Oleh Hakim Bahaman
16 Ogos 2021, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Mengapa Membaca Karya Terjemahan?” telah menjadi tajuk pilihan pada episod keempat Anjung Kak Long yang dikendalikan oleh Nisah Haron menerusi laman Twitter beliau. Menyebut tentang karya terjemahan, sudah tentu kita terbayangkan tajuk besar seperti Tales of Genji oleh Murasaki Shibiku, War and Peace oleh Leo Tolstoy atau The Alchemist oleh Paulo Coelho.

Menurut Nisah, masyarakat juga terdedah dengan pembacaan karya terjemahan berbentuk siri novel misteri dan penyiasatan seperti Enid Blyton, dan novel terbitan Gempak Starz. Selain novel, masyarakat turut terdedah dengan komik alih bahasa seperti Pedang Setiawan, Mutiara Naga dan Doraemon.

Terlebih dahulu, Nisah membawa pendengar mengimbau zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyah yang giat menjalankan kerja penterjemahan perpustakaan Bayt al-Hikmah di Baghdad. Kegiatan tersebut telah menjadikan kota itu mewah dengan sumber ilmu, termasuk bidang penterjemahan.

Anak Raja dengan Anak Papa.

Nisah juga menyorot kembali peranan besar yang telah dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha penterjemahan beberapa karya besar. Memetik kajian bertajuk “The Translation of Foreign Novels into Malay by Dewan Bahasa dan Pustaka” oleh Haslina Haroon dan Melati Abdul Majid, “Usaha penterjemahan ini telah bermula pada tahun 1958. Pada ketika  itu, The Prince and The Pauper, tulisan Mark Twain merupakan novel pertama diterjemahkan kepada Anak Raja dengan Anak Papa oleh Za’ba.” Menurut hasil kajian itu lagi, sejumlah 72 judul daripada 12 bahasa asing telah diterjemahkan hingga tahun 2001. 

Madu dalam Saringan.

Selain itu, Nisah turut berkongsi beberapa novel terjemahan DBP yang lain seperti Nectar in a Sieve oleh Kamala Markandaya yang diterjemahkan kepada Madu dalam Saringan oleh Mokhtar Ahmad. Selain itu, The Remains of The Day oleh Kazuo Ishiguro turut diterjemahkan kepada Penghujung Senja oleh Hamdan Yahya.  Victor Pogadev turut menghasilkan Haji Murat yang diterjemahkan daripada Leo Tolstoy yang berjudul Hadji Murat.

“Membaca karya terjemahan umpama pintu yang membawa para pembaca ke dunia yang baharu. Para pembaca akan dapat mengakses bukan sahaja kepada sesebuah kisah, namun berpeluang untuk mempelajari tentang adat resam, budaya dan jiwa bangsa tersebut,” ujar Nisah.  Tambah beliau lagi, karya sastera merupakan penanda aras pemikiran sesuatu bangsa, justeru jika ingin melihat sesuatu bangsa, maka lihatlah karya sasteranya.

Duo Stories of Nogoghi.

Nisah sendiri turut memiliki dua buah kumpulan cerpen yang sudah diterjemahkan iaitu Sangkuriang’s Love, Oedipus Longing (Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus) dan Duo Stories of Nogoghi (Dua Cerpen Nogoghi). Kedua-dua buku tersebut telah diterjemahkan oleh Anisah Kasim. Anjung Kak Long bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 9.30 malam di Twitter Spaces @nisahharon.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.