Oleh Roslan Jomel
7 Mac 2022, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Pada saat anda menerbitkan esei kepada masyarakat, anda telah memasuki kehidupan politik. Jadi jika tidak ingin politik, janganlah menulis esei atau berbicara.” – Jean Genet, dipetik daripada buku Peranan Intelektual, tulisan Edward Said.

Lewat petang, pada 19 Februari 2022, saya menyusuri Jalan Changkat Bukit Bintang. Kamu duduk termenung di bangku tepi jalan utama di tengah bandar raya Miri pada empat tahun lalu. Sambil mengeluh, kamu berasa begitu terbeban kerana pekerjaan menulis seperti tidak mendatangkan hasil untuk dibanggakan. Akan tetapi, saya harus memikul tugasan penulisan dan terseksa kerana memikirkan apakah manfaatnya kepada pembaca?

Jarak lokasi dan tempoh masa bagaikan bercantum di skrin. Apakah perbezaannya antara tahun 2022 dengan tahun 2018? Isu dalam sastera kita masih berulang-ulang dengan kerenah dan tingkah laku para pengiatnya. Ada segelintir penulis mahukan kejayaan segera dengan menciplak karya penulis. Bahkan, ada segelintir penulis tidak malu-malu menagih pengiktirafan. Apakah tujuan mereka menulis?

Selepas selesai siaran perlawanan akhir bola sepak merebut Piala AFF SUZUKI Edisi 2018 bertarikh 15 Disember, antara Malaysia menentang Vietnam, Abizai menelefon untuk mengajak keluar minum sebentar. Lokasi dimaksudkan oleh Abizai ialah sebuah kafe yang dibina sebaris dengan beberapa premis hiburan di tepi jalan utama tidak jauh daripada Hotel Mega, Miri.

Jika tidak tidur awal, anda boleh menghidu bau minuman keras dan melihat sepintas lalu persembahan nyanyian ketika melintasi deretan kedai di situ. Itulah magnet sensasi bagi pengunjung pada hujung minggu sebagaimana terdapat pada bandar yang pesat berevolusi.

Para peniaga memanfaatkan peluang sebegini. Kepada pengarang yang menetap di tengah zon kosmopolitan dan urban, menurut kata Budi Darma ketika menghasilkan Orang-orang Bloomington, situasi remang-remang sebegitu berpotensi dijanakan sebagai sumbu draf karya kreatif.

Pada siangnya tadi, berlangsung acara Semarak Sastera anjuran Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) bertempat di sebuah bilik di Hotel Mega. Poul Nanggang yang baharu sahaja menerbitkan buku kumpulan esei sasteranya, Himpunan Aksara-aksara Bernyawa membicarakan potensi kepengarangan penulis muda Frankie Latit.

Selepas itu penulis prolifik, Jaya Ramba mengendalikan sesi perbincangan pengalaman peribadi penulis ketika berkarya yang menampilkan Abang Median Abang Said dan Abizai. Dengan jumlah kehadiran audiens yang sederhana, program itu tetap signifikan kepada PUTERA dan usaha mencungkil bakat baharu dalam bidang penulisan perlu dilakukan untuk kesinambungan generasi sasterawan utara Sarawak.

Nama baharu diharap muncul berkarya dan bukan sekadar menyertai persatuan. Jika tidak, PUTERA hanya dianggotai oleh orang-orang yang sama dan ini menyukarkan untuk melihat idea unconventional dalam kalangan ahli lainnya. Kreativiti sastera Sarawak pasti stereotaip dan ini menyebabkannya kaku dan tersekat.

Kuala Lumpur menjadi tumpuan untuk mengadakan pelbagai aktiviti, termasuklah aktiviti sastera.

Saya percaya masih ada beberapa individu yang berminat dalam lapangan penulisan kreatif di Miri dan dengan menyertai PUTERA, siapa tahu bakat mereka diasah dan berkembang. Sungguh malang andai bakat dan minat mereka dalam kesusasteraan dileburkan oleh masa dan tuntutan kelangsungan hidup.

Harus diakui bahawa situasi aktiviti sastera dan seni lebih meriah dan konsisten di Kuala Lumpur. Ini hakikat yang sudah lama diketahui oleh golongan penulis. Segala aktiviti sastera, seni, budaya, bahasa dan pemikiran sering diadakan di kawasan bandar raya itu. Teater, pembacaan puisi, diskusi karya, seminar pemikiran tokoh penulis, majlis ilmiah, bengkel penulisan, pesta buku dan tayangan filem alternatif.

Namun bagaimanakah dengan sebahagian penulis dan aktivis seni yang berada jauh dari ibu kota serba canggih itu dalam menyalakan kecintaan diri mereka dalam bidang penulisan?

Ini zaman digital. Seseorang boleh sahaja menelusuri lautan Internet pada bila-bila masa dengan telefon pintar. Tiada lagi istilah halangan geografi dalam kehidupan sekarang. Pelbagai rencana sastera, cerpen dan sajak yang disajikan dalam talian.

Para penulis era sekarang amat beruntung oleh kemudahan komunikasi. Bergaul dengan rakan penulis dan golongan yang meminati bidang yang sama juga mampu menyuntik inspirasi untuk berkarya dan meluaskan ufuk mereka tentang sastera. Itu kelebihannya yang ketara.

Saling berkongsi perspektif dan bertukar pandangan untuk memperkuatkan kemahiran dan naratif. Sama ada penulis terkenal atau baharu berjinak-jinak dalam bidang penulisan, tidak akan terlepas daripada kelemahan mikro dan makro. Pujian yang melampau dan tidak berasas perlu dielakkan ketika menilai karya daripada rakan penulis. Inilah dilema yang mengganggu pertimbangan ketika memantau kerja penulisan rakan penulis. Bagaimana seharusnya bersikap dalam urusan sepenting itu? Adakah kita belum berani berterus-terang?

Saya bimbang jika terlalu awal melambung-lambungkan kerja penulisan seseorang pengarang, mungkin akan melemaskannya dalam kurungan katarsis. Jauh bezanya antara menilai sesebuah karya sastera dengan semberono dan disokong ilmu. Ada batasan profesionalisme yang perlu dipisahkan dan harus jelas. Memadailah dengan menggalakkan seseorang penulis itu terus cekal menulis dan tidak mudah berpuas hati dengan kedudukan sekarang.

Usah memberikan sanjungan kosong. Kerja mengarang merupakan suatu proses sepanjang hayat. Komen sedemikian saya fikir tidak mungkin mengguriskan hati rakan penulis. Rasuah dalam sastera merupakan penyakit tersembunyi yang akhirnya menenggelamkan kelompok pengarang dan melemahkan kualiti sastera itu sendiri.

Hal itu sudah pun diluahkan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam esei bertajuk “Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia”. Saya tidak berhasrat melampirkan perenggan pedas itu sekali lagi di sini untuk peringatan.

Adapun hadiah yang diterima, anggapkan sahaja sebagai bonus dan bukan kerana karya yang dihasilkan terlalu sempurna sehingga tiada cacat celanya di mata pembaca lain. Namun sampai bilakah kita menulis kerana dipengaruhi oleh segala peraduan dan sayembara?

Saya sependapat dengan Sasterawan Negara Baha Zain, bahawa ada ikhtiar lain untuk mempercepatkan peningkatan mutu penulisan dalam negara ini. Cadangan beliau adalah menghantar mana-mana penulis berbakat untuk mengembara sambil belajar di luar negara. Pendedahan dengan kompleksti budaya dan suasana sosial di luar negara, sedikit sebanyak mendorong karya sastera lebih matang, canggih, kontemporari dan terkini gaya naratifnya.

Jangan lupa, Indonesia telah pun menawarkan peluang sebegitu dengan mengirim bakat kreatif mereka ke serata dunia. Apakah tujuan utamanya? Sudah tentu mempertajamkan mata pena para sasterawan mereka agar momentum diraih oleh misalnya, Eka Kurniawan, berterusan di mata peminat sastera antarabangsa. Namun, sudah tentu idea sebegitu memerlukan kos yang bukan sedikit dan tidak semestinya dipersetujui oleh kebanyakan pihak.

Walaupun begitu, tidak semua penulis cenderung untuk terlibat dalam persatuan malah sebaliknya lebih selesa memilih jalan nokturnal dalam kerja keatif. Itu soal lain. Setakat ini, Abizai selaku pemimpin utama kepada PUTERA telah pun mengukuhkan pencapaian mereka bertahan dalam aktiviti sastera. Tahun demi tahun PUTERA menempuhi peredaran zaman dan tegak sebagai jantung sastera di Miri.

Beberapa ahli persatuan penulis itu juga muncul dengan buku terbaharu dan aktif menulis karya kratif untuk siaran media massa dalam negeri dan pada peringkat kebangsaan. Grafik kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh beberapa ahli persatuan menjadi tonik ajaib untuk mengejapkan ikatan persatuan penulis itu hingga hari ini.

Namun, saya belum menyaksikan kehadiran penulis wanita di Miri yang mampu bersaing dengan ahli PUTERA lain pada tahap negeri dan nasional. Ini masalah ketara. Tahun hadapan, mungkin. Namun demikian, ini bukan fokus teras ingin saya bentangkan di sini.

Saya keluar daripada bilik hotel dan menjeling ke arah skrin jam tangan yang sudah menghampiri pukul 10.40 malam. Gila, apa lagi yang Abizai hendak perkatakan pada lewat malam sebegitu! Saya meletakkan semula novel Pedro Paramo tulisan Juan Rulfo di dalam beg, mencuci muka dan merenung ke cermin di dalam bilik air. Turun atau tidur sahaja? Saya bersoal jawab seketika.

Di Kuala Lumpur, pada jam sebegitu, saya sedang menelaah buku, menghayati filem atau sekurang-kurangnya menyemak tulisan sendiri. Saya menarik keluar semula novel Pedro Paramo, menyandar di kerusi, tetapi, sungguh tidak sopan andai menolak ajakan Abizai. Maka saya memasuki bilik air semula, menyikat rambut dan bersoal jawab lagi. Seolah-olah gangguan neurosis Murad, watak utama dalam novel Korupsi karangan Taha Ben Jelloun merasuk dalam diri saya.

Tombol pintu bilik hotel dipusing, saya memutuskan untuk keluar. Hari Sabtu, hari yang paling sensual untuk penulis karya kreatif meninggalkan bilik kerja dan meneroka dunia malam. Siapa tahu, menjelma baris untuk sajak nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.