Oleh Hakim Bahaman
6 Ogos 2021, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Poster program “Anjung Kak Long”.

Kembara sewaktu seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 sememangnya mustahil. Akan tetapi, sastera perjalanan ataupun travelog adalah salah satu cara yang boleh membuat para pembaca terus melihat dunia meskipun perlu kekal tinggal di rumah.

Itulah inti pati Nisah Haron dalam Anjung Kak Long bagi episod yang ketiga minggu lalu bertajuk Travelog Melayu. Nisah  membuka gelanggang kali ini dengan memberikan contoh penulisan kembara terawal seperti Odyssey oleh Homer (kurun ke-8), Surat-Al Ard atau The Face of The Earth oleh Ibnu Hawqal yang ditulis sekitar kurun ke-10, pelayaran Marco Polo (kurun ke-13) dan Ibnu Battutah yang terkenal dengan teks Rihlah Ibnu Battutah (kurun ke-14).

Nisah memetik Tan Sri Johan Jaafar yang menyebut, sastera perjalanan ialah genre yang terabai. Namun begitu, Tan Sri Johan  jugalah yang mengusulkan supaya catatan perjalanan A. Samad Said di Eropah diterbitkan dengan citarasa mewah dan lahirlah Warkah Eropah.

Seterusnya, Nisah menyebut teks epik seperti Hikayat Hang Tuah dan Syair Siti Zubaidah turut memiliki unsur travelog dalam penceritaan masing-masing. Namun menurut Nisah, travelog melayu moden pertama adalah Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Mekah oleh Abdullah Munsyi.

Satu lagi buku penting, menurut Nisah ialah Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London.  Buku ini merupakan catatan pengalaman peribadi Tan Sri (Dr.) Hajah Aishah Ghani sewaktu melanjutkan pelajaran ke London pada tahun 1955 dalam bidang kewartawanan.

Kebanyakan pengembara Melayu merakam keadan masyarakat yang dilhat sepanjang perjalanan mereka justeru menjadi sumber rakaman sejarah sosial yang baik.

Nisah memetik Harun Aminurrashid dalam Catatan Ke Tanah Suci (1960),

Segala apa yang dilihat, didengar dan dirasai kalau dicatit dengan betul, ayat adalah menjadi catatan sejarah yang amat penting untuk pengetahuan orang-orang akan datang.

Maka itu, Nisah menyeru para pengembara untuk mencatat perjalanan masing-masing kerana menulis akan memasukkan rasa dan kesan yang dialami sewaktu berada di tempat yang dilawati.

Kesan perasaan ini akan menjentik imaginasi pembaca yang tidak pernah sampai dan menjadi panduan kepada bakal pengembara.

Buku kembara Nisah Haron.

Foto menurut Nisah adalah sumber penting bagi catatan kembara. Namun travelog sepatutnya tidak dipadatkan dengan foto, fakta dan tulisan berbentuk diari semata-mata.

Ini berbeza dengan travelog yang dihasilkan oleh pengembara Melayu terdahulu. Catatan mereka begitu deskriptif mungkin kerana foto yang terhad. Tambah Nisah lagi, travelog sepatutnya mengaktifkan indera para pembaca.

Akhir sekali, Nisah mengingatkan para pendengar supaya menjaga adab ketika mengembara kerana setiap pengembara merupakan duta di wilayah yang mereka lawati.  Bagi Nisah, keluar mengembara adalah peluang untuk belajar dan mengamalkan sunnah bagi Muslim.

Nisah Haron sendiri telah menulis Kembara Sastera Nisah Haron United Kingdom dan Dublin terbitan ITBM pada tahun 2012. Beliau juga giat membimbing para pengembara dan peminat buku travelog untuk menghasilkan travelog sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.