Oleh Fatihah Jamhari
18 Mei 2021, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

BAHANG jalan tanah merah yang dipijak meruap naik dan meresap di seluruh tubuhku. Batu kerikil ada yang sesat dan melekat dalam alur tapakku. Debu tanah merah yang naik setiap kali tapakku memijak, langsung melekap rapat dan menyelimuti keseluruhan tubuh hitamku.

Daripada warna hitam berkilat yang aku banggakan, kini tubuhku kelihatan begitu hodoh dek tompokan debu yang tidak segan mendampingiku. Melihatkan keadaan aku, sudah tentu jelas kudratku seperti lurah tidak terturuni, bukit tidak terdaki. Tambahan pula, tapakku semakin tebal berkerak dengan tanah merah yang terlekat. Rupa parasku sudah terlalu tua untuk meneruskan khidmat.

Terasa amat menyesakkan sekali perjalanan kali ini. Namun inilah tanggungjawabku saban hari; menemani perjalanan seorang guru tua. Sudah masuk tahun kelima aku menjadi hamba pada guru tua ini. Pada tempoh usiaku ini, sejujurnya aku amat tua untuk melakukan tugas berat ini. Seperti tuanya guru tua itu. Nan berat tidak terpikul, nan ringan tidak terjinjing dek tubuhku ini.

Aku selalu mengimpikan kehidupan yang lebih banyak berehat, tetapi sayang sekali aku dimiliki oleh seorang guru tua yang tidak mengendahkan keuzuranku. Setiap pagi, dia akan duduk di bangku rotan yang sudah nazak itu. Dari atas bangku itu, tangan tuanya akan mencapai sepasang stoking yang asalnya berwarna hitam tetapi kini, seperti juga aku. Stoking hitam itu sudah tua leler dan warnanya juga semakin pudar menjadi kelabu.

Tangan guru tua itu akan menyarung stoking ke kedua-dua belah kakinya sebelum disorong pula tangan itu untuk mengangkat tubuhku dari para yang paling atas rak kasut. Jika tuan aku bukan seorang guru, sudah tentu aku dapat berehat sekali-sekala. Sudah tentu mahu dia menyarung selipar yang ada di sebelahku ini. Bukankah dia akan lebih selesa? Selipar itu baru tiga tahun berada dengan tuan aku. Sudah tentu tapaknya masih belum haus dan pijaknya masih empuk.

Jika dibandingkan dengan keadaan tubuhku yang sudah semakin ganyut, si selipar itu sepatutnya lebih patuh berkhidmat menemani tugas berat tuan kami. Namun demikian, guru tua itu punya etika yang memaksa dia menyarung tubuh tuaku saban hari bagi menutupi tapak kaki tuanya. Aku tidak faham, mengapakah seorang guru harus memakai kasut berwarna hitam. Adakah undang-undang dunia ini pelik-pelik belaka?

Kejap aku di kakinya, guru tua itu bangun untuk memulakan langkah pertama kepada perjalanan yang memakan masa sejam berjalan itu. Sebelum itu, dia menyalami isteri tuanya yang setia menemaninya di pintu rumah. Kadang kala dititipkan pesan kepada isteri tuanya itu. Kebelakangan ini, si isteri tua selalu sakit terlantar di dalam rumah. Tiada siapa yang akan menjadi teman guru tua itu.

“Aduh!” Guru tua berteriak dengan kuat saat muncungku tersandung batu keras yang terbenam kemas dalam jalan tanah merah.

Rintih si guru tua langsung mematikan permainan benakku. Dia mengadu sakit tetapi yang cederanya aku. Calar nan dalam menekan ke muncungku buat menemani calar-balar yang sudah sedia ada penuh di seluruh permukaan tubuhku. Aku kira congak, masih ada 20 minit sebelum kami tiba di rumah tua si guru tua. Terasa jauh sekali perjalanan hari ini dengan matahari yang masih tidak mahu melembutkan sirna.

Aku amat berharap agar apabila tiba di rumah nanti guru tua akan memberikan aku sedikit ihsan. Kebiasaannya, bila ada masa di hujung minggu terutama selepas menguruskan semua benda wajib dalam hidupnya, guru tua itu akan duduk di bangku nazak. Dengan remang senja yang menemani mata tuanya, akan dicelupnya kain buruk yang maha buruk di dalam secawan air panas. Dengan kain maha buruk itu, guru tua akan mengelap tubuhku bagi membersihkan rupaku. Walaupun tidaklah merubah rupaku menjadi muda, namun setidak-tidaknya terasa segar juga saat debu di tubuhku larut dan menghilang.

Setelah hampir dua bulan guru tua tidak membersihkan rupaku, tentu tampang aku buruk bagai rupa tungkahan. Terasa timbul segan untuk diperagakan kepada khalayak ramai. Lebih-lebih lagi apabila aku disusunkan oleh pelajar guru tua saat dia masuk ke surau. Tentu sahaja teman di sebelah kiri dan kanan lebih molek rupa mereka.

Tidak semena-mena si guru tua mencangkung di tengah-tengah jalan tanah merah yang masih berbaki banyak dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Beg galas ditarik dan daripada isi beg, dikeluarkannya sebotol air masak untuk membasahkan tekaknya. Aku dicabutkan dari kakinya. Entah bila aku pun tidak perasan, ada batu kerikil yang tersesat masuk dalam badanku. Aduhai, kesian sekali si guru tua! Tentu kakinya sudah sakit tercucuk dihimpit batu kerikil yang durjana itu!

Tidak lama si guru tua bangun semula meneruskan langkahan walaupun secara perlahan-lahan kerana jaraknya semakin pendek. Sirna matahari petang sedikit demi sedikit mula melembutkan mendamaikan alam yang bersedia untuk menjemput malam. Rumah yang dituju pun mula menghampiri sedikit demi sedikit.

Di atas anak tangga, si isteri tua duduk menunggu dengan mengenakan kain batik lusuh yang sepadan dengan baju kurung kedah rona biru. Senyumnya lelah terbit teroles di bibirnya saat aku dan si guru tua merapatinya. Di sisi duduknya, si isteri tua ditemani secangkir kopi yang masih mengeluarkan aroma harus semerbak.

Si isteri tua menyapa guru tua dengan ramah. Mungkin sakit peningnya sudah beransur baik. Dengan ramah juga dia bertanya perihal seharian si guru tua di sekolah. Dengan nada sedikit sesal, si isteri tua mengkhabarkan makan malam hanya berbekalkan ubi rebus dan ikan bakar semalam yang dipanaskan semula. Si guru tua dengan gembira mengatakan, itulah kegemarannya.

Aku dilucutkan dari kaki tuanya dan dikembalikan di atas para rak kasut yang paling atas. Suara borak mereka menjadi semakin perlahan saat mereka beriringan masuk di dalam rumah. Sementara aku pula mengambil peluang untuk berehat secukup-cukupnya. Aku sudah maklum, rehatku amat diperlukan kerana esok pagi, si guru tua akan kembali duduk di bangku uzur, mencapai stoking leler sebelum menyarung aku yang sudah ganyut ini.

Aku pasrah dengan takdirku yang dimuliakan sebagai sepasang kasut si guru tua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.