Oleh Salman Sulaiman
18 Ogos 2021, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berbicara tentang kesusasteraan Indonesia dan Nusantara yang luas serta rencam itu tentunya tidak lengkap tanpa memasukkan namanya – Goenawan Mohamad.

Penyair besar Indonesia ini, yang nama sebenarnya Goenawan Susatiyo Mohamad, juga begitu dikenali sebagai seorang wartawan senior yang mengasaskan majalah berita terkemuka negara itu, iaitu TEMPO. Di situ jugalah dia menulis dalam kolum terkenalnya, “Catatan Pinggir” (Caping) setiap minggu tanpa jemu, tidak pernah berhenti sejak 44 tahun lalu.

(Sumber: Google)

Pelbagai tajuk dan judul ditulisnya dalam kolum yang hampir mencecah setengah abad itu – Diskusi, Galileo, Harapan, Orientalisme, Cemburu, Totto-Chan, Erasmus, Luka, Snouck, Maaf, Hamlet, Protes, Mikraj, Badut, Tuhan, Kelir, Papua, dan lain-lain. Segala peristiwa dan tokoh sudah dicoretnya, termasuklah kisah abangnya, Kartono yang merupakan seorang doktor perubatan terkenal.

Bertepatanlah dengan kewibawaannya itu sebagai pengarang apabila namanya turut disenaraikan dalam buku 33 Tokoh Sastra Indonesia Paling Berpengaruh (Kepustakaan Populer Gramedia, 2014) yang dipimpin penyelenggaraannya oleh Jamal D. Rahman.

Turut membantu Jamal dalam proses pemilihan dan penulisan riwayat hidup 33 tokoh tersebut ialah tujuh orang pengarang lagi yang mereka namakan sebagai Tim 8 iaitu Acep Zamzam Noor, Agus R. Sarjono, Ahmad Gaus, Berthold Damshauser, Joni Ariadinata, Maman S. Mahayana dan Nenden Lilis Aisyah.

Anak bongsu daripada lapan adik-beradik kelahiran Batang, Jawa Tengah pada tanggal 29 Julai 1941 ini menuntut dalam jurusan psikologi di Universitas Indonesia (1960 hingga 1964), belajar falsafah di College of Europe, Belgium (1965 hingga 1966), Universiti Oslo, Norway (1966), dan menjadi Nieman Fellow di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (1989 hingga 1990).

Goenawan pernah bekerja sebagai wartawan akhbar Harian Kami (1966 hingga 1970), sebagai anggota Dewan Kesenian Jakarta (1968 hingga 1971), majalah Horison (1969 hingga 1974), pemimpin redaksi majalah Ekspres (1970 hingga 1971), majalah Zaman (1979), dan menjadi pemimpin redaksi majalah mingguan Tempo selama dua tempoh (1971 hingga 1993) dan (1998 hingga 1999), serta redaksi Swasembada (1985).

Goenawan juga turut dikenali sebagai salah seorang pendukung dan penandatangan Manifesto Kebudayaan yang mula diikrarkan dalam majalah Sastra pada September 1963 bersama-sama HB Jassin, Taufiq Ismail, Trisno Soemardjo, Arif Budiman, Wiratmo Soekito, Zaini dan beberapa yang lain.

Sekitar tahun 1990-an, selepas tidak menjadi redaksi di Tempo, Goenawan menubuhkan Komunitas Utan Kayu (yang kemudiannya bertukar menjadi Komunitas Salihara pada 2008) yang aktif menjalankan aktiviti seni, sastera, keintelektualan, kewartawanan dan penerbitan.

Besarnya pengaruh Komunitas Salihara yang dipimpin oleh Goenawan hingga satu ketika pertubuhan tersebut seperti hampir menjadi kiblat seni dan sastera Indonesia setanding dengan institusi sastera yang lain seperti Dewan Kesenian Jakarta (DKJ) dan Horison.

Sejalan dengannya di Indonesia, iaitu yang juga bergelar wartawan-sasterawan paling kurang ada dua orang yang kuat dan menyerlah selain dirinya, jika boleh disebutkan barangkali nama itu ialah Mochtar Lubis dan Seno Gumira Ajidarma.

Goenawan juga berbakat melukis. Antaranya, buku sajak Fragmen (PT Gramedia Pustaka Utama, 2017) dan Don Quixote (DIVA Press, 2019) memuatkan sketsa lakaran Goenawan sendiri yang ringkas, mudah dan bercampur antara sapuan berus dengan garis-garis pen.

Kebetulan sahabat kami di bengkel MASTERA 2012 – Tia Setiadi, pengarang muda dari Yogyakarta, banyak menangani proses suntingan dan menjadi editor sekurang-kurangnya untuk empat buku Goenawan ini; Tigris, Kata dan Pengalaman, Don Quixote dan Estetika Hitam; Adorno, Seni, Emansipasi.

Sebahagian daripada karya Goenawan.

Tentunya kita memerlukan peruntukan waktu yang khusus untuk menyenaraikan jumlah keseluruhan buku Goenawan yang telah diterbitkan, sebab terlalu banyak kerana Goenawan menulis dalam hampir semua bidang sastera seperti sajak, novel, esei dan skrip seni lakon.

Buku Kata dan Pengalaman terbitan Penerbit Circa pada 2020 misalnya, istimewa membicarakan rakan penyairnya yang paling akrab – Sapardi Djoko Damono. Mengandungi dua esei khusus membincangkan sajak Sapardi; satu ditulis ketika kedua-duanya masih muda dan satu lagi ditulis oleh Goenawan sejurus selepas kematian Sapardi, dan turut dilampirkan tiga sajak Sapardi iaitu “Ada Berita Apa Hari Ini, Den Sastro?”, “Pada Suatu Malam” dan “Perihal Waktu” untuk menjadikan buku tersebut 98 halaman.

Selain rutin tetapnya setiap minggu menulis untuk ruangan Caping di Tempo; Goenawan juga melakar sketsa, mencatat ciapan ringkas di Twitter, menulis naskhah drama pentas, mencipta sajak dan mengarang novel. Satu-satunya novel Goenawan yang kita tahu ialah Surti + Tiga Sawunggaling.

Banyak watak insan terkenal yang menyumbang kepada perkembangan pemikiran masyarakat yang dipilih Goenawan untuk diceritakan kisah mereka dalam tulisannya selain Sapardi. Ada Don Quixote, Adorno, juga Tan Malaka. Sebuah buku khusus ditulis tentang orang-orang ini. Kisah lanjutan Don Quixote dalam Si Majenun dan Sayid Hamid.

Membahaskan pemikiran seorang filsuf Jerman, Theodor Wiesengrund Adorno dalam Estetika Hitam; Adorno, Seni, Emansipasi. Manakala Tan Malaka dalam buku skrip teaternya Tan Malaka dan Dua Lakon Lain. Kisah pemerintah kerajaan Mataram pada abad ke-17 dalam Amangkurat, Amangkurat: Lakon dalam Empat Belas Adegan.

Tulisan ringkasnya di Twitter juga turut dibukukan dalam Pagi dan Hal-hal yang Dipungut Kembali: Sebuah Epigram oleh pihak PT Gramedia Pustaka Utama sejak cetakan pertama pada 2011. Menariknya buku ini telah mencapai cetakan kelapan pada 2019.

Catatan pendek di Twitter tetapi berkali-kali dicetak ulang, itulah hal yang mengejutkan tentang buku ini. Sebuah lagi buku yang menghimpunkan catatannya di Twitter ialah Percikan (2011) yang mempunyai ketebalan 320 halaman dengan 13 bab.

Terdapat juga buku khusus yang menghimpunkan tulisannya yang lebih pendek daripada eseinya di Tempo, iaitu esei sepanjang empat atau lima perenggan sahaja, malah yang hanya satu perenggan juga ada, dalam Tuhan & Hal-Hal yang Tak Selesai diterbitkan pada 2007 oleh penerbit KataKita di Jakarta. Esei yang amat pendek dalam buku ini juga dinamakan sebagai “99 Percikan”.

Sekian banyak anugerah dan penghargaan telah dirangkulnya untuk jasa kepengarangannya yang begitu panjang merentang lebih setengah abad sejak 1960 hingga 2021. Anugerah tersebut ialah Anugerah Seni daripada pemerintah Republik Indonesia (1971), Anugerah Penulis Asia Tenggara – S.E.A Write Award (1981), Penghargaan Profesor A. Teeuw di Universiti Leiden, Belanda (1992), Louis Lyons Award daripada Nieman Foundation (1997).

Pada tahun 1999, Goenawan menerima anugerah International Editor of The Year Award daripada World Press Review Amerika Syarikat, Wertheim Award (2005), Khatulistiwa Literary Award (2006), Anugerah Sastera Dan David Prize (2006), dan Anugerah Sastera Mastera oleh Sultan Brunei Darussalam (2018).

Antara sebahagian daripada sekian banyak bukunya yang telah diterbitkan ialah Potret Seorang Penyair Muda sebagai Si Malin Kundang (1972), Interlude (1973), Seks, Sastra, Kita (1980), Kesusastraan dan Kekuasaan (1993), Sidelines (1994), Misalkan Kita di Sarajevo (1998), Setelah Revolusi Tak Ada Lagi (2001), Kata, Waktu (2001), Conversations with Difference (2003), Goenawan Mohamad: Selected Poems (2004), dan On God and Other Unfinished Things (2015), In Other Words: 40 Years of Writing on Indonesia (2017), dan debu, duka, dsb. (2020).

Goenawan telah lama memikat saya dengan esei dan juga sajaknya, kerana sejak hampir 20 tahun lalu saya mendengar tentang kehebatan esei Goenawan dalam Capingnya. Seakan-akan seperti terdengar ada yang mengatakan bahawa esei Goenawan dalam Tempo itu ialah tulisan yang sewajarnya dibaca selepas al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Wah, sampai begitu sekali kagumnya kita terhadap tulisan Goenawan. Saya mula mendengar cakap-cakap sebegini sejak hampir 20 tahun lalu. Mungkin sekitar tahun 2003 di Bangsar.

Tentang Goenawan, sebenarnya ada beberapa kenangan peribadi untuk dicatatkan. Pertama; pada hari terakhir di Jakarta ketika menghadiri Program Penulisan MASTERA di Anyer pada Julai 2012, selepas balik dari Pasar Jatinegara, saya singgah di toko buku terkenal PT. Gramedia di Jalan Gajah Mada bersendirian. Melihat banyak buku menarik terutama karya sastera, sebenarnya saya berkenan hendak beli sebuah buku Goenawan yang saya tidak berapa ingat dengan jelas judulnya.

Kenangan penulis (kiri) bersama-sama rakan penulis Syaidul Azam, Zaen Kasturi (pembimbing) dan Lutfi Ishak semasa Program Penulisan MASTERA: Puisi 2012 di Anyer, Banten, Indonesia.

Kalau tidak salah mungkin bukunya yang bertajuk Sajak-sajak Lengkap 1961-2001. Memeriksa baki wang rupiah di dalam dompet, saya kecewa; tidak cukup. Kerana duit yang tinggal itu sebahagiannya juga perlu diperuntukkan untuk tambang balik ke hotel selepas ini.

Lalu dengan wang yang ada saya beli Cerita Calon Arang oleh Pramoedya dan Adam Ma’rifat karya Danarto. Kedua-dua buku ini nipis sahaja berbanding dengan karya Goenawan tersebut yang agak mahal. Lebih lucu, balik ke Malaysia saya jual kedua-dua buku yang dibeli pada hari akhir di Jakarta tersebut sehingga tiada untuk simpanan sendiri hingga kini.

Sampai sekarang saya kesal kerana tidak dapat membeli karya Goenawan itu. Kesal dengan diri sendiri sebenarnya, kenapalah aku tidak tukar duit ringgit Malaysia kepada mata wang rupiah dengan jumlah yang lebih lagi sebagai persediaan kalau ada kecemasan atau hal-hal yang tidak dijangka seperti ini?

Oleh sebab gagal memiliki buku itu pada hari tersebut, hingga saat ini saya tidak dapat membaca buku Sajak-sajak Lengkap 1961-2001 karya Goenawan itu, menyebabkan saya agak sesal.

Rasa kesal itu ada juga sedikit, walau tidak perlu pun sepatutnya, kerana tidak berjaya memiliki sebuah buku yang diingini itu hal kecil sahaja dan kerana takdir ketentuan-Nya yang telah menetapkan terjadi demikian.

Ketika seminggu di Indonesia itu juga, sebelumnya di Toko Gunung Agung, saya turut membeli senaskhah majalah Tempo keluaran terbaru hanya kerana ingin membaca esei Goenawan dan juga disebabkan penampilan menarik majalah tersebut yang mengupas berita semasa yang terjadi dalam kalangan masyarakat Indonesia.

Kedua; sajak Pastoral karya Goenawan telah saya deklamasikan pada malam akhir program Minggu Penulis Remaja 2013 di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat. Persembahan tersebut tanpa perancangan awal pun, kerana saya diminta untuk mewakili para pembimbing mempersembahkan sesuatu pada malam akhir program.

Maka mulalah nanar mencari sajak yang hendak dipersembahkan pada malam itu. Terjumpa sajak Goenawan yang memikat dan mengalir ini, dalam sebuah buku antologi bersama-sama yang dihadiahkan oleh pihak DBP sebagai cenderamata untuk pembimbing kalau tidak salah.

Mujur ada peserta yang merakam persembahan saya itu. Boleh dilihat kembali nanti apabila terasa rindu untuk mendengarnya semula dan dapatlah disimpan sebagai dokumentasi peribadi.

Ketiga; masih terbayang saat saya leka membelek timbunan majalah Tempo yang lama dan tanpa kulit di dalam kedai Arifeen Book Store di Bazar Buloh Kubu, Kota Bharu. Saya datang ke situ semata-mata untuk membeli majalah Tempo terbaharu, sebab saya pernah diberitahu sebelum itu bahawa hanya kedai itu satu-satunya kedai buku di Kelantan yang ada menjual majalah tersebut.

Namun hampa, kerana pemilik kedai menyatakan bahawa dia sudah lama tidak menerima kiriman majalah Tempo untuk dijual dan yang masih ada hanyalah edisi yang lama-lama dan tidak berkulit, serta dijual dengan harga murah. Oleh sebab itulah saya membelek sambil memilih untuk dibeli beberapa naskhah.

Peristiwa tersebut seingat saya berlaku pada tahun-tahun terakhir sebelum kedai buku itu ditutup. Keinginan saya ke Bazar Buloh Kubu semata-mata untuk membeli Tempo ini pun, tidak lain tarikannya ialah pada tulisan Goenawan.

Keempat; Goenawan juga sebenarnya salah seorang penulis yang dijadikan inspirasi ketika saya menjadi kolumnis ruangan Pena Sutera dalam majalah Tunas Cipta selama enam bulan bermula Julai 2017 hingga Disember 2017. Oleh sebab itulah saya turut menulis tentang beliau dalam esei terakhir untuk kolum tersebut. Tulisan itu berjudul “Salman, Goenawan dan Kafka”.

Ketika usianya genap 80 tahun pada 29 Julai 2021 yang lalu, dilancarkan pameran lukisannya yang kini masih berlangsung selama sebulan di Galeri Salihara dan dua bulan di Galeri Nadi, Jakarta Barat. Turut dilancarkan pada masa yang sama ialah sebuah lagi bukunya: Rupa, Kata, Obyek dan Yang Grostesk – berisi tulisan-tulisan Goenawan perihal kesenian.

Membaca Goenawan Mohamad ialah menyaksikan sebuah keajaiban daripada hasil kerja kepengarangan yang berterusan – tanpa henti, tiada mengenal istirahat, sangat prolifik. Sejak 1971 hingga 2021, mungkin tidak ada tahun yang sunyi tanpa karya dan buku-bukunya.

Kekuatannya luar biasa, kerana dirinya seorang pengarang-seniman yang hidupnya adalah tulisan, tulisan, tulisan; tentu sahaja ada pelajaran besar yang dapat kita pinjam daripada semangatnya. Bahawa menulis akan menjadikan kita kuat, berani dan abadi; dan yang paling utama dan terpenting ialah jangan berhenti!

Sumber: (YouTube BELANTARAKATA)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.