Oleh Mana Sikana
2 Mac 2022, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karya sastera mempunyai dua tujuan klasik yang telah dipersetujui sejak zaman Greek lagi; iaitu untuk hiburan dan pendidikan. Dalam tulisan ini, penulis cuba mewacanakan aspek hiburan dan pendidikan itu dalam konteks sebagai panduan dan bimbingan kepada penulis, terutamanya penulis muda untuk mempersiapkan diri dalam tugas kepengarangannya.

Tujahan akan ditegaskan dari aspek pendidikan, moral dan akhlak untuk proses pengukuhan keperibadian pengarang. Maka itu, wacananya akan menyentuh penulisan bercorak keislaman dan ilmu kejiwaan, yang menjadi paksi penulisan zaman remaja. Dasar dan prinsip penulisan teori sastera Islam dan teori sastera psikologi akan menjadi terasnya.

Kehadiran zaman moden, apa lagi pascamoden, dua subjek yang tua itu, kadang-kadang dilupakan orang. Pada dasarnya, sangat signifikan dan relevan untuk setiap zaman, maka aspek hiburan dan pendidikan itu menjadi subjek prima budaya sastera.

Melupakan gagasan, pendekatan dan teori klasik itu mengakibatkan pengurangan dari segi mutu dan nilai karya yang dihasilkan oleh penulis. Meskipun tulisan ini sebagai mengulang subjek yang sudah kovensional dan menjadi sejarah, tetapi rasanya masih belum reput, malah berguna dan amat praktikal dalam membentuk keperibadian penulisan remaja.

Mencari Hiburan

Cerpen, novel atau drama yang kita hasilkan, haruslah dapat menghiburkan khalayak, sekali gus melalui mesej, perutusan dan motif karya juga membawa nilai pendidikan. Ada dalam kalangan khalayak membaca sesebuah karya kerana ingin menikmati ceritanya berbanding dengan unsur pendidikannya.

Sebanyak 80% peratus pembaca terpesona kepada sesebuah karya, kerana tarikan cerita dan isinya yang baik. Tegasnya, naluri keseronokan itu berdasarkan penilaian baik buruknya cerita, tinggi rendahnya mutu cerita dan kuat lemahnya kesan cerita.

Apabila nilai sesebuah karya itu berdasarkan ceritanya, secara tidak langsung aspek seperti bahan, logika dan perutusannya menjadi subjek yang turut berkaitan. Ceritanya dikaitkan dengan isi karya, tujuan muatannya dan cara menyampaikan cerita itu.

Dengan sendirinya, sesuai dengan peranan sastera untuk membimbing masyarakat, secara arbitrari subjek yang bertalian seperti persoalan, pemikiran, tema, idea, perutusan, falsafah, mesej, premis dan sebagainya yang menjadi aspirasi pengarang.

Karya sastera yang dinilai berdasarkan pendidikan pula, dimulai Plato dalam bukunya Republic, yang menegaskan bahawa pentingnya moral dalam sastera. Plato menekankan dari aspek mesej atau perutusan sesebuah karya adalah wajib dan sangat signifikan. Tanpa mesej karya itu tidak mempunyai apa-apa pengertian.  Horace dalam Ars Poetica pula menengaskan, kedua-dua unsur, hiburan dan pendidikan secara integral wujud dalam karya, tidak ada dikotomi antara keduanya.

Pandangan Islam

Pandangan Islam menekankan semua bidang kebudayaan termasuklah seni sastera, haruslah digalakkan untuk meninggikan syiar Islam. Maka dengan itu karya sastera yang bercorak prosa dan puisi, digalakkan untuk memasukkan unsur pengajaran Islam. Untuk memenuhi keperluan itu, sasterawan Islam harus mencipta karya kesusasteraan yang selari dengan akidah, tasyrik dan tasawuf.  Berikutan itu maka lahirlah cerita yang bercorak keislaman. Para pendakwah Islam juga ada yang menggunakan cerita sebagai media untuk melakukan dakwah Islamiah.  Maka itu, lahirlah pencerita yang memainkan dua peranan; pertama sebagai penutur cerita Islam, dan kedua sebagai pendakwah.

Pada dasarnya, dapat dicirikan sifat sastera yang diterima oleh Islam sebagai berikut.

  1. Selagi cerita tidak bertentangan dengan akidah, syariat dan prinsip hidup Islam.
  2. Sastera itu menghargai hidup, mengajak manusia menilai diri, dan fungsinya mengarah kepada kebaikan dan mamancarkan sikap serta nilai hidup Islam.
  3. Sastera harus menentang apa juga bentuk kezaliman, meletakkan yang hak di tempatnya, dan menghormati manusia sesama manusia.
  4. Karya ditulis dengan niat sebagai ibadat, dan kegiatan keseluruhannya dengan hasrat mendapat keredaan Allah SWT.
  5. Karya yang menggambarkan perhubungan antara manusia dengan Tuhannya sebagai hubungan taabudiyah, dan hubungan manusia sesama manusia sebagai hubungan insaniyah.
  6. Mencitrakan kisah manusia yang berjuang menegakkan keadilan dan mencari kebenaran. Sastera yang menyintai keamanan dan membenci segala bentuk yang boleh memincangkan masyarakat.
  7. Sastera yang mewacanakan apa juga bentuk kehidupan manusia menurut landasan Islam.

Sastera Bermoral

Moral dan sastera sudah terlalu tua usianya. Sejak manusia bersastera, aspek moral yang terlebih dahulu ditonjolkan dalam sesebuah karya. Ini bermakna setiap diri yang mengaku dirinya pengarang, harus meletakkan nilai moral di hadapannya. Sama juga kita meletakkan ciri-ciri ajaran Islam dalam karya bagi penganut Islam.

Moral merupakan kebaikan dan keburukan yang ditentukan oleh masyarakat. Selain itu, moral merupakan sebuah norma tentang kehidupan yang diletakkan kedudukan teristimewa dalam kegiatan sesebuah komuniti, sosial atau budaya. Moral merupakan ajaran, pendidikan dan nilai murni, tegasnya, norma inilah yang menentukan gerak kerja ahlinya, dan biasanya berlandaskan sesuatu yang mulia, dihargai dan mempunyai nilai yang tinggi.

Apabila moral dikaitkan dengan penulisan sastera, bererti sesebuah karya yang baik itu haruslah bermoral. Mengikut pandangan nilai moral, hasil sesebuah karya sastera adalah ciptaan yang harus disanjung dan dimuliakan. Karya sastera berbeza dengan hasil seni yang lain seperti tarian, nyanyian, ukiran dan lukisan. Bidang penulisan, tidak sahaja memerlukan bakat dan kemahiran semula jadi, tetapi seseorang pengarang itu harus juga mempunyai visi, aspirasi dan perjuangan dalam penulisan karya.

Ilham yang menjadi sumber pengkaryaan, mestilah diteliti dan difikirkan buruk baiknya, kemudian barulah dituliskan dengan penuh kesedaran. Maknanya seseorang pengarang tidak menulis sesuatu mengikut perasaan dan kesukaan sendiri sahaja. Ada pertimbangan moral yang harus difikirkannya.

Tujuannya supaya karya yang dihasilkan itu bermanfaat kepada manusia. Karya yang baik haruslah bermoral, dan ketinggian sesebuah karya pula bergantung kepada ketinggian moral tersebut. Kesimpulannya, sesebuah karya sastera itu wajib mempunyai moral, kerana ia sebagai neraca yang menentukan nilainya. Karya yang tidak mementingkan moral, dianggap tidak bernilai.

Karya sastera terdiri daripada isi dan bentuk. Berdasarkan pandangan teori sastera moral, karya yang baik adalah karya yang mementingkan isi daripada bentuknya. Aspek isi ialah cerita dan persoalan yang diwacanakan dalam karya, lazimnya ditentukan oleh corak dan aliran masyarakat waktu karya itu ditulis. Tegasnya, subjeknya merupakan persoalan semasa. Sebagai contoh, masyarakat yang mementingkan pembangunan fizikal dan mental dalam ilmu sains dan teknologi, maka karya yang baik haruslah mengandungi moral sains dan teknologi itu.

Bagi sesebuah masyarakat yang sedang membina ekonomi dan meninggikan taraf hidup, sastera bermoral ialah yang sama-sama mendukung cita-cita ke arah tersebut. Begitulah seterusnya, isi atau moral karya ditentukan oleh kepentingan mengikut zaman dan masa.

Bentuk hanyalah sebagai alat untuk menyampaikan isi atau moral karya. Bentuk yang menstrukturkan pergerakan sesebuah karya. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti teori sastera moral mengabaikan terus aspek bentuk dalam karya. Pengarang harus mengerti, betapa mustahaknya persesuaian antara isi dengan bentuk, cuma penekanan diutamakan kepada isinya, yang mengandungi unsur pengajaran  yang boleh memandu para pembaca ke  arah mencapai tujuan hidup yang suci.

Tegasnya, yang penting karya itu mempunyai unsur yang boleh mengajak para pembaca berfikir, dan mengikut landasan yang telah ditentukan. Sesungguhnya moral itu bererti mendidik, mengajar, membimbing dan memandu masyarakat khalayaknya.

Sesuai dengan fungsi pendidikan, karya yang penuh dengan pengalaman benar dan bersifat faktual serta berisi dengan kebijaksanaan dan kepintaran, diharapkan dapat memandu masyarakat ke arah budaya yang sihat dan dinamik. Menulis karya sastera harus mempunyai suatu tanggungjawab etika, iaitu sebagai alat untuk memperbaiki moral masyarakat.

Menurut pandangan teori sastera moral, tugas mutlaknya ialah mengajar. Mengajar khalayaknya menjadi orang yang sensitif terhadap negaranya, sedia berkorban mempertahankan kebenaran, dan bercita-cita menjadi warganegara yang mulia. Maka itu, pengajaran yang harus disuguhkan dalam karya, mestilah yang mempunyai peranan untuk membentuk tamadun dan peradaban sesuatu bangsa. Karya yang kemiskinan dalam aspek moral, tidak dapat dianggap sebagai sebuah karya yang besar.

Dalam banyak hal, moral ditentukan oleh nilai masyarakat. Salah satu ciri sastera yang baik, ialah mengandungi sikap hidup dan semangat zaman yang dibentuk oleh zaman dan masyarakatnya. Tegasnya, menulis sastera bermotifkan sebagai suatu gerakan ke arah memenuhi keperluan kemasyarakatan dan kemanusiaan. Penulis dalam perkataan lain, harus bertindak sebagai guru, dan menjadi contoh untuk diamalkan oleh khalayak. Pengarang juga mestilah menjadi golongan yang moralis. Setiap pengarang hendaklah berkarya dengan penuh kejujuran, bersih hati dan sedia untuk mengajar dan senantiasa dalam belajar.

Dapatlah ditegaskan sastera dan aspek pendidikan ini mempunyai beberapa sudut pandangan.

  1. Karya sastera sebagai sumbangan bagi meninggikan tamadun manusia.
  2. Membangunkan aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan.
  3. Kecemerlangan dari aspek persejarahan sesuatu bangsa.
  4. Memajukan moral dan akhlak khalayak secara universal.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.