7 September 2021, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hikayat Raja Muda memaparkan cerita yang bertemakan percintaan, kasih sayang dan kesetiaan suami isteri, dengan selitan unsur luar biasa dan fantasi. Tema sedemikian menjadikan hikayat ini tergolong dalam cerita jenis romance (roman) Melayu. Hikayat ini sebenarnya bersandarkan kisah dongeng semata-mata, tanpa wujudnya unsur legenda atau sejarah seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Pahang, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Hang Tuah, dan Hikayat Patani.

Dalam perbendaharaan kesusasteraan, hikayat terbahagi kepada beberapa kategori. Kategori pertama ialah hikayat zaman pra-Islam seperti Hikayat Pendawa Lima (berunsur Hindu), Hikayat Ahmad Muhammad atau Hikayat Si Miskin (berunsur Hindu-Islam) dan Hikayat 1001 malam (berunsur Islam). Kategori kedua ialah kesusasteraan panji seperti Hikayat Misa Taman Jayeng Kesuma.

Kategori seterusnya ialah kesusasteraan epik seperti Hikayat Hang Tuah, kesusasteraan undang-undang seperti Undang-undang Laut Melaka (Fasal Satu hingga Lapan), kesusasteraan agama seperti Hikayat Nur Muhammad, kesusasteraan kitab seperti Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin, dan kesusasteraan ketatanegaraan seperti Bustan al-Salitin.

Berdasarkan kategori tersebut, Hikayat Raja Muda dikelompokkan dalam kesusasteraan hikayat zaman pra-Islam, kerana teksnya mengandungi unsur Hindu-Islam, selain diselitkan dengan kepercayaan animisme yang melatari jalur cerita, plot dan perwatakannya.

Selain pembahagian hikayat sebagai asasnya, Hikayat Raja Muda juga tergolong dalam sastera rakyat, iaitu jenis cerita lipur lara, selain cerita binatang, cerita jenaka, cerita mitos dan cerita legenda yang dikelompokkan dalam bentuk naratif atau cerita. Sastera rakyat berbentuk bukan naratif termasuklah pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka-teki, peribahasa, teromba dan mantera.

Uniknya, dalam Hikayat Raja Muda terkandungnya pantun, syair, seloka, peribahasa dan lain-lain yang memberikan nilai tambah pada keindahan ceritanya. Antara hikayat jenis cerita lara, dan telah diterbitkan dalam bentuk buku termasuklah Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Terung Pipit, dan Hikayat Malim Dewa.

Walaupun unsur dongeng menunjangi jalan ceritanya, Hikayat Raja Muda tetap “kaya” dengan nilai didaktik, nasihat dan pengajaran termasuklah unsur kritikan terhadap masyarakat dan pemimpin. Karya sastera klasik ini juga memperlihatkan pelbagai kearifan tempatan yang diwarisi sejak berzaman di dunia Melayu. Antaranya termasuklah adat istiadat, adat resam, tradisi lisan, teknologi pembuatan alat, dan penggunaan puisi tradisional (pantun, gurindam, syair) dalam kalangan masyarakat yang melatari kisahnya.

Dengan bahasa yang indah, hikayat ini mempamerkan karya sastera yang tinggi nilainya, biarpun isi ceritanya dongeng semata-mata. Namun begitu, dongeng itu dapat dianggap kesusasteraan sekiranya diberikan pakaian bahasa yang indah dan dihiasi nilai estetik.

Walaupun ada persamaan dengan hikayat yang lain, khususnya dari aspek jalan cerita, namun Hikayat Raja Muda disesuaikan semula dengan beberapa perubahan untuk memperlihatkan sedikit perbezaan. Contohnya, watak haiwan, iaitu gajah putih yang mengembara bagi tujuan mencari raja untuk negeri yang tidak beraja dikatakan motif lama yang banyak terdapat dalam hikayat yang lain seperti Hikayat Merong Mahawangsa.

Dalam Hikayat Raja Muda, Raja Muda dikatakan telah melawan tujuh orang penyamun dalam perjalanannya bersama-sama isterinya (Tuan Puteri Bidadari Segerba atau Puteri Bongsu) menuju ke rumah Nenek Kebayan. Jalur cerita itu mempunyai persamaan dengan kisah dalam Hikayat Seri Rama, iaitu Seri Rama yang harus menumpaskan musuh semasa dalam perjalanannya ke rumah Sita.

Unsur Budaya Melayu Lama

Sastera rakyat seperti yang difahami umum merupakan hasil sastera milik bersama yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi seterusnya secara lisan. Cerita lipur lara dalam kategori sastera rakyat dapat dikenal pasti berdasarkan beberapa ciri penting, iaitu putera dan puteri sebagai watak utama yang memiliki kesempurnaan mental dan fizikal serta mempunyai kesaktian tertentu, berlatarkan bumi dan dunia dewa atau kayangan, dan adanya watak seperti pari-pari, jin dan syaitan.

Setelah berlaku peralihan zaman, tradisi lisan juga turut berubah kepada bentuk tulisan. Ekoran perubahan tersebut, muncul karya bertulis tangan (dalam tulisan Jawi yang disebut sebagai manuskrip. Setelah itu, karya bertulisan Jawi itu diselenggarakan semula dan ditulis dalam tulisan Rumi, lalu diterbitkan sebagai bahan bacaan.

Penulisan cerita Hikayat Raja Muda pada asalnya bersumberkan cerita daripada tokoh penglipur lara, iaitu Pawang Ana sebagai penuturnya. Daripada penyampaian secara lisan, ceritanya dipindah dalam bentuk tulisan yang disalin oleh Raja Haji Yahya.

Terdapat tiga struktur utama dalam penceritaan Hikayat Raja Muda yang melengkapkan jalan ceritanya, iaitu kelahiran, pengembaraan dan penyelesaian. Menariknya, dalam tradisi lisan, peranan penglipur lara yang menggerakkan sesebuah cerita termasuklah olahan cerita bagi menggerakkan emosi pendengarnya.

Dalam Hikayat Raja Muda, jalur kisahnya banyak diselitkan dengan kebudayaan Melayu lama sebagai identiti kearifan tempatan masyarakat Melayu lama. Hal ini tergambar dalam petikan yang berikut:

Maka bidan yang ketujuh dan tabib, bomoh dan dukun pun turunlah ke tanah di bawah istana, membawa bertih, beras kunyit, tepung tawar. Maka lalulah dijampi oleh tok bidan tujuh dan tabib, bomoh dan dukun untuk membuang jemalangnya, lalu ditaburkan bertih, beras kunyit dan dipercikkan air tepung tawar kepada putera baginda itu.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu lama, bomoh, tabib, bidan dan dukun merupakan individu yang sering dirujuk kerana kepandaian mereka dalam hal mengubati dan merawat penyakit dan menyediakan ubat-ubatan. Selain itu, mereka juga berperanan dalam ritual dan upacara. Bomoh dan dukun biasanya melakukan rawatan secara spritual, khususnya berkaitan dengan gangguan makhluk halus atau perbuatan khianat manusia (sihir dan santau).

Tabib pula berkepakaran dalam menyediakan ubat-ubatan bersumberkan akar kayu, herba, selain menguasai petua dan pantang larang serta kemahirannya mengubati penyakit fizikal. Pendek kata, tabib diibaratkan doktor pada masa ini. Bidan pula berperanan untuk merawat wanita bersalin dan menyambut bayi yang baru dilahirkan.

Selain mahir mengubati penyakit, sesetengahnya mempunyai kemahiran dalam menjampi dan membaca mantera atau serapah. Bahan yang biasanya digunakan dalam upacara tersebut adalah seperti bertih, beras kunyit dan tepung tawar. Bertih dipercayai menjadi makanan yang digemari oleh makhluk halus dan dijadikan syarat agar makhluk halus tidak lagi mengganggu pesakit.

Tepung tawar ialah tepung beras yang dipercayai dapat menghalau kehadiran makhluk halus, bergantung pada tujuannya, sama ada untuk persembahan, perubatan, ritual (bersemah, sembah guru, membayar niat), dan upacara perkahwinan.

Adat kelahiran juga disebut dalam hikayat ini, yang jelas merujuk peranan seorang bidan dalam menyambut kelahiran bayi atau mengurus wanita yang baru bersalin. Hal ini tergambar dalam petikan yang berikut:

Maka tok bidan yang tua pun lalu merambas dengan kain tujuh warna, pertama kain putih, kedua kain hitam, ketiga kain kuning, keempat kain biru, kelima kain merah, keenam kain ungu, ketujuh kain ainulbanat, kain kerajaan. Setelah tok bidan tua sudah merambas tujuh kali, maka putera baginda pun lalulah diangkat oleh bidan tua itu dari dalam lubang lalu didukung dengan kain tujuh warna itu, lalu dibawa naik ke atas istana disiramkan dan dikerat pusat lalu dibedung dengan kain antelas yang keemasan.

Penggunaan kain yang pelbagai warna digunakan dalam proses lenggang perut. Kain tersebut akan diletakkan di bawah badan ibu mengandung, dan disusun berlapis-lapis. Adat pijak tanah atau turun tanah dan upacara bersiram juga terdapat dalam hikayat ini.

Raja Muda telah membawa puterinya, Tuan Puteri Renik Jintan Seri ke Tasik Mendam Berahi bersama-sama isterinya, Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri, termasuk para pembesar, dukun dan bidan sebagai individu yang berperanan penting dalam upacara tersebut.Kisah ini ditunjukkan dalam petikan yang berikut:

Maka lalulah disiramkan oleh bidan dan tabibnya itu, sebagaimana adat putera raja-raja yang besar-besar bersiram; demikian diperbuatnya. Setelah sudah lalu berangkat masuk ke dalam khemah serta dipijakkan oleh bidan ke tanah, berpijak di atas emas dan perak.

Adat pijak tanah merupakan upacara mencecahkan kaki bayi ke tanah buat pertama kali selepas kelahirannya. Biasanya, masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia melakukan upacara ini ketika usia bayi 45 hari. Selain menandakan peralihan tahap usia seseorang bayi, adat pijak tanah juga merupakan simbol kehidupan dan masa depan bayi berkenaan.

Adat khatam al-Quran juga dikisahkan dalam hikayat ini seperti dalam petikan yang berikut:

Maka sampailah umurnya Raja Muda itu dua belas tahun, maka pengajian itu pun khatamlah. Maka baginda pun berarak pula sebagaimana arak-arak yang khatam mengaji.

Upacara ini diadakan khusus kepada pelajar yang menghabiskan semua bacaan surah dalam al-Quran sebagai tanda kesyukuran, serta mengangkat kepentingan al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan. Acara khatam al-Quran diamalkan di sesetengah kawasan dan lokasi, namun bukanlah sebagai acara yang wajib dilakukan tetapi bergantung pada kemampuan individu atau keluarga yang menganjurkannya. Biasanya, adat khatam al-Quran disertai acara cukur jambul, berzanji, atau dibuat perarakan secara beramai-ramai.

Doa selamat juga menjadi amalan yang masih dilakukan oleh sesetengah masyarakat Melayu mengikut kawasan tertentu, dan ada disebut dalam Hikayat Raja Muda.

Maka seketika haji, lebai pun segeralah membaca doa selamat dan doa tolak bala. Menderulah bunyi orang mengatakan, “Amin ya Rabbal ‘alamin.

Doa selamat menjadi satu kaedah memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan, keamanan dan rahmat. Pada masa dahulu, doa selamat dibuat secara khusus seperti majlis doa selamat atau disebut juga kenduri doa selamat. Majlis itu diadakan sempena suatu peristiwa dan kejadian, atau gambaran sebuah komuniti atau individu tertentu untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT.

Walaupun pelbagai tafsiran dan pandangan yang mengatakan amalan ini bercanggah dengan sunah Rasulullah SAW, pertembungan ini mempunyai jawapannya berpandukan tujuan majlis diadakan seperti memohon keselamatan dan perlindungan daripada Allah SWT.

Dalam konteks budaya, majlis ini dapat menjalinkan hubungan silaturahim demi mencapai keharmorniaan dalam sesebuah komuniti. tahlil dan kenduri arwah juga adadinyatakan dalam Hikayat Raja Muda.

Tingkat yang keenam budak-budak jawatan yang laki-laki menghamburkan ambaran, tingkat yang ketujuh tempat haji, lebai, fakir miskin bertahlil dan berdoa.

Maka baginda berangkatlah kembali diiringkan oleh orang besar-besar, rakyat, tentera hina-dina sekaliannya kembali ke istana dengan kemasygulannya, dititahkan suruh buat kenduri arwah

Selain itu, dalam budaya Melayu, “ilmu kependekaran” juga menjadi perhatian masyarakat Melayu tradisional. Ilmu ini digunakan sebagai pendinding dan pertahanan diri daripada serangan musuh atau seteru. Selain melindungi fizikal tubuh, ilmu ini juga diperlukan untuk melindungi diri daripada serangan secara batin atau spritual oleh pihak musuh.

Oleh sebab itulah, ilmu ini sangat bermanfaat, lantas dijadikan amalan oleh sebahagian individu yang mendalami ilmu pertahanan diri (persilatan atau bermain senjata). Hal ini dinyatakan dalam petikan tentang ilmu pelias peperangan.

Disisipkan pula keris yang bernama cerita lok sebilan belas, berkurai, pamur ular lidi menyeberang tasik; berselubung kain, bertabur perada telepuk. Maka lalu pula memakai tengkolok alang bersurat kalimah halimunan Sulaiman, beberapa ilmu hikmat pemanis serta pelias peperangan.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), “pelias” bermaksud  jampi yang menyebabkan seseorang tidak dapat terkesan dengan senjata musuh atau dijauhkan daripada bahaya, atau mantera dan azimat yang menjadikan seseorang itu kebal dan terhindar daripada mara bahaya.

Dalam Hikayat Raja Muda ada disebutkan jentera yang boleh disamakan dengan pesawat. Pesawat ini dikatakan sebagai kenderaan yang digunakan oleh watak puteri dari kayangan (Tuan Puteri Nilawati, Tuan Puteri Kilam Rakna, Tuan Puteri Nilam Pudi, Tuan Puteri Puspa Sari, Tuan Puteri Zam-zam Udara, dan Tuan Puteri Bidadari Segerba).

Penggunaan jantera ini memperlihat dua pandangan. Pertama, hikayat ini baru dihasilkan pada akhir abad ke-19 atau awal abad ke-20, dan berkemungkinan menerima pengaruh modenisasi dari Barat. Kedua, pesawat atau jentera itu merupakan tambahan atau tokok tambah daripada penutur, Pawang Ana atau penyalinnya, Raja Haji Yahya. Hal ini tergambar dalam petikan yang berikut:

“Minta turunkanlah sebuah balai jentera berpusing yang boleh terbang sendirinya akan jadi kenaikanku membawa saudaraku sekaliannya ini.”

Maka balai jentera itu melayanglah terlalu amat tangkas berpusing naik ke udara seperti kilat rupanya, laksana besar kumbang padang sahaja. Maka dipandang baginda terlalu amat sayup makin lama makin tinggi, di dalam antara tiada berapa lamanya balai jentera itu pun hilang ghaib daripada pandangan baginda.

Percaya pada mimpi juga ada dinyatakan dalam Hikayat Raja Muda.

Maka baharu hendak dilihat baginda bunga itu, sekonyong-konyong datanglah seekor ular cintamani putih sekalian tubuhnya., di atas kepalanya sebiji manikam yang bercahaya-cahaya. Maka ular itu datang melilitlah melilit melilit pinggang baginda tujuh belit terlalu kemas dirasakan banginda tiadalah baginda melepaskan dirinya lagi.

“Ayuhai adinda, jika sekiranya orang laki-laki bermimpi seperti itu alamat hendak beristeri yang lebih bangsa dan elok rupanya.”

Mimpi dalam budaya Melayu dikatakan sebagai petunjuk atau alamat kepada individu yang mengalaminya. Mimpi terbahagi kepada dua jenis petunjuk atau tafsiran, seperti  mendapat mimpi dengan petanda akan berlaku perkara yang baik atau memperoleh keberutungan, dan mendapat mimpi sebagai petanda ada perkara buruk (musibah) yang bakal terjadi.

Dalam kepustakaan Melayu tradisional, mimpi seseorang itu di bawah bidang ilmu takbir mimpi, iaitu bentuk ramalan dengan mentafsir mimpi seseorang menurut waktu, hari dan masa.

Rangkuman upacara dalam hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, upacara yang dilakukan dalam kalangan rakyat biasa. Kedua, upacara yang dilakukan oleh golongan pemerintah (raja). Contohnya, istiadat pertabalan atau istiadat pemakaman dengan penggunaan alat kebesaran diraja seperti cogan alam, keris panjang, payung dan cokmar, atau pengunaan alat muzik tradisional seperti nafiri, serunai, gendang ibu, gendang anak dan gong.

Sememangnya, terdapat banyak lagi amalan yang menggambarkan unsur budaya, yang terkandung dalam Hikayat Raja Muda. Secara tidak langsung, amalan dan budaya tersebut membolehkan generasi pada hari ini mengenali identiti masyarakat Melayu terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.