mempunyai seni kata tetap atau ucap tetapnya, iaitu “Allah Allah Azzawajjal Tuhan kami, kami minta ampun akan dosa kami” pada permulaan lagu, sebagai meminta keampunan daripada Tuhan Maha Esa. Kemudiannya, dalam beberapa persembahan, seni kata tetap atau ucap tetap ini menjadi korus yang bersambut-sambut oleh kumpulan nazam, sesudah dua rangkap nazam disampaikan secara solo.

Melihat kepada perkembangan tersebut, di bawah bimbingan Almarhum Haji Mohd Yasin Ahmad, pada tahun 2011 telah berlangsung persembahan nazam yang digubah seni katanya (seperti lampiran dan video pada akhir penulisan ini) tetapi masih mengekalkan dendangan dengan irama Tanjung. Sungguhpun demikian, pada bahagian solo, kerana nazam dilihat ekanada, telah berlaku sedikit improvisasi supaya nazam lebih meriah didengar. Irama tanjung yang tepar boleh didengar pada rangkap pertama persembahan ini yang mengekalkan – Allah Allah Azzawajjal Tuhan kami, dengan harapan khazanah bangsa kita kekal bergema ke seluruh buana. Marilah kita berevivalisme dengan budaya bangsa milik kita. Daripada kita asyik melantunkan lagu negara lain, melayan lagu moden, karaoke lagu aneh, sesekali kita merancakkan dengan lagu rakyat!

 

Dendangan nazam oleh mahasiswa Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia, yang mendendangkan semula nazam irama tanjung (dengan improvisasi).

 

NAZAM BAHASA KITA

Allah Allah Azzawajjal tuhan kami

kami minta ampun akan dosa kami

dengan bismillah kami mulakan nazam ini

mohon limpah rahmat kasih dari Ilahi

Ayuh rakan mari kita sama bernazam             

dalam nazam ada ilmu yang terpendam (2x)

Bahasa kita jadi bahasa kebanggaan

bahasa menjunjung luhur budaya dan warisan

ayuh bangsaku sama-sama kita tuturkan

daulatkan bahasa jati diri diperjuangkan

 Ayuh rakan mari kita sama bernazam

dalam nazam ada ilmu yang terpendam (2x)

Bahasa kita jadi teras kerukunan

sebagai bahasa penjalin erat perpaduan

oleh itu mari sama kita amalkan

di zaman ini jangan bahasa jadi buangan

 Ayuh rakan mari kita sama bernazam

dalam nazam ada ilmu yang terpendam (2x)

Bahasa kita bahasa yang bersopan santun

bila bermadah manis kita selitkan pantun

dalam temasya ada puisi dan juga syair

dengan seloka orang terima walau menyindir

Ayuh rakan mari kita sama bernazam

dalam nazam ada ilmu yang terpendam (2x)

Sekian saja nazam kami persembahkan

moga-moga ada ilmu dan tauladan

jadilah kita manusia arif budiman

khazanah bangsa jangan sekali digadaikan

 

Judul: Nazam Bahasa Kita

Karya asal dan bimbingan (2011): Almarhum Haji Mohd Yasin Ahmad

(Karyawan Tamu ASWARA)

Olahan seni kata: Syahidatul Munirah Badrul Munir

Solo: Muhammad Lutfi Husaini Hassan

Dendangan bersama-sama: Mohamad Aiman Haikal Rosli

Manisya Azlin Ishak

Maryam Mazlan

Gitar: Mohamad Aiman Haikal Rosli

Korus: Mahasiswa Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia

Rakaman video: Nazreen Shahul Hamid

Pembimbing: Syahidatul Munirah Badrul Munir

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!