4 Ogos 2021, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melihat akan tingginya nilai dan ketaranya estetika pada karya sastera Melayu klasik, maka diwujudkan laman “Seri Pusaka”, yang secara khusus akan menyiarkan karya dan bicara berkaitan dengan naskhah yang merentas zaman itu.

Sastera Melayu klasik ialah hasil karya seni yang disampaikan melalui perantaraan bahasa, sama ada secara lisan atau tulisan, yang menggabungkan falsafah pencipta dengan penerimanya pada zaman karya itu dihasilkan.

Sastera Melayu klasik ialah suara bangsa Melayu yang bergema pada suatu ketika dahulu. Sejumlah karya sastera yang telah berkembang pada zaman silam itu menyerlahkan citra kebestarian dan genius Melayu.

Kenyataan ini menepati makna istilah klasik yang menggambarkan keseriusan dan keabadian nilainya, ketinggian mutunya, kesederhanaan gayanya, keutuhan standardnya sebagai rujukan, dan ketekalan ciri-cirinya yang lazim dan tidak berubah mengikut peredaran waktu.

Hingga hari ini, sastera Melayu klasik masih kekal dirujuk, dibaca dan dihayati, sama ada sebagai sumber pengetahuan, amalan, pengajaran, sempadan tingkah laku, perundangan dan identiti masyarakat Melayu.

Maka itu, laman “Seri Pusaka” ini merupakan suatu usaha untuk membugarkan karya sastera klasik, selain mempersembahkannya dalam bentuk baharu. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk melihat karya berharga itu terus hidup dan bernafas dalam arus kemodenan. Juga, agar karya warisan ini tidak tenggelam dalam gelombang Revolusi Industri yang kelihatan mengesampingkan sastera yang dianggap tidak melonjakkan pembangunan dan merancakkan teknologi secara fizikal.

Sebelum laman ini dirancakkan dengan alunan dan bicara karya yang juga disebut sastera tradisional, maka diperturunkan beberapa aspek yang menjadi ciri dominan karya sastera klasik.

  1. Tidak diketahui nama pencipta karya.

Nama pengarang asalnya tidak diketahui, mungkin kerana pengarangnya lebih fokus untuk menyajikan mahakarya yang menitikberatkan fungsi cerita. Beberapa contoh karya sastera Melayu klasik ialah Hikayat Hang Tuah, Hikayat Indera Bangsawan dan Hikayat Malim Demam.

  1. Karya yang terikat pada aturan atau format tertentu.

Karya sastera klasik mempunyai aturan atau format yang mengikat penghasilan bentuknya. Salah satu contohnya adalah dalam bentuk puisi yang mempunyai aturan bait dan rima.

  1. Penggunaan bahasanya dipenuhi ungkapan, peribahasa dan kiasan.

Seperti dalam puisi atau prosa, karya sastera Melayu klasik syarat dengan ungkapan, peribahasa dan kiasan yang menghantar makna dan mesej, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

  1. Temanya berpusatkan istana dan raja Melayu.

Jenis ceritanya berlatarbelakangkan istana dan kehidupan raja-raja Melayu. Wataknya ditunjangi raja dan pembesar istana, yang kisahnya diselitkan dengan pengembaraan, peperangan, percintaan, selain disulami unsur sakti, magis dan mitos.

  1. Bernilai budaya lokal.

Penciptaan karya sastera Melayu klasik biasanya mengangkat budaya lokal, sehinggakan apabila membaca karya sastera Melayu klasik, pembaca akan mendapat gambaran moral masyarakat yang hidup pada zaman dahulu.

  1. Bersifat didaktik.

Sebagai saluran tidak rasmi untuk memberikan pengajaran, karya sastera klasik dihasilkan dengan tujuan untuk mendidik masyarakat. Pengajarannya merangkumi soal moral dan keagamaan.

  1. Berunsur tradisional.

Alur kisah karya sastera klasik lazimnya mempertahankan budaya dan kebiasaan masyarakat zaman dahulu, atau adat istiadat yang dipegang oleh masyarakat itu dalam melangsungkan kehidupan.

  1. Disebarkan secara lisan.

Pada awal kemunculannya, karya sastera klasik disampaikan secara lisan kerana belum berkembangnya budaya tulisan. Penyebaran cerita secara lisan juga kelihatannya lebih cepat sampai kepada khalayaknya berbanding dengan cerita dalam bentuk tulisan bercetak yang pergerakannya masih terbatas pada waktu karya itu dihasilkan.

Ekoran disampaikan secara lisan, ceritanya banyak berubah dan memiliki banyak versi. Hal ini berlaku kerana dalam menyebarkan sebuah cerita secara lisan pasti akan ada cerita yang hilang atau bahkan ditambahkan oleh orang yang menyampaikan cerita itu.

  1. Lama tetapi malar segar.

Ciri ini memang diakui oleh generasi pada hari ini kerana mereka masih dapat membaca, mengkaji dan menghayati karya yang lama tetapi malar segar itu.

Dengan berpegang pada pepatah, yang lama dikelek, yang baharu dijunjung, maka laman “Seri Pusaka” ini akan menjadi medan untuk menjunjung dan melestarikan karya sastera klasik Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.