Oleh A. Muziru Idham
8 April 2022, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesetengah orang mempersoalkan tentang perlunya ideologi dalam pengkaryaan. Adakah karya yang tidak mempunyai ideologi adalah karya itu lebih rendah nilainya?

Bagi saya, persoalan utamanya bukanlah terletak pada perlu atau tidak bagi sesebuah karya itu memiliki ideologi. Persoalan sebegini sudah tuntas dibahaskan pada era 1950-an antara kem ASAS 50 (diketuai oleh Asraf Wahab) dengan Angkatan Persuratan Melayu (diketuai oleh Hamzah Hussin) yang mempertembungkan antara gagasan Seni Untuk Masyarakat dengan Seni Untuk Seni.

Barangkali gagasan sebegitu sangat relevan dibahaskan pada tahun tersebut kerana masyarakat pada masa itu masih mencari arah tuju pengkaryaan untuk membangunkan identiti kepengarangan yang boleh berfungsi ke arah pembinaan negara bangsa. Namun demikian, pada masa ini orang tidak perlu lagi memperdebatkan tentang gagasan kegunaan seni dan kesusasteraan kerana pada akhirnya akan berbalik kepada individu itu sendiri berkaitan dengan tujuan dia hendak menulis.

Hal ini dikatakan demikian kerana, sastera tidak terhimpun untuk gagasan pemikiran semata-mata. Namun persoalannya kini, apakah ideologi itu sendiri secara hakikinya dapat dipisahkan daripada sastera?

Renungan ini datang sesudah saya membaca makalah bertajuk “Ideology and Ideological State Apparatuses” yang ditulis oleh ahli falsafah Perancis, iaitu Louis Althusser. Menurut Althusser, ideologi merupakan hubungan antara imaginasi individu dengan realitinya.

Kita sentiasa berada dalam ideologi kerana kebergantungan kita kepada bahasa menubuhkan kepada ‘realiti’ yang kita bina. Maka itu, bahasa menjadi alat bagi seseorang untuk meneroka realiti dunia untuk ditafsirkan di sebalik gambaran realiti dunia yang dibayangkan olehnya.

Hal ini membuka renungan saya kepada kesusasteraan, yang menggunakan bahasa sebagai perantaraan utama untuk membangunkan teks, dan teks sebagai perantara antara penulis dengan pembaca.

Setiap perkataan dan susunan yang digunakan dalam teks adalah berdasarkan kepada kesedaran kognitif pengarang yang melahirkan idea dan imaginasinya menjadi gagasan kata-kata. Norman Fairglough (ahli linguistik British) menyatakan bahawa penulis menguasai pembaca dengan menentukan apa-apa yang dia hendak tulis, dan kuasa penulis ini membentuk wacananya tersendiri dalam mengungkapkan idea atau kecenderungannya.

Saya mengambil contoh esei bertajuk “Book Vs. Cigarettes” yang ditulis oleh George Orwell. Jika esei itu dibaca selapis, munkin kita akan memahami tentang Orwell yang bergelut dengan soal pembelian antara buku dengan rokok, yang mana dia menghujahkan dengan kiraan matematik tentang nilai wang untuk tujuan apakah lebih bermanfaat – sama ada membeli buku ataupun rokok.

Namun demikian, jika dibaca pada lapis lain pula, kita dapat melihat wujudnya semangat utilitarianisme dalam esei tersebut apabila pemilihan Orwell antara buku dengan rokok adalah dengan mengambil kira keputusan yang dilihat lebih memberikan kepuasan dan kebahagiaan kepada dirinya.

Pembaca yang membaca esei tersebut barangkali hanya membaca sekadarnya, walhal eseinya membawa kepada resapan idea terhadap proses kognitif dan akan bermain-main dalam fikiran tentang persoalannya pada suatu ketika nanti.

Saya sendiri membaca esei tersebut pada beberapa tahun lalu sekadarnya tanpa merasakan apa-apa yang berat ditimbulkan daripada esei tersebut, tetapi akhir-akhir ini merenungkan semula tentangnya dengan melihat lapisan yang lain pula. Itulah sifat ideologi yang mengisi ruang kognitif tanpa disedari.

Darihal itu, ideologi tidak akan pernah terpisah daripada kesusasteraan, kerana proses kepengarangan dan pentafsiran itu sendiri akan melibatkan ideologi. Meskipun kita cuba mengabaikan peranan ideologi dalam kepengarangan, tetapi bagaimana pula dengan proses pentafsiran? Kita tidak boleh mengambil jalan berselindung dengan idea kematian pengarang Roland Barthes secara polos, tanpa kita memahami bahawa Barthes sendiri memperakui bahawa teks itu merupakan rangkaian perkataan yang terjalin daripada pelbagai sisi kebudayaan.

Hal itu bermakna sesebuah teks membuka kepada ruang pentafsiran yang sangat luas, dan proses itu tergantung kepada sisi seorang pembaca dalam menentukan hala tuju tafsirannya tersebut. Proses sebegitu menyebabkan pembaca lain yang membaca tafsiran tersebut akan menghadamkannya dan menyebabkannya mula berfikir tentang subjek yang telah ditafsirkan. Proses itu sendiri merupakan ideologi daripada teks, maka hal itu adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripadanya.

Bagi saya, seseorang penulis itu wajar bersikap terhadap sesuatu, setidak-tidaknya dengan dirinya sendiri. Sikap ini tidak semestinya tampil dalam bentuk fahaman politik ataupun memegang sebarang idealisme tertentu. Namun sikap itu tampil daripada kesedaran tentang apa-apa yang dituliskan dalam karyanya dan tidak mengambil jalan mudah untuk melepaskan pertanggungjawaban sebagai seorang pengarang terhadap karya yang telah ditulis olehnya.

Saya barangkali menyetujui Barthes agar sesebuah karya itu menerima sebuah ruang pentafsiran yang terbuka sebab karya yang terlalu dikawal ketat pentafsirannya oleh autoriti pengarang akan menyebabkan karya tersebut lebih cepat menemukan ajalnya.

Walau bagaimanapun, tidak bererti pengarang bebas menulis sesuka hatinya sehingga tidak langsung memiliki ruang untuk bersikap tentang hal moraliti dan estetika, sehingga tidak merasakan apa-apa untuk menulis – contohnya – tentang perlecehan terhadap wanita.

Saya teringat wawancara Mikeo Kawakami yang mengkritik Haruki Murakami dengan menyatakan ketidaksetujuannya terhadap cara garapan Murakami terhadap watak Mariye Akigawa dalam novel Killing Commendatore. Kata Kawakami, “Saya dapat rasa betapa tertekannya watak Mariye Akigawa dalam novel Killing Commendatore apabila identitinya dikaitkan dengan payudaranya. Hal ini tidak berlaku terhadap watak perempuan muda dalam novel kamu yang lain. Kali kedua dia bersendirian dengan pencerita pertama, iaitu seorang lelaki yang dia tidak pernah temukan sebelum ini, perkataan pertama yang keluar daripada mulutnya adalah sesuatu yang seperti, ‘Kamu tak rasa ke yang payudara saya adalah sangat kecil?’ Saya membacanya dengan sangat terkejut. Dari mana datangnya obsesi dengan payudara ni?”

Jawapan Murakami dalam wawancara itu tidak menunjukkan bahawa dia sedar akan lakaran wataknya itu, tetapi Kawakami mendedahkan bahawa garapan sebegitu adalah bermasalah. Sebab itu daripada awal saya kata tadi, bahawa ideologi adalah sesuatu yang tidak terpisahkan daripada kesusasteraan, maka pengarang harus sentiasa sedar tentang kepengarangannya kerana apa-apa yang mengilhamkan  dalam teks akan turut menyerap ke dalam imaginasi pembaca.

Hubungan antara penulis dengan pembaca tidak akan pernah putus, selagi teks itu terus-menerus dibaca. Penulis dan namanya barangkali sudah tiada (seperti hikayat yang tidak memiliki nama pengarang), tetapi suara teksnya adalah merentas waktu. Sewaktu kita membaca Hikayat Hang Tuah ataupun Sulalatus Salatin, barangkali kita sekadar membaca tentang cerita yang berlaku dalam kesejarahan Melayu, tetapi tumpuan besar hikayat istana itu adalah pengagungan terhadap kesultanan Melayu bagi memastikan generasi mendatang terus mengekalkan semangat feudalisme.

Itulah ideologi, yang lahir daripada realiti yang mana pengarang hikayat itu telah bina untuk generasi mendatang. Realiti itu diwakili oleh cerita dan mitos dalam hikayat, tetapi membawa semangat zaman (zeitgeist) yang tidak akan lenyap. Nyatanya setiap seorang tidak akan pernah terlepas daripada ideologi, selagi mana dia berkarya. Sebab pengkaryaan menemukan realiti diri penulis dengan realiti diri pembaca.

Pertemuan dan perhubungan antara realiti tersebut akan mewujudkan realiti baharu yang ingin dibina pada masa ini atau pada masa hadapan. Sebab itu saya tekankan perlunya kepada rasa bersikap terhadap diri sendiri agar kesedaran kognitif pengarang tidak menyebabkan dirinya terlalu narsis sehingga mengabaikan realiti yang sedang dibinanya daripada pengkaryaan tanpa disedari.

Jadi, sebagai pengarang apakah realiti yang mahu anda bina untuk pembaca karya anda?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.