27 Februari 2022, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua penulis JIWA, iaitu Raiha Bahaudin dan Baharuddin Bekri berkongsi pandangan dan pendapat mereka perihal pembikinan novel di Pasar Seni Kuala Lumpur, bersempena dengan Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB 2022). Kedua-dua penulis itu turut disertai Iman Danial Hakim yang tampil sebagai pembicara dalam sesi “Bersama Duta dan Penulis Jiwa”  baru-baru ini.

Kunang Pesisir Morten. (Sumber Goodreads)

Penulis Kunang Pesisir Morten, Raiha Bahaudin berkongsi perihal kepengarangan beliau, lebih-lebih lagi dalam mengarang novel. Katanya, beliau lebih mesra dengan kaedah novelis yang merancang, dan mempunyai struktur rangka sebelum memulakan kerja penulisan.

Menurut Raiha, “Saya bukanlah seperti Stephen King yang menulis plot naratifnya dengan rencam, sering kali novelis prolifik itu memilih pengakhiran ceritanya setelah beliau menghampiri ke penghujung cerita, atau seiring dengan gaya penulisannya. Apabila saya tidak menetapkan visi dalam sesebuah buku itu, saya anggap saya sudah gagal.” Bagi Raiha, khususnya untuk beliau dengan tidak mempunyai perancangan yang jelas dari awal hingga akhir plot novel sebelum menyiapkan novel itu, ia seakan-akan satu langkah menghampiri kegagalan.

“Saya juga berasal daripada penulis skrip drama, yang terlatih dengan gaya menukang cerita The Hero’s Journey yang menuntun pencerita untuk menggunakan 12 langkah-langkah tertentu dalam menukang cerita untuk memastikan sesebuah cerita itu tidak ada lopong, tonanya mapan dan padat.” The Hero’s Journey merupakan sebuah struktur panduan seni penceritaan yang mengandungi tiga bahagian utama yang dipecahkan kepada 12 langkah-langkah dalam menggarap plot sesebuah cerita.

Manakala Baharuddin Bekri pula menyifatkan diri beliau sebagai seorang penulis yang berlainan daripada Raiha. Kaedah beliau dalam menggarap plot, lebih cenderung ke arah penulis yang menulis dengan inspirasi sekeliling dan pengalaman sendiri. Beliau juga menekan kepentingan untuk pengarang itu menggunakan pengalaman dan pemikiran yang ada di sekeliling mereka sendiri untuk mengarang. Tambahnya, “Penulis ini seperti berkawan dengan idea. Kita tidak boleh berdiri sendiri dengan idea kita semata-mata,” jelasnya.

Baharuddin menegaskan bahawa seseorang penulis harus ada sumber inspirasi untuk menjadikan novel mereka itu lebih mesra dan membumi bersama dengan khalayak pembaca.

Manakala dalam konteks “writers block” pula, Raiha dan Baharuddin keduanya mengakui pernah mengalami fasa ini, seperti pengarang lain di luar sana. “Writers block”  bukan perkara yang luar biasa dalam kerjaya seseorang penulis, namun ia juga adalah perkara yang harus diambil berat oleh penulis.

Raiha berkata yang beliau mengalami “writers block” kerana kesibukan jadual harian yang membuatkan beliau tidak ada masa untuk membaca. Ujarnya, “Apabila kita tidak ada ruang untuk membaca, ia juga menjurus kepada ketiadaan ruang untuk menulis. Membaca menjadi faktor utama untuk seseorang penuls itu boleh menulis ataupun tidak.”

Baharuddin pula berkata “writers block”  datang daripada pelbagai punca, antaranya kerana penulis itu tidak mahu mengulangi apa-apa yang pernah ditulisnya sebelum ini. 

Menurutnya, “Kita akan ada satu fasa dalam karier menulis untuk berkata, ‘aku tidak mahu menulis seperti ini lagi.’ Itulah pentingnya untuk seseorang penulis itu mengubah gaya penulisan mereka setelah beberapa ketika. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan mengubah gaya penulisan, penulis akan dapat mengelak rasa ralat dalam perasaan menulis secara berulang-ulang.”

Selain itu, penulis juga boleh cuba untuk menulis dalam genre yang baharu sebagai usaha untuk menghilangkan fasa “writers block”. Peranannya sama, iaitu mengubah perasaan ralat kerana menulis secara berulang-ulang. Sesi perkongsian bersama dengan penulis JIWA tersebut secara tidak langsung dapat membantu penulis pemula untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti dan sekali gus mampu menarik minat pembaca untuk mencintai dunia pembukuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.