Oleh Fansurina Ramli
4 Mac 2022, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagaimanakah menentukan sebuah pantun itu bermutu tinggi, bermutu, sederhana, kurang bermutu atau tidak bermutu? Itulah antara pengisian utama tentang pengelompokan pantun yang disampaikan menerusi Kursus Penciptaan dan Pengungkapan Pantun yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 2 Mac 2022 hingga 3 Mac 2022.

Poster kursus.

Kursus ini menampilkan Dato’ Rahman Shaari sebagai pembimbing, seorang penggiat sastera yang tidak asing lagi dalam arena penulisan kreatif. Kursus yang diadakan secara dalam talian ini disertai oleh peserta daripada pelbagai agensi luar termasuklah tenaga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri.

Dato’ Rahman Shaari.

Latar belakang peserta yang pelbagai tidak menjadi masalah atau menghalang kelancaran kursus kerana rata-rata peserta mempunyai minat yang tinggi untuk menghasilkan pantun. Hal ini dikatakan demikian kerana, sebahagian daripada mereka ini berpengalaman sebagai juri pantun dan pengacara majlis.

Dato’ Rahman Shaari menyatakan bahawa kursus seumpama ini merupakan usaha bagi menyemarakkan tradisi berpantun dalam kalangan masyarakat, selain bertujuan untuk mengukuhkan penciptaan pantun yang lebih lestari seperti pantun tradisi berikut:

Pulau Pandan jauh ke tengah,

            Gunung Daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah,

            Budi yang baik dikenang juga.

Apakah rahsia pantun tradisi ini cemerlang dan tetap kekal disebut berabad lamanya? Resipinya digariskan dengan jelas oleh pembimbing kursus yang memberikan panduan mencipta pantun yang bermutu.

Teori Pandang Pantun

Secara ringkasnya, teori ini menyatakan bahawa baris pembayang dan maksud mestilah mempunyai perkaitan yang akrab. Makna pantun yang disampaikan menerusi dua barisan bawah sudah perlu dibayangkan dalam dua barisan awal pantun.

Rima

Seperti yang diketahui, ciri umum sebuah pantun ialah mempunyai rima a-b-a-b di akhir baris. Namun begitu, kelebihan yang terdapat pada pantun tradisi di atas ialah rima tengahnya yang turut menggunakan prinsip a-b-a-b.

Prinsip empat perkataan

Pantun yang baik mempunyai empat perkataan dalam satu baris (atau didengari sebagai empat perkataan) dan pada masa yang sama mesti menepati prinsip lapan hingga 12 suku kata setiap baris.

Melalui kursus ini, peserta juga diberikan pendedahan ringkas tentang teknik yang boleh dipakai dalam penciptaan pantun. Antara yang disebut termasuklah teknik responsi, iaitu pengulangan kata di tengah baris dan teknik paralelisme seperti pantun tradisi di bawah:

Dua tiga kucing berlari,

            Mana nak sama si kucing belang;

Dua tiga boleh kucari,

            Mana nak sama tuan seorang.

Pada bahagian kedua kursus ini, peserta tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan perkongsian tentang teknik pengungkapan pantun yang berkesan.

Kata Dato’ Rahman Shaari, “Sebenarnya pengungkapan pantun tidak perlu terlalu mendayu-dayu seperti yang sering dilakukan pada hari ini. Bahkan, sesebuah pantun itu sepatutnya diungkapkan dengan tegas dan jelas agar falsafah pantun itu dapat disampaikan dengan baik.”

Tambahnya lagi, “Ada kalanya, pengungkapan pantun menggunakan intonasi yang tepat akan menjadikannya begitu indah untuk didengari sehingga mampu ‘menyembunyikan’ kekurangan yang terdapat pada pantun tersebut.”

Kursus yang sesuai disertai oleh penulis pemula mahupun mapan ini melabuhkan tirainya dengan perkongsian pantun daripada peserta dan diiringi dengan pesanan daripada pembimbing agar kekal memartabatkan seni warisan bangsa ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.